Thursday, 8 November 2018

Review Filem Overlord

Posted by BG Design


Filem:
Overlord

Pengarah:
Julius Avery

Genre:
Aksi & Seram

Pelakon:
Jovan Adepo, Wyatt Russell, Mathilde Ollivier, Pilou Asbaek,
John Magaro, Iain De Caestecker, Jacob Anderson & Etc.

Penilaian:
8/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan sekumpulan askar payung terjun AS yang membawa misi kritikal untuk kejayaan penjajahan bersekutu. Tetapi, mereka kemudian menyedari bahawa tentera Nazi bukan satu-satunya masalah mereka. Pihak Nazi juga menjalankan eksperimen terhadap tentera Nazi dengan mencipta kuasa luar biasa yang kini digunakan untuk menentang tentera AS dan rakan tentera yang bersekutu. Saksikan filem yang cukup mendebarkan ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah setelah dua minggu melupakan segala filem-filem yang menjengah pawagam kerana menyelesaikan urusan yang lebih penting maka akhirnya aku berkesempatan menonton filem seterusnya yang sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia iaitu filem Overlord di TGV Cinemas The Mines pada tanggal 7 November 2018 yang lepas. Menonton filem ini seperti melihat kombinasi lima kisah yang dijadikan sebuah filem dengan memasukkan elemen, latar serta kisah-kisah berkaitan perang dunia kedua, Zombie, tentera Nazi, Hitler dan tentera Amerika Syarikat sebagai hero penyelamat dunia. Walaupun kesemua perkara ini sememangnya merupakan sesuatu yang sangat klise di dalam filem sebegini namun ada banyak faktor yang menjadikan filem Overlord ini sangat menarik untuk ditonton dan membuatkan anda rasa berbaloi menikmatinya di dalam panggung wayang.


Filem ini bermula dengan sangat bijak apabila momentum babaknya dimulakan dengan latar waktu serta keadaan yang sangat genting melalui keadaan askar payung terjun Amerika yang berada di dalam pesawat di dalam misi untuk meletupkan menara pemancar yang berada di atas gereja. Babak ini sangat menarik kerana walaupun ia bergerak di dalam keadaan yang sangat tegang dan cukup mendebarkan dengan serangan tentera musuh yang bertali arus, namun ia mampu membuatkan penonton untuk mengenali watak-watak utama di dalam filem ini dengan sangat mudah dan jelas. Perwatakan watak-watak utama serta pembantunya seperti Boyce, Ford, Tibbet, Chase, Dawson dan Rosenfeld menjadi begitu dekat di fikiran anda walaupun ada baru menonton mereka pada permulaan cerita. Dekat disini ialah anda boleh memahami dengan mudah tentang personaliti, sikap, misi dan siapakah sebenarnya setiap watak ini yang bersembunyi di sebalik sebuah pakaian seragam tentera Amerika Syarikat. Perkara pembinaan watak ini yang sebenarnya selalu sangat terlepas pandang di dalam banyak filem-filem tempatan serta filem luar yang lain.


Plot filem ini pula berkembang kepada beberapa orang askar yang terselamat selepas membuat terjunan dengan mempertemukan mereka di dalam pelbagai suasana mengikut urutan yang cukup baik sehingga babak mereka bertemu seorang wanita tempatan bernama Chloe. Bermula daripada babak inilah yang membuatkan pasukan askar ini boleh berada dekat dengan gereja merupakan kawasan misi mereka ditugaskan. Namun, momentum plot disini bergerak sedikit perlahan kerana penonton cuba diperkenalkan dengan ahli keluarga Chloe serta Wafner, ketua tentera musuh yang merupakan watak antagonis utama filem ini.


Namun, Overlord kembali berada di landasan yang sepatutnya apabila watak Boyce berjaya menemui sebuah makmal rahsia yang berjaya dipertontonkan dengan sinematografi yang menarik serta kesan khas yang sangat meyakinkan untuk membuatkan anda berasa terkejut, berdebar serta loya melihat bagaimana proses zombie-zombie ini dihasilkan serta bertindak balas di dalam keadaan yang sangat ngeri. Serius babak ini sangat penting dan membuatkan perjalanan filem ini menjadi lebih menarik kerana pelbagai persoalan dan tanda tanya mula timbul apabila babak ini muncul.


Zombie di dalam filem ini berjaya divisualkan dalam keadaan yang sangat baru buat aku. Hasilnya berjaya pada pandangan aku kerana tindak balas zombie ini berjaya menaikkan tahap adrenalin sesiapa sahaja yang sedang menonton babak-babak yang melibatkan kemunculan zombie-zombie ini. Seperti biasa babak ini juga pastinya dipenuhi dengan pelbagai aksi ganas serta percikan darah tetapi ia membantu menjadikan filem Overlord ini berjaya daripada sudut pandang tersebut. Dari sudut logik filem, babak-babak di dalam filem ini berjaya berhubung kait dan membantu mengelakkan daripada terjadinya banyak kelompongan pada plot cerita. Ini menjadikan filem ini dapat bergerak dengan cukup baik dan membawa tema, kisah serta misi yang jelas tanpa perlu terlalu banyak dipersoalkan. Anda pasti akan memahami dan mendapatkan segala jenis jawapan bagi setiap persoalan yang timbul di dalam filem ini terutamanya berkaitan eksperimen zombie, sikap dan karakter watak-watak utama iaitu Boyce, Ford dan Chloe serta jawapan untuk babak akhir filem ini yang semuanya berjaya disampaikan dengan cukup teratur dan kemas.


Melihat kepada lakonan setiap pelakonnya, aku boleh katakan kesemua pelakon tidak kira yang utama mahu pun pembantu berjaya diberikan ruang dan peranan yang secukupnya untuk menonjol. Setiap watak berjaya difahami dengan cukup baik dan membantu menggerakan jalan cerita dengan cukup cemerlang. Seperti Jovan Adepo yang berjaya menghidupkan watak Boyce yang penuh dengan sikap setiakawan serta kekeluargaan yang kuat dengan cukup meyakinkan. Begitu juga dengan Wyatt Russell yang berjaya membawa watak Ford dengan penuh bergaya disebalik ketegasan hatinya yang cukup kering. Mathilde Ollivier yang membawa watak sebagai gadis tempatan bernama Chloe juga wajar dipuji kerana ketangkasannya beraksi dan dalam masa yang sama berjaya membawa pelbagai emosi yang sampai kepada penonton. Paling menarik semestinya watak antagonis yang berjaya dilakonkan dengan cukup kejam dan sangat sesuai dengan susuk tubuh Pilou Asbaek yang berjaya menonjolkan sisi kiri di dalam filem ini dengan cukup berkesan. Selain itu juga, filem ini berjaya mengangkat watak-watak pembantu serta watak tambahan untuk sama-sama berjaya diangkat sebagai wira untuk filem ini. 


Walaupun hakikatnya adalah sangat mustahil, klise dan stereotaip untuk menonton wira-wira Amerika yang tidak lebih daripada sepuluh orang ini untuk berjaya memusnahkan tentera Nazi serta zombie-zombie yang ganas di kawasan musuh namun plot cerita serta perkembangan watak yang diolah dan digabungkan dengan sangat cemerlang ini berjaya meyakinkan anda bahawa mereka sememangnya layak dan berkebolehan untuk menjadi wira di dalam filem ini. Sememangnya ini merupakan sebuah filem berlatar belakangkan kisah perang dan aksi yang menarik untuk ditonton. 


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Overlord pada bulan November ini:

1) Sebuah filem perang yang cukup menarik kerana momentum ceritanya bergerak pantas dan dipenuhi aksi-aksi tembakan serta serangan zombie yang cukup untuk membuat anda berdebar dan penuh dengan rasa teruja. Anda pasti terkesima melihat babak-babak beberapa manusia yang berubah menjadi zombie dengan keadaan yang cukup mengerikan dimana tulang-tulang dari dalam badan terkeluar melalui visual yang sangat meyakinkan. 

2) Elemen-elemen kemanusiaan, kekeluargaan dan mesej keamanan dunia berjaya disampaikan dengan baik. Propaganda kebaikan Amerika Syarikat di dalam menyelamatkan dunia juga berjaya dipertontonkan dengan lebih bermaruah lagi melalui babak akhir di dalam filem ini yang dibawakan oleh watak Boyce dan Ford. Kalau nak tahu kena tonton filem ini

3) Solekan dan kesan khas Zombie di dalam filem ini amat mengagumkan dan mengerikan. Sangat sesuai untuk anda yang meminati zombie kerana elemen ini juga menjadi antara tunjang utama di dalam filem Overlord ini.

4) Jalan cerita yang mudah difahami dan berjaya membantu penonton untuk lebih senang mengenali setiap watak-watak yang muncul di dalam filem ini. 


Akhir kata, selamat menonton filem Overlord di pawagam berhampiran anda dan nikmati keterujaan mendengar bunyi kipas pesawat, tembakan peluru, jeritan zombie serta aksi-aksi pergaduhan yang sangat mantap. Jangan lupa kongsikan pandangan atau komen anda berkenaan filem ini di ruangan bawah. Sekian! 

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Tempatan Iaitu Operasi X Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 

2 comments:

  1. Welcome back!! Memang ternanti2 review dr Hans. TQ

    ReplyDelete
    Replies
    1. wah
      ini rasa bersemangat ini bila ada yang menanti ulasan saya nih
      hehehe...
      nantikan banyak lagi ulasan filem daripada blog ini

      Delete