Friday, 22 July 2011

Review Drama Bersiri Juvana

Posted by BG Design



Drama:
Juvana


Pengarah:
Faisal Ishak


Penulis Skrip:
Alfie Palermo


Pelakon:
Zahiril Adzim, Bront Palarae, Izreen Azminda,
Irfan Roslan, Beto Kushairy, Kuswadinata & Etc.


Jumlah Episod:
13


Siaran:
TV3


Penilaian:
5 / 5


Sinopsis:

Drama ini mengisahkan tentang Daim, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak kerana dituduh membunuh ibu serta teman lelaki ibunya walaupun beliau mengaku tidak bersalah. Disana, Daim telah ditempatkan dengan beberapa pelajar yang sememangnya bermasalah dan suka mencari masalah. Ditambah pula dengan beberapa orang guru serta warden yang langsung tidak peduli tentang apapun yang terjadi terhadap Daim dan beberapa orang rakannya yang selalu dibelasah oleh kumpulan Botak yang boleh dikategorikan sebagai otai tempat tersebut. Daim terpaksa menjalani kehidupan di pusat tersebut yang rata - rata penghuninya memang berkelakuan ganas dan samseng sedangkan Daim sebaliknya namun nasib menyebelahinya apabila salah seorang pelajar disitu iaitu Apek menjadi rakan baik Daim dan sentiasa membantu beliau dalam apa jua situasi. Kedatangan Cikgu Zakiah pula memang membawa impak yang cuku besar dalam membantu Daim berhadapan dengan semua dugaan ini dan secara tidak langsung berjaya mengubah pemikiran pelajar - pelajar sekolah Wira Bakti seorang demi seorang. Konflik mula timbul apabila pelajar cilik iaitu Kedah mengetahui bahawa Daim bukanlah pembunuh ibu beliau dan rahsia besar mula terbongkar apabila Warden Raja dan beberapa kakitangan sekolah itu bersubahat di dalam mencuri duit peruntukkan yang diberi oleh Dato Wira kepada sekolah dan pelajar terbabit. Jadi, Cikgu Zakiah cuba berbuat sesuatu untuk menyelamatkan Daim dan rakan - rakannya. Daim pula cuba merangka strategi untuk membebaskan dirinya dan memberi hak dan keadilan kepada rakan - rakan yang lain walaupun Botak menentang beliau habis - habisan dan cuba menggagalkan rancangan Daim.


Ulasan Hans:

Drama bersiri Juvana akhirnya melabuhkan tirainya semalam(18 Julai 2011) selepas bersiaran di stesen TV3 sebanyak 13 episod dan berjaya membawa sebuah fenomena baru kepada penonton - penonton Malaysia dimana rating untuk setiap episod mencatat lebih daripada 1 juta penonton. Aku juga salah seorang penonton yang tidak terlepas daripada mengikuti drama bersiri ini sejak episod pertama lagi mengakui drama ini ada aura yang tersendiri kerana keunikan dan keistimewaan yang terdapat di dalam drama ini yang bagi aku belum pernah lagi dilihat di dalam mana - mana drama bersiri, telemovie mahu pun filem keluaran anak tempatan sebelum ini.


 Kisah Tentang Seorang Remaja Yang Tidak Berdosa


Jalan cerita yang unik hasil karya Alfie Palermo ini sememangnya bagi aku menongkah arus dan walaupun terdapat sedikit tentangan daripada penonton - penonton Malaysia terutama ibu bapa yang mempertikaikan kenapa drama ini ditayangkan kerana mereka lebih menilai terhadap nilai keganasan yang terdapat di dalam drama ini berbanding mesej nya yang jauh lebih besar dan bermanfaat. Aku tak nafikan ada sesetengah babak memang boleh diklasifikasikan agak ganas namun sampai bila penonton - penonton harus disogokkan dengan kisah - kisah fantasi percintaan atau pun komedi slapstik yang kadang - kadang bagi aku begitu stereotaip dan langsung tidak membina minda khalayak yang menonton.


Nama Panggilan Yang Unik


Aku suka bagaimana setiap karakter di dalam drama ini dibentuk, diangkat dan dilakonkan oleh setiap daripada mereka. Walaupun boleh dikatakan 70% daripada senarai pelakon ini ialah pelakon muda atau pun pelakon baru yang tidak dikenali oleh kebanyakkan penonton namun mereka berjaya meninggalkan impak yang cukup besar dalam setiap babak kemunculan watak mereka di kaca televisyen. Watak - watak kecil seperti watak pengawal Tony, Nadia dan ibunya serta keluarga cikgu Zakiah walaupun kemunculan mereka hanya seketika namun masih mampu meninggalkan kesan terhadap emosi penonton.


 Barisan Pelakon Untuk Watak Pelajar - Pelajar Sekolah Wira Bakti


Pelakon - pelakon yang sebelum ini pernah berlakon atau baru berlakon seperti Johan Aarif Asri, Adam Shah(Akademi Polis,TV9), Syazwan Zulkifly, Talha Harith, Syukri Yahaya, Idzham Ismail, dan lain - lain juga berjaya menghidupkan watak mereka dengan cukup berkesan dan menyakinkan. Pelakon - pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Bront Palarae, Izreen Azminda,  Beto Kusyairy, Irfan Roslan dan Fimie Don secara tidak langsung membantu menguatkan lagi keseluruhan cerita drama ini.


Lakonan Mantap Daripada Pelakon - Pelakon Ini


Apa yang sangat menggembirakan aku disini ialah apabila watak Daim yang dilakonkan dengan jayanya oleh Zahiril Adzim tidak dibentuk untuk menjadi jaguh persis hero - hero filem Bollywood mahu pun superhero Hollywood dimana sama ada mereka terlalu lemah atau kelihatan begitu nazak namun tiba - tiba menjadi kuat dan mampu menewaskan musuh dengan sekelip mata. Watak Daim tetap ditunjukkan sebagai seorang lelaki yang lemah dari segi fizikal namun kuat dari segi akal dan ini dibuktikan di dalam episod akhir dimana Daim masih tidak mampu menewaskan Botak dari segi fizikal. Itu memang sesuatu yang menggembirakan aku kerana keseluruhan cerita ini sukar untuk dijangka pengakhirannya.


 Watak Kedah Lakonan Fimie Don Begitu Mencuit Hati


Apa - apapun, secara keseluruhan drama bersiri Juvana sememangnya menarik, menghiburkan dan penuh dengan mesej yang boleh dijadikan tauladan dan pengajaran dalam kehidupan seharian kita. Kata - kata nasihat yang diungkap dengan indah di dalam drama ini juga begitu menarik untuk dihayati. Aku masih mengingati babak di antara Cikgu Zakiah dan ayah beliau tentang kerjaya yang dipilih oleh beliau sebagai seorang guru yang ditentang keras oleh ayahnya kerana tidak menjamin kekayaan. Aku juga masih mengingati adegan Cikgu Zakiah yang menasihati Botak tentang kezaliman manusia tidak akan membuatkan manusia lain menghormati melainkan membenci serta takut sahaja. Banyak lagi sebenarnya mesej yang tidak perlu untuk aku letakkan di sini kesemuanya.


 Watak Cikgu Azmee Lakonan Irfan Roslan Berjaya 'Menipu' Penonton


Jadi, aku dengan ini mengucapkan tahniah kepada semua krew dan pelakon drama bersiri Juvana yang membawa fenomena dan harapan baru kepada industri dan juga penonton - penonton tempatan. Harapan aku moga drama Juvana ini akan ada sambungannya dan moga jika ada sambungannya nanti aku mengharapkan agar jalan ceritanya lebih hebat atau paling tidak sehebat drama Juvana ini. Tahniah sekali lagi untuk semua!

P/S : Mana Satu Pilihan Anda? Juvana 2 Atau Juvana The Movie? Aku Memilih Juvana 2! (^_^)Y


8 comments:

  1. pilih juvana 2 jugak :)
    btw , juvana mmg antara drama terbaik dan lain dari yg lain .

    ReplyDelete
  2. juvana memang terbaik...reality kehidupan

    ReplyDelete
  3. dah tgk episod last! mg terbaik!!!

    ReplyDelete
  4. tak sempat nak tgk last episode! huhu. the drama was very great to be watched. byk pengajaran kan.

    ReplyDelete
  5. yups...saya suka drama ini walaupun pengakhirannya ada beberapa benda yag sedikit mencacatkan tetapi masih saya suka :-)

    ReplyDelete
  6. juvana 2 jugak ^^
    wow best la ulasan ni, serious~

    ReplyDelete
  7. saya pilih Juvana 2 jugak !!!

    hahaa.. mak sy pn suka cerita ni ok..
    sobbss.. xsempat tgk episod akhir.. blh download kt mna eh..

    ReplyDelete
  8. BtW, hans ulas cerita ni dengan baik dan padat sekali..
    seyes baca sampai habis ^^

    ReplyDelete