Wednesday, 17 October 2018

Review Filem Malicious

Posted by BG Design


Filem:
Malicious

Pengarah & Penulis:
Michael Winnick

Genre:
Seram

Pelakon:
Bojana Novakovic, Josh Stewart, Delroy Lindo, Melissa Bolona,
Yvette Yates, Jaqueline Fleming, Luke Edwards, Ben VanderMey & Etc.

Penilaian:
4/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan pasangan suami isteri iaitu Adam, seorang profesor kolej yang muda dan Lisa yang kini sedang hamil anak sulung mereka. Mereka berpindah ke sebuah rumah fakulti yang terletak di tempat kerja baru Adam. Mereka menerima sebuah kotak antik daripada adik Lisa sebagai hadiah. Adam cuba membuka kotak tersebut namun tidak berjaya. Pada suatu hari, Lisa berjaya membuka kotak antik tersebut dan tanpa mereka sedari terbukanya kotak tersebut bererti terlepaslah satu entiti jahat yang mempunyai niat yang sangat kejam iaitu untuk membunuh mereka berdua. Kehidupan Adam dan Lisa mula porak peranda selepas itu terutamanya selepas Lisa keguguran dan tidak mampu lagi mengandung. Hasil pertemuan mereka berdua dengan Dr. Clark yang merupakan seorang profesor parapsikologi telah berjaya merungkai punca masalah ini berlaku. Namun, mampukah mereka menghalang entiti tersebut daripada terus bermaharajalela merosakkan kehidupan mereka? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda untuk mendapatkan jawapannya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah aku terpilih untuk memenangi dua keping tiket filem Malicious selepas menyertai satu peraduan mudah di instagram yang dianjurkan oleh blogger Neyrashazeyra. Maka dapat lah aku menonton filem seram ini yang bertempat di GSC Mid Valley pada pukul 9 malam bertarikh 17 Oktober 2018. Ditakdirkan pula tiba-tiba tempat duduk aku yang tertera di tiket merupakan barisan kedua daripada depan skrin. Jadi, sememangnya agak mencemaskan buat aku pada permulaannya kerana risau filem ini mampu memberi kejutan seperti mana yang aku terima sewaktu menonton filem Beddua: The Curse sebelum ini. Sayangnya, filem ini gagal memberi impak buat aku sepanjang menonton filem yang berdurasi 1 jam 28 minit ini.


Filem ini cuba memberi satu metafora baru terhadap perkataan misteri, kejahatan dan makhluk halus dengan mengaitkan hal ini menggunakan ilmu matematik. Satu tambah satu tidak semestinya akan menjadi dua yang merupakan ayat 'wajibul qunnah'  di dalam filem ini dimana ayat ini begitu kerap diulang-ulang oleh para pelakonnya. Memang satu idea yang kelihatan menarik pada awalnya untuk mengguna pakai kaedah ini bagi menguji dan mengusik tahap psikologi para penonton. Namun, aku boleh nyatakan percubaan ini sememangnya gagal kerana frasa tersebut tidak berjaya meyakinkan penonton untuk bersetuju dengan hal ini. Penggunaan kotak antik lama sebagai punca pembawa bencana adalah satu kaedah kitar semula yang semakin tidak memberi erti kepada filem-filem sebegini. Cubaan untuk mempergunakan naluri seorang ibu yang menyayangi anaknya dengan memberi hak tersebut kepada makhluk syaitan juga gagal direalisasikan dengan sebaik mungkin .


Kegagalan filem ini dilihat semakin bertambah apabila kejahatan yang dipaparkan cuba memerangkap dan bergabung dengan jiwa seorang bayi yang masih belum lahir tetapi kisah bayi itu dicipta seakan-akan memahami segala-galanya tentang kehidupan ini. Ini menunjukkan struktur ceritanya bukan sekadar longgar tetapi adakalanya tidak dapat difahami sama ada melalui logik akal mahu pun di dalam bentuk imaginasi. Momen-momen menarik yang sepatutnya membuatkan penonton tidak senang duduk juga nampak gayanya gagal berakhir seperti yang diharapkan kerana segala-galanya sudah boleh diramal dengan mudah.


Secara peribadi, filem ini tidak membawa sebarang keunikan atau kelainan yang boleh dibanggakan atau disebut-sebut oleh penonton apatah lagi untuk diingati sebagai filem seram terbaik sepanjang tahun 2018. Walaupun aku cukup tertawan dengan latar muziknya yang berjaya membangkitkan suasana seram yang penuh misteri namun ternyata jalan cerita serta impak keseraman yang cuba ditimbulkan menemui jalan buntu. Cuma antara babak kesukaan aku di dalam filem ini apabila melibatkan cermin besar seperti gambar dibawah. Selain daripada itu, tiada apa sangat yang mampu membuatkan aku mengingati filem ini dalam tempoh yang lama.


Tidak salah untuk anda menonton kerana setiap individu mempunyai persepsi serta tahap keseraman yang berbeza antara satu sama lain. Apa yang aku tahu filem Malicious bukan sebuah filem seram yang aku cari. Mungkin filem ini sebenarnya mencari anda yang sedang membaca? Jadi, selamat menonton filem Malicious dan semoga filem ini menepati tahap piawaian seram yang anda tetapkan. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Gol Dan Gincu Vol.2 Akan Dikongsikan Selepas Selesai Menontonnya Pada Tayangan Perdana Yang Dijadualkan Pada Tarikh 17 Oktober 2018 Ini. Nantikan! 

2 comments:

  1. Ooowwwwhhhh...kurang keseraman ye... Ermmm...next filem la tonton.. Ni tengok kat Astro First je la nanti kalau keluar. hehehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. untuk saya tak seram lah...
      tak tahu lah orang lain
      hahaha

      Delete