Sunday, 14 October 2018

Review Filem Helicopter Eela

Posted by BG Design


Filem:
Helicopter Eela

Pengarah:
Pradeep Sarkar

Genre:
Drama

Pelakon:
Kajol, Riddhi Sen, Tota Roy Chowdhury, Neha Dhupia, Chirag Malhotra,
Ila Arun, Amitabh Bachan, Mahesh Bhatt, Alisha Chinoi, Anu Malik & Etc.

Penilaian:
6/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang ibu tunggal bernama Eela Raiturkar yang sebelum ini pernah bergelar penyanyi yang hampir dikenali tetapi mengambil keputusan berhenti untuk menjaga dan memberi fokus kepada kehidupan anak tunggal lelakinya iaitu Vivaan gara-gara terlalu takut sejarah hitam yang melanda suami dan ahli keluarganya berulang. Apabila Vivaan meningkat remaja, Eela merasa lebih risau kerana tidak dapat berpeluang melihat Vivaan di depannya 24 jam seperti sebelum ini. Jadi, Eela mengambil keputusan untuk menyambung semula pengajiannya di kolej tempat anak lelakinya belajar. Saksikan bagaimana gelagat Eela dan betapa peningnya Vivaan menghadapi situasi ini di pawagam terpilih berdekatan anda. 

Ulasan Hans:

Sebelum aku memberi sedikit ulasan berkenaan filem Bollywood terbaru berjudul Helicopter Eela ini, aku ingin berkongsi sedikit cabaran dimana pada permulaanya aku igin menonton di Amerin Cineplex di Seri Kembangan selepas solat jumaat pada tanggal 12 Oktober 2018 tetapi tayangan dibatalkan. Aku ingatkan impian aku untuk menonton filem ini akan berkubur tetapi alhamdulillah pihak TGV Cinemas ada menayangkan filem ini. Jadi, akhirnya aku berpeluang menonton filem ini di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada malam harinya. Syukur dapat melihat Kajol beraksi lagi. Hahaha! 


Sebagai permulaannya, mari kita lihat apakah signifikasinya filem ini menggunakan judul Helicopter Eela sedangkan tiada langsung sebarang babak di dalam filem ini yang menggunakan atau memaparkan helikopter? Sebenarnya perkataan helikopter ini merupakan satu simbolik buat masyarakat di negara India dimana perkataan helikopter ini merujuk kepada sikap ibu bapa yang sentiasa terbang dan berlegar di atas seperti sebuah helikopter untuk mengawasi setiap aspek kehidupan anak mereka secara berterusan melalui kaedah mengawal, sentiasa masuk campur dan selalu terlibat di dalam menentukan urusan, tindakan dan apa yang boleh serta tidak boleh dilakukan oleh si anak. Jadi, satu persoalan yang menarik disini ialah apakah punca yang menyebabkan Eela Raiturkar terlalu obses untuk menjadi sebuah 'helikopter' terhadap anak kesayangannya sedangkan sikap sebenarnya bukan sebegitu seperti mana yang dipertontonkan pada babak pengenalan wanita bernama Eela Raiturkar ini.


Filem Bollywood seperti biasa gemar dan hebat di dalam menggunakan elemen drama yang menyentuh berkenaan kehidupan berkeluarga yang cukup menyenangkan dan membahagiakan. Filem ini berjaya membawa penonton melihat sisi kehidupan Eela sebagai seorang ibu tunggal yang sentiasa membayangi kehidupan anaknya Vivaan dengan pelbagai cara yang sangat gila tetapi kegilaan itu sememangnya wujud dan boleh diterima. Seperti mana ibu bapa lain yang termasuk di dalam kategori 'ibu bapa helikopter' ini, Kajol bijak membawakan watak Eela ini yang sentiasa obses terhadap segala macam perkara yang berkaitan dengan Vivaan. Menariknya watak Ella ini berjaya dipersembahkan dengan satu gaya yang cukup versatil dimana anda pasti akan memahami dan bersimpati dengan perasaan dan segala tindakannya walaupun anda sendiri tidak bersetuju dan suka dengan apa yang dia lakukan terhadap anaknya. Tetapi, apa yang menariknya pada masa yang sama, watak Eela ini pasti akan berjaya membuatkan anda lebih berasa simpati kepada kehidupan anaknya, Vivaan sehingga pada akhirnya anda akan bersetuju bahawa kedua-dua watak ini mempunyai rasional yang tersendiri dan tiada siapa yang berhak untuk menghakimi atau menyalahkan si ibu atau si anak. Sesuatu yang aku anggap menarik untuk dilihat.


Menarik juga untuk dilihat pada watak Vivaan lakonan Riddhi Sen yang dipaparkan sebagai seorang anak lelaki yang berada di dalam keadaan memberontak tetapi pada sudut lain dilihat sentiasa menghormati segala-gala yang dilakukan ibunya. Aku sangat suka melihat bagaimana perasaan malu Vivaan terhadap ibunya sewaktu berhadapan dengan rakan-rakan kolej berjaya dipotretkan dalam bentuk yang sangat positif di dalam filem Helicopter Eela ini. Begitu juga apabila melihat objek dabba yang merupakan sebuah bekas makanan yang dijadikan sebagai satu perlambangan betapa pentingnya Vivaan di dalam kehidupan Ella. Secara peribadi, aku menyukai perkara-perkara ini dimasukkan di dalam sebuah filem kekeluargaan seperti ini.


Namun, sayangnya kelemahan filem ini mudah ditemui melalui perkembangan kisah hidup watak-wataknya yang kurang meyakinkan. Bagi aku, skrip filem ini mempunyai kelemahan yang agak ketara yang sudah boleh ditemui sejak dari awal permulaan filem ini lagi. Tiada momen yang kuat untuk meninggalkan impak kepada penonton sebelum ia tiba-tiba membawa penonton secara tergesa-gesa kembali mengimbas kehidupan lampau Eela Raiturkar. Plot ceritanya dibuat terlalu mudah dimana Eela ditunjukkan sebagai seorang model iklan sebelum kemudiannya berpeluang menjadi penyanyi dummy untuk artis lain. Seterusnya, Eela mudah diberi pujian oleh komposer terkenal serta penyanyi senior. Walaubagaimanapun, babak itu tidak terlalu mengecewakan jika dibandingkan dengan plot cerita seterusnya yang memaparkan apakah alasan Arun meninggalkan Eela dan keluarganya yang motifnya langsung tidak kuat dan agak merepek untuk diterima oleh aku. Alasannya hanyalah bersandarkan kepada faktor kebetulan dimana saudara-saudara lelakinya sememangnya terbukti meninggal di dalam pelbagai kejadian sebelum mencecah usia 40 tahun tetapi babak tersebut tidak kuat untuk membuatkan penonton percaya Arun betul-betul terganggu dengan isu tersebut.


Walaupun Kajol hebat membawakan karakter Eela Raiturkar, namun sekali lagi plot ceritanya kelihatan lemah apabila latar pendidikan Eela tidak didedahkan di dalam filem ini sewaktu babak imbas semula. Kemudian penonton dipaksa untuk mempercayai Eela layak untuk menyambung kembali pengajiannya. Lebih mengecewakan apabila Eela boleh pula sekelas dengan anaknya dan ini bermakna mereka belajar di dalam bidang yang sama tetapi bukankah Eela itu pelajar junior? Bab ini aku kurang pasti kerana aku sememangnya tidak tahu bagaimana sistem pengajian di India tetapi bagi aku plot cerita untuk babak ini sangat merepak dan begitu mustahil untuk diterima. Satu lagi kelemahan kisah watak yang dapat dilihat pada watak Eela ini ialah bagaimana dia mampu membesarkan Vivaan kerana tidak ditunjukkan apakah pekerjaan Eela selepas dia berhenti menyanyi. Adakah dia hidup hasil royalti karya-karya lagu ciptaan suaminya? Hal ini memang sangat samar ditambah pula kehidupannya Eela di bandar yang dikatakan kos hidup tersangat mahal. Aku melihat skrip filem ini kelihatan terlalu rambang di dalam merungkai watak-watak penting filem ini.


Terdapat satu lagi babak yang sangat penting dan sepatutnya mampu memberi impak dan mengubah cerita filem ini 360 darjah apabila Arun muncul kembali di dalam kehidupan Eela dan Vivian namun keputusan yang diambil Arun untuk kembali meninggalkan Eela dan Vivaan hanya disebabkan alasan mereka berdua tidak mahu menerimanya sangat merugikan keseluruhan perkembangan klimaks filem ini. Arun kemudian ditunjukkan meninggalkan mereka berdua dengan menyerahkan sebuah diari peribadi kepunyaannya kepada anaknya Vivaan dan melalui diari itu baru Vivaan mengetahhui kenapa ibunya bersikap sedemikian kepadanya. Bagi aku, babak ini sepatutnya berjaya membuatkan jalan cerita menjadi semakin panas namun sayangnya ia dimatikan dengan begitu mudah sekali. Sayangnya tiada klimaks yang menarik. Rugi! Tersangat rugi!


Menyentuh berkenaan sudut lakonan, tidak dapat dinafikan semua pelakonnya daripada pelakon utama, pembantu serta cameo memberikan lakonan yang sangat mantap. Pelakon utama iaitu Kajol sememangnya berjaya memberikan lakonan yang cukup mantap melalui watak Eela Raiturkar dimana penonton berjaya merasai kegembiraan senyuman, berjaya menyelami ketakutannya sewaktu kehilangan Vivaan dan berasa geram dengan tindakannya yang sangat mengongkong kehidupan anak lelakinya. Riddhi Sen pula sebagai Vivaan memberikan prestasi lakonan yang cukup menarik dan unik di dalam memberi warna kepada watak anak lelaki Eela. Neha Dhupia pula walaupun hanya muncul seketika sebagai Padma, seorang guru yang membentuk sebuah pasukan nyanyian untuk mewakili kolej namun masih mampu memberi impak di dalam beberapa babak terutama babak yang melibatkannya dengan Eela. Kemunculan watak-watak cameo yang mewakili identiti sebenar juga sememangnya memberikan kepuasan menyeluruh buat penonton. Namun, tidak dinafikan filem ini merupakan hak milik Kajol yang sentiasa memberi kekuatan dari segala arah bagi menunjukkan perjalanan seorang ibu yang terlalu kasih kepada anak tunggalnya dengan begitu meyakinkan


Menyentuh berkaitan lagu-lagu yang wujud di dalam filem ini, lagu berjudul Ruk Ruk Ruk yang merupakan nyanyian asal oleh Alisha Chinai di dalam filem Vijaypath telah diberi nafas baru melalui versi terkini yang boleh dinikmati di dalam ini. Aku akui melodi versi terbaru ini sangat bersesuaian dengan perjalanan cerita filem Helicopter Eela ini. Aku sangat menyukai rentaknya yang catchy dan sangat sedap di dengar. 


Namun, filem ini masih menarik dan berbaloi untuk ditonton di pawagam sepanjang bulan Oktober 2018 ini. Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Helicopter Eela:

1) Kemunculan pelakon wanita yang cukup hebat iaitu Kajol wajar diraikan dan ditonton kerana kali ini Kajol membawakan watak seorang ibu tunggal yang paranoid terhadap kehidupan anaknya serta dalam masa yang sama membawakan watak sebagai seorang penyanyi yang sanagt cemerlang, menarik dan menghiburkan.

2) Kisah menarik yang memaparkan hubungan unik antara ibu dan anak. Kemudiannya diperkukuhkan lagi dengan beberapa ungkapan dialog yang lucu, menarik dan bermakna. Salah satu yang paling memberi kesan ialah dialog,"Siapa yang lebih kamu sayang? Saya atau bekas dabba kamu ini?"  

3) Filem ini menarik dan sangat positif kerana tiada langsung watak antagonis dan ini memberi peluang buat anda untuk lebih menyelami kisah dan rasa seorang ibu dan seorang anak yang mempunyai pelbagai elemen rasa seperti lucu, sedih, gembira, kecewa dan banyak lagi.


Jadi, selamat menonton dan semoga kalian terhibur sepanjang menyaksikan perjalanan filem Helicopter Eela ini. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Bakal Menemui Pembaca Dalam Waktu Terdekat Ini Ialah Sebuah Filem Korea Yang Agak Menarik Berjudul The Negotiation Lakonan Hebat Hyun Bin Dan Ye-Jin Son. Nantikan!

6 comments:

  1. Kira macam Papadom versi Bollywood la kan? Heheh..

    ReplyDelete
    Replies
    1. nak kata macam Papadom...rasanya yang Eela nih lagi dasyat...hahaha

      Delete
  2. salam hans
    xbesh ke movie ni..yaya tgok trailer mcm best.tp mslh xde tygn pula kt cinema tmpt yaya.huuu sedei.bru ingt nk p tgok ri tu =(

    ReplyDelete
    Replies
    1. filem ini best tetapi ada banyak lagi yang best
      bergantung pada orang yang menonton
      untuk Hans filem ini menghiburkan untuk ditonton

      Delete
  3. Setuju. Patutnya dimatikan saja watak Arun, i.e Arun meninggal dunia disebabkan sakit atau kemalangan. Dengan ini menguatkan lagi mengapa Eela begitu closely monitor Vivan sebab takut nasib akan menimpa anak dia pula.

    ReplyDelete
    Replies
    1. sebenarnya okay jer Arun tu dihidupkan..cuma sebab plot dia tak diperkembang dan diperjelas dengan baik jer...jadi sayang sebab patut kemunculan Arun tu boleh bagi impak besar sebenarnya kepada jalan cerita..hehe

      Delete