Review Filem Hell Fest
Posted by BG Design
Filem:
Hell Fest
Pengarah:
Gregory Plotkin
Genre:
Seram
Pelakon:
Bex Taylor-Klaus, Amy Forsyth, Reign Edwards, Tony Todd, Christian James & Etc.
Penilaian:
6/10
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pelajar perempuan bernama Natalie yang bertemu rakan baiknya sewaktu kanak-kanak iaitu Brooke serta rakan sebiliknya yang kurang digemari iaitu Taylor. Mereka berdua mengajak Natalie menyertai mereka serta tiga lagi rakan lelaki untuk mengunjungi sebuah taman tema yang cukup terkenal iaitu Hell Fest. Tanpa disedari kehadiran mereka berenam telah menjadi tumpuan seorang pembunuh bersiri bertopeng yang menjadikan taman tema hiburan itu sebagai tempatnya mengganas setiap tahun. Pembunuh bersiri itu kemudian mula menyerang dan cuba membunuh mereka berenam di taman tema tersebut. Malangnya, kebanyakkan pengunjung disitu menganggap kejadian tersebut hanya sebahagian daripada gimik persembahan disana. Mampukah mereka menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa pembunuhan pembunuh topeng bersiri tersebut? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda untuk mendapatkan jawapannya.
Ulasan Hans:
Alhamdulillah aku mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan ekslusif filem Hell Fest yang bertempat di TGV Sunway Pyramid pada tanggal 26 September 2018 yang lepas. Menonton filem ini melalui trailer sahaja sudah memadai untuk anda mengetahui filem ini berkonsepkan seram psikologi dimana ia lebih terarah kepada kategori filem slasher yang penuh dengan adegan-adengan pembunuhan yang ngeri dan kejam.
Filem bergenre seperti ini selalunya memakai formula yang lebih kurang sama iaitu menggunakan sekumpulan remaja sama ada yang bersifat nakal, naif atau terlalu memikirkan untuk bergembira semata-mata sebelum kejadian ngeri yang menjadi mimpi buruk mula melanda mereka satu persatu. Ini juga dapat dilihat di dalam filem Hell Fest ini dimana naratifnya sudah boleh diramal. Anda pasti mudah memahami naratif ceritanya yang tidak berselirat, bercabang atau bergulungan kerana plot ceritanya bergerak sehala sahaja. Tetapi, filem-filem sebegini pasti memberikan persoalan berkenaan siapakah pembunuh bertopeng ini dan apakah motif utama beliau membunuh?
Filem ini pasti akan membuatkan anda sentiasa berada di dalam keadaan yang tegang, cemas dan seram kerana elemen kejutan serta kaedah membunuh yang begitu mengerikan berjaya dipaparkan dengan cukup menarik di dalam filem ini. Membunuh menggunakan pisau atau kapak adalah perkara yang biasa di lihat di dalam filem-filem berkonsepkan seram thriller seperti ini tetapi satu babak yang menunjukkan pembunuh bertopeng ini menggunakan jarum suntikan untuk membunuh mangsa dengan menikamnya di mata adalah salah satu babak yang amat mengerikan dan dalam masa yang sama bakal membuatkan ada tidak senang duduk di atas kerusi sepanjang menonton filem Hell Fest ini.
Filem ini juga memberikan fokus kepada salah satu penyakit mental yang berbahaya iaitu psikopat yang merupakan salah satu penyakit jiwa yang serius dimana pelakunya tidak mempunyai sifat simpati atas rasa sakit atau kedukaan orang lain. Watak pembunuh bertopeng di dalam filem ini juga dipertontonkan sebagai seorang manusia yang mempunyai sifat dendam yang tinggi yang menimbulkan kemarahan melampau sehingga tidak dapat dikawal apabila ada individu-individu yang tidak menghormati atau memandang rendah terhadap dirinya. Namun di penghujung filem ini juga anda akan melihat sisi lain pembunuh bersiri bertopeng ini yang akan membuatkan anda tertanya-tanya kenapa dia gemar membunuh mangsanya di taman tema Hell Fest.
Satu perkara yang betul-betul menarik di dalam filem ini dan wajar diberikan pujian menggunung ialah berkenaan props, solekan serta pembinaan taman tema Hell Fest tersebut yang bagi aku dibuat dengan cukup terancang dan berkualiti sehingga berjaya membangkitkan rasa seram dan memupuk kepercayaan di dalam fikiran penonton bahawa taman tema Hell Fest ini benar-benar wujud.
Jadi, bagi aku filem Hell Fest ini bukan lah sebuah filem yang mempunyai banyak mesej tersirat yang boleh diperbincangkan kerana plot ceritanya agak cliche seperti filem-filem sebelum ini yang seangkatan dengannya seperti Scream dan siri-siri filem Chainsaw. Jadi, aku senaraikan disini beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Hell Fest :
1) Jika anda peminat filem horror slasher, anda perlu menonton untuk menguji keberanian anda sewaktu melihat babak-babak pembunuhan yang cukup kejap menggunakan kapak, jarum, pisau serta pisau pemotong kepala yang besar. Menariknya disini ialah filem ini berjaya menunjukkan watak-watak yang dibunuh tersebut seolah-olah benar-benar dibunuh dan itu yang membuatkan filem Hell Fest ini wajib ditonton oleh anda.
2) Set penggambaran taman tema Hell Fest yang dibina sememangnya cukup memukau dan memenuhi setiap aspek seram yang diperlukan untuk membuatkan anda tidak senang duduk sepanjang menonton filem ini. Serius sangat kagum dengan hasil set taman tema serta props dan solekan para pelakon yang terlibat sepanjang filem ini berlangsung.
3) Walaupun filem ini merupakan sebuah filem seram thriller yang sangat psiko tetapi masih terdapat elemen-elemen lain seperti humor yang membuat anda mampu mengambil sedikit masa untuk bertenang dan bernafas dengan sempurna.
Aku juga ingin senaraikan beberapa kelemahan filem ini mengikut pandangan aku yang telah menonton :
1) Plot cerita yang sememangnya sudah boleh dijangka. Jadi, jika anda merupakan seorang penonton yang sukakan plot twist maka lupakan sahaja kerana filem ini bergerak sehala sahaja tanpa perlu susah-susah berfikir.
2) Seperti biasa filem-filem sebegini pasti akan menjadikan watak pembunuh bersiri itu sangat kebal dan seolah-olah mempunyai tujuh nyawa. Kena tikam tak mati. Dikapak pun hidup lagi. Lelaki sado pun mudah sahaja ditumpaskannya. Cliche sikit lah daripada sudut ini. Hahaha!
Apa-apapun, secara peribadi aku merasakan filem Hell Fest masih menghiburkan dan mampu membuatkan sesetengah penonton ketakutan sehingga menutup mata. Jika tidak percaya, tonton lah sendiri filem ini dan anda pasti akan keluar dari panggung wayang dengan rasa ketakutan selepas tamat menonton filem ini. Terima kasih aku ucapkan kepada pihak TGV Pictures yang memberi peluang untuk aku menonton filem Hell Fest ini lebih awal. Jadi, selamat menonton dan semoga kalian juga terhibur dengan pelbagai aksi ngeri yang terdapat di dalam filem Hell Fest ini. Sekian!
P/S : Selesai Menonton Filem Animasi The Breadwinner Sebentar Tadi. Ulasan Akan Dikongsikan Dalam Masa Terdekat!
macam ganas jer cerita ni.. haha
ReplyDeletehahaha...ganas dekat babak-babak bunuh jer
Deletetengok lah nanti
mesti seram jer..haha