Monday, 17 September 2018

Review Sebelum Iblis Menjemput

Posted by BG Design


Filem:
Sebelum Iblis Menjemput

Penilaian:
8 / 10

Pengarah & Penulis:
Timo Tjahjanto 

Genre:
Seram

Pelakon:
Chelsea Islan, Pevita Pearce, Ray Sahetapy, Karina Suwandhi, Samo Rafael,
Hadijah Shahab, Ruth Marini, Kinaryosih, Clara Bernadeth, Nicole Rossi & Etc

Tarikh Tayangan:
20 September 2018

Terbitan:
Sky Media, Legacy Pictures & Ideate Media

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang seorang gadis bernama Alfie yang mempunyai kisah silam yang tragis. Alfie membesar dan berdikari sendiri selepas bapanya, Lesmana meninggalkan Alfie apabilaibunya Intan meninggal dunia secara misteri. Manakala bapanya berkahwin dengan seorang wanita muda, Laskmi yang mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan sebelum ini iaitu Mira dan Ruben. Setelah sekian lama hidup sendirian, Alfie menerima berita bahawa Lesmana jatuh sakit dan sedang tenat di hospital gara-gara penyakit misteri yang begitu menjijikkan. Situasi seram yang dialami oleh Alfie sewaktu dia berada di hospital membuatkan dia nekad mahu mencari punca mengapa bapanya jatuh sakit secara misteri dan kekayaannya mula hilang. Alfie kemudian melawat villa lama keluarga mereka dan disana dia menjumpai ibu tiri dan adik beradik tirinya yang cuba mencari harta peninggalan Lesmana yang masih berada di villa tersebut. Namun kejadian misteri mula berlaku apabila mereka berlima mula diganggu oleh sesuatu yang menakutkan setelah mereka membuka sebuah pintu yang telah lama dikunci. Alfie mula mendapat tahu gangguan tersebut ada kaitan dengan bapanya iaitu Lesmana. Apa sebenarnya yang terjadi? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran untuk menikmati keseraman yang menakutkan.

Ulasan:

Sebelum Iblis Menjemput merupakan filem genre seram hasil garapan sutradara tersohor Indonesia iaitu Timo Tjahjanto dan merupakan filem pertamanya yang berjaya memasuki pasaran Malaysia tanpa sebarang potongan. Sebelum ini, filem-filemnya seperti Rumah Dara, Killers dan Headshot tidak dapat ditayangkan di Malaysia kerana mempunyai elemen-elemen seperti psiko, gore dan jenayah yang agak keterlaluan dan tidak sesuai untuk tayangan di Malaysia. Namun karya-karya Timo sebenarnya sudah mempunyai pengikut dan peminat tersendiri di Malaysia. 


Filem yang menjalani penggambaran selama 30 hari ini di sekitar kawasan Jakarta dan Puncak Bogor telah pun ditayang lebih awal di Indonesia iaitu pada 9 Ogos yang lalu dan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada masyarakat di sana kerana dikhabarkan jumlah penontonnya disana sahaja sudah melebihi 1.12 juta. Apa yang lebih menarik filem Sebelum Iblis Menjemput ini juga bakal mengadakan beberapa tayangan perdana sempena festival filem antarabangsa seperti Fantastic Fest 2018, Austin dan BFI London Film Festival.


Alhamdulillah, aku dijemput menghadiri tayangan perdana filem Sebelum Iblis Menjemput bertempat di Mmcineplexes, Damansara pada 13 September 2018 yang lepas. Sejujurnya, aku memang tidak mengenali atau pernah menonton karya-karya daripada Timo Tjahjanto sebelum ini. Aku juga ada menonton trailer filem ini terlebih dahulu sebelum menonton dan aku juga tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap filem ini. Sekadar datang untuk menikmati dan menguji keseraman filem ini tetapi rupa-rupanya aku silap kerana filem ini mempunyai sesuatu yang berjaya memberi daya tarikan kepada aku untuk menontonnya dengan penuh khusyuk sehingga ke babak akhir filem.


Aku suka permulaan awal filem ini yang walaupun kelihatan perlahan tetapi memaparkan perjanjian antara manusia dan iblis yang bagi aku cukup menarik menggunakan perlambangan seperti wang kertas, rambut dan kambing hitam. Disini dapat kita lihat dua kemahuan daripada dua pihak yang berbeza. Manusia suka dan sangat gilakan dengan kertas yang bercetakkan gambar dan mempunyai nilai iaitu wang. Kambing hitam pula sebagai perlambangan terhadap sistem hamba dimana iblis sememangnya cukup gembira apabila manusia yang sepatutnya menyerahkan sepenuh hati dan jiwa sebagai hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa beralih arah dengan sanggup memilih untuk syirik dan menyembah iblis demi kekayaan dunia. Manakala perlambangan segumpal rambut pula merujuk kepada satu perjanjian halus yang tampak kecil dan mudah tetapi sebenarnya sangat merimaskan dan menyeksa diri pada kemudian hari.


Aku juga cukup sukakan kisah ceritanya yang berpaksikan kepada logik watak dan naratifnya. Logik yang dimaksudkan disini bukan lah logik menggunakan akal dan realiti semata-mata seperti yang sering kali di salah ertikan oleh penonton-penonton tempatan sebelum ini. Tetapi, logik ini merujuk kepada setiap babak yang dipertontonkan pasti saling melengkapi antara satu sama lain dan menyokong perkembangan setiap watak yang terlibat di dalam filem ini. Sebagai contoh, pada permulaannya ditunjukkan watak Alfie yang hebat dan pantas menyeluk saku seorang lelaki gila seks di dalam salah satu babak awal di dalam keretapi. Dan kemahiran ini sekali lagi ditunjukkan pada babak-babak klimaks yang membuatkan kita tidak ada persoalan terhadap kelebihan watak ini kerana ia telah pun ditunjukkan lebih awal. Jadi, logiknya dapat dilihat disitu dan kita sendiri menyokong babak tersebut tanpa ada sebarang bantahan atau persoalan lain.


Aku juga cukup suka disini untuk memberi sedikit maklum balas terhadap pandangan segelintir penonton-penonton filem di Malaysia yang mengatakan filem seram perlu sentiasa dalam keadaan gelap dan juga perlu mempertaruhkan kesan bunyi yang kuat atau 'jumpscare' supaya penonton berasa takut dan untuk mengekalkan momentum seram sepanjang tayangan berlangsung. Jika anda beranggapan sedemikian maka filem ini secara keseluruhannya berjaya mematahkan hujah anda seratus peratus kerana filem ini tampil seram dengan gaya bertentangan dengan pandangan majoriti penonton filem seram Malaysia. Tidak perlukan latar bunyi yang kuat dan membingitkan sepanjang masa. Tidak perlu menggunakan terlalu banyak jumpscare yang tidak berkaitan dengan babak. Paling penting bijak menipu penonton yang tidak dapat mengjangka atau bersedia untuk berhadapan dengan babak yang mengerikan. Hahaha!


Namun, seperti biasa filem seram ini masih tidak mampu lari daripada beberapa babak  yang kelihatan agak cliche atau tidak masuk akal yang sering kita tonton di dalam mana-mana filem bergenre seram. Babak yang aku maksudkan di dalam filem ini ialah babak-babak yang pelakonnya kelihatan terlebih acah-acah berani seperti membuka pintu almari yang bersuara, menjenguk ke bawah katil untuk melihat siapa di bawah, babak Alfie dan Mira yang berjalan di waktu malam untuk meminta bantuan di kala hujan lebat mencurah-curah dan babak pertemuan kekasih Ruben dan Mira di dalam kereta pada waktu siang. Babak-babak seperti ini sudah boleh dijangkakan pengakhirannya tetapi nasib diselamatkan dengan banyak babak lain yang lebih tinggi nilai idealistik dan seninya.


Sinematografi serta penataan cahaya untuk filem ini bagi aku menarik, kemas dan selesa untuk ditonton sebagai sebuah filem seram yang berkualiti dan punya citarasa yang tersendiri. Aku juga cukup suka dengan hasil solekan serta props yang digunakan di dalam filem ini. Sampai sekarang aku masih teringat wajah seram ibu tiri Alfie yang sangat menggerunkan dan menyeramkan. Tidak lupa juga dengan kalungan seperti upacara sihir Voodoo yang bagi aku berjaya menambahkan lagi rasa gerun menonton filem ini. 


Satu perkara yang aku ingin puji berkaitan filem ini ialah rupa darah atau muntahan darah daripada pelakon-pelakonnya yang dirasuk. Hitam! Pekat! Likat! Kelihatan hanyir! Serius aku memang rasa kagum sebab nampak betul-betul nyata, jijik dan menggelikan. Bermula daripada babak di hospital yang mempertaruhkan elemen ini sehingga babak kerasukan dan membawa kepada akhir sememangnya membantu filem ini tampak lebih gerun dan menyiksakan jiwa penonton yang melihatkan penderitaan para pelakon di dalam filem ini. 


Hasil kerja kamera juga sangat menarik dengan bijak memanfaatkan sudut-sudut menarik untuk menjadikan kemunculan hantu-hantu di dalam filem tampil dengan gah dan cukup profesional. Antara babak kemunculan hantu kegemaran aku di dalam filem ini ialah babak almari, pintu dan juga permulaan awal ibu tiri Alfie dirasuk. Sangat membuatkan aku teruja! Oh, aku juga ingin kongsikan pandangan peribadi aku berkaitan ciri-ciri hantu yang terdapat di dalam filem ini. Identiti hantu ini aku rasa telah melalui proses asimilasi yang berjaya kerana ada ciri-ciri hantu yang menarik seperti Ju On (Jepun), Zombi (Versi Korea), The Exorcist (Hollywood) serta hantu tempatan sendiri yang membuatkan pergerakan, percakapan dan emosinya cukup mengagumkan dan menakutkan. 


Filem ini bukan sekadar menjual elemen seram semata-mata tetapi filem ini menjadi menarik kerana beberapa elemen lain yang dimasukkan dan kena dengan perjalanan cerita. Filem ini ada kisah misterinya. Filem ini ada kisah keluarga yang agak melodrama. Filem ini juga menampilkan elemen psiko yang membuatkan penonton tidak senang duduk. Paling penting ialah elemen-elemen jijik berkaitan darah, seksaan, kepala tercabut, kaki dan tangan patah dan pelbagai lagi menjadi filem ini merupakan salah sebuah filem seram yang terbaik untuk ditonton pada bulan September 2018 ini.


Jadi, disini aku juga ingin senaraikan beberapa sebab kenapa filem ini perlu ditonton oleh anda semua :

1) Filem bergenre seram yang bukan sekadar mahu menakutkan penonton dengan elemen seram semata-mata tetapi juga bijak membawakan mesej tersendiri berkaitan kejahatan iblis yang sombong dan hubung kaitnya kepada manusia yang terlalu bertuhankan kekayaan

2) Untuk kaki wayang yang suka menonton filem seram, aku yakin filem ini pasti berbaloi dengan duit tiket anda. Kalau tak berbaloi jangan minta 'refund' pula. Hahaha!

3) Kalau anda nak tengok kehebatan 'pelakon-pelakon Malaysia' berlakon di dalam filem seram, inilah filemnya. Dalam filem ini ada kembar Rosyam Nor, Sofia Jane, Elyana dan Nina Iskandar. Hahaha! 


Berpeluang menonton filem Sebelum Iblis Menjemput ini lebih awal membuatkan aku rasa sangat berpuas hati. Secara jujurnya, kalau diminta untuk membeli tiket pun aku masih sanggup kerana karya Timo ini sememangnya mantap dengan menggunakan perlambangan rambut yang bagi aku sangat kreatif. Secara tidak langsung filem ini membuktikan bahawa filem seram tidak perlu sentiasa berada dalam kegelapan atau menggunakan kesan bunyi yang bingit untuk membuatkan penonton terkejut atau berasa seram. Jadi, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran anda dan aku yakin filem ini pasti mampu membuatkan anda tersenyum puas hati usai keluar daripada panggung wayang. Sekian.

P/S : Baru Selesai Menonton Filem Johnny English Strikes Again. Masih Menghiburkan Tetapi Jika Ada Lagi Sambungannya Aku Tidak Pasti Lawak Kitar Semula Versi Mr Bean Ini Mampu Lagi Atau Tidak Untuk Menghiburkan Penonton Tempatan.

8 comments:

  1. Ya xfhm knapa crita seram xnak buka lampu ..dgn rmh area bandar pon selalu gelap..yg kg pon sama

    So cite ni banyak lampu ke hans?

    ReplyDelete
    Replies
    1. yer lampu banyak
      tapi tetap seram melampau
      hehehe

      Delete
  2. Kelihatan seram betul cerita ni. Nampaknya nak tengok kena ajak otomen taro skali ni. Hehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha
      ajak yang suami si Zayani ke apa tu...confirm dia menangis tengok filem nih
      hahaha

      Delete
  3. Jujur,anda pasti sukar tidur malam selepas menghadam naskah ini. Antara filem seram terbaik! Syabas!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah saya tak ada masalah tidur malam tetapi filem ini memang menyeramkan
      hehehe

      Delete