Sunday, 11 November 2018

Review Filem Keyboard Warriors

Posted by BG Design


Filem:
Keyboard Warriors

Pengarah:
Sit Ho Ching

Genre:
Komedi, Aksi & Jenayah

Pelakon:
Stephy Tang, Grace Chan, Yiu-Sing Lam, Yau Hawk Sau & Etc.

Penilaian:
5/10


Tarikh Tayangan:
15 November 2018

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Jay Kwan dan rakannya, Ang Ray yang menyaksikan satu insiden pelik dimana sebuah beg berisi wang telah jatuh dari sebuah kenderaan berperisai di tengah-tengah jalan yang sesak. Kejadian ini sudah tentu menyebabkan orang ramai berebut-rebut untuk mengambil wang tersebut. Ini menyebabkan mereka berdua mempunyai rasa ingin tahu yang terlampau kuat untuk menyiasat dan mengetahui punca sebenar kejadian tersebut berlaku. Mereka berdua yang sememangnya terkenal di dalam kalangan pengguna media sosial di lama Golden Forum telah meminta bantuan sesiapa yang berminat untuk menyertai 'Search Team' yang ditubuhkan oleh mereka untuk menyiasat lebih lanjut tentang kes tersebut. Seorang polis wanita, Nancy O yang berada di tempat kejadian meminta mereka berhenti menyiasat namun Jay Kwan dan Ang Ray masih tetap berkeras untuk meneruskan misi tersebut. Akhirnya mereka berjaya membongkarkan misteri disebalik kejadian tersebut dan hasil penemuan mereka memang amat mengejutkan. Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah pada 9 November 2018 yang lepas, aku sekali lagi mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan ekslusif sebuah filem Kantonis berjudul Keyboard Warriors yang diadakan di TGV Cinemas One Utama. Menonton trailer filem ini membuatkan rasa ingin tahu siapakah sebenarnya dalang disebalik kejadian duit bertaburan di atas jalan raya seperti mana yang boleh dilihat di dalam sedutan babak filem tersebut.


Permulaan filem ini bergerak baik dimana plot ceritanya bijak diolah untuk mengelirukan penonton tentang punca sebenar dan siapakah pihak yang terlibat di dalam menyebabkan wang-wang ini bertaburan keluar daripada kenderaan pengawal keselamatan. Lebih menarik apabila wang-wang yang telah diambil oleh orang awam perlu dikumpulkan semula dan disinilah misi Search Team adalah untuk membantu pihak polis mendapatkan kembali kesemua wang yang telah dicuri oleh orang awam mula bergerak dengan lancar. Kejutan mula berlaku apabila pihak yang menjadi dalang sebenar kejadian ini adalah orang yang mereka kenal dan bekerja di dalam sektor yang membuatkan orang akan terkejut apabila mendengar bahawa pihak ini melakukan jenayah tersebut. Namun, aku merasakan filem ini terlampau cepat mendedahkan watak hitam ini dan ini menjadikan pertengahan filem agak membosankan kerana segala rahsia-rahsia yang sepatutnya dipertahankan daripada pengetahuan penonton telah dibongkarkan habis-habisan.


Namun watak Jay Kwan dan Ang Ray berjaya menyelamatkan filem ini kerana mereka berdua adalah pencetus humor di dalam keseluruhan filem ini. Babak-babak lucu dengan memasukkan sedikit elemen anime berkenaan Naruto, elemen seksual yang tidak keterlaluan serta gaya pergerakan tubuh budak skema berjaya menghiburkan penonton secara sederhana. Momentum cerita filem ini adakalanya bergerak agak pantas apabila melibatkan babak aksi dan bergerak sederhana apabila melibatkan babak melodrama. Jadi, secara tidak langsung fokus penonton terhadap penceritaan filem ini berjaya dikekalkan dengan baik.


Filem Keyboard Warriors ini secara keseluruhannya membawakan mesej yang agak baik dan positif berkenaan Wira Papan Kekunci yang sering kali dipandang negatif ramai pihak. Di dalam filem ini, mereka-mereka yang berada di sebalik laman sosial ini cuba untuk melakukan sesuatu yang berguna kepada diri mereka, keluarga serta negara secara am nya. Elemen kekeluargaan juga berjaya diterapkan dengan baik dimana jika setiap ahli keluarga berjaya dididik di dalam suasana yang positif maka hasilnya juga akan positif buat kesemua ahli keluarga tersebut. Ini menjadikan filem ini sesuai ditonton bukan sekadar sebagai hiburan untuk anda menikmati komedi serta aksinya sahaja tetapi pada masa yang sama juga sesuai dijadikan sebagai pengajaran buat anda.


Jadi, selamat menonton filem Keyboard Warriors dan nikmati elemen komedi serta kejutannya bersama rakan-rakan dan keluarga anda di pawagam berdekatan bermula 15 November ini. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Akan Menemui Anda Ialah Filem The Hate U Give. Nantikan! 

0 comments: