Review Filem Sarkar
Posted by BG Design
Filem:
Sarkar
Pengarah:
A. R. Murugadoss
Genre:
Aksi, Drama & Ngeri
Pelakon:
Vijay, Keerthy Suresh, Varalaxmi Sarathkumar, Yogi Babu,
Radha Ravi, Roger Julian Cross, Tulasi, Pala Karuppaiah & Etc.
Radha Ravi, Roger Julian Cross, Tulasi, Pala Karuppaiah & Etc.
Penilaian:
5/10
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang ahli korporat yang digeruni bernama Sundar yang pulang ke negaranya dari Amerika untuk membuang undi sempena pilihan raya di India. Bagaimanapun, dia mendapati undinya telah dibuang oleh orang lain tanpa pengetahuannya. Atas rasa marah, Sundar mengambil tindakan drastik untuk mengubah senario dunia politik di negaranya. Ini membuatkan Sundar mula mendapat ancaman daripada pihak lawannya dalam arena politik. Berjayakah Sundar mengubah keputusan pilihan raya dalam masa yang singkat? Saksikan filem yang penuh dengan aksi yang dramatik ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan Hans:
Seperti yang dijanjikan kali ini aku akan berkongsi ulasan tentang sebuah filem aksi Tamil yang berjudul Sarkar yang telah aku tonton di GSC IOI City Mall Putrajaya pada tanggal 10 November 2018 yang lepas. Menonton filem ini mengingatkan aku kepada filem tempatan berjudul Rise: Ini Kalilah yang gagal mendapat sambutan penonton tempatan sendiri kerana kutipan untuk filem tersebut tidak sampai pun RM60,000. Isi utama kedua-dua filem ini adalah sama iaitu berkaitan dengan pilihan raya serta sistem pilihan raya yang diamalkan. Namun, filem Sarkar bernasib baik kerana jalan ceritanya jauh lebih baik dan mempunyai objektif yang jelas berbanding filem Rise: Ini Kalilah.
Mempertaruhkan pelakon yang berbakat dan terkenal iaitu Vijay, filem ini cuba memancing penonton untuk datang ke pawagam bagi menonton Sarkar yang bermaksud Kerajaan. Niat filem ini sama murni seperti mana filem Rise: Ini Kalilah untuk mendidik penonton tentang betapa pentingnya mengundi, betapa bermaknanya kuasa mengundi dan betapa pentingnya nilai satu undi tersebut. Namun, Sarkar melangkau jauh berbanding Rise: Ini Kalilah apabila filem ini berjaya memberitahu betapa pentingnya nilai satu undi tersebut dan kenapa pengundi hantu itu sangat hina dan perlu dibanteras habis-habisan.
Jalan cerita filem Sarkar ini sebenarnya berada di dalam kategori sederhana. Emosinya ada. Babak aksi berlawan pula agak kurang mungkin disebabkan filem ini lebih memberi fokus kepada gerakan politik. Namun, fokusnya terhadap politik agak berlebihan sehingga filem ini kelihatan seperti terlalu ingin mendidik penonton tentang pilihan raya itu sendiri. Nasib, filem ini berjaya diselamatkan apabila jalan ceritanya berjaya memberi penekanan yang agak baik tentang bahana nilai kuasa politik dimana manusia sanggup melakukan segala-galanya demi mengekalkan kuasa sehingga sanggup membunuh darah daging sendiri.
Antara kelemahan ketara yang dapat dilihat di dalam filem ini ialah berkaitan perkembangan kisah watak utamanya iaitu Sundar yang dicanang-canang sebagai seorang penjenayah korporat yang sangat berbahaya pada peringkat awal filem ini bermula. Sundar dikatakan mampu memusnahkan mana-mana sahaja syarikat besar yang ingin dimusnahkan sehinggakan ada satu dialog yang menyatakan Sundar dilarang memasuki tiga buah negara kerana risau Sundar akan mengancam ekonomi negara tersebut. Watak Sundar ini juga dimomokkan lagi dengan satu dialog daripada seorang pekerja wanita yang baru mengkaji tentang identiti Sundar dengan menyatakan lelaki ini seorang yang kacak tetapi dia sebenarnya kaki perempuan. Tetapi, dua perkara yang disebutkan ini kelihatan seperti sebuah khabar angin kerana tiada kesinambungan dengan babak-babak selepas itu. Aku tidak nampak dimana kehebatan Sundar di dalam membuatkan syarikat-syarikat besar musnah kerana tidak ada babak yang dipertontonkan yang menunjukkan Sundar mudah memusnahkan parti politik kerajaan. Berkaitan dengan kaki perempuan pula memang sejak daripada awal lagi tidak nampak langsung watak Sundar ini bermain mata dengan mana-mana perempuan selain daripada hanya setia dengan seorang watak wanita bernama Lila di dalam filem ini. Serius perkembangan watak dan kesinambungan kisah untuk watak Sundar ini sangat lemah dan tidak jelas langsung.
Apa yang lebih mengecewakan disini ialah watak utama yang juga merupakan hero agung di dalam filem ini iaitu Sundar divisualkan terlebih hebat daripada kebiasaan filem-filem Kollywood yang lain. Watak Sundar ini sentiasa berada 100 kilometer daripada watak-watak antagonis yang lain. Sangat berbeza di dalam filem-filem Tamil yang lain dimana aksi dramatik pasti tidak akan diabaikan namun filem Sarkar pula telah mengabaikan hal ini dengan begitu yakin sekali. Tetapi, sayang seribu kali sayang kerana hal ini menyebabkan filem Sarkar telah kehilangan aura wajib yang selalu dinanti-nantikan oleh peminat filem aksi Tamil iaitu kepercayaan bahawa watak utama yakni hero wajib berdepan halangan dan cabaran yang menunjukkan watak ini pasti akan gagal dan berputus asa dengan misi yang diterimanya. Sundar di dalam filem ini langsung tidak mampu dicabar oleh sesiapa. Jadi, keseronokan menonton filem Sarkar ini sedikit sebanyak hilang kerana anda sudah tahu wira anda ini pasti akan menang dan berjaya di penghujung cerita.
Hanya ada satu babak Sundar teruk dibelasah di dalam sebuah lori polis namun tidak lah selama mana. Selebihnya, semua babak aksi pergaduhan melibatkan Sundar akan memihak kepada watak ini sahaja. Memang aksi dramatik di dalam filem ini sangat kurang. Jadi, apabila berbalik kepada permulaan awal filem ini dimana Sundar ditemani oleh ramai pengawal peribadi yang sentiasa mengawal keselamatannya kemana-mana sahaja dia pergi, aku terus terfikir apakah sebenarnya yang cuba disampaikan oleh pengarah dan penulis skrip filem ini? Memang tidak dinafikan kebanyakan filem Tamil pasti akan mempotretkan hero utamanya seorang yang sangat gagah bertarung tetapi hal ini gagal untuk filem Sarkar. Jika Sundar sentiasa 100 kilometer di hadapan penjenayah, maka kewujudan awal pengawal-pengawal peribadinya yang ramai itu sebenarnya untuk memberitahu apa? Serius kelemahan jalan cerita yang begitu jelas kelihatan.
Kemudian, satu lagi kelemahan plot cerita yang dapat dilihat sewaktu Sundar melawat sebuah kawasan yang merupakan tempat pertamanya berkempen untuk meraih undi penduduk di kawasan tersebut. Pada awalnya kelihatan menarik kerana penduduk tempatan cuba mempermainkan Sundar dengan memberi soalan-soalan yang kelihatan seperti memperli dan menghina Sundar. Ditambah pula apabila ada penduduk yang membaling tomato kepada Sundar menjadikan babak ini kelihatan begitu mendebarkan. Namun, Sundar hanya membuka mulut dan mula bercerita tentang kisah hidup keluarganya sebagai nelayan. Tiba-tiba semua penduduk sekitar terdiam, menundukkan kepala dan semuanya terus menyokong Sundar tanpa ada apa-apa provokasi lagi. Mudahnya pengarah menamatkan sengketa babak ini dan aku menganggap ini adalah sebuah tindakan yang malas dan menjatuhkan reputasi filem Sarkar ini.
Walau bagaimanapun, filem ini tidak lah seperti Rise: Ini Kalilah yang sememangnya tiada arah tuju yang tetap. Filem Sarkar masih berbaloi dan menarik untuk ditonton di pawagam kerana:
1) Plot cerita ini berjaya menekankan kepentingan undi serta kuasa pengundi dengan agak baik walaupun adakalanya kelihatan seperti kita sedang berada di dewan kuliah dan mendengar penerangan daripada pensyarah. Walaupun begitu, mesej dapat diterima dengan jelas dan baik.
2) Walaupun babak aksi di dalam filem Sarkar ini tidak sebanyak filem-filem aksi Tamil yang lain, namun gaya dan identiti Vijay di dalam babak pergaduhan memang sangat menarik dan mengagumkan. Pergerakan kamera, gred warna dan ketajaman visual gambarnya memang sangat memukau.
3) Kisah politik di dalam ini berjaya divisualkan dari segi nilai positif dan negatifnya dengan cukup baik melalui aspek kuasa, kekeluargaan, tanggungjawab dan integriti. Satu perkara yang berjaya disatukan dengan kemas dan hal ini gagal dilakukan di dalam filem Rise: Ini Kalilah.
4) Varalaxmi Sarathkumar yang memegang watak antagonis pasti akan membuatkan anda menyumpah kejahatan yang dilakukannya di dalam filem ini. Kalau nak tahu kenapa sampai disumpah itu kena lah tengok filem ini untuk mengetahui sebabnya.
4) Varalaxmi Sarathkumar yang memegang watak antagonis pasti akan membuatkan anda menyumpah kejahatan yang dilakukannya di dalam filem ini. Kalau nak tahu kenapa sampai disumpah itu kena lah tengok filem ini untuk mengetahui sebabnya.
Jadi, selamat menonton filem Sarkar di pawagam berhampiran dan jangan lupa kongsikan komen serta pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!
P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Kantonis Berjudul Keyboard Warriors Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan!
0 comments: