Friday, 6 July 2018

Review Filem Inuyashiki

Posted by BG Design


Filem:
Inuyashiki

Pengarah:
Shinsuke Sato

Genre:
Thriller, Manga, Aksi

Pelakon:
Noritake Kinashi, Takeru Satoh, Kanata Hongo, Fumi Nikaidou,
Ayaka Miyoshi, Katsuhisa Namase, Mari Hamaida, Yuki Saito & Etc.

Penilaian:
7/10

Sinopsis:

Filem aksi sci-fi adaptasi manga karya Hiroya Oku ini bakal menemui penonton Malaysia bermula 5 Julai 2018 ini. Filem ini mengisahkan seorang lelaki pertengahan umur iaitu Ichiro Inuyashiki dan seorang remaja bernama Hiro Shishigami yang bertukar menjadi cyborg apabila terkena sebuah cahaya misteri yang disyaki berasal daripada teknologi makhluk asing. Melalui kuasa cyborg tersebut, timbul satu konflik antara Ichiro dan Hiro dimana Ichiro menggunakan kuasa tersebut untuk kebaikan manakala Hiro menggunakannya untuk membalas dendam. Saksikan filem menarik di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah aku dijemput menghadiri Special Screening untuk filem Inuyashiki ini oleh pihak ATriNaga yang bertempat di mm Cineplexes eCurve pada tanggal 3 Julai 2018 yang bermula pada pukul 8.30 malam. Secara jujurnya, aku tidak pernah membaca manga Inuyashiki yang sememangnya agak popular di kalangan peminat anime namun tidak lah sukar untuk memahami perjalanan kisah filem ini.



Aku sukakan filem ini kerana ia mengandungi pelbagai kisah untuk dirungkaikan. Aku fokuskan kepada kekeluargaan dahulu dimana watak utama kisah ini iaitu Ichiro Inuyashiki yang merupakan seorang suami serta bapa kepada keluarganya namun kegagalannya untuk membentuk keluarga menyebabkan dia sentiasa diabaikan serta dipandang rendah oleh anak-anaknya sendiri. Disebabkan usianya yang sudah mengjangkau 58 tahun menyebabkan prestasi kerjanya berada di paras yang teramat rendah sehinggakan beliau dibuang kerja oleh majikannya kerana selalu melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Malang datang semakin bertimpa-timpa apabila beliau diberitahu menghidap penyakit kanser yang telah mencapai peringkat keempat. Kesemua ini membuatkan segala-gala tampak sukar buat Inuyashiki yang cuba untuk menambat kembali hati anak-anaknya terutama Mari yang sangat malu untuk mengakui bahawa Inuyashiki ialah ayahnya. Disini kita dapat lihat bahawa kegagalan Inuyashiki menjadi ketua keluarga yang baik terutama di dalam mendidik anak sejak dari awal menyebabkan anak-anak hilang hormat dan bersikap kurang ajar kepadanya. Inilah juga perkara yang terjadi kepada anak-anak muda kita pada masa ini disebabkan oleh kekurangan atau ketiadaan ilmu kekeluarga oleh pasangan suami isteri yang secara tidak langsung bukannya menghasilkan anak yang soleh atau solehah tetapi melahirkan Tuan kepada mereka di kemudian hari.



Kisah menjadi semakin menarik apabila Ichirou serta Hiro Shishigami yang merupakan rakan sekelas anaknya menerima kuasa luar biasa pada suatu malam di sebuah kawasan lapang. Disini kita dapat lihat bahawa setiap sikap manusia dalam melakukan sesuatu ditentukan mengikut arahan minda kita sendiri. Contoh terdekat ialah kereta dimana ia dicipta sama daripada setiap segi tetapi cara pemanduan serta penjagaan bergantung kepada individu yang menggunakannya. Sama juga seperti kuasa yang dimiliki oleh Ichirou serta Hiro ini adalah kuasa yang sama namun cara mereka menggunakannya ada berbeza. Ichirou yang sememangnya bercita-cita mahu menjadi seorang hero untuk cuba membanggakan anaknya memilih untuk membantu masyarakat manakala Hiro pula yang penuh dengan rasa dendam memilih untuk merosakkan kebahagiaan manusia lain.



Amat menarik untuk dilihat kepada karakter Hiro ini dimana pada asalnya watak ini bukan lah seorang yang pendendam, apatah lagi untuk menjadi seorang yang kejam. Ini dapat dibuktikan apabila Hiro membatalkan hajatnya untuk membunuh bapa dan adik beradik tirinya disebabkan rasa sayang itu masih lagi ada di dalam jiwanya. Namun, dapat dilihat disini bahawa kesan penceraian kedua ibu bapanya sangat memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan Hiro yang sedang meningkat dewasa. Hiro merasakan ayahnya tidak bersyukur dengan segala kebaikan yang diberi oleh ibunya sepanjang mereka bersama dan mula menyimpan dendam. Dendam ini kemudian dilepaskan kepada anak-anak remaja yang lain yang berpeluang bergembira dan menghabiskan masa berkualiti bersama dengan ibu bapa mereka tanpa ada halangan sepertinya. Disini kita dapat lihat bahawa isu penceraian ini sebenarnya memberi kesan yang cukup besar dan jika tidak ditangani dengan betul atau pun diperjelas dengan baik kepada anak-anak, sesuatu malapetaka bakal terjadi terhadap kehidupan anak-anak ini di kemudian hari disebabkan oleh kecelaruan atau ketidak puasan hati si anak terhadap perpisahan yang terjadi.


Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh Hiro ini telah memberikan satu kepuasan dan di dalam masa yang sama seperti membenarkan dan menghalalkan perbuatan zalim tersebut atas alasan tiada pihak lain yang akan bersedih atau mengambil berat tentang keluarga yang dibunuh olehnya. Tanda-tanda inilah yang dihidapi oleh kebanyakan pembunuh-pembunuh psikopat yang berjaya ditangkap diluar sana dimana mereka menghalalkan perbuatan kejam mereka itu atas alasan yang sama.



Memandangkan kuasa Hiro sama seperti Inuyashiki, dia juga memiliki kelebihan untuk merawat penyakit-penyakit yang sukar diubati dan tanpa sedar telah berjaya merawat ibu kandungnya sendiri yang menghidap penyakit kanser. Namun, atas kesilapan dirinya sendiri dimana pembunuhan yang dilakukan telah terbongkar menyebabkan ibunya berasa sangat malu dengan masyarakat sehingga akhirnya membunuh diri. Babak ini sememangnya agak menyayat hati kerana pada hakikatnya Hiro mahu menyelamatkan ibunya daripada mati kerana barah tetapi akhirnya ibunya memilih untuk mati disebabkan kesalahan Hiro. Memang antara babak yang memberi kesan di dalam filem ini.



Filem ini juga berjaya memberi penekanan yang baik terbaik terhadap kisah buli siber yang semakin berleluasa pada masa kini. Babak yang menunjukkan ramai manusia yang langsung tidak mengenali Hiro tetapi terlalu mahu mengambil peranan Tuhan untuk menghakimi Hiro sehingga menelanjangkan segala-galanya tentang Hiro di khalayak ramai. Inilah antara punca ibu Hiro membunuh diri dan bagaimana cara Hiro membunuh manusia ini diolah dan dipaparkan dengan cukup kreatif. Gaya menunjuk cari seperti pistol sambil mulut menyebut Bang! Bang! pada awalnya mungkin kelihatan kelakar tetapi emosi serta gerak tubuh karakter Hiro yang dipamerkan berjaya meyakinkan penonton bahawa emosi yang dipaparkan itu serius dan berhati kering. Gaya pembunuhan ini juga merupakan refleksi imaginasi yang menarik untuk dilihat kerana ia mencerminkan keinginan ramai individu yang selalu membayangkan dengan sebutan ,"Andai aku mempunyai kuasa...aku pasti akan....!"



Berbalik pula kepada kesan khas yang terdapat di dalam filem ini, bagi aku tidak lah kelihatan terlampau realistik namun masih boleh diterima mata dan masih boleh dibanggakan. Cuma babak pertarungan adakalanya agak membosankan mungkin disebabkan durasi yang terlampau panjang. Secara keseluruhannya, aku beranggapan filem ini masih menarik untuk ditonton dan kekuatan filem ini bagi aku ialah terhadap nilai kehidupan yang cuba disampaikan melalui karakter Inuyashiki serta Hiro ini yang bertentangan tetapi sebenarnya berhubung rapat di dalam kehidupan sebenar.



Apa-apapun, bagi aku filem ini masih sebuah filem yang menarik. Lakonan para pelakon yang mantap. Jalan cerita yang kreatif walaupun sedikit gila. Aku tidak mahu berkongsi lebih kerana aku merasakan adalah lebih menarik lagi jika kalian sendiri menonton filem menarik ini untuk mengetahui tentang kisah selanjutnya. Jadi, selamat menonton.

P/S : Minggu Depan Ada Screening Filem The Accidental Detective 2 In Action Lakonan Lee Kwang Soo Pula. Harap Dapat Pergi :)

2 comments:

  1. Sinopsis macam best jgk. Nanti boleh tengok
    Salam singgah :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehehe
      boleh layan lah sebab cerita dia pun ada mesej
      selamat menonton :)

      Delete