Thursday, 25 October 2018

Review Filem Halloween

Posted by BG Design


Filem:
Halloween

Pengarah:
David Gordon Green

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
Jamie Lee Curtis, Judy Greer, Andi Matichak, James Jude Courtney,
Nick Castle, Haluk Bilginer, Will Paton, Rhian Rees, Toby Huss & Etc.

Penilaian:
7/10

Sinopsis:

Filem sekuel ini adalah kesinambungan daripada kejadian yang berlaku pada 40 tahun yang lalu di dalam filem "Halloween" yang diterbitkan pada tahun 1978. Laurie Strode yang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Michael Myers kini perlu sekali lagi berdepan dengan lelaki gila tersebut buat kali terakhir apabila Michael berjaya melarikan diri daripada pihak polis. Saksikan filem yang cukup mendebarkan dan sarat dengan elemen kejutan ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan Hans:

Aku berkesempatan menonton filem Halloween di TGV Cinemas The Mines pada tanggal 25 Oktober 2018 yang lepas. Sebenarnya begitu banyak filem-filem berjudul dan bertemakan tajuk yang sama iaitu Halloween namun melihat trailer filem ini yang kelihatan menarik dan merupakan kesinambungan pada kisah yang terdapat di dalam filem Halloween (1978) membuatkan aku ingin menonton dan melihat sendiri apa yang mampu diberikan kepada penonton untuk versi tahun 2018 ini.


Menarik untuk menonton kisah dan perspektif watak-watak di dalam filem ini yang mengalami trauma disebabkan kisah silam. Memandangkan aku tidak pernah menonton versi 1978, jadi agak menarik untuk dilihat apakah hubungan sebenar Laurie Strode dan Michael Myers ini yang membuatkan mereka saling mencari dan menanti antara satu sama lain walaupun kejadian tersebut sudah 40 tahun berlalu. Lebih menarik apabila kedua-dua watak ini seolah-olah saling bertukar terma pemangsa dan mangsa dimana menjadikan naratif filem ini begitu mendebarkan untuk ditonton.



Filem Halloween yang sesuai dikategorikan sebagai sebuah filem slasher gore ini berjaya menyerlahkan sisi kejam Michael Myers yang benar-benar menakutkan daripada dua aspek. Aspek yang sudah diketahui ialah tentang cara pembunuhan kejamnya dilakukan disebalik topeng yang memang betul-betul mengerikan. Namun aspek kedua yang berjaya membina sisi kejam pembunuh ini ke satu tahap yang lebih menakutkan untuk ditonton ialah sifat dirinya yang pendiam tanpa sebarang bunyi suara. Serius watak Michael Myers ini sangat psikopat dan berjaya menangkap jiwa penonton untuk sentiasa berdebar saat watak ini muncul di layar.



Aku cukup sukakan latar lagu dan skor muzik filem ini yang bersifat retro klasik tetapi berjaya memberi sokongan kepada visual untuk menambah rasa tegang buat penonton saat menonton beberapa babak ganas di dalam filem ini. Bukan semua babak pembunuhan bermain dengan percikan darah tetapi filem ini juga berjaya menampilkan babak-babak pembunuhan yang melambangkan sikap yang langsung tidak berperikemanusiaan yang dimiliki oleh watak Michael Myers yang akan membuatkan anda menyumpah seranah kerana berasa terkejut, ngeri dan mual dengan babak-babak ngeri ini. Paling menarik sekali apabila lagu latar ini digunakan pada permulaan filem yang menunjukkan labu yang rosak di belakang senarai nama-nama pelakon. Labu ini kemudiannya mengembang kembali ke bentuk asal secara perlahan-lahan dan ini secara tidak langsung berjaya menggambarkan kemunculan semula Michael Myers sebagai seorang pembunuh yang sangat gila dengan satu gaya yang menarik.


Kelemahan filem ini pada pandangan aku ialah jalan cerita filem sebegini yang sentiasa mengitar semula dan mencedok babak-babak yang boleh kita lihat pada filem-filem bergenre slasher gore dan seangkatan dengannya.

1) Semestinya pembunuh yang psiko seperti Michael Myers ini ditunjukkan mempunyai 10 nyawa (lebih satu daripada 9 nyawa kucing). Tikam lah berpuluh kali pun! Tembak lah kena dada atau kepala sekali pun! Mesti tetap hidup dan fizikal badan tetap kuat dan utuh! Aku teringin untuk melihat babak-babak yang lebih kreatif selain hanya menunjukkan pembunuh psiko seolah-olah kebal daripada mati.

2) Pengakhiran filem ini agak klise dimana babak akhirnya cuba bermain tali dengan membuatkan penonton tertanya-tanya dan beranggapan bahawa Michael Myers seolah-olah seperti masih selamat. Cara yang klise stereotaip ini sering kali digunakan untuk cubaan menghasilkan sambungan kisah seterusnya pada filem yang akan datang dan menandakan keseraman Halloween tidak akan pernah pudar..


Filem Halloween ini bagi aku agak menarik bukan sahaja kerana babak-babak pembunuhan yang wujud di dalam filem ini yang kelihatan sangat tidak berperikemanusiaan tetapi juga kerana babak tersebut berjaya dipertontonkan melalui visual yang cukup menarik hasil bantuan kesan khas serta solekan yang betul-betul memberi satu gambaran yang sangat realistik dan tamparan buat penonton yang gerun melihat babak-babak gore seperti ini. Serius anda pasti tidak akan senang duduk saat babak-babak yang menakutkan ini muncul. 


Tiada banyak sangat yang menarik tentang filem ini yang boleh diperkatakan. Tetapi, filem ini masih mampu menawarkan pengalaman yang ngeri untuk ditonton dan disukai oleh anda. Jadi, selamat menonton filem Halloween di pawagam berhampiran anda dan jangan lupa kongsikan pandangan atau komen anda berkenaan filem ini di ruangan bawah. Sekian! 

P/S : Blog Ini Akan Berehat Selama Dua Minggu. Jadi, Banyak Filem-Filem Baru Tidak Akan Dapat Ditonton Dan Diulas. Apa-Apapun, Nantikan Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Selepas Penulis Kembali Ke Malaysia Yer! Jumpa Lagi :) 

6 comments:

Review Filem Rampant

Posted by BG Design


Filem:
Rampant

Pengarah:
Kim Sung-Hoon

Genre:
Aksi & Sejarah

Pelakon:
Hyun Bin, Dong-Gun Jang, Woo-jin Jo, Eui-sung Kim, Ju-hyuk Kim & Etc.

Penilaian:
6/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Lee Chung iaitu seorang Putera Joseon yang mempunyai kemahiran bermain pedang tetapi dia juga seorang kaki perempuan dan kaki judi. Dia telah diberikan kepada Dinasti Qing sebagai tebusan politik. Selepas 10 tahun, dia pulang semula ke Joseon atas permintaan abangnya Lee Young yang meminta dia kembali semula untuk memberi dan anaknya keluar daripada Joseon. Kehadiran Lee Chung di Joseon nampaknya telah menemui sesuatu yang mengejutkan. Bukan sahaja dia terpaksa berdepan dengan manusia-manusia yang dipanggil jembalang (zombie) tetapi juga menerima berita kematian abangnya disebabkan oleh konspirasi dalaman istana. Berjayakah Lee Chung menyelamatkan isteri abangnya yang sedang hamil? Mampukah bakal putera Joseon ini menyelamatkan negaranya daripada serangan jahat manusia zombie? Saksikan filem yang mendebarkan ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah, aku berkesempatan menonton filem Rampant di GSC IOI Mall Puchong pada tanggal 25 Oktober 2018 yang lepas. Nampaknya filem Korea yang bertemakan zombie masih lagi diungguli oleh filem Train To Busan. Filem Rampant ini walaupun berjaya menghiburkan penonton namun apabila dilihat melalui sudut pandang yang lain maka beberapa kelemahan dapat ditemui dengan begitu mudah.


Filem ini bermula dengan kisah tentang cubaan pemberontakan dari dalam istana untuk rampasan kuasa setelah tampuk pemerintahan dan menteri-menterinya diketuai oleh orang-orang yang tidak mementingkan rakyat jelata. Namun, percubaan ini diketahui oleh menteri pertahanan dan para pemberontak berjaya ditangkap. Pada masa yang sama, menteri pertahanan yang bercita-cita untuk menjadi raja telah berpakat dengan menteri-menteri kanan lain untuk menggulingkan raja dengan memanfaatkan senjata-senjata api yang diperoleh daripada pemberontak yang mendapatkannya daripada pembekal luar yang dibawa melalui kapal laut. Malangnya di atas kapal tersebut terdapat seorang kelasi yang dikurung dimana dia dijangkiti oleh satu wabak yang mengubah sifat naluri manusia menjadi ganas dan sukakan darah. Akhirnya salah seorang hulubalang istana Joseon yang digigit menjadi punca wabak ini tersebar di sebuah daerah di negara Joseon yang menyebabkan keseluruhan penduduk kampungnya menjadi zombie dan kemudian datang menyerang istana. 


Apa yang menyebabkan filem Rampant ini kekurangan aura yang gah kerana jalan cerita filem ini telah dibayangi oleh babak-babak di dalam filem Train To Busan. Lebih mudah untuk difahami ialah latar zaman dan tempatnya berbeza tetapi cara isi-isi nya disampaikan adalah sama. Babak manusia bertukar menjadi zombie dipertontonkan dengan cara yang sama dan kalau ada berbeza sedikit pun ialah zombie di dalam Rampant ini boleh melompat terbang jauh sedikit. Melihat perwatakan antagonis di dalam filem ini pun mengingatkan kepada watak antagonis lelaki kaya di dalam Train To Busan. Sikap dan karakter watak utama filem ini iaitu Hyun Bin yang bertindak sebagai wira juga sama seperti mana watak Gong Yoo di dalam Train To Busan yang pada mulanya digambarkan sebagai pentingkan diri tetapi akhirnya menjadi seorang yang sangat penyayang dan mementingkan manusia sekitar yang lain. Walaupun begitu, pelakon Hyun Bin telah memberikan satu lakonan yang menarik serta menunjukkan aksi bertempur dan seni bermain pedang yang hebat. Manakala pelakon Jang Dong-Gun yang memegang watak antagonis juga berjaya mengembangkan karakter watak itu dengan cukup baik sehingga adakalanya membayangi watak utama filem ini sendiri.


Antara kelemahan filem ini yang paling ketara dapat dilihat ialah seperti yang dikongsikan di bawah :

1) Salah satu watak pembantu yang merupakan abang kepada seorang wanita yang disukai oleh Putera Gang Lim telah terkena gigitan zombie. Rahsia ini dibongkar oleh dia sendiri sebelum dia menyelesaikan tugas yang diamanahkan untuk mengetuk gong bagi menarik perhatian seluruh zombie untuk datang ke dalam istana. Paling kelakar disini ialah bila watak ini dengan yakinnya bagitahu kepada Gang Lim yang dia mampu bertahan daripada menjadi zombie sehingga tugasnya selesai. Serius babak ini buat aku ketawa sebab dialog ini sedang memberitahu kita satu wabak yang tiada siapa tahu puncanya, kesannya dan penawarnya tetapi dialog yang dituturkan memang buat aku geli hati. Berbeza dengan filem Train To Busan dimana dialog yang diungkapkan oleh pelakon Ma Dong Seok yang terkena gigitan zombie tidak pula seperti ini dan lebih logik untuk diterima.

2) Babak klimaks sewaktu Putera Gang Lim memasuki istana yang dipenuhi zombie dimana zombie-zombie yang sebelum ini dipertontonkan terlalu rakus dan kejam tiba-tiba berubah menjadi seperti tikus apabila berhadapan dengannya. Tidak dinafikan watak wira sememangnya sentiasa ditunjukkan hebat tetapi babak ini betul-betul menjatuhkan martabat Putera Gang Lim yang sebelum ini kelihatan gah dipandang sewaktu kemunculannya.

3) Filem ini mempunyai dua kisah utama tetapi ia kelihatan lemah kerana tidak menyokong antara satu sama lain. Plot kisah pertama berkaitan keinginan politik dan kuasa oleh watak Kim Ja-joon yang ingin merampas kuasa atas nama sebuah negara baru. Plot kisah kedua pula ialah tentang nasib dan masa depan seorang putera Gang Lim yang sebelum ini tidak pernah kisah tentang takhta dan kini berubah menjadi seorang penyelamat utama. Selepas menonton perjalanan cerita ini pada satu jam yang pertama, plot cerita dan pengakhiran cerita sudah boleh diramal dengan mudah.


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Rampant pada bulan Oktober ini:

1) Penggemar filem yang sukakan elemen gore pasti gembira dengan naskhah ini yang dipenuhi dengan banyak babak sebegitu dan berjaya dipaparkan dengan sangat realistik sekali. Anda pasti berasa ngeri menonton adegan-adegan tikaman, kepala dipenggal pedang, muntahan darah dan sebagainya yang kelihatan menjijikkan dan memualkan. 

2) Selain dipenuhi aksi-aksi serangan zombie dan pertempuran yang menarik, filem ini juga tidak lupa untuk memanfaatkan sentimen emosi di dalam beberapa babak untuk membuatkan anda jatuh cinta dengan filem ini. Unsur humor dan melodrama yang wujud di dalam filem ini agak kuat dan membuatkan anda mampu menonton filem berdurasi 2 jam 10 minit ini tanpa rasa kebosanan

3) Sinematografi filem ini berjaya memberi yang terbaik terutama melalui babak-babak pertempuran pedang yang yang cukup menakjubkan. Peminat filem zombie pasti menyukai babak-babak serangan zombie yang berpakaian tradisional Hanbok yang pantas, kuat dan kejam ini. Ditambah pula dengan percikan darah yang likat dan mengerikan pasti membuatkan penonton teruja.

4) Perbezaan Zombie di dalam filem ini dengan Train To Busan ialah waktu mereka aktif bergerak dan mengganas. Zombie di dalam Rampant aktif bergerak di waktu malam manakala Train To Busan pula di waktu siang. Jadi, disini anda dapat menonton pula aksi zombie versi Korea aktif di waktu malam.


Kesimpulannya, filem Rampant mempunyai ciri-ciri sebuah filem yang boleh berjaya melalui hasil kutipan tiket tetapi sangat jauh untuk mengikut jejak atau menjadi sebutan khalayak penonton seperti mana yang diperoleh oleh filem Train To Busan. Walau bagaimanapun, filem ini masih menarik dan menghiburkan untuk ditonton oleh peminat filem zombie yang dahagakan aksi-aksi ganas yang dipenuhi darah serta kemunculan mereka yang mampu mendebarkan jantung anda. Jadi, selamat menonton filem Rampant di pawagam-pawagam seluruh Malaysia dan jangan lupa kongsikan pandangan atau komen anda berkenaan filem ini di ruangan bawah. Sekian! 

P/S : Selepas Ini Ulasan Filem Halloween Pula Akan Menemui Para Pembaca. Nantikan! 

2 comments:

Wednesday, 24 October 2018

Review Filem Hunter Killer

Posted by BG Design


Filem:
Hunter Killer

Pengarah:
Donovan Marsh

Genre:
Aksi & Penggembaraan

Pelakon:
Gerard Butler, Gary Oldman, Common, Linda Cardellini, Toby Stephens,
Zane Holtz, Michael Gor, Michael Nyqvist, Alexander Diachenko, & Etc.

Penilaian:
6/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Joe Glass yang diberi mandat untuk menjadi kapten kapal selam untuk misi mencari sebuah kapal selam milik Amerika Syarikat yang hilang daripada radar selepas berada di perairan Rusia. Mengikut siasatan, pihak AS percaya hal ini terjadi kerana kapal selam mereka diserang oleh tentera laut Rusia. Namun, penemuan Joe Glass menemui satu rahsia baru apabila serangan tersebut bukan sahaja menyerang kapal selam AS tetapi juga kapal selam Rusia sendiri. Akhirnya, Joe mendapati terdapat satu cubaan rampasan kuasa yang sedang dilakukan oleh menteri pertahanan Rusia yang cuba berpaling tadah dan dalam masa yang sama turut menculik Presiden Rusia sendiri tanpa pengetahuan kerajaan Rusia. Joe akhirnya perlu bekerjasama bukan sahaja dengan pasukan U.S. Navy Seals untuk menyelamatkan presiden Rusia yang telah diculik tetapi juga perlu bekerjasama dengan tentera laut Rusia sendiri yang diselamatkan oleh pasukannya. Adakah tentera laut Rusia sanggup bekerjasama dengan Joe Glass dan pasukannya? Mampukah pasukan U.S Navi Seals menyelamatkan presiden Rusia di kawasan kubu terkuat tentera Rusia? Saksikan filem yang sarat dengan debaran dan aksi menarik ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah, terlebih dahulu aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak One World Alliance Film dan The Vocket kerana memilih aku sebagai pemenang tiket untuk tayangan perdana filem Hunter Killer yang berlangsung dengan kemeriahan ratusan manusia yang bersemangat datang menonton filem ini di GSC Pavillion pada malam 23 Oktober 2018. Melihat Gerard Butler sebagai pemain utama yang sebelum ini begitu dikenali di dalam beberapa filem seperti Den of Thieves, Geostorm, London Has Fallen, Gamer dan sebagainya memberi satu tarikan istimewa untuk aku menonton filem ini.


Selain itu, filem ini juga menjadi tarikan para kaki wayang yang menantikan Gerard Butler bergandingan dengan Gary Oldman yang merupakan pemenang anugerah Oscar bagi kategori pelakon terbaik pada tahun 2017 melalui filem Darkest Hour. Selain itu juga, filem ini turut diserikan lagi dengan penampilan daripada beberapa pelakon yang membintangi filem-filem kesukaan ramai seperti pelakon Common yang terlibat di dalam filem John Wick: Chapter 2, Linda Cardellini di dalam filem Avengers: Age of Ultron serta Toby Stephens di dalam filem Die Another Day. Lebih menjadikan filem ini filem yang ditunggu-tunggu kemunculannya di pawagam kerana ia diterbitkan oleh penerbit filem yang sebelum ini berjaya dengan filem-filem seperti Fast & Furious, Olympus Has Fallen dan London Has Fallen. Jadi, apakah keistimewaan yang ditawarkan oleh filem Hunter Killer ini buat para penonton di luar sana?


Filem-filem aksi ketenteraan terutama yang datang daripada bumi Hollywood ini selalunya tergolong di dalam kategori maha klise dimana plot ceritanya boleh diteka dengan mudah iaitu menunjukkan bagaimana wira-wira Amerika Syarikat akan diangkat dan dijulang kerana kejayaan menyelamatkan Presiden mereka daripada kes-kes penculikan, pembunuhan dan sebagainya oleh musuh-musuh atau pengganas yang menentang Amerika Syarikat. Namun, filem Hunter Killer nampaknya kali ini berjaya lari daripada kisah klise sebegitu. Plot ceritanya bertukar 360 darjah dimana wira Amerika bukan lagi menyelamatkan pemimpin utama negara mereka tetapi kali ini wira-wira ini menyelamatkan pemimpin sebuah negara yang merupakan musuh nombor satu Amerika Syarikat iaitu Rusia atas alasan dan objektif untuk menyelamatkan dunia daripada tercetusnya malapetaka besar iaitu perang dunia ketiga. Wah! Satu lagi propaganda baru yang bijak di dalam mengangkat imej dan maruah tentera Amerika Syarikat untuk dipandang mulia dan disayangi oleh masyarakat seluruh dunia apabila melihat kisah yang diwujudkan di dalam filem ini.


Filem ini sebenarnya membawa dua senario yang berasingan dimana penonton dipertontonkan dengan perjalanan dua misi yang berbeza untuk menyelesaikan satu masalah yang sama. Misi pertama dilakukan oleh pasukan kapal selam yang diketuai oleh Kapten Joe Glass yang pastinya dilakukan di bawah lautan manakala misi kedua pula berlangsung di darat yang dilakukan oleh pasukan US Navy Seals untuk menyelamatkan Presiden Rusia daripada kubu kuat tentera Rusia sebelum diserahkan kepada pasukan Joe Glass. Tetapi, aku melihat plot cerita untuk kedua-dua misi ini tidak bersatu dengan baik dimana babak pasukan US Navy Seals walaupun tidak sebanyak babak yang diberikan kepada Kapten Joe Glass dan anak-anak kapalnya, tetapi mereka secara tidak sengaja berjaya mencuri tumpuan penonton melalui babak aksi serta elemen setiakawan yang dipaparkan. Bahasa mudahnya ialah kemunculan dan aksi pasukan US Navy Seals ini telah menenggelamkan kehebatan babak kapal selam yang mendominasi kebanyakan naratif filem ini dan mencuri kemasyhuran yang sepatutnya menjadi milik Joe Glass.


Bukannya bermaksud babak di dalam kapal selam itu tidak menarik tetapi rasa itu datang sedikit lambat. Penonton terpaksa menunggu agak lama sebelum munculnya babak yang menemukan kapten kapal selam Rusia iaitu Kapten Sergei Andropov dengan Kapten Joe Glass dimana Kapten Sergei Andropov secara tidak sengaja terpaksa menyertai misi itu  demi keamanan sejagat. Ia kelihatan seperti satu pendidikan khas yang wajib buat penonton Amerika dan Rusia untuk belajar tentang kepentingan bekerjasama dalam mengekalkan keamanan walaupun versinya lebih ke arah gencatan senjata. Kelakarnya disini ialah ia berlaku melalui hubungan mata yang menyampaikan pelbagai emosi serta bantuan isyarat tangan yang memberi seribu persoalan tentang keikhlasan atau keterpaksaan yang membuatkan babak ini kelihatan lucu.


Babak-babak di bawah lautan tidak dinafikan berjaya dipaparkan di dalam keadaan realistik sebaik mungkin walaupun sesekali ia kelihatan seperti penonton sedang melihat satu permainan video peperangan. Namun, babak-babak klimaks filem ini sebenarnya banyak membantu penonton untuk lebih yakin dengan tema yang dipaparkan melalui poster filem ini dimana sentuhan terhadap babak-babak di dalam kapal selam yang kacau bilau saat dihentam gelombang letupan torpedo berjaya memberi visual kesan sebenar yang membuatkan suasana di dalamnya kelihatan hidup dan nyata. Di bahagian inilah filem ini nampak kembali menuju landasan cahaya kebenaran apabila setiap visual yang ditunjukkan seperti percikan air yang datang daripada paip yang pecah, barang-barang yang terjatuh di dalam air serta goncangan kapal yang membuatkan anak-anak kapal selam Amerika Syarikat lintang pukang itu betul-betul membantu anda sebagai penonton untuk menghayati filem ini dengan lebih baik.


Filem ini bukanlah sebuah filem aksi yang terbaik dan bukannya bermaksud filem ini tidak bernilai. Cuma perkembangan watak-watak, plot cerita serta dialog yang wujud di dalam filem ini lebih terarah kepada kebiasaan yang sering kita tonton. Dengan erti kata lain, filem ini kelihatan seperti sebuah rutin yang wajib bagi sebuah filem aksi ketenteraan. Lebih untuk difahami, konsepnya sama seperti anda menonton Gerak Khas dimana situasinya lebih terarah kepada "Yes Bos!", "Saya tahu Tuan!" dan yang seumpama dengannya. Jadi, dari satu sudut, hal ini seolah-olah merentap sedikit keseronokan sewaktu menonton filem ini.


Beberapa pelakon berjaya memberi impak postif kepada filem ini melalui watak yang dibawakan mereka. Antaranya ialah Toby Stephens, Michael Nyqvist dan Michael Gor. Manakala pelakon utamanya Gerard Butler pula yang memegang watak Kapten Joe Glass pula kelihatan sedikit sukar untuk mengekalkan momentum karakter yang dipegangnya seperti mana yang dilakukan oleh pelakon Michael Nyqvist sebagai Kapten Andropov. Manakala kemunculan Gary Oldman pula seperti tiada makna di dalam filem ini walaupun dia merupakan pemenang Oscar. Karakter wataknya tidak berjaya ditonjolkan secara maksimum disebabkan kemunculannya yang terhad di dalam filem ini. Sedikit merugikan disitu namun filem ini masih menarik dan berbaloi untuk ditonton.


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Hunter Killer pada bulan Oktober ini:

1) Sebuah filem yang sarat dengan elemen aksi dan debaran yang pastinya membuatkan anda teruja menantikan kesudahan filem ini. Babak-babak aksinya memang menarik dan berjaya dipaparkan secara realisitik di tahap yang terbaik.

2) Kisah kejayaan wira Amerika di dalam filem ini diangkat melalui plot cerita yang berbeza daripada filem-filem yang seangkatan dengannya pada tahun-tahun terbelakang. Berjaya mengurangkan budaya 'Angkat Bakul Sendiri' dengan menggunakan taktik psikologi untuk membuatkan penonton berasa kagum dan menyukai 'kasih sayang' yang diamalkan oleh pihak Amerika Syarikat. 

3) Plot cerita yang mudah dan bergerak dengan momentum menaik yang sekata membuatkan anda mudah untuk mengikuti dan memahami kisah yang disampaikan di dalamfilem ini.


Jadi, selamat menonton filem Hunter Killer di pawagam berhampiran anda dan jangan lupa kongsikan pandangan atau komen anda berkenaan filem ini di ruangan bawah. Sekian! 

P/S : Alhamdulillah Para Pemenang Bertuah Yang Memenangi Tiket Filem Hunter Killer Selepas Menyertai Peraduan Mudah Anjuran Blog Rollo De Pelicula Di Facebook Menyukai Dan Memberi Komen Positif Terhadap Filem Ini. Tak Sia-Sia Datang Ke GSC Pavillion Kan?

P/S : Jangan Lupa Sertai Peraduan Seterusnya Di Facebook Rollo De Pelicula Untuk Menang Tiket Filem Kung Fu League Pula :)

6 comments:

Review Filem First Man

Posted by BG Design


Filem:
First Man

Pengarah:
Damien Chazelle

Genre:
Biografi, Drama & Sejarah

Pelakon:
Ryan Gosling, Claire Foy, Corey Stoll, Kyle Chandler, Jason Clarke, & Etc.

Penilaian:
6/10

Sinopsis:

Filem drama biografi ini mengisahkan tentang angkasawan terkenal di dunia iaitu Neil Armstrong dan pengembaraannya dalam menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan pada tarikh 20 Julai 1969. Filem ini memberi fokus kepada tahun-tahun sebelum misi Apollo 11 pada tahun 1969 dan menyingkap kisah kehidupan Neil Armstrong serta keluarga dan rakan-rakannya. Saksikan filem ini untuk anda lebih mengenali kehidupan Neil Armstrong di sebalik kegemilangan namanya yang dikenali seluruh dunia di pawagam berdekatan anda. 

Ulasan Hans:

Aku berkesempatan menonton filem First Man di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada tanggal 22 Oktober 2018 yang lepas. Nampaknya kali ini aku agak berbelah bahagi dengan kehebatan filem ini. Ada beberapa elemen yang aku suka dan ada juga sebaliknya. Diakui filem ini sebenarnya bukan sebuah filem yang boleh dihadam atau diterima oleh semua orang.


Permulaan filem ini menceritakan secara mendalam kerjaya dan kehidupan sebenar Neil Armstrong dan keluarganya. Konflik mula kelihatan apabila anak perempuannya meninggal dunia kerana menghidap penyakit ketumbuhan. Kematian anaknya ini memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan Armstrong dan secara tidak langsung menjejaskan hubungannya dengan isteri dan anak-anak lelakinya. Jadi, dia mengambil keputusan untuk tekad menyertai program angkasawan untuk cuba menghilangkan rasa kesal dan sedih yang sentiasa bersarang dalam sanubarinya itu. Disini dapat dilihat beberapa kisah dan konflik yang dipilih dan diangkat dari dalam novel untuk dimasukkan ke dalam perjalanan cerita filem ini bagi aku sudah menarik. Cuma cara penyampaiannya membuatkan aku terasa begitu lama menonton filem ini seperti lamanya kita menantikan untuk Malaysia mempunyai angkasawannya sendiri suatu ketika dahulu. Beberapa bahagian ceritanya agak perlahan dan adakala emosi yang disampaikan Armstrong tidak menuju tepat kepada penonton sehinggalah ke pertengahan cerita.


Kelemahan filem ini yang paling ketara ialah momentum penceritaannya yang terlampau perlahan. Tambahan pula filem ini cuba memaparkan perwatakan karakter Neil Armstrong secara paling realistik semaksimum mungkin tetapi malangnya individu bernama Neil Armstrong ini merupakan seorang manusia yang turut mempunyai banyak kelemahan, sering memendam rasa, tidak banyak bercakap dan terperangkap di dalam emosi dalamannya. Ini menjadikan perwatakan karakter Amstrong yang nyata ini menimbulkan satu rasa bosan kepada penonton yang menonton filem ini. Ini bukan salah pelakon tetapi ini adalah hakikat sebenar siapa manusia bernama Neil Armstrong dan penonton harus menerima apa yang dipertontonkan itu secara toleransi yang mungkin. 


Antara babak-babak yang menarik perhatian sepanjang menonton filem First Man ini ialah :

1) Babak isteri Armstrong iaitu Janet meluahkan kegeraman dan perasaannya kepada suaminya dengan memaksa Armstrong untuk bercakap dan memberitahu anak-anak mereka tentang kemungkinan dia tidak akan pulang ke bumi semula selepas ekspedisi ke bulan. Babak ini bagi aku cukup kuat dalam memberi kesan emosi dan mencorakkan keseluruhan filem ini.  

2) Babak-babak latihan serta ujikaji sepanjang Armstrong dan rakan-rakannya berada di NASA sehingga mengorbankan tiga rakan Armstrong juga sangat menarik kerana ia membawa satu sisi lain berkenaan kelemahan NASA pada waktu awal mereka bersaing dengan pihak Soviet. Selain itu juga, bagaimana elemen propaganda dipertontonkan di dalam filem ini juga menggunakan gaya baru dimana tiada pacakan bendera Amerika di lakukan di atas permukaan bulan. Selain itu, babak filem ini yang menunjukkan bagaimana misi ke bulan ini ditentang sebilangan rakyat dan ahli pembangkang juga sangat menarik untuk dilihat dari sudut politik.  

3) Babak-babak yang menunjukkan perjalanan program Gemini, program Apollo serta kematian beberapa calon angkasawan berjaya disampaikan penceritaannya dengan agak teliti dan mudah difahami.


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem First Man pada bulan Oktober ini:

1) Filem ini memaparkan sisi kehidupan Neil Armstrong yang kebanyakan daripada kita tidak kenali. Kita hanya tahu dia ialah manusia pertama yang menjejakkan kaki ke bulan dan kebanyakkan orang beranggapan insan ini pasti mempunyai sesuatu yang gah dan menarik di dalam dirinya seperti mana tokoh-tokoh hebat yang lain. Namun filem ini berjaya membongkarkan sisi lain seorang lelaki bernama Neil Armstrong yang boleh kita anggap sebagai insan yang secara kebetulan terpilih menjadi angkasawan selepas kematian anak perempuannya yang banyak memberikan motivasi kepada lelaki ini untuk menghilangkan tekanan serta gangguan emosinya dengan memilih bidang angkasawan.

2) Teknologi, kesan khas CGI dan props yang dipertontonkan sememangnya tidak kelihatan canggih atau seperti kita menonton filem-filem yang diterbitkan di tahun 2018. Tetapi, ini menunjukkan gambaran yang baik dan menepati latar belakang dan suasana di era tahun 60-an dimana penonton dapat melihat rupa dan kecanggihan teknologi pesawat pada tahun tersebut serta bagaimana keadaan kokpit pesawat dan wajah NASA yang masih bergelut untuk mengejar teknologi yang didahului oleh negara Soviet sebelum itu.

3) Merasai sendiri bagaimana rasa kesunyian dan keheningan saat apabila anda berada di ruang angkasa lepas bertempat di kawasan darat bulan. Sangat cantik babak ini divisualkan dimana Neil Armstrong jelas merasa kesepian dan kesedihan saat menjejakkan kaki ke bulan dimana ia bertentangan dengan keinginan penduduk Bumi lain yang seolah-olah merasakan bulan adalah satu objek yang indah. Babak ini memang cantik kerana reaksi Armstrong bergabung dengan fizikal bulan yang berlubang-lubang itu serta berlatar belakangkan suasana yang sepi dan cahaya yang minimun menjadikan babak ini menyampaikan satu definisi yang sangat menarik buat penonton


Jika anda berminat untuk menonton filem First Man ini, maka siapkan fizikal dan mental anda serta fahami betul-betul konsep filem ini supaya anda tidak kecundang sewaktu berada di dalam panggung wayang nanti. Jadi, selamat menonton filem ini di pawagam berhampiran anda dan jangan lupa kongsikan pandangan atau komen anda berkenaan filem ini di ruangan bawah. Sekian! 

P/S : In Sha Allah Esok Jika Berkesempatan Akan Ada Ulasan Untuk Filem Korea Berjudul Rampant. Nantikan!

2 comments:

Monday, 22 October 2018

Review Filem Papillon

Posted by BG Design


Filem:
Papillon

Pengarah:
Michael Noer

Genre:
Biografi, Jenayah & Drama

Pelakon:
Charlie Hunnam, Rami Malek, Roland Moller, Tommy Flanagan, Eve Hewson,
Michael Socha, Nina Senicar, Christopher Fairbank, Brian Vernel & Etc.

Penilaian:
7/10

Sinopsis:

Filem ini diinspirasikan daripada sebuah kisah benar yang diadaptasi daripada sebuah buku autobiografi terlaris dengan judul yang sama. Ia mengisahkan seorang lelaki bernama Henri 'Papillon' Charriere, seorang pemecah peti besi keselamatan yang bergiat akfit di Paris. Dia telah ditangkap oleh pihak polis selepas diperangkap oleh pembeli barang curinya yang mendakwa Papillon terlibat di dalam satu kes bunuh. Papillon dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan di hantar ke sebuah kem penjara di Amerika Selatan. Untuk kembali bebas, dia merancang untuk melarikan diri dari penjara dan cuba bekerjasama dengan seorang pemalsu barang iaitu Louis Dega. Dega bersetuju untuk membiayai Papillon untuk melarikan diri dari penjara sebagai pertukaran untuk perlindungan keselematannya sewaktu berada dalam tahanan. Namun, mampukah Papillon melarikan diri daripada kem penjara yang terbukti belum pernah menyaksikan mana-mana banduannya dapat melepaskan diri hidup-hidup? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui kisah Papillon yang cukup menarik ini.

Ulasan Hans:

Melihat trailer filem Papillon sememangnya membuatkan aku tidak sabar untuk menonton karya arahan pengarah Michael Noer ini. Tambahan lagi filem ini diadaptasi daripada kisah sebenar dan ini membuatkan aku semakin berasa teruja untuk menonton filem hebat ini di TGV Cinemas The Mines pada tanggal 21 Oktober 2018 yang lepas. Sememangnya pada pandangan awal, filem ini amat menarik untuk ditonton kerana mempunyai beberapa babak bersifat gore yang meyakinkan dan lebih menyeronokkan apabila kelihatannya seperti tiada sebarang potongan babak kerana beberapa adegan yang menunjukkan punggung para pelakonnya bebas ditayangkan tanpa dikaburkan atau dipotong.


Aku tidak pernah menonton karya asal Papillon yang diterbitkan pada tahun 1973 dimana ramai penonton memuja lakonan Steve McQueen dan Dustin Hoffman yang sedang berada di puncak populariti pada ketika itu. Jadi, ulasan aku disini sememangnya lahir melalui pandangan pertama aku sepanjang menonton Papillon versi 2018 tanpa ada perbandingan dengan filem terdahulu. Bagi aku, Charlie Hunnam berjaya menterjemahkan watak Papi dengan caranya yang tersendiri dan skrip cerita ini banyak membantu watak ini untuk berkembang dengan lebih baik dari masa ke semasa. Sayangnya, momentum positif watak Papi ini tidak dapat disokong oleh watak Louis Dega yang dilakonkan oleh Rami Malek kerana plot cerita ini tidak membantu watak ini berkembang seperti mana watak Papi. Sebaliknya, watak-watak pembantu dan watak sokongan yang diberi perhatian lebih sehingga menjadikan watak Dega ini kelihatan agak tenggelam, terlalu  misteri dan tidak kuat untuk menyokong perilaku dan sikap Papi yang sentiasa membelanya. Sebenarnya, permulaan awal filem ini sebenarnya sudah mula menunjukkan perkembangan kisah yang menarik apabila dua watak utama ini bertembung. Papi seorang yang berani dan bersikap rasional manakala Dega seorang yang angkuh, bodoh sombong dan lemah. Namun, sayang sekali apabila watak Dega ini tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan menjadikan beberapa babak selepas itu yang melibatkan Papi dan Dega agak berkecamuk dan mengelirukan untuk difahami dengan sebaik mungkin.     


Filem yang memaparkan kehidupan watak-wataknya berada di penjara ini sebenarnya sangat menarik bagi aku jika kisahnya dapat digubah dengan baik seperti mana yang anda dapat tonton di dalam filem The Shawshank Redemption yang diterbitkan pada tahun 1994. Faktor-faktor yang menjadikan jalan cerita sesebuah filem yang berkonsepkan kehidupan penjara ini menjadi menarik apabila pada permulaannya plot cerita berjaya menunjukkan bagaimana watak utama ini bersiap sedia dan berhempas pula mencari pelbagai cara untuk menghadapi atau mengelakkan dirinya daripada dibuli, dipukul atau dicederakan oleh banduan lain secara fizikal mahu pun mental. Kemudian, plot diteruskan pula dengan bagaimana langkah seterusnya yang diambil oleh watak utama ini untuk mencari rakan-rakan sekutu serta rakan sebilik yang terbaik dan memenuhi kriteria untuk keselamatan diri dan juga menguntungkan dirinya daripada pelbagai sudut. Seterusnya ialah watak utama ini perlu tahu dan memahami undang-undang yang ditetapkan oleh pihak penjara serta undang-undang ciptaan banduan yang terdapat di dalam kawasan itu sendiri. Melalui kesemua faktor-faktor tersebut, dapat dilihat watak Papi telah berjaya memenuhi kesemuanya tetapi sokongan yang lemah daripada watak Dega pasti sentiasa membuatkan penonton keliru dengan sikap serta tindakan yang dipilih oleh Papillon sepanjang filem ini berlangsung di layar perak.


Filem ini sebenarnya bermula dengan cinta. Papillon ingin merdeka demi mengejar cintanya. Dia sebenarnya bertambah takut apabila mendapat tahu kekasih Dega yang sebelum ini begitu bersungguh-sungguh ingin membebaskan Dega daripada penjara akhirnya berkahwin dengan lelaki lain. Namun lama kelamaan Papillon sedar hidup yang bermakna bukan hanya perlukan cinta tetapi perlukan kebebasan dimana setiap manusia ada hak untuk merasai hari-hari yang menenangkan dan menentukan hala tuju hidup sendiri mengikut apa yang dirancangkan. Papillon sudah tidak sanggup menjadi manusia yang menyerah kepada takdir apabila melihat ramai banduan yang hanya berserah pada nasib dan kemudian menghadapi tekanan sehingga akhirnya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Perkataan Papillon itu datangnya daripada tatu berbentuk rama-rama yang berada di dada Henri Charriere yang menggambarkan sebagai insan yang sukakan kebebasan. Watak Papillon ini digambarkan sebagai seorang yang sangat pintar, degil dan setia kepada persahabatannya. Paling menarik apabila melihat betapa tingginya kekuatan mental dan rohani yang dimiliki watak Papi ini yang mampu bertahan hidup bertahun-tahun di dalam penjara dimana dia langsung tidak dibenarkan membuat sebarang bunyi. Paling tragis makanan dan airnya dicatu oleh pegawai penjaran yang berdendam dengan sikapnya yang setia kepada rakannya yang membantu.


Satu perkara yang menarik apabila melihat pelakon Charlie Hunnam sanggup menghilangkan berat badan dalam jumlah yang banyak untuk tampil dalam keadaan kurus di dalam visual demi menjayakan wataknya sebagai Papi yang ditahan di dalam penjara selama dua tahun tanpa makanan dan minuman yang cukup. Ia didatangkan dengan tiga versi berbeza bermula dengan tubuh yang tegap dan kemudian ditunjukkan penyusutan berat dan saiz badan yang kurus sebelum ia menjadi lebih tragis dimana Charlie Hunnam tampil dalam keadaan seperti manusia yang kebuluran semata-mata untuk memenuhi tuntutan wataknya pada babak itu. Sesuatu yang mengagumkan aku atas usaha gigih yang dilakukannya ini.


Aku cukup sukakan babak-babak gore filem ini yang nampak sangat realistik, mengerikan dan membuatkan watak-watak utamanya kelihatan sangat hebat. Bermula dengan babak pembunuhan awal di atas kapal yang memang mengerikan dan ditambah pula dengan babak-babak pergaduhan di kawasan bilik air sehingga tiba ke babak kepala banduan yang melarikan di penggal kepala dengan alatan pisau besar yang memang membantu menunjukkan betapa kejamnya kehidupan yang perlu dialami oleh mereka di penjara terpencil tersebut.


Permulaan kisah penjara dimulakan dengan cantik sewaktu babak seorang pegawai pemerintah tertinggi penjara membacakan senarai peraturan awal dan hukuman yang bakal dihadapi oleh para banduan andai mereka melarikan diri daripada penjara. Ini merupakan inti pati utama kisah yang membentuk perjalanan filem ini. Percuba pertama melarikan diri akan dimasukkan di dalam penjara secara bersendirian selama dua tahun. Percuba kedua melarikan diri pula akan dikenakan hukuman penjara sendirian selama lima tahun. Manakala jika sekali lagi ditangkap maka akan terus dipindahkan sebuah pulau yang dikenali sebagai Pulau Devil dimana tempat terakhir banduan dan tiada langsung peluang untuk melarikan diri. Selepas itu ditunjukkan babak banduan yang mati ditembak sebelum dipaparkan pula salah seorang rakan Papi mati dipenggal di hadapan banduan-banduan yang lain sehingga membuatkan anda sebagai penonton pasti beranggapan Papi pasti akan berputus asa untuk memasang impian melarikan diri daripada neraka dunia tersebut. Namun plot ceritanya disusun kemas dan cantik dengan memaparkan banyak persoalan dan perubahan plot yang tidak dijangka dimana tindakan ini berjaya menerbitkan simpati yang cukup tinggi daripada penonton buat watak Papi ini. Pasa masa yang sama, anda akan berasa terlalu ingin menyumpah watak-watak pegawai penjara yang sememangnya kejam dan tidak berhati perut semasa mereka melayan Papi seperti binatang sewaktu Papi diseksa di dalam penjara secara sendirian. Bagaimana cantiknya juga kisah ini disusun untuk menunjukkan kepentingan dua watak utama iaitu Papi dan Dega ini saling berhubung kait juga memberi warna tambahan kepada filem ini. Papi memerlukan Dega kerana lelaki itu sahaja peluangnya untuk melepaskan diri kerana Dega mempunyai wang. Manakala Dega memerlukan Papi untuk memberi perlindungan kepadanya daripada banduan-banduan lain.


Jadi, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Papillon pada bulan Oktober ini:

1) Papillon menawarkan sebuah naratif filem yang menarik dimana membuatkan anda sebagai penonton lebih dekat dengan kehidupan banduan yang tidak bersalah. Paling menarik filem ini berjaya menyampaikan penderitaan fizikal dan mental yang dialami oleh watak Papi kepada anda terutamanya pada babak Papi ditahan di sel penjara secara sendirian selama dua tahun tanpa boleh bercakap atau berbuat bising. Serius, anda pasti berasa sangat bersyukur dapat bercakap dengan bebas tanpa halangan selepas menonton filem ini.

2) Beberapa perubahan atau twist plot yang diluar jangkaan juga bakal menjadikan anda makin teruja untuk menyaksikan apakah kesudahan kehidupan yang bakal dilalui Papi pada pengakhirannya. Adakalanya anda akan berasa Papi bakal bebas dan beroleh kebahagiaan yang dicari tetapi dalam waktu yang singkat tanggapan anda direntap dan anda kembali dipaksa menonton penderitaan Papi secara berterusan. Hal ini sentiasa berubah-ubah dan membuatkan filem ini tidak bosan untuk anda tonton sehingga penamatnya. 

3) Babak-babak pergaduhan serta pembunuhan yang bersifat gore juga menjadikan filem ini mempunyai versi 'kegembiraannya' yang tersendiri dan bakal membuatkan anda berasa ngilu, seram atau memejamkan mata sewaktu menyaksikan senjata tajam atau hirisan bilah pisau yang menghiris dan merobek bahagian-bahagian anggota badan banduan-banduan yang terpilih di dalam filem ini,

4) Filem ini juga berjaya memaparkan suasana sebenar kehidupan di dalam penjara yang dipenuhi pelbagai ancaman sama ada dari segi nyawa, seks, maruah serta hak sebenar anda sebagai manusia yang telah diragut seusai anda diberi gelaran banduan.   


Ramai penonton dari luar negara yang mengkritik bahawa filem Papillon versi 2018 ini tidak perlu wujud kerana tiada keperluan dan tidak setanding dengan filem Papillon versi 1973. Namun, rasanya tiada masalah buat sesiapa yang baru kali pertama mengetahui kewujudan filem ini untuk menonton karya ini di pawagam. Sebuah filem yang menarik, ada isi yang bernas dan dipenuhi dengan pelbagai elemen persahabatan dan kehidupan yang menjadikan filem ini bermakna dan berbaloi untuk ditonton di pawagam. Jadi, selamat menonton filem Papillon di pawagam berhampiran anda dan jangan lupa kongsikan pandangan atau komen anda berkenaan filem ini di ruangan bawah. Sekian! 

P/S : Filem Apa Pula Yang Anda Mahu Baca Ulasannya Di Blog Ini? Kongsikan Di Ruangan Komen :) 

4 comments: