Tuesday, 10 July 2018

Review Filem Brother Of The Year

Posted by BG Design


Filem:
Brother Of The Year

Pengarah:
Witthaya Thongyooyong

Genre:
Kemodi, Keluarga, Romantik

Pelakon:
Sunny Suwanmethanon, Urassaya Sperbund, Nichkhun Horvejkul & Etc.

Penilaian:
7/10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang dua orang adik beradik yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza iaitu Chut dan Jane. Chut merupakan seorang abang yang selalu gagal dalam setiap perkara yang dilakukan dan tidak dapat menguruskan diri dengan baik manakala adik perempuannya pula iaitu Jane sentiasa berjaya di dalam setiap bidang yang dipilihnya dan dalam masa yang sama menjadi 'ibu' dan sentiasa membantu menguruskan kehidupan Chut. Namun, Chut merupakan seorang abang yang terlalu melindungi adik perempuannya apabila ia berkaitan dengan soal cinta serta siapa teman lelaki adiknya. Jadi, Jane terpaksa menyembunyikan hubungan cintanya dengan jejaka kacukan Jepun iaitu Moji daripada diketahui oleh Chut. Masalah mula timbul apabila Moji melamar Jane dan memberitahu Jane perlu mengikutnya pindah ke Jepun selepas berkahwin. Ini dibantah keras oleh Chut yang tidak bersetuju dengan lamaran tersebut dan ini menyebabkan pergaduhan besar antara Jane dan Chut. Untuk mengetahui kisah seterusnya tentang hubungan persaudaraan antara Jane dan Chut serta adakah Jane dapat berkahwin dengan Moji, saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda untuk mendapatkan jawapannya.

Ulasan Hans:

Sebagai salah seorang peminat drama bersiri dan beberapa buah filem dari negara Thailand, apabila aku mendengar tentang filem Brother Of The Year bakal ditayangkan di Malaysia sememangnya membuatkan aku sangat bersemangat untuk menonton filem ini. Semangat yang datang ini bukan disebabkan aku ingin menjamu mata melihat kecantikan atau kekacakan para pelakon yang terlibat di dalam filem ini tetapi aku sebenarnya sangat menyukai jalan cerita serta bagaimana kreatifnya produksi mereka apabila menghasilkan sesebuah kisah untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai.


Tema sebenar filem ini ialah berkenaan kekeluargaan dan menariknya filem ini memberi fokus terhadap hubungan abang dan adik yang disampaikan dengan cara yang cuba mengelirukan penonton melalui permainan emosi di dalam setiap babak yang melibatkan mereka berdua. Adakalanya mereka ini kelihatan seperti musuh ketat. Ada ketika mereka kelihatan seperti sangat rapat. Ada masanya mereka kelihatan seperti begitu mengambil berat dan melindungi. Pengolahan jalan cerita dengan memanfaatkan lontaran emosi yang baik daripada pelakon-pelakon utama filem ini yang menjadikan filem ini cukup menarik untuk ditonton dan tidak membosankan.



Jika diikutkan jalan cerita filem ini sebenarnya terlalu ringkas dan tidak langsung memeningkan tetapi filem ini menjadi hebat dan menarik disebabkan pengolahan jalan cerita setiap karakternya yang bijak didahulukan atau dikemudiankan oleh penulis skrip filem ini. Jika sesiapa yang pernah menonton iklan raya Telekung Siti Khadijah pada tahun 2018, konsep perjalanan cerita filem ini lebih kurang sama seperti itu dimana plot cerita berjaya menipu penonton dengan cuba mengawal dan membiarkan penonton membuat kesimpulan awal tentang karakter yang mereka tonton dan pada akhirnya mungkin tekaan mereka yang menonton akan betul atau salah atau kedua-duanya.



Merungkai serba sedikit tentang karakter Chut yang sebenarnya terlalu inginkan adik lelaki kerana ingin melakukan segala perkara serta hobi bersama-sama. Tetapi, apabila mengetahui bahawa Jane merupakan bayi perempuan menyebabkan Chut seperti kecewa kerana beranggapan sudah pasti mereka tidak dapat bermain atau berkongsi hobi yang sama. Menariknya disini apabila Jane boleh sekepala dengan abangnya di dalam semua perkara. Apa yang disukai oleh Chut pasti akan disukai juga oleh Jane. Namun Chut tidak menyedari itu semua dan masalah mula timbul disini apabila Chut ini mengidap penyakit malas pada tahap kronik di dalam segala segi dan terlalu mengambil mudah sesuatu perkara yang menyebabkan dia terlepas pandang tentang kasih sayang Jane terhadap dirinya. Sifat malas ini pula sebenarnya bukan lahir secara semula jadi tetapi selepas dia merasakan kehadiran Jane di dalam kehidupannya menyebabkan segala kasih sayang dan perhatian yang diperoleh oleh Chut sebelum ini hilang dan beralih ke arah Jane. Pada masa yang sama, dia merasakan sifat malas ini bagus untuk dirinya kerana membuatkan dia terasa bahawa ada orang yang masih mengambil berat dan peduli terhadap dirinya. Tak lain tak bukan orang tersebut ialah adik perempuannya sendiri iaitu Jane. Disebabkan itu Chut membahasakan Jane sebagai ibunya dan ini antara percaturan jalan cerita yang sangat menarik dan membuatkan kita yang menonton bersetuju bahawa Jane adalah orang yang sangat penting dan amat disayangi oleh Chut secara tersiratnya.



Tetapi watak Chut ini sebenarnya terlalu ego. Chut tidak pandai untuk menunjukkan rasa kasih sayang seorang abang terhadap adiknya Jane. Hal ini pula yang menjadi titik tolak kepada rasa kecewa dan sedih Jane yang merasakan seperti dia tidak memiliki abang kandung. Namun, salah satu ayat yang dilontarkan oleh Jane apabila menjawab persoalan tentang hubungan dia dan abangnya memang menarik untuk diperhalusi. Salah satunya apabila Jane memberitahu bahawa abangnya memang seorang yang membosankan tetapi tiada apa-apa yang boleh menghalang mereka berdua daripada menjadi adik beradik. Disini, penonton mungkin mula keliru tentang apa sebenarnya yang Jane mahukan. Dari satu segi kelihatan seolah-olah Jane lebih rela tiada abang daripada mendapat abang seperti Chut. Dari satu sudut pula kelihatan seperti Jane tidak kisah dan sanggup menjadi 'hamba' kepada kehidupan abangnya. Namun, persoalan itu terjawab secara bersahaja apabila Jane menjawab pertanyaan rakan abangnya dengan jawapan,"Awak pasti anak tunggal kan?" Disini kita dapat lihat rasa sayang Jane terhadap abangnya bukannya biasa-biasa cuma menjadi adat wanita timur untuk membiarkan lelaki dahulu yang bersuara di dalam setiap perkara dan ini juga menyebabkan konflik menjadi semakin buruk antara mereka berdua.




Kehadiran Moji di dalam kehidupan Jane akhirnya memberikan jawapan terhadap persoalan yang melingkari sikap serta karakter Chut ini. Chut sebenarnya bukan tidak suka adik perempuannya berkahwin kerana ada dipaparkan bahawa Chut sebenarnya masih boleh menerima berita tentang hubungan Chut dan Jane ini sewaktu pertemuan bertentang mata antara mereka berdua serta ibu Moji. Tetapi, apabila Chut mendapat tahu bahawa Jane akan berpindah ke Jepun selepas mereka berdua berkahwin terus Chut membatalkan hajat adiknya tersebut. Kenapa sampai begitu sekali? Sebenarnya, Chut ini merupakan seorang lelaki yang sangat sunyi dan kehadiran Jane sahaja yang membuatkan dia terasa yang dia masih wujud, masih terasa dihargai, masih terasa disayangi....senang cakap Jane sebenarnya merupakan kehidupan sebenar buat Chut. Jadi, jika Jane berpindah ke Jepun maka Chut akan kembali terasa sunyi. Chut sebenarnya tidak sukakan kesunyian tersebut dan sebab itu dipertontonkan babak-babak Chut bermesra dengan ramai perempuan sewaktu ketiadaan Jane dan menariknya Chut langsung tidak tahu nama setiap gadis tersebut. Segala-galanya dilakukan atas dasar untuk menghilangkan kesunyian yang Chut sendiri tidak sedar melingkari hidupnya. 



Filem ini sebenarnya penuh dengan unsur humor yang menggeletek hati. Tetapi, penangan terhadap emosi melalui beberapa babak sedih juga tidak boleh diambil mudah. Pepatah orang Melayu sangat sesuai untuk digunakan untuk kisah filem ini iaitu Air Yang Dicincang Tidak Akan Putus. Disini kita dapat lihat bahawa walau bagaimana teruk sekali pun sikap dan perbuatan Chut terhadap Jane namun Jane tetap menyayangi Chut sepenuh hati. Ada dua babak yang paling memberi kesan di dalam filem ini. Pertama sewaktu ucapan Jane di hari perkahwinan yang menyaksikan kekecewaan terbesar buat pertama kalinya di dalam hidup Jane apabila Chut tidak hadir di majlis perkahwinannya. Olahan penceritaan pada babak ini juga sangat menarik kerana ianya akan terjawab di penghujung kisah. Babak kedua pula ialah babak akhir filem ini iaitu pertemuan semula antara Jane dan Chut yang memang cukup memberi impak terhadap emosi para penonton. Tidak perlu dengan percakapan berjela-jela tetapi cukup dengan air mata sahaja telah memberi jawapan secara automatik terhadap pertanyaan-pertanyaan yang berbangkit sebelum ini.   



Aku tidak mahu berkongsi semuanya disini kerana adalah lebih baik kalian sendiri menonton filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran untuk melihat sendiri kesudahan kisah filem ini. Apa yang aku boleh cakap filem ini menjadi menarik disebabkan pengolahan cara cerita yang banyak bermain dengan perubahan plot cerita yang tidak dijangka serta kehebatan setiap pelakon utamanya bermain dengan karakter serta emosi yang berjaya membantu filem ini menjadi antara naskhah yang mungkin bukan terlampau baik tetapi ada sesuatu yang dapat dibanggakan apabila kita menonton filem ini. Tidak lupa juga sinematografi serta penggunaan camera shot yang menarik menjadikan filem ini tidak rugi untuk ditonton.



Memandangkan aku kerap menonton siri-siri menarik daripada negara Thailand, aku boleh katakan filem ini sebenarnya boleh menjadi lebih menarik lagi jika jalan ceritanya dijadikan lebih berat dan lebih kompleks lagi. Namun, mungkin mengambil kira dari sudut penonton-penonton lain yang lebih sukakan filem-filem ringan menjadikan filem ini menampilkan jalan cerita yang tidak kompleks dan mudah dihadam oleh semua. Tetapi, apa yang pasti filem Brother Of The Year ini telah berjaya membuktikan bahawa naskhah ini telah jauh meninggalkan kebanyakan filem-filem tempatan kita di belakang. Jika tidak percaya silalah tonton filem ini dan anda pasti bersetuju dengan pandangan amatur aku ini. Selamat menonton :)  

12 comments:

  1. Wah boleh pergi tengok nanti :)

    ReplyDelete
  2. dah boleh agak jalan cerita dia tapi still nak tengok sebab movie kelakar thai memang power

    ReplyDelete
    Replies
    1. yups
      power komedi dia
      sila tengok segera
      hehehe

      Delete
  3. Macam menarik pulak cerita ni. Kalau ada kesempatan, nak pergi tengok.

    ReplyDelete
    Replies
    1. memang menarik
      sila tengok
      mesti puas hati

      Delete
  4. menarik ceritanya, biasa cerita thai memang best, tengok iklan dorang pun best2 banyak mesej @ pengajaran yang boleh kita dapat

    ReplyDelete
    Replies
    1. yups
      betul tu
      hehehe
      atleast untuk filem nih ajar kita menghargai adik beradik :)

      Delete
  5. cerita dr thai mmg best best kan..
    zaman remaja dlu dok melayan drama drama thai kat tv3..tv2..semuat best giler.
    movie seram semua yg best dr dari thai..

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehehe
      sekarang lagi best sebab filem thai ada isi nak disampaikan

      Delete
  6. Tq Hans.
    Nice review. Very honest :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. welcome
      hehehe
      menaip sepenuh jiwa nih
      hahaha

      Delete