Tuesday, 13 November 2018

Review Filem The Hate U Give

Posted by BG Design


Filem:
The Hate U Give

Pengarah:
George Tillman Jr.

Genre:
Jenayah & Drama

Pelakon:
Amandla Stenberg, Regina Hall, Russel Hornsby, KJ Apa.
Anthony Mackie, Issa Rae, Common, Algee Smith, Sabrina Carpenter & Etc.

Penilaian:
6/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Starr Carter yang tinggal di kejiranan miskin yang majoritinya adalah penduduk kulit hitam tetapi belajar di sekolah yang majoritinya kulit putih. Satu hari dia telah menyaksikan rakan baiknya ditembak mati oleh seorang anggota polis. Starr berdepan tekanan daripada komuniti dan dia perlu mencari kekuatan untuk bersuara dan menegakkan kebenaran. Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan Hans:


Alhamdulillah, aku terpilih untuk menonton filem The Hate U Give pada Tayangan Premier filem ini yang dianjurkan oleh Sensasi Selebriti (www.budiey.com) yang berlangsung di GSC 1 Utama pada tanggal 12 November 2018 yang lepas. Terima kasih kepada memberikan Hans dua tiket wayang.  


Filem The Hate U Give ini diadaptasi daripada sebuah novel yang laris dengan tajuk yang sama yang ditulis oleh Angie Thomas. Permulaan filem ini menunjukkan dua jenis kehidupan berbeza yang dilalui oleh watak utama filem ini iaitu Starr Carter dimana permulaannya Starr membesar di sebuah kawasan kejiranan komuniti kulit hitam di Garden Heights. Namun, ibu bapanya ingin melihat anak-anak mereka mempunyai kehidupan yang lebih baik dan akhirnya mereka berpindah sekolah ke sebuah sekolah swasta bernama Williamson Prep yang didominasi oleh golongan kulit putih yang kaya. Di sekolah tersebut, Starr berjaya bergaul dengan pelajar kulit putih yang lain dimana dia bercakap tanpa menggunakan slang kaum kulit hitam dan sentiasa memastikan dirinya tersenyum supaya dirinya dapat diterima oleh pelajar-pelajar disitu sehinggakan seorang pelajar lelaki kulit putih yang digilai ramai boleh jatuh cinta dengan Starr. Namun, plot penceritaan awal filem ini bergerak sangat perlahan dan sedikit membosankan sebelum ia perlahan-lahan kembali menarik perhatian sewaktu babak Starr bertemu rakan lama yang juga merupakan bekas kekasihnya iaitu Khalil.


Aku sukakan babak pertemuan ini kerana disini penderitaan golongan kulit hitam mulai dipertontonkan dengan lebih jelas apabila penceritaan memberitahu tentang Khalil yang menjual dadah kepada King Lords semata-mata untuk mendapatkan wang bagi menjaga neneknya yang mengidap kanser. Ini ialah persoalan awal kenapa golongan kulit hitam ini boleh terlibat di dalam perbuatan-perbuatan jenayah sebegini. Dan ia kemudian disusuli pula dengan kejadian Khalil mati ditembak pegawai polis berkulit putih yang menyangka Khalil menarik keluar senjata api sedangkan Khalil hanya menarik keluar berus rambut sahaja daripada kereta. Sebelum itu lagi Khalil dilayan begitu kasar oleh pegawai polis tersebut. Disinilah tajuk filem ini iaitu The Hate U Give memainkan peranan yang sangat besar di dalam menunjukkan jenis-jenis kebencian serta sikap rasis yang diterima oleh golongan kulit hitam ini sehingga melahirkan samseng @ THUG (The Hate U Give). 


Mesej yang diutarakan di dalam filem ini sangat berani iaitu tentang perkauman dan rasis. Lebih menarik apabila ia bukan sekadar menyampaikan isi hati serta suara komuniti golongan kulit hitam Amerika semata-mata tetapi ia juga menyampaikan suara komuniti golongan kulit putih sama ada dari sisi negatif mahu pun positif melalui setiap watak yang wujud di dalam filem ini. Dan cara ianya disampaikan melalui olahan dialog yang sangat bertenaga, berani serta begitu bersahaja yang menjadikan perjalanan cerita filem ini mulai menarik untuk ditonotn bermula pada pertengahan cerita sehingga kepada pengakhiran filem ini.



Aku sangat tertarik dengan keberanian suara filem ini yang berani mengkritik dan memaparkan sikap rasis, kekejaman dan keganasan polis terhadap komuniti kulit hitam Amerika ini. Lebih menakjubkan ialah filem ini sememangnya memukul rasa kesemua anggota polis tidak kira mereka itu berkulit putih mahu pun daripada keturunan kulit hitam sendiri. Dan satu babak yang cukup gah bagi aku di dalam filem ini apabila Starr menyoal pakcik saudaranya yang merupakan seorang anggota polis tentang apa yang dia akan lakukan jika bertemu dengan lelaki kulit putih dan lelaki kulit hitam di dalam situasi jenayah yang sama. Paling mengejutkan jawapan yang diberikan oleh pakcik saudaranya sangat diluar jangkaan tetapi ini ialah realiti sebenar yang filem ini cuba tonjolkan kepada dunia bagaimana warga kulit hitam disana dipandang dan dilayan oleh pihak berkuasa. Satu perkara menarik untuk dilihat bagaimana orang kulit hitam sendiri tergamak untuk bersikap prejudis dan stereotaip dengan bangsanya sendiri dan aku melihat filem ini sangat bijak di dalam mengutarakan permasalahan ini kerana ia tidak berat kepada satu pihak saya tetapi menghentam kesemua yang terlibat di dalam permasalahan masyarakat kulit hitam disana.



Satu babak lagi yang sangat menarik perhatian aku ialah sewaktu perbualan yang mencetuskan pertengkaran dan pergaduhan di antara Starr dan rakan kulit putihnya iaitu Hailey berkenaan berus sikat rambut yang dipegang oleh Khalil sewaktu kejadian tembakan tersebut. Dapat dilihat disitu bagaimana Hailey sebagai seorang kulit putih begitu rasis dengan masyarakat kulit hitam dan dialog yang diungkapkan kedua-dua watak ini semasa perdebatan sesama mereka itu sangat menarik, panas dan begitu memberi kesan kepada plot cerita ini. Aku tertarik disini kerana tiga sebab dimana pertama Hailey mengatakan Starr lain daripada masyarakat kulit Hitam yang lain. Manakala Starr pula tetap percaya maruah komuniti kulit hitam jika dicalar sama seperti mencalarkan maruahnya. Ketiga yang lebih menarik ialah bagaimana perbandingan dibuat apabila berita-berita media disana menjual kebaikan yang dilakukan oleh polis berkulit putih yang terlibat di dalam menembak Khalil untuk meraih simpati masyarakat tetapi situasinya berbeza jika polis tersebut berkulit hitam. Serius aku cukup sukakan keberanian filem ini.


Walaupun filem ini membawakan kisah serta isu-isu yang berat namun plot cerita ini berjaya dikembangkan dengan baik dan dimasukkan sedikit elemen humor untuk merehatkan minda penonton. Seperti watak Maverick yang merupakan ayah Starr sebenarnya merupakan bekas anggota geng King Lords namun sudah cuci tangan dan memilih kehidupan yang lebih baik dengan membenarkan anak-anaknya bersekolah dan berada bersama-sama dengan golongan putih. Namun, dalam masa yang sama Maverick tetap berpegang kuat dengan identiti masyarakat kulit hitamnya dan tidak lupa untuk sentiasa menerapkan hal ini kepada ketiga-tiga orang anaknya termasuk Starr. Namun, babak yang paling melucukan apabila pertemuan Maverick dengan Chris, kekasih Starr yang berkulit putih yang sangat menghiburkan dan berjaya menunjukkan bagaimana pula pandangan golongan kulit hitam terhadap kulit putih dalam cara yang sangat kreatif. Hal ini juga lebih menarik apabila ia disokong dengan sebuah dialog yang sangat menarik dan kreatif yang diungkapkan oleh Starr kepada Chris berhubungn pandangannya tentang sikap golongan putih kepada kulit hitam melalui sebuah dialog "If you don't see color, you don't see me." Bagi aku, filem ini sangat jujur mengutarakan permasalahan yang melanda warga kulit hitam di Amerika.


Walaupun permulaan filem The Hate U Give ini bergerak agak perlahan dan membuatkan aku berasa sedikit bosan tetapi babak pertengahan sehingga akhirnya membuatkan aku teruja untuk melihat bagaimana seorang anak muda yang sebelum ini terlalu takut untuk bersuara berjaya menggegarkan fahaman rasis masyarakat kulit putih serta kulit hitam yang berada di sekeliling kehidupannya. Sebuah filem yang berani bersuara, jujur dan berjaya menyampaikan perjuangan dan hak orang kulit hitam Amerika dengan cara yang bijak dan terpelajar.


Jadi, aku ucapkan selamat menonton filem The Hate U GIVE di pawagam berhampiran dan jangan lupa kongsikan komen serta pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Seterusnya Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Dinanti Ramai Iaitu Polis Evo 2 Yang Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 

0 comments: