Sunday, 30 September 2018

Review Filem Beddua: The Curse

Posted by BG Design


Filem:
Beddua: The Curse

Pengarah:
Alper Mestci

Genre:
Seram

Pelakon:
Beyzanur Mete, Gizem Takma, Esma Soysal, Mustafa Dok, Serife Unsal & Etc.

Penilaian:
9/10

Tarikh Tayangan:
4 Oktober 2018

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang hubungan persahabatan empat sahabat baik iaitu Melek, Burcu, Eda dan Aylah. Sudah bertahun mereka bersama sehinggakan walaupun sudah tamat pengajian tetapi mereka masih tetap tidak pernah berpisah dan menghubungi antara satu sama lain. Namun, nasib Melek berbeza berbanding rakannya yang lain selepas dia ditinggalkan oleh ketiga-tiga rakannya sewaktu Melek terserempak secara tidak sengaja dengan Havel yang merupakan seorang dukun. Havel dituduh sebagai seorang perempuan sihir yang sangat merbahaya oleh masyarakat sekeliling kerana dipercayai mengamalkan ilmu hitam. Kejadian tersebut menyebabkan Melek jatuh lumpuh dan tidak mampu melihat dengan sempurna serta tidak boleh bercakap. Setelah sekian lama kejadian tersebut berlaku, ketiga-tiga rakan Melek kembali dihantui rasa bersalah dan menyesal kerana meninggalkan Melek keseorangan semasa kejadian tersebut. Mereka mengambil keputusan untuk melawat Melek di rumah keluarganya. Lawatan mereka akhirnya membawa padah apabila selepas itu ketiga-tiga mereka mulai diganggu oleh pelbagai kejadian misteri yang menakutkan. Setelah sekian lama, apakah punca sebenar yang menyebabkan Burcu, Eda dan Aylah mulai diganggu oleh pelbagai kejadian misteri? Apakah sebenarnya yang menyebabkan Melek menjadi lumpuh? Apakah motif utama Havel menganggu mereka berempat? Saksikan filem yang begitu menyeramkan ini di pawagam berhampiran anda untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan-persoalan ini.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah aku mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan ekslusif sebuah filem seram daripada negara Turki yang berjudul Beddua: The Curse yang bertempat di TGV Cinemas 1 Utama pada pagi 28 September 2018 yang lepas. Pengarah filem ini iaitu Alper Mestci merupakan individu sama yang bertanggungjawab mengarahkan filem seram Siccin yang menjadi sebutan dan fenomena di kalangan penggemar filem seram yang memberi pujian melangit terhadap filem tersebut. Memandangkan aku tidak pernah berkesempatan menonton filem Siccin jadi aku mengulas karya terbaru Alper Mestci ini tanpa membandingkan dengan filem-filemnya yang terdahulu.


Alper Mestci sememangnya dikenali gemar mengangkat kisah-kisah benar berkenaan kes ilmu hitam yang berlaku kepada mangsa-mangsanya yang hidup dalam keadaan derita dan teraniaya. Sememangnya harus diakui bahawa dari sudut teks, filem ini berjaya mencipta unsur seramnya dengan begitu cemerlang sekali dengan memanfaatkan kisah ilmu hitam sebagai ramuan utama filem ini. Tetapi, apa yang lebih menarik perhatian aku berkenaan filem ini ialah unsur semiotiknya yang bijak menggunakan tanda serta simbol sebagai medium komunikasi kedua dengan penonton. Kemungkinan besar anda mungkin tidak jelas tentang apa sebenarnya makna-makna perlambangan visual seperti darah, kulit dan sebagainya yang kelihatan selalu membayangi hidup Melek sepanjang filem ini. Walaubagaimanapun, anda jangan risau kerana pada akhir filem ini pasti perlambangan-perlambangan ini akan membuatkan anda lebih dekat dengan watak gadis malang bernama Melek tersebut




Dari segi plot cerita, aku boleh katakan naratifnya bergerak lancar dan anda pasti mudah untuk memahami kisah empat sekawan yang berkait rapat dengan seorang dukun ini. Perubahan plot filem yang wujud di dalam beberapa adegan filem ini juga bagi aku agak menarik dan kreatif kerana ia berjaya menimbulkan persoalan di dalam diri anda dan pada masa yang sama membuatkan anda cuba meramal atau meneka apa sebenarnya yang betul-betul terjadi terhadap lima watak yang mendominasi keseluruhan filem ini. Sekali pandang memang kelihatan ada beberapa perubahan plot di dalam filem ini yang agak cliche tetapi dalam masa yang sama sangat membantu menjadikan filem ini sebuah filem seram yang sangat menakutkan. 




Aku melihat filem ini memberikan satu definisi baru berkenaan elemen seram yang boleh mengusik jiwa kental penonton. Filem seram Turki ini berjaya menakutkan penonton dengan kesan bunyi, solekan dan sinematografi yang sememangnya lain daripada yang aku pernah tonton sebelum ini. Aku berikan perbandingan di bawah untuk memberi lebih pencerahan buat anda untuk memahami apa perasaan aku selepas tamat menonton filem ini:

Munafik 2 : Aku tidak berasa cuak menonton filem ini.

Sebelum Iblis Menjemput : Aku berasa sedikit cuak tetapi masih tiada masalah untuk menonton filem ini sehingga tamat.

Beddua: The Curse :  Aku langsung tidak dapat duduk dengan tenang di kerusi panggung wayang saat tibanya babak yang menyeramkan. Segala persediaan dan tekaan aku meleset sama sekali sehingga aku menyumpah-nyumpah babak-babak yang menakutkan di dalam filem ini. Paling menarik ialah bungkusan popcorn aku langsung tidak tersentuh. Haha!



Jujur aku sangat sukakan kreativiti mereka dalam mewujudkan elemen seram yang berkualiti melalui filem ini. Sebenarnya ada banyak babak di dalam filem ini yang dikitar semua daripada babak filem-filem seram lain yang sememangnya sangat cliche. Tetapi, disebabkan kreativiti mereka yang bijak membuat penambahbaikan kepada babak cliche ini menyebabkan ia pasti akan menjadi satu momen yang akan diingati oleh anda dalam satu tempoh yang agak panjang gara-gara tahap keseramannya yang sangat melampau dan tidak dapat diteka oleh anda. Sebagai contoh, aku kongsikan satu babak cliche yang aku maksudkan iaitu babak seorang watak melihat dan mencari hantu di bawah katil. Secara logiknya, babak sebegini seringkali diguna pakai di dalam mana-mana filem seram di seluruh dunia dan kemunculan hantu sudah boleh diagak dengan mudah. Tetapi, babak tersebut menjadi lain apabila muncul di dalam filem Beddua: The Curse. Aku pasti ramai akan menyumpah saat tiba babak tersebut nanti.




Aku sebenarnya tidak ada masalah langsung menonton filem seram di panggung wayang sebelum ini kerana mental dan emosi aku kuat menghadapi unsur ketakutan yang diada-adakan di dalam mana-mana filem bergenre seram. Namun, dari sudut pandang aku terhadap filem ini pula, aku melihat filem ini telah berjaya mengawal emosi dan pemikiran aku sebagai penonton untuk sama-sama merasai sendiri sentimen emosi yang wujud di dalam filem ini melalui setiap babak yang dipaparkan yang kelihatan sangat semulajadi dan seolah-olah boleh dipercayai.



Jadi, kepada peminat filem seram, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Beddua: The Curse ini di pawagam berdekatan anda:

1) Jalan ceritanya mudah difahami tetapi bukan bermaksud filem ini menggunakan teks semata-mata tanpa memasukkan sebarang subteks yang menarik. Anda wajib menonton sehingga akhir untuk memahami dan mengenali siapakah sebenarnya dukun bernama Havel tersebut. 

2) Elemen seram yang ditawarkan oleh filem ini untuk anda sememangnya sangat berlainan daripada filem-filem tempatan yang sedia ada. Tidak bergantung sepenuhnya kepada teknik murahan jump scare untuk membuatkan anda terkejut ketakutan. Tetapi, kreativiti yang digunakan mereka untuk menakutkan anda sememangnya diakui bijak. Nak tahu kena lah tonton filem ini.

3) Persoalan serta nilai kehidupan yang diangkat di dalam filem ini juga menarik dimana elemen persahabatan dan kekeluargaan berjaya membuatkan filem ini mempunyai kesinambungan yang baik.


Sekali lagi disini aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak TGV Pictures yang sekali lagi memberi peluang kepada aku untuk menonton filem Beddua: The Curse seminggu lebih awal daripada tarikh tayangan sebenar. Jadi, aku mengambil peluang disini untuk mengucapkan selamat menonton dan berjuang di dalam panggung wayang sewaktu anda menonton filem seram dari negara Turki ini. Semoga berjaya menonton sehingga habis. Hahaha!

P/S : Apakah Filem Terbaru Seterusnya Yang Perlu Aku Tonton Selepas Ini? Ada Cadangan? 

12 comments:

Saturday, 29 September 2018

Review Filem The Breadwinner

Posted by BG Design


Filem:
The Breadwinner

Pengarah:
Nora Twomey

Genre:
Animasi, Drama & Kekeluargaan

Pelakon (Suara):
Saara Chaudry, Soma Chhaya, Noorin Gulamgaus, Laara Sadiq,
Ali Badshah, Shaista Latif, Kanza Feris, Kawa Ada, Kane Mahon, Ali Kazmi & Etc.

Penilaian:
8/10

Sinopsis:

Filem animasi ini berlatar belakang pada tahun 2001 dimana ia menceritakan tentang seorang anak gadis berusia 11 tahun bernama Parvana yang hidup di sebuah daerah di Afghanistan yang berada di bawah pemerintahan Taliban. Sebagai seorang perempuan, Parvana tidak boleh bebas berkeliaran di luar rumah kerana pemerintah Taliban melarang mana-mana perempuan daripada keluar rumah secara sendirian. Jika ditemani oleh bapanya sekali pun, Parvana harus memastikan kemunculannya tidak menarik perhatian mana-mana lelaki. Pada suatu hari, bapa Parvana ditangkap oleh pihak Taliban tanpa alasan yang kukuh. Hal ini menyebabkan keluarga Parvana di dalam kesusahan untuk mendapatkan bekalan makanan kerana adik lelaki Parvana masih lagi seorang bayi. Disebabkan bekalan makanan sudah habis dan keluarganya berada di dalam kelaparan, Parvana terpaksa memotong pendek rambutnya dan berpakaian seperti lelaki dan menggunakan nama Aatish untuk menyamar dan terus menyara keluarganya. Walaupun pada awalnya kelihatan mudah namun kudrat Parvana sebagai seorang perempuan tidak sekuat lelaki untuk melakukan kerja-kerja yang sememangnya dilakukan oleh kaum lelaki seperti menjadi buruh. Akhirnya Parvana bertekad untuk mencari ayahnya di penjara dan cuba membebaskan ayahnya. Mampu Parvana bertemu kembali dengan ayahnya? Adakah identiti sebenar Parvana akan terbongkar di hadapan pemerintah Taliban? Saksikan filem animasi yang cukup menarik ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Filem The Breadwinner ini telah dicalonkan di dalam kategori filem animasi terbaik untuk Anugerah Oscar 2018 dimana filem yang mengangkat tentang kisah kehidupan wanita di Afghanistan ini merupakan sebuah karya yang diadaptasi daripada novel yang ditulis oleh Deborah Ellis. Pastinya ramai di kalangan kita sendiri ingin melihat dan mengetahui bagaimana kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh wanita-wanita disana saat mereka terpaksa berjuang untuk hidup di bawah pemerintahan kerajaan Taliban.


Filem ini memanfaatkan beberapa konflik yang sememangnya benar-benar terjadi di negara Afghanistan para era tersebut sebagai umpan untuk menjadi daya penarik kepada anda supaya menonton kisah ini di layar perak. Kisah-kisah menarik yang dipaparkan melalui kehidupan keluarga remaja perempuan bernama Parvana ini semestinya mudah menyentuh hati para wanita yang menonton. Setiap cabaran dan dugaan yang dialami dan dirasai oleh oleh Parvana dan ibunya bakal mengusik dan membangkitkan rasa marah, geram, simpati dan sedih anda saat menonton filem The Breadwinner ini.  


Sebenarnya ajaran Islam ini terlampau indah dan setiap ajaran tersebut pasti ada kebenaran dan hikmah disebaliknya. Islam sebenarnya sangat mengangkat martabat wanita demi menjaga maruah mereka dan disebabkan itu lelaki diperintahkan untuk memimpin dan melindungi wanita. Namun, sejak awal filem ini lagi anda sudah diperlihatkan bagaimana pihak pemerintah Taliban menyalahgunakan agama demi kepentingan kuasa mereka dengan mencorakkannya ke arah radikal dan teroris sehinggakan membuat masyarakat terutama wanita menjadi terlalu takut dengan pemerintah daripada segala sudut. Mereka dilarang untuk keluar daripada rumah. Jika keluar sekali pun wajib ditemani oleh bapa atau saudara lelaki. Lebih menyedihkan walaupun ditemani saudara lelaki namun masih perlu untuk mengelakkan daripada menimbulkan tarikan kepada lelaki lain di luar sana. Hal ini telah ditunjukkan di dalam sebuah babak dimana Parvana bersama ayahnya, Nurullah yang kudung sebelah kaki sedang menjual barangan mereka di pasar. Kemudian konflik berlaku apabila Parvana telah tertinggi suara sewaktu menghalau anjing yang cuba menggangu barang jualan mereka. Hal ini menarik perhatian Idrees dan kumpulannya yang merupakan ahli Taliban untuk mengganggu Parvana. Peristiwa tersebut juga telah dijadikan sebagai alasan oleh Idrees yang merupakan bekas murid Nurullah untuk menangkap ayahnya dan dihantar ke penjara dengan menggunakan alasan Nurullah mendidik isteri dan dua anak perempuannya dengan ajaran yang salah.


Aku cukup suka melihat babak yang melibatkan Idrees dan bekas gurunya ini. Idress telah menghina serta mengeji ilmu yang diajar oleh Nurullah sebelum ini dan lebih menyedihkan lagi apabila dia cuba memukul Nurullah. Suka disini untuk aku kongsikan serba sedikit tentang sabda serta beberapa riwayat sebagai rujukan dan pedoman kita di dalam memahami isu yang aku cuba sampaikan disini :

Sabda Nabi S.A.W : "Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda serta yang tidak mengerti hak ulama". (Hadis Riwayat Ahmad)

Umar Bin Khattab mengatakan : "Tawaduklah kalian terhadap orang yang mengajari kalian". (Riwayat Al-Imam Baihaqi)

Manakala Al-Imam As Syafi'i berkata : "Dulu aku membolak balikkan kertas di hadapan Imam Malik dengan sangat lembut kerana segan padanya dan supaya dia tidak mendengarnya".

Disini rasa geram anda pasti akan meluap-lupa apabila melihat betapa bahayanya apabila ada individu yang terlalu taksub dengan pegangan yang salah seperti Idrees sehingga menyebabkan hilangnya rasa hormat dan kasih kepada gurunya. Babak ini semestinya sangat menyedihkan apabila insan yang patut dihormati dilayan sebegini rupa. 


Perkara utama yang paling penting di dalam mengubah nasib kehidupan adalah ilmu. Pemerintahan Taliban telah menghalang golongan wanita daripada menerima pendidikan di sekolah. Disini dapat dilihat bahawa sebagai seorang warga pendidik, bapa Parvana sememangnya percaya hanya pendidikan yang mampu membantu anaknya keluar daripada masalah ini. Jadi, sejak daripada awal lagi mesej pendidikan telah ditekankan di dalam filem ini dimana Nurullah sentiasa meminta Parvana supaya sentiasa rajin belajar membaca dan menulis. Akhirnya, kehebatan ilmu pendidikan ini berjaya dibuktikan di dalam satu babak dimana ia membantu Parvana untuk menyelamatkan bapanya dari penjara. Nak tahu lebih lanjut berkaitan ini kenalah tonton filem The Breadwinner. 


Salah satu isu menarik yang cuba dikupas disini juga berkenaan sikap toleransi. Islam merupakan agama yang sangat bertolak ansur terhadap penganutnya. Seperti yang aku kongsikan pada awal tadi dimana Islam mengangkat martabat dan maruah perempuan dengan mengamanahkan kaum lelaki untuk melindungi kaum wanita. Tetapi, Islam juga sangat bertolak ansur kepada kaum wanita untuk bebas menentukan hala tuju kehidupan jika keluarga tersebut tiada suami, anak atau saudara lelaki. Disinilah anda diperlihatkan beberapa babak dimana betapa dangkal dan sesatnya fahaman pemerintah Taliban ini apabila mereka bukan sekadar tidak membenarnya wanita keluar memberi barang keperluan dapur atau pun mengambil air di perigi tetapi turut sama memukul insan yang lemah ini walaupun wanita-wanita yang ditahan tersebut telah memberitahu tentang masalah berkenaan ketiadaan ahli keluarga lelaki.


Perkara ini jugalah yang diguna pakai oleh musuh-musuh Islam untuk memburukkan agama Islam dengan mengatakan wanita tertindas dan ditindas oleh lelaki sedangkan perkara sebenar ialah ajaran Islam versi Taliban itu sendiri sebenarnya sudah lari daripada ajaran Islam sebenar. Hal ini jugalah yang menjadi satu konflik yang besar untuk anda sendiri melihat dan menyelami betapa beratnya dugaan yang perlu dihadapi oleh wanita-wanita yang hidup di zaman pemerintahan rejim Taliban untuk meneruskan kehidupan. Serius sangat menyedihkan dan menyeksakan.


Filem ini juga bersifat feminism yang cukup tinggi kerana selain mengangkat kekuatan dan maruah seorang wanita di tempat yang sewajarnya, ia juga cuba menunjukkan kenapa wanita perlu diberi hak untuk bebas bersuara dan bertindak mengikut lunas-lunas yang sepatutnya. Jadi, setiap karakter wanita yang wujud di dalam filem ini benar-benar dipotretkan sebagai seorang wanita yang kuat, cekal serta tabah sehinggakan mampu mengusik gerak hati dan emosi anda untuk turut sama terbuai dengan emosi watak-watak tersebut. 


Lihat sahaja babak Fattema yang merupakan ibu Parvana sewaktu dia dipukul dengan tongkat oleh seorang lelaki asing gara-gara keluar tanpa ditemani saudara lelaki. Disini dapat dilihat ajaran dan fahaman ahli serta penyokong Taliban sememangnya telah menyeleweng daripada Islam kerana langsung tiada rasa belas dan ihsan kepada kaum wanita. Rasa simpati dan sedih anda kemudian pasti bertambah apabila melihat bagaimana adegan Parvana yang mengejar kepingan gambar ayahnya yang telah dikoyak dan dicarik-carikkan oleh lelaki asing yang memukul ibunya tersebut. Walaupun filem ini sekadar animasi namun aku harus akui elemen-elemen mengusik emosi ini berjaya dipasak dengan cemerlang di dalam hati dan jiwa penonton sejak awal filem lagi.


Babak pertemuan antara Parvana dan Shauzia juga berjaya memberikan satu persoalan yang cukup menarik. Kedua-duanya merupakan anak gadis yang terpaksa menyamar menjadi lelaki demi kelangsungan hidup keluarga namun kedua-duanya berada di dalam situasi yang cukup berbeza. Parvana dikurniakan ayah yang penyayang dan bertanggungjawab manakala Shauzia pula memiliki seorang ayah bersifat kaki pukul dan mempergunakan Shauzia sebagai jalan mudah untuk menanggung keluarga. Kisah realiti berjaya diterapkan di dalam cabaran kehidupan mereka berdua dan paling menarik apabila plot cerita membawa anda untuk merasai sendiri pengorbanan anak gadis ini dalam mencari rezeki dengan terpaksa menggunting rambut yang merupakan mahkota kesayangan setiap wanita, berpakaian seperti lelaki, menggunakan nama samaran lelaki dan terpaksa mengerah keringat untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan yang didominasi oleh kaum lelaki.


Aku cukup suka dengan babak Shauzia bersama gambar pantai serta fahamannya yang ingin keluar dari tempat jajahan taliban dan tinggal di kawasan pantai yang ditemani ombak dan pasir yang panas dan memutih. Bagi aku subteks yang wujud di dalam babak tersebut sangat menarik kerana ia menggambarkan jiwa seorang kanak-kanak yang percaya kebebasan dalam menikmati kemerdekaan sebenar itu ibarat alunan ombak yang sentiasa bebas memilih untuk mengalun dan menghempas ke arah pasir setiap masa tanpa dikawal sesiapa. 


Harus diakui apabila manusia berada di dalam kehidupan yang jauh daripada kemodenan teknologi, mereka akan menjadi lebih kreatif dan berdikari. Kehebatan ini juga dimiliki oleh Parvana yang bijak mereka cipta kisah dongeng berkenaan kisah seorang pemuda yang diberi nama Sulayman. Pemuda ini mempunyai misi untuk mengambil kembali biji benih penduduk kampung yang dirampas oleh jaguar-jaguar kepunyaan Raja Gajah. Menggunakan konsep animasi ala-ala stop motion, kisah Sulayman ini sebenarnya begitu menarik kerana walaupun ia dipaparkan seakan-akan sebuah kisah dongeng yang tidak bersangkut paut dengan kisah kehidupan Parvana tetapi sebenarnya kedua-dua kisah ini saling berkaitan. Ini membuatkan filem ini menjadi begitu indah dan bermakna apabila anda melihat sendiri bagaimana hasil kedua-dua kisah yang digarap ini digabungkan menjadi satu. Sangat bijak idea ini dan ditambah pula dengan penggunaan warna yang berbeza untuk kedua-dua kisah tetapi berjaya mengekalkan latar belakang kawasan timur tengah dengan cukup kreatif.


Memang The Breadwinner hanyalah sebuah filem animasi. Namun, mesej yang cuba disampaikan sebenarnya lebih bersesuaian dengan penonton-penonton dewasa. Filem ini mahu membawa anda untuk melihat dan menilai sendiri apakah sebenarnya erti kebebasan yang sebenarnya. Filem ini juga mendidik kita agar jangan sesekali berputus asa di dalam kehidupan walaupun melalui fasa-fasa hidup yang mencabar.


Namun harus diingatkan bahawa filem ini juga mempunyai risiko untuk disalah tafsir oleh penonton yang tidak mengenali Islam secara dekat. Memandangkan masalah islamophobia masih lagi melanda kebanyakan masyarakat di seluruh dunia jadi filem ini yang mempunyai babak suara azan berkumandang, beberapa dialog yang menyebut tentang ajaran Islam yang dipercayai dan diikuti oleh ahli Taliban dan juga beberapa perkara lain yang boleh menyebabkan sedikit kekeliruan kepada penonton yang tidak memahami tentang ajaran Islam yang sebenar. Hal ini menyebabkan ulasan filem kali ini lebih memberi fokus terhadap ajaran agama Islam sebenar untuk membantu memberi pencerahan kepada pembaca yang bukan beragama Islam.


Secara peribadi, aku merasakan filem The Breadwinner berjaya memperjuangkan nilai-nilai kesaksamaan hak jantina yang menarik untuk ditonton dan dibincangkan. Cuma sedikit kelemahan dapat dilihat dengan jelas melalui tiada babak timbal balas semula untuk menunjukkan ajaran Islam yang sebenarnya yang lebih indah. Apa-apapun, aku ucapkan selamat menonton filem The Breadwinner ini dan semoga filem ini mampu memberikan anda satu pengalaman baru sewaktu menonton. Sekian!

P/S : Selepas Ini Akan Dikongsikan Ulasan Tentang Filem Seram Dari Turki Yang Berjudul Beddua: The Curse Yang Memang Cukup Menyeramkan! 

0 comments:

Friday, 28 September 2018

Review Filem Hell Fest

Posted by BG Design


Filem:
Hell Fest

Pengarah:
Gregory Plotkin

Genre:
Seram

Pelakon:
Bex Taylor-Klaus, Amy Forsyth, Reign Edwards, Tony Todd, Christian James & Etc.

Penilaian:
6/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang pelajar perempuan bernama Natalie yang bertemu rakan baiknya sewaktu kanak-kanak iaitu Brooke serta rakan sebiliknya yang kurang digemari iaitu Taylor. Mereka berdua mengajak Natalie menyertai mereka serta tiga lagi rakan lelaki untuk mengunjungi sebuah taman tema yang cukup terkenal iaitu Hell Fest. Tanpa disedari kehadiran mereka berenam telah menjadi tumpuan seorang pembunuh bersiri bertopeng yang menjadikan taman tema hiburan itu sebagai tempatnya mengganas setiap tahun. Pembunuh bersiri itu kemudian mula menyerang dan cuba membunuh mereka berenam di taman tema tersebut. Malangnya, kebanyakkan pengunjung disitu menganggap kejadian tersebut hanya sebahagian daripada gimik persembahan disana. Mampukah mereka menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa pembunuhan pembunuh topeng bersiri tersebut? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda untuk mendapatkan jawapannya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah aku mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan ekslusif filem Hell Fest yang bertempat di TGV Sunway Pyramid pada tanggal 26 September 2018 yang lepas. Menonton filem ini melalui trailer sahaja sudah memadai untuk anda mengetahui filem ini berkonsepkan seram psikologi dimana ia lebih terarah kepada kategori filem slasher yang penuh dengan adegan-adengan pembunuhan yang ngeri dan kejam.


Filem bergenre seperti ini selalunya memakai formula yang lebih kurang sama iaitu menggunakan sekumpulan remaja sama ada yang bersifat nakal, naif atau terlalu memikirkan untuk bergembira semata-mata sebelum kejadian ngeri yang menjadi mimpi buruk mula melanda mereka satu persatu. Ini juga dapat dilihat di dalam filem Hell Fest ini dimana naratifnya sudah boleh diramal. Anda pasti mudah memahami naratif ceritanya yang tidak berselirat, bercabang atau bergulungan kerana plot ceritanya bergerak sehala sahaja. Tetapi, filem-filem sebegini pasti memberikan persoalan berkenaan siapakah pembunuh bertopeng ini dan apakah motif utama beliau membunuh? 


Filem ini pasti akan membuatkan anda sentiasa berada di dalam keadaan yang tegang, cemas dan seram kerana elemen kejutan serta kaedah membunuh yang begitu mengerikan berjaya dipaparkan dengan cukup menarik di dalam filem ini. Membunuh menggunakan pisau atau kapak adalah perkara yang biasa di lihat di dalam filem-filem berkonsepkan seram thriller seperti ini tetapi satu babak yang menunjukkan pembunuh bertopeng ini menggunakan jarum suntikan untuk membunuh mangsa dengan menikamnya di mata adalah salah satu babak yang amat mengerikan dan dalam masa yang sama bakal membuatkan ada tidak senang duduk di atas kerusi sepanjang menonton filem Hell Fest ini.


Filem ini juga memberikan fokus kepada salah satu penyakit mental yang berbahaya iaitu psikopat yang merupakan salah satu penyakit jiwa yang serius dimana pelakunya tidak mempunyai sifat simpati atas rasa sakit atau kedukaan orang lain. Watak pembunuh bertopeng di dalam filem ini juga dipertontonkan sebagai seorang manusia yang mempunyai sifat dendam yang tinggi yang menimbulkan kemarahan melampau sehingga tidak dapat dikawal apabila ada individu-individu yang tidak menghormati atau memandang rendah terhadap dirinya. Namun di penghujung filem ini juga anda akan melihat sisi lain pembunuh bersiri bertopeng ini yang akan membuatkan anda tertanya-tanya kenapa dia gemar membunuh mangsanya di taman tema Hell Fest.


Satu perkara yang betul-betul menarik di dalam filem ini dan wajar diberikan pujian menggunung ialah berkenaan props, solekan serta pembinaan taman tema Hell Fest tersebut yang bagi aku dibuat dengan cukup terancang dan berkualiti sehingga berjaya membangkitkan rasa seram dan memupuk kepercayaan di dalam fikiran penonton bahawa taman tema Hell Fest ini benar-benar wujud.


Jadi, bagi aku filem Hell Fest ini bukan lah sebuah filem yang mempunyai banyak mesej tersirat yang boleh diperbincangkan kerana plot ceritanya agak cliche seperti filem-filem sebelum ini yang seangkatan dengannya seperti Scream dan siri-siri filem Chainsaw. Jadi, aku senaraikan disini beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Hell Fest :

1) Jika anda peminat filem horror slasher, anda perlu menonton untuk menguji keberanian anda sewaktu melihat babak-babak pembunuhan yang cukup kejap menggunakan kapak, jarum, pisau serta pisau pemotong kepala yang besar. Menariknya disini ialah filem ini berjaya menunjukkan watak-watak yang dibunuh tersebut seolah-olah benar-benar dibunuh dan itu yang membuatkan filem Hell Fest ini wajib ditonton oleh anda. 

2) Set penggambaran taman tema Hell Fest yang dibina sememangnya cukup memukau dan memenuhi setiap aspek seram yang diperlukan untuk membuatkan anda tidak senang duduk sepanjang menonton filem ini. Serius sangat kagum dengan hasil set taman tema serta props dan solekan para pelakon yang terlibat sepanjang filem ini berlangsung.

3) Walaupun filem ini merupakan sebuah filem seram thriller yang sangat psiko tetapi masih terdapat elemen-elemen lain seperti humor yang membuat anda mampu mengambil sedikit masa untuk bertenang dan bernafas dengan sempurna.


Aku juga ingin senaraikan beberapa kelemahan filem ini mengikut pandangan aku yang telah menonton :

1) Plot cerita yang sememangnya sudah boleh dijangka. Jadi, jika anda merupakan seorang penonton yang sukakan plot twist maka lupakan sahaja kerana filem ini bergerak sehala sahaja tanpa perlu susah-susah berfikir

2) Seperti biasa filem-filem sebegini pasti akan menjadikan watak pembunuh bersiri itu sangat kebal dan seolah-olah mempunyai tujuh nyawa. Kena tikam tak mati. Dikapak pun hidup lagi. Lelaki sado pun mudah sahaja ditumpaskannya. Cliche sikit lah daripada sudut ini. Hahaha! 


Apa-apapun, secara peribadi aku merasakan filem Hell Fest masih menghiburkan dan mampu membuatkan sesetengah penonton ketakutan sehingga menutup mata. Jika tidak percaya, tonton lah sendiri filem ini dan anda pasti akan keluar dari panggung wayang dengan rasa ketakutan selepas tamat menonton filem ini. Terima kasih aku ucapkan kepada pihak TGV Pictures yang memberi peluang untuk aku menonton filem Hell Fest ini lebih awal. Jadi, selamat menonton dan semoga kalian juga terhibur dengan pelbagai aksi ngeri yang terdapat di dalam filem Hell Fest ini. Sekian!

P/S : Selesai Menonton Filem Animasi The Breadwinner Sebentar Tadi. Ulasan Akan Dikongsikan Dalam Masa Terdekat! 

2 comments:

Thursday, 27 September 2018

Review Filem Wiro Sableng: Pendekar Kapak Maut Naga Geni 212

Posted by BG Design


Filem:
Wiro Sableng

Pengarah:
Angga Dwimas Sasongko

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Vino Bastian, Sherina Munaf, Marsha Timothy, Fariz Alfarizi,
Happy Salma, Yayan Ruhian, Cecep Arif Rahman, Aghniny Haque & etc.

Penilaian:
6 /10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Wiro Sableng yang hanya berusia empat tahun apabila ibu bapanya dibunuh dalam serangan penjahat. Dia kemudian dibesarkan oleh seorang pahlawan wanita tua, Sinto Gendeng. Bekas pengikutnya iaitu Mahesa Birawa merupakan dalang serangan yang menyebabkan kematian ibu bapa Wiro itu. Untuk menghentikan Mahesa daripada menjadi lebih bahaya, Sinto telah mengajar Wiro seni mempertahankan diri lagenda iaitu silat, untuk menjadikannya sebagai Pahlawan Naga Kapak 212. Wiro akhirnya berjaya mewarisi Kapak 212 selepas berlatih selama 17 tahun. Dia kemudian meninggalkan pergunungan dan memulakan  pengembaraannya untuk menghentikan rancangan jahat Mahesa.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah rezeki aku terpilih untuk memenangi dua keping tiket daripada The Vocket untuk menonton filem yang sangat panjang judulnya iaitu Wiro Sableng: Pendekar Kapak Maut Naga Geni 212. Secara jujurnya aku memang tidak pernah mendengar langsung tentang perihal filem ini serta kisah Wiro Sableng itu sendiri. Mengikut kajian ringkas aku, kisah pendekar Wiro Sableng ini pernah dijadikan filem pada era 1980-an dan juga sinetron pada 1990-an. Filem ini diadaptasi daripada siri novel Wiro Sableng yang merupakan karya Bastian Tito dan Wiro Sableng ini juga amat dikenali oleh masyarakat Indonesia sebagai seorang pendekar yang mempunyai karakter jenaka serta gila-gila. Permulaan filem berjaya membuatkan aku sedikit teruja apabila melihat logo syarikat produksi antarabangsa iaitu 20th Century Fox dipaparkan di layar sinema dimana syarikat ini turut bekerjasama dengan pihak produksi tempatan Indonesia iaitu Lifelike Pictures yang menghasilkan filem Wiro Sableng ini.


Filem ini dimulakan dengan kisah sepasang suami isteri, Ranawaleng dan Suci serta anak lelaki mereka yang masih kecil iaitu Wiro yang hidup bahagia sebelum kebahagiaan itu musnah apabila perkampungan mereka diserang oleh Mahesa Birawa. Menariknya disini pasangan ini sebenarnya mengenali Mahesa Birawa dan apa aku boleh simpulkan mengikut kefahaman aku ialah Mahesa sebelum ini menaruh hati kepada Suci namun cintanya ditolak seperti mana ditunjukkan pada dialog awal Mahesa pada permulaan filem ini. Cinta sejati Ranawaleng dan Suci tidak dapat dirosakkan oleh Mahesa dan akhirnya mereka berdua telah dibunuh dengan kejam. Mujur si Wiro yang masih kecil itu berjaya diselamatkan dan dipelihara oleh Sinto Gendeng yang sebenarnya merupakan bekas guru silat kepada Mahesa Birawa. Salah satu konflik yang bagus pada aku kerana mengapa Sinto sendiri tidak mengambil langkah awal menumpaskan Mahesa sedangkan sebenarnya dia mampu melakukannya lebih awal untuk mengelakkan Mahesa terus melakukan kejahatan.



Disebabkan itulah aku cukup sukakan babak yang melibatkan Sinto Gendeng dan Wiro kerana dialog yang digunakan sangat klasik dan mempunyai subteks yang menarik. Kesunyian, kekesalan, kasih dan kesedihan! Empat perkataan ini menggambarkan apa yang yang dialami oleh jiwa Sinto Gendeng apabila memikirkan tentang Mahesa. Jadi, apabila tangannya digenggam erat oleh Wiro maka Sinto mengambil keputusan untuk mendidik Wiro dan mengelakkan Wiro daripada kecundang memilih haluan kiri seperti mana Mahesa. Jadi, apabila Wiro berjaya menjadi pewaris kepada kapak maut tersebut dapat dilihat Sinto sering kali menasihatinya agar menghilangkan sifat dendam kerana dia risau Wiro akan menjadi sama seperti Mahesa.



Kewujudan Wiro di dalam hidup Sinto Gendeng sememangnya amat dihargai dan Sinto bukan sekadar menjadikan Wiro sebagai anak angkat tetapi juga sebagai muridnya kerana terpaut dengan sifat lemah lembut serta jiwa Wiro yang suci. Berbeza dengan muridnya yang terdahulu iaitu Mahesa Birawa yang mengkhianati beliau kerana terlalu mengikut nafsu iblis. Mahesa sentiasa inginkan segala-galanya lebih daripada orang lain. Jadi, dia memilih untuk mengikut nafsunya menuju jalan hitam supaya dia berkuasa dan memberinya kebebasan untuk membunuh, merampas harta dan menjadikan wanita sebagai pemuas nafsunya. Bermulalah perjalanan cerita filem ini dimana Wiro perlu membawa Mahesa pulang kembali bertemu dengan Sinto Gendeng. Bagi aku, jalan cerita filem ini mudah dan senang difahami daripada awal sehingga akhir ceritanya. Tidak ada masalah bagi sesiapa yang tidak membaca novel atau pun menonton sinetronnya untuk memahami filem Wiro Sableng ini.



Filem aksi ini menampilkan elemen silat tetapi boleh dilihat beberapa babak pertarungan di dalam filem ini seperti telah berasimilasi dengan seni pertahanan diri Kungfu disebabkan pengarah aksi yang terlibat di dalam filem ini ialah Chan Man Ching yang sering terlibat di dalam babak-babak aksi filem Jackie Chan. Ditambah pula dengan bantuan kesan khas CGI yang agak menarik seperti adegan melompat terbang dari kuda, turun dari lembah yang sangat curam, kedatangan bidadari disertakan angin dan pelbagai jenis aura jurus-jurus silat sememangnya membuktikan elemen aksi kungfu agak menebal di dalam filem ini seolah-olah seperti anda membaca dan melihat sendiri hal ini di dalam dalam komik-komik aksi dari Hong Kong. Namun, elemen silat dan tradisional masih wujud dan menjadikan filem ini masih menarik untuk ditonton. Tambahan pula kesan khas CGI yang digunakan juga tidak terlampau berlebihan dan menjadikan filem ini kelihatan masih asli.



Satu perkara menarik ialah walaupun banyak karakter yang wujud dan ditampilkan di dalam filem ini, namun hampir kebanyakan karakter berjaya diperkenalkan dengan baik dan kemas. Pelakon utamanya iaitu Vino G. Bastian berjaya membawakan watak Wiro Sableng dengan yang tersendiri yang sedikit gila-gila dan lucu dan berjaya menggeletek hati penonton. Namun, adakala perwatakan karakternya sedikit mengjengkelkan dalam sesetengah babak dimana aku merasakan seolah-olah ia satu keterpaksaan dan kelihatan seperti dibuat-buat.



Tetapi, kewujudan dan kekuatan watak Bujang Gila Tapak Sakti yang dilakonkan oleh Fariz Alfarazi benar-benar menghiburkan dan menjadi 'sidekick' yang cukup baik buat Vino untuk membantu memperkembangkan lagi karakter Wiro Sableng dengan lebih berkesan. Sableng itu bererti gila dan filem ini berjaya menunjukkan sisi gila tersebut dengan berjaya menggeletek hati penonton untuk ketawa besar apabila menonton babak yang melibatkan dua watak ini iaitu Wiro Sableng dan Bujang Gila Tapak Sakti. Anda pasti akan ketawa tanpa henti apabila disajikan dengan dialog-dialog mereka yang lucu dan secara kebetulan menjadikan plot cerita filem ini yang adakalanya bergerak perlahan atau dipenuhi dengan dialog yang panjang berjela menjadi sedikit ringan dan santai. 


Walaupun filem ini mampu membuatkan anda ketawa dengan elemen humor yang berjiwa klasik tetapi filem Wiro Sableng ini masih kukuh berpasak pada genrenya sebagai sebuah filem aksi. Babak-babak pertarungannya masih mampu membuatkan anda berasa tegang saat menyaksikan percikan darah atau pertembungan senjata yang memukau. Paling menarik semestinya visual yang dipaparkan di dalam filem ini berjaya menggambarkan dunia semula jadi yang mengelilingi perjalanan Wiro Sableng dan rakan-rakannya yang sangat cantik dan memukau. Anda pasti akan tertarik dan menyukai penggredan warna filem ini yang sangat membantu membawa anda merasai dan menikmati alam kehidupan Wiro Sableng dan membuatkan filem ini kelihatan mahal dan ada aura kualitinya. 


Kemunculan Marsha Timothy yang memegang watak sebagai Bidadari Angin Timur kembali mengingatkan aku kepada wataknya di dalam filem Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak. Seolah-olah jiwa Marlina seperti meresap ke dalam watak Bidadari Angin Timur ini walaupun watak ini ditampilkan penuh berseri dan ayu terutamanya apabila kemunculan babaknya menentang penjahat-penjahat yang terdiri daripada golongan lelaki. Menyentuh tentang props, senjata serta pakaian setiap pelakon di dalam filem ini, anda pasti akan mengakui kesemua ini dirancang dan dibuat dengan cukup kemas dan rapi. Melihat pakaian pelakonnya sahaja sudah dapat dijangkakan bahawa mereka memang cukup terperinci dalam memberi yang terbaik dan disesuaikan pula dengan latar belakang cerita berkenaan kisah raja-raja zaman dahulu. Betapa indah dan mewahnya pakaian Raja Kamandaka dan permaisurinya digayakan. Begitu juga pakaian Wiro Sableng dan rakan-rakannya yang juga bersesuaian dengan status mereka sebagai orang biasa yang tinggal di pedalaman.


Sinematografi filem ini sememangnya cukup memukau daripada awal sehingga akhir filem. Anda pasti akan jatuh cinta dan terpesona dengan keindahan dunia Wiro Sableng yang digambarkan dengan cukup baik di dalam filem ini. Kejadian hutannya yang cantik menghijau. Babak pertarungan juga ditunjukkan dengan cukup baik dan kemas sehingga mata selesa menyaksikan setiap aksi-aksi yang dipertontonkan. Salah satu babak menarik ialah babak yang melibatkan pertarungan Wiro menenang Kala Hijau yang bagi aku sangat menarik dan bersifat universal. Dibantu pula dengan latar lagu yang digunakan berjaya meningkatkan emosi untuk penonton untuk sama-sama menyelami babak-babak menarik yang terdapat di dalam filem ini. Rasa kemarahan, sedih, senang dan bahagia berjaya dirasai dengan lebih mudah hasil bantuan lagu latar yang digunakan bersesuaian mengikut babak.


Disini juga disenaraikan beberapa kelemahan filem ini mengikut pandangan aku yang telah menonton :

1) Ada sedikit kekurangan pada sesetengah babak yang menggunakan kesan khas yang menjadikan visualnya kurang rapi terutama apabila melibatkan aksi-aksi mempamerkan jurus silat.

2) Walaupun filem ini menawarkan aksi yang menarik serta elemen lucu yang sememangnya menghiburkan tetapi ada sebahagian babak yang bergerak perlahan dan mempertaruhkan dialog yang agak panjang dan membuatkan penonton terasa bosan. 

3) Ada beberapa karakter antagonis yang kurang jelas huraiannya daripada segi kisah dan peranan yang berkemungkinan disebabkan begitu banyak watak yang wujud di dalam filem ini.


Jadi, disini juga disenaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Wiro Sableng: Pendekar Kapak Maut Naga Geni 212 ini:

1) Peminat filem aksi komedi wajar menonton kerana filem ini pasti bakal menjadi filem kegemaran anda kerana dipenuhi babak aksi yang menarik serta dialog lucu yang mampu membuat anda ketawa berdekah-dekah. 

2) Watak antagonis Mahesa Birawa yang berjaya dipotret dengan begitu gagah dan kejam sekali sehingga ke saat akhir. Tidak seperti filem-filem lain dimana watak antagonis mudah ditewaskan oleh watak utama. Watak Mahesa ini betul-betul watak antagonis yang hebat dan sangat logik watak ini diangkat menjadi ketua puak penjahat kerana kehebatannya memang diakui.

3) Untuk melihat sendiri apakah keistimewaan filem Indonesia ini sehingga menarik perhatian syarikat produksi antarabangsa 20th Century Fox untuk bekerjasama dengan mereka.

4) Masih mempunyai mesej-mesej yang baik dan menarik seperti hubungan kekeluargan, persahabatan dan adik-beradik yang boleh diambil tauladan daripada filem ini.


Apa-apapun, filem ini masih menarik dan menghiburkan buat anda yang menggemari filem bercorak aksi dan diselangi dengan unsur komedi. Jadi, selamat menonton filem Wiro Sableng: Pendekar Kapak Maut Naga Geni 212 ini dan menikmati keseronokan serta keindahan yang terdapat di dalam kisah Wiro Sableng yang sableng ini. Sekian!

P/S : Jika Anda Menonton Filem Ini, Pastikan Jangan Keluar Dari Panggung Setelah Filem Tamat Kerana Ada Babak Kejutan Menarik Selepas Itu! 

0 comments: