Friday, 20 January 2012

Review Filem Papa I Love You

Posted by BG Design



Filem:
Papa I Love You


Pengarah:
Hashim Rejab


Genre:
Komedi & Drama


Pelakon:
Lisa Surihani, Mia Sara Nasuha, Zalif Sidek, Zaidi Omar,
Bob Kuman, Syanie, Zul Handyblack & Etc.


Penilaian:
3.5 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Baha iaitu seorang ayah yang berusaha untuk membesarkan anak tunggalnya iaitu Mia dengan sempurna mungkin di dalam kehidupannya yang penuh dengan kesempitan sehingga beliau sanggup melakukan apa sahaja. Baha bertemu dengan seorang wanita bernama Elly yang sering membantu beliau untuk menjaga Mia dikala Baha sibuk mencari kerja. Elly dan Mia melengkapkan hidup Baha meskipun ditimpa kesempitan dek kerana kekurangan wang dan tidak mempunyai kerja tetap. Datuk Kudin seorang ayah dimana pada zaman mudanya mempunyai segala – galanya namun kerana sikapnya yang lebih mementingkan kerjaya telah menyebabkan dia kehilangan anak kesayanganya iaitu Elly. Baha menjadi orang tengah dalam membantu merapatkan semula hubungan Elly dan Datuk Kudin dan ini akhirnya telah menyebabkan hubungan Elly dan Baha sendiri menjadi tegang. Perpisahan Baha dan Elly telah menyebabkan Mia sedih dan secara tak sengaja ditimpa kemalangan. Melihatkan betapa besarnya kasih sayang Baha terhadap Mia telah menyedarkan Elly supaya memberikan peluang kepada ayahnya sendiri iaitu Datuk Kudin.


Ulasan Hans:

Aku tidak pasti kenapa begitu ramai yang berkata filem ini menarik, menyedihkan dan menyebabkan mereka menelefon ayah mereka untuk mengucapkan kata sayang selepas menonton filem ini kerana aku merasakan sebaliknya. Bagi aku secara peribadi jalan cerita filem ini boleh menjadi bertambah menarik jika setiap plot ceritanya lebih diperincikan dan pemilihan watak - watak itu sendiri seharusnya lebih tepat dan kena dengan karakternya.


Lisa Surihani Sebagai Elly


Paling mengecewakan aku apabila melihatkan tentang kelemahan perjalanan kisah kehidupan Elly yang cuba ditonjolkan sebagai seorang anak yang begitu membenci ayahnya iaitu Datuk Kudin gara - gara kecurangan Datuk Kudin sewaktu ibunya sakit dan meninggal. Elly tidak mahu dikaitkan dengan segala - galanya yang ada kena mengena dengan Datuk Kudin dan mengambil keputusan dengan menjual rojak buah serta keropok dihadapan tadika tempat Mia belajar namun mampu pula tinggal di sebuah rumah banglo yang besar. Adakah rumah banglo itu ialah pemberian daripada Datuk Kudin tetapi Elly sudah katakan sejak awal lagi dia tidak mahu Datuk Kudin mengganggu atau membantu hidupnya. Kalau betul Elly menyewa sekali pun rumah tersebut mampu pula si Elly nih membayar sewa rumah tersebut ditambah dengan perabot rumah yang lengkap dan tampak mahal? Memang kenyataan ini kelihatan remeh tetapi apabila kelihatannya kehidupan Elly nih terlalu senang maka ia memang membuatkan aku mula kurang selesa dengan perjalanan ceritanya yang tidak mengujakan aku sejak dari awal lagi.


Kisah Tentang Hubungan Di Antara Bapa Dan Anak


10 minit pertama sahaja aku merasakan babak di antara Baha dan datuk serta nenek Mia sangat membuang masa. Tiada unsur lucu walaupun aku tahu mereka cuba menjadikan adegan itu kelakar. Kesimpulannya, 10 minit pertama yang tidak membawa apa - apa erti dan merugikan filem ini sendiri. Mungkin juga filem ini cuba menjerat emosi penonton dengan menonjolkan bagaimana kesusahan yang dialami Baha sehingga menunjukkan bagaimana Baha dan Mia terpaksa tinggal dan bermalam di taman permainan berhari - hari kerana Baha telah dihalau dari rumah sewanya atas sebab tidak mampu membayar sewa gara - gara tiada pekerjaan pada ketika itu. Tetapi, bagi aku babak tersebut jika bijak dimanfaatkan sebenarnya mampu memberi nilai sentimental yang tinggi namun mahu pun watak Baha atau watak Mia sendiri sememangnya kurang menjiwai watak tersebut terutamanya Mia. Mungkin Mia Sara Nasuha pelakon kanak - kanak yang dikenali oleh ramai orang kerana kepetahan dan kecomelannya tetapi aku terpaksa akui tahap Mia untuk menjiwai dan meluahkan emosi kesedihan masih gagal dan perlu banyak lagi dilakukan untuk menjadikannya seorang pelakon kanak - kanak yang lebih bagus. Contoh terdekat apabila melibatkan watak Mia yang menangis atau merengek - rengek yang jelas kelihatan dibuat - buat dan ini tidak membantu  memberi kekuatan pada filem ini.


Mia Sara Nasuha Dalam Satu Babak Sedih Filem Ini


Apa yang lebih mengecewakan lagi ialah apabila karakter Elly yang pada awalnya ditunjukkan begitu kering hati dan sukar untuk memaafkan tetapi dengan terlampau mudahnya dapat menerima cinta Baha dan dengan terlalu mudahnya dapat memaafkan kesalahan Datuk Kudin tanpa perlu kedua - dua watak ini bersusah payah untuk mendapatkan cinta dan kemaafannya. Inilah kelemahan yang jelas kelihatan yang dapat aku lihat melalui pemerhatian aku terhadap filem ini. Tidak termasuk lagi dengan pelakon - pelakon pembantunya yang tiba - tiba muncul yang kononnya untuk menimbulkan unsur humor di dalam beberapa adegan filem ini tetapi tidak menjadi. Paling melucukan ialah baju Mia yang sentiasa kemas dan tidak berkedut walaupun susah berhari - hari tidur di padang permainan bersama Baha.


Salah Satu Adegan Filem Papa I Love U


Memang ada beberapa kritikan disini yang kelihatan remeh tetapi bagi aku ia penting kerana filem ini sendiri cuba untuk bermain dengan emosi melalui adegan - adegan tersebut tetapi adegan - adegan itu lah sebenarnya yang membogelkan kesalahan nyata filem ini tanpa berselindung. Filem ini ada kisahnya! Ada objektifnya! Aku nampak semua itu namun jalan ceritanya memang lemah dan tidak mengujakan aku! Filem ini akan menjadi menarik jika filem ini lebih memfokuskan pada kekuatan setiap babak yang melibatkan 4 watak utama filem ini tanpa perlu adegan - adegan komedi yang langsung tidak melucukan itu. Sekian!


P/S : Sayangilah Keluarga Anda! (^_^)Y


2 comments:

  1. cite ni...merosakkan imej industri filem...haha...dan tatau camne leh jadi filem...another crap from MIG..haha..

    ReplyDelete
  2. Dengar gak orang cakap citer ni kurang menarik.

    Tak penah layan lagi la, tp kalau dah tak best taknak layan la ;)

    ReplyDelete