Wednesday, 24 October 2018

Review Filem First Man

Posted by BG Design


Filem:
First Man

Pengarah:
Damien Chazelle

Genre:
Biografi, Drama & Sejarah

Pelakon:
Ryan Gosling, Claire Foy, Corey Stoll, Kyle Chandler, Jason Clarke, & Etc.

Penilaian:
6/10

Sinopsis:

Filem drama biografi ini mengisahkan tentang angkasawan terkenal di dunia iaitu Neil Armstrong dan pengembaraannya dalam menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan pada tarikh 20 Julai 1969. Filem ini memberi fokus kepada tahun-tahun sebelum misi Apollo 11 pada tahun 1969 dan menyingkap kisah kehidupan Neil Armstrong serta keluarga dan rakan-rakannya. Saksikan filem ini untuk anda lebih mengenali kehidupan Neil Armstrong di sebalik kegemilangan namanya yang dikenali seluruh dunia di pawagam berdekatan anda. 

Ulasan Hans:

Aku berkesempatan menonton filem First Man di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada tanggal 22 Oktober 2018 yang lepas. Nampaknya kali ini aku agak berbelah bahagi dengan kehebatan filem ini. Ada beberapa elemen yang aku suka dan ada juga sebaliknya. Diakui filem ini sebenarnya bukan sebuah filem yang boleh dihadam atau diterima oleh semua orang.


Permulaan filem ini menceritakan secara mendalam kerjaya dan kehidupan sebenar Neil Armstrong dan keluarganya. Konflik mula kelihatan apabila anak perempuannya meninggal dunia kerana menghidap penyakit ketumbuhan. Kematian anaknya ini memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan Armstrong dan secara tidak langsung menjejaskan hubungannya dengan isteri dan anak-anak lelakinya. Jadi, dia mengambil keputusan untuk tekad menyertai program angkasawan untuk cuba menghilangkan rasa kesal dan sedih yang sentiasa bersarang dalam sanubarinya itu. Disini dapat dilihat beberapa kisah dan konflik yang dipilih dan diangkat dari dalam novel untuk dimasukkan ke dalam perjalanan cerita filem ini bagi aku sudah menarik. Cuma cara penyampaiannya membuatkan aku terasa begitu lama menonton filem ini seperti lamanya kita menantikan untuk Malaysia mempunyai angkasawannya sendiri suatu ketika dahulu. Beberapa bahagian ceritanya agak perlahan dan adakala emosi yang disampaikan Armstrong tidak menuju tepat kepada penonton sehinggalah ke pertengahan cerita.


Kelemahan filem ini yang paling ketara ialah momentum penceritaannya yang terlampau perlahan. Tambahan pula filem ini cuba memaparkan perwatakan karakter Neil Armstrong secara paling realistik semaksimum mungkin tetapi malangnya individu bernama Neil Armstrong ini merupakan seorang manusia yang turut mempunyai banyak kelemahan, sering memendam rasa, tidak banyak bercakap dan terperangkap di dalam emosi dalamannya. Ini menjadikan perwatakan karakter Amstrong yang nyata ini menimbulkan satu rasa bosan kepada penonton yang menonton filem ini. Ini bukan salah pelakon tetapi ini adalah hakikat sebenar siapa manusia bernama Neil Armstrong dan penonton harus menerima apa yang dipertontonkan itu secara toleransi yang mungkin. 


Antara babak-babak yang menarik perhatian sepanjang menonton filem First Man ini ialah :

1) Babak isteri Armstrong iaitu Janet meluahkan kegeraman dan perasaannya kepada suaminya dengan memaksa Armstrong untuk bercakap dan memberitahu anak-anak mereka tentang kemungkinan dia tidak akan pulang ke bumi semula selepas ekspedisi ke bulan. Babak ini bagi aku cukup kuat dalam memberi kesan emosi dan mencorakkan keseluruhan filem ini.  

2) Babak-babak latihan serta ujikaji sepanjang Armstrong dan rakan-rakannya berada di NASA sehingga mengorbankan tiga rakan Armstrong juga sangat menarik kerana ia membawa satu sisi lain berkenaan kelemahan NASA pada waktu awal mereka bersaing dengan pihak Soviet. Selain itu juga, bagaimana elemen propaganda dipertontonkan di dalam filem ini juga menggunakan gaya baru dimana tiada pacakan bendera Amerika di lakukan di atas permukaan bulan. Selain itu, babak filem ini yang menunjukkan bagaimana misi ke bulan ini ditentang sebilangan rakyat dan ahli pembangkang juga sangat menarik untuk dilihat dari sudut politik.  

3) Babak-babak yang menunjukkan perjalanan program Gemini, program Apollo serta kematian beberapa calon angkasawan berjaya disampaikan penceritaannya dengan agak teliti dan mudah difahami.


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem First Man pada bulan Oktober ini:

1) Filem ini memaparkan sisi kehidupan Neil Armstrong yang kebanyakan daripada kita tidak kenali. Kita hanya tahu dia ialah manusia pertama yang menjejakkan kaki ke bulan dan kebanyakkan orang beranggapan insan ini pasti mempunyai sesuatu yang gah dan menarik di dalam dirinya seperti mana tokoh-tokoh hebat yang lain. Namun filem ini berjaya membongkarkan sisi lain seorang lelaki bernama Neil Armstrong yang boleh kita anggap sebagai insan yang secara kebetulan terpilih menjadi angkasawan selepas kematian anak perempuannya yang banyak memberikan motivasi kepada lelaki ini untuk menghilangkan tekanan serta gangguan emosinya dengan memilih bidang angkasawan.

2) Teknologi, kesan khas CGI dan props yang dipertontonkan sememangnya tidak kelihatan canggih atau seperti kita menonton filem-filem yang diterbitkan di tahun 2018. Tetapi, ini menunjukkan gambaran yang baik dan menepati latar belakang dan suasana di era tahun 60-an dimana penonton dapat melihat rupa dan kecanggihan teknologi pesawat pada tahun tersebut serta bagaimana keadaan kokpit pesawat dan wajah NASA yang masih bergelut untuk mengejar teknologi yang didahului oleh negara Soviet sebelum itu.

3) Merasai sendiri bagaimana rasa kesunyian dan keheningan saat apabila anda berada di ruang angkasa lepas bertempat di kawasan darat bulan. Sangat cantik babak ini divisualkan dimana Neil Armstrong jelas merasa kesepian dan kesedihan saat menjejakkan kaki ke bulan dimana ia bertentangan dengan keinginan penduduk Bumi lain yang seolah-olah merasakan bulan adalah satu objek yang indah. Babak ini memang cantik kerana reaksi Armstrong bergabung dengan fizikal bulan yang berlubang-lubang itu serta berlatar belakangkan suasana yang sepi dan cahaya yang minimun menjadikan babak ini menyampaikan satu definisi yang sangat menarik buat penonton


Jika anda berminat untuk menonton filem First Man ini, maka siapkan fizikal dan mental anda serta fahami betul-betul konsep filem ini supaya anda tidak kecundang sewaktu berada di dalam panggung wayang nanti. Jadi, selamat menonton filem ini di pawagam berhampiran anda dan jangan lupa kongsikan pandangan atau komen anda berkenaan filem ini di ruangan bawah. Sekian! 

P/S : In Sha Allah Esok Jika Berkesempatan Akan Ada Ulasan Untuk Filem Korea Berjudul Rampant. Nantikan!

2 comments:

  1. Aku mulanya memang ada niat sikit la nk tgk filem ni. Sikit.

    Tapi xjadi sebab genre dia drama/biografi/sejarah..

    Aku expect citer ni mesti slow pace. So aku xtgk sehingga la aku baca review ni..

    And rasa macam, "okey xpe, sbb mmg xde dlm list." Hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. yups
      filem nih memang pacing dia slow
      sebab tu bukan semua orang mampu layan tanpa menguap
      hehehe

      Delete