Friday, 12 October 2018

Review Filem Andhadhun

Posted by BG Design


Filem:
Andhadhun

Pengarah:
Sriram Raghavan

Genre:
Romantik, Misteri & Ngeri

Pelakon (Suara):
Ayushmann Khurrana, Tabu, Radhika Apte, Anil Dhawan,
Manav Vij, Ashwini Kalsekar, , Chhaya Kadam, Zakir Hussain & Etc.

Penilaian:
9 / 10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Akash yang merupakan seorang pemain piano yang buta dan tinggal di sebuah daerah di India bernama Pune. Pengenalannya dengan seorang wanita bernama Sophie telah memberi peluang kepada Akash untuk bermain piano di Restoran Franco yang merupakan milik bapa Sophie. Kelunakan irama hasil sentuhan piano yang dimainkan Akash serta penampilannya yang bergaya berjaya menarik perhatian ramai pelanggan di restoran tersebut dan salah seorang yang sangat kagum dengan kehebatan Akash ialah Pramod Sinha yang merupakan bekas pelakon terkenal India. Pramod Sinha ingin melakukan kejutan ulang tahun perkahwinan istimewa buat isteri mudanya Simi yang sudah dinikahinya selama tiga tahun dengan menjemput Akash ke rumah mereka. Namun, kedatangan Akash ke rumah mereka telah membongkarkan beberapa rahsia besar yang mengubah sepenuhnya nasib hidup Akash. Akash kini dalam bahaya besar. Apakah sebenarnya yang terjadi sewaktu Akash berada di rumah Pramod Sinha? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.  .  

Ulasan Hans:

Filem Andhadhun ini dihasilkan oleh seorang pengarah yang merupakan peminat filem Alfred Hitchcock iaitu Sriram Raghavan yang mulai dikenali di India selepas kejayaan filem thriller arahannya pada tahun 2007 berjudul Johnny Gaddar. Kali ini Raghavan kembali tampil dengan filem Andhadhun yang mengambil inspirasi daripada sebuah filem pendek Perancis sekitar tahun 2010 yang berjudul L'Accordeur (The Piano Tuner) yang ditulis serta diarahkan oleh pengarah Oliver Treiner yang turut menerima pujian daripada para penonton dalam dan luar negara.


Berbalik kepada filem Andhadhun yang secara harfiah bererti 'melodi buta' atau di dalam bahasa pasarnya pula boleh diterjemahkan sebagai 'tidak sengaja atau membuta tuli' ini, pengarah bijak membuatkan penonton terpaku dengan naratif filemnya yang dimulakan dengan menggunakan 'metafora' babak seekor arnab yang buta sebelah matanya dan sedang diburu oleh pemilik kebun. Pada pandangan aku, permulaan babak ini sahaja sebenarnya telah menggambarkan dua watak utama yang penting di dalam filem ini iaitu Akash (sebagai arnab) dan Simi Sinha (sebagai pemburu) dimana dapat dilihat disini yang mempunyai banyak peluang dan kelebihan ialah Akash (Arnab) walaupun Simi (Pemburu) mempunyai senapang berisi peluru dan berpeluang untuk membunuhnya namun tidak berhati-hati dan sering tersilap langkah kerana kerap kali tergelincir di sebalik laluan ladang kobis tersebut. Semua ini berjaya disusun dengan teliti melalui penulisan skrip yang sangat bijak dan berkualiti.



Aku menyukai setiap watak-watak di dalam filem ini tidak kira ia watak utama, pembantu mahu pun tempelen sekali pun kerana semuanya dibina untuk saling berkait rapat dan membawa satu mesej utama yang wajar dipuji sebagai satu idea yang sangat hebat. Kesemua watak-watak ini dipertontonkan mempunyai pegangan 'mazhab' yang berlainan tetapi menariknya pada akhir kisah dapat dilihat pegangan tersebut hanya sekadar sebuah kain putih untuk menutup sebuah plastik hitam yang sedang membaluti sekujur tubuh mayat yang mula membusuk. Hakikatnya, nilai kemanusiaan mereka rendah dan tiada beza. Masing-masing bercerita dan mengakui tentang sesuatu perkara tetapi hakikat sebenar melakukan perkara yang sangat bertentangan dengan apa yang mereka ungkapkan dan perjuangkan. Aakash menggunakan gelaran artis sebagai cara untuk menghalalkan segala perkara haram yang dilakukannya semasa beraksi sebagai pemain piano buta semata-mata untuk mengejar cita-cita besarnya ke London dan cara mendapatkan cinta seorang wanita. 


Pramod Sinha pula menggunakan pengaruhnya di dalam dunia seni sebagai cara untuk mendapatkan Simi dengan menjanjikan peluang lakonan dan kemasyuran tetapi tidak mampu melaksanakannya. Simi pula menjadikan penipuan Pramod sebagai alasan untuk dia juga menipu suaminya dengan bermain kayu tiga dengan Mahendra. Mahendra pula yang sepatutnya menggunakan kuasa undang-undang untuk kebenaran telah menyalahgunakannya untuk menutup kebenaran yang sebenar. Dr. Swami yang kononnya sanggup mengorbankan seorang manusia demi menyelamatkan nyawa tiga orang manusia lain mengikut teorinya sebagai seorang doktor yang ingin berbuat baik tetapi hakikatnya untuk mendapatkan gelaran dan juga wang. Watak wanita kasta rendah Sakku juga menarik untuk dinilai kerana menghina Simi sebagai seorang perempuan yang tiada maruah kerana membunuh suami sendiri tetapi dalam masa yang sama tidak kisah untuk mengorbankan nyawa Aakash demi wang. Malahan watak anak kecil yang berjaya membongkarkan identiti sebenar Aakash juga jatuh di dalam kategori kesemua watak-watak yang telah disebutkan tadi. Jadi, watak-watak ini yang membuatkan plot cerita filem Andhadhun menjadi begitu menarik dan diluar jangkaan kerana tiada mana-mana watak di dalam filem ini yang tidak bersalah. Mereka bukan hitam (jahat) dan mereka juga tidak putih (baik). Tetapi, watak-watak ini mempunyai pelbagai warna yang menjadikan filem ini secara tersiratnya tidak mempunyai satu pun watak yang berpewatakan baik.


Filem ini menarik kerana ia bukan sekadar menghidangkan penonton dengan perubahan plot yang tidak disangka di dalam jangka waktu yang sangat rapat iaitu sekitar 10 minit sehingga 15 minit tetapi kisahnya datang dengan sokongan logik akal yang sangat tidak rasional. Kehebatannya dapat dilihat dimana filem ini tidak menyembunyikan siapa pelakunya, siapa pembunuhnya atau siapa pakatannya tetapi ia bijak memanipulasi watak-watak ini ke dalam satu situasi yang kita sendiri tidak sangka tetapi ia sememangnya logik, boleh diterima akal dan berjaya membuatkan minda kita berasa sangat tidak rasional dengan tindakan watak-watak ini dan adakala menyumpah tanpa sedar.


Satu elemen yang sentiasa menjadi kekuatan filem-filem Bollywood ialah muzik. Filem Andhadhun menawarkan keindahan irama muziknya yang bersifat ringan dan santai yang disampaikan melalui gerakan jari jemari Akash sewaktu bermain piano. Muzik ini pula diperkuatkan lagi dengan bait-bait lirik lagu yang sebenarnya membantu penonton untuk lebih memahami keperibadian serta suara hati Akash yang sebenar untuk perjalanan setiap plot filem ini. Paling menarik semestinya lagu pertama yang wujud di dalam filem ini ialah Naina Da Kya Kasoor yang intipatinya memberi fokus terhadap sepasang mata yang buta dan kenapa ia dibutakan. Menarik sungguh lirik lagu ini apabila ia berjaya dihubung kaitkan dengan perjalanan cerita selepas itu.


Filem ini sebenarnya bijak memanfaatkan normalisasi jiwa manusia yang sebenar di dalam setiap wataknya untuk dipamerkan kepada para penonton di layar perak. Ini yang membuatkan sesetengah penonton mungkin berasa terkejut atau kagum dengan hasilnya kerana setiap tekaan yang mereka ramalkan akan berlaku semuanya gagal dan diluar kotak seperti yang diharapkan. Hakikat sebenarnya, filem ini cuma berkongsikan perihal beberapa karakter manusia di alam realiti yang sememangnya wujud seperti mana watak-watak di dalam filem ini. Disebabkan itu permulaan filem ini telah dimulakan dengan sebuah frasa yang menarik iaitu "What is life? It all depends on liver." dimana inti frasa di dalam ayat ini boleh disimpulkan sebagai 'Hati Yang Hidup'. Seluruh filem ini sebenarnya menunjukkan tentang rasa hati setiap wataknya yang membawa persoalan adakah betul-betul mereka masih mempunyai hati yang baik dan rasional atau hati mereka telah lama mati dek kerana dibutakan dengan impian di dalam diri.


Menyentuh berkaitan lakonan pelakon-pelakonnya, tidak dinafikan pelakon wanita Tabu sangat cemerlang memberikan sesuatu yang cukup luar biasa kepada watak Simi yang dipegangnya. Seorang wanita yang mempunyai kepelbagaian pegangan, ekspresi serta emosi yang berjaya membuatkan para penonton keliru, percaya, simpati dan membencinya pada waktu yang sama. Ayushmann Khurrana juga sangat unggul di dalam menghidupkan watak Akash dan memberi keyakinan kepada penonton untuk mempercayai bahawa Akash merupakan seorang yang benar-benar buta mata, buta hati serta lincah bermain piano. Kesemua yang dilakukan watak Akash ini sangat meyakinkan untuk diterima dan diyakini oleh minda sedar penonton.  


Filem ini tidak berselindung dengan penonton kerana ia sentiasa membuatkan penonton sedar siapa pembunuh, siapa mangsa dan siapa pemangsa. Tetapi, kehebatan filem ini ialah ia sentiasa dua langkah di hadapan bayangan dan jangkaan setiap penonton yang menonton filem ini. Paling menarik pengakhiran filem ini sememangnya akan membuatkan anda sebagai penonton untuk memilih sama ada untuk mempercayai apa yang dilihat, mempertikaikan apa yang terhidang atau berani untuk membuat kesimpulan sendiri bagi menjawab persoalan anda sendiri tentang apakah kejadian sebenarnya yang berlaku pada pengakhiran filem ini.



Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Andhadhun pada bulan Oktober ini:

1) Sebuah filem Bollywood genre thriller yang sarat dengan komedi gelap versi India yang mendapat pujian ramai pengkritik filem dan ada sebahagian mereka yang menyatakan filem ini adalah filem terbaik pernah dihasilkan dari seluruh dunia untuk tahun 2018 ini.

2) Jalan ceritanya yang pasti akan membuatkan anda kagum bukan disebabkan kesan CGI yang hebat atau pun dibarisi pelakon-pelakon ternama tetapi disebabkan plot ceritanya yang sangat genius dan mampu membuat anda berasa cemburu dengan negara India kerana mereka mempunyai naskhah filem yang hebat dimana filem ini pasti akan menjadi sebutan atau buah mulut ramai orang dalam jangka waktu masa yang panjang. 

3) Semestinya lagu-lagu di dalam filem ini sangat sedap, merdu dan membuatkan anda jatuh cinta dengan hasilnya yang sangat cemerlang dari segi koreografer, pergerakan kamera, penataan cahaya dan paling penting liriknya yang indah dan bersifat serampang dua mata.

4) Lakonan para pelakonnya yang sangat cemerlang daripada pelakon utama sehingga sekecil-kecil anak. Ia sangat mengagumkan.

5) Pengakhiran filem ini merupakan penyebab kenapa filem ini mendapat pujian ramai kerana ia akan menguji kemahiran anda berfikir secara kreatif dan kritis di dalam menentukan apa sebenarnya yang benar-benar terjadi. 

Terima kasih kepada seorang rakan yang awal-awal lagi menyarankan saya untuk menonton filem ini melalui laman sosial twitter iaitu Azza kerana filem Andhadhun ini sememangnya wajib ditonton bukan sahaja oleh peminat filem Bollywood tetapi juga kepada kaki wayang yang dahagakan filem-filem yang berkualiti dan segar. Jadi, memandangkan filem ini hanya di tayang di pawagam-pawagam terpilih yang sangat terhad jumlahnya, maka ambil lah kesempatan bagi sesiapa yang berpeluang untuk menonton filem Andhadhun dan jangan lupa kongsikan komen dan pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen. Sekian!

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem A Simple Favor Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 

10 comments:

  1. Aku pun baru tengok semalam..jangan2 kita berkongsi pawagam tak..hahaha

    Tapi citer ni memang best..recommended untuk siapa2 yg belum tengok..

    ReplyDelete
    Replies
    1. tengok dekat mana?
      Aku tengok dekat Nu Sentral pukul 2.30 petang macam tu

      Delete
    2. owh...asal nak pergi sana tapi sebab lambat sangat 4.15
      tambah risau takut hujan
      itu pergi NU Sentral..hahaha

      Delete
  2. serius la best? rating smpi 9 bg tu...uih cam nk tgok je ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau tak best takkan lah bagi 9
      sebab best bagi sembilan tu

      Delete
  3. Film ni ada malay subtitle ke

    ReplyDelete
    Replies
    1. yang saya tengok tu subtitle English sahaja

      Delete
  4. Baru je balik ke rumah dari menonton film ni di TGV SS15. Sanggop drive lebih 25KM utk menyaksikan sendiri film ini selepas Hans bg rating tinggi 9/10 (tanpa baca review di bawahnya). Yeeesss, review Hans amat tepat sekali sehingga saya amat berpuas hati. Jarang dpt menonton film yg "bijak" & berkualiti sebegini. Selepas menonton film nya, baru saya baca review Hans yg menarik lagi tersusun ayat2 nya. Thanks so very much for your awesome reviews, keep it up...

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih sudi baca review saya.
      tahniah kerana menonton dan syukur kerana sukakan filem ini
      :)

      Delete