Wednesday, 19 December 2018

Review Filem More Than Blue

Posted by BG Design


Filem:
More Than Blue

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Gavin Lin

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon:
Jasper Liu, Ivy Chen, Bryan Chang Shu-Hao, Annie Chen & Etc.

Tarikh Tayangan:
27 Disember 2018

Pengedar:
MM2 Entertainment Sdn Bhd


Sinopsis:

Filem ini adalah `remake` filem Korea pada tahun 2009 dengan judul sama. Cream dan K berkawan sejak sekolah tinggi lagi. Beberapa tahun kemudian, mereka tinggal bersama tetapi bukan sebagai pasangan kekasih. K telah disahkan mengidap leukemia tetapi dia tidak sampai hati hendak beritahu Cream, yang mana dia menaruh perasaan terhadap wanita itu, kerana bimbang akan membuatkan Cream terluka. Cream kemudian mula menjalin hubungan dengan lelaki lain dan menerima lamaran kekasihnya tanpa mengetahui apa yang disembunyikan oleh K. Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 27 Disember 2018 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah, aku menerima jemputan untuk menonton filem More Than Blue sempena tayangan media di mmCineplexes Cinema pada tanggal 18 Disember 2018 yang lepas. Aku berasa sangat gembira kerana telah membuat keputusan memilih untuk menonton filem ini memandangkan pada hari dan masa yang sama, aku turut menerima jemputan untuk menonton filem Master Z: The Ip Man Legacy dan filem animasi Dragon Ball Super: Broly.


Filem More Than Blue ini ialah sebuah filem yang pada asalnya ialah karya daripada negara Korea Selatan sebelum dibuat semula di dalam versi Mandarin. Memandangkan aku tidak menonton filem asal jadi aku tidak tahu bagaimana kekuatan, kelebihan atau keistimewaan karya tersebut. Jadi, berdasarkan tontonan segar aku untuk filem More Than Blue versi mandarin ini, apa yang aku boleh katakan filem ini memberikan sesuatu yang cukup menarik dan menyentap emosi sesiapa yang menonton secara perlahan-lahan dan lebih semulajadi tanpa ada sebarang paksaan di dalam setiap plot penceritaannya.


Filem More Than Blue masih bermain persoalan berkaitan cinta serta pengorbannnya. Seperti biasa, filem ini masih tidak dapat lari daripada tema cinta yang terhasil melalui persahabatan yang sudah acap kali kita tonton di dalam mana-mana filem Korea atau filem-filem luar yang lain. Namun, apa yang menariknya filem ini ialah tentang plot ceritanya yang bijak bermain dengan beberapa perubahan plot atau plot twist pada durasi 20 minit terakhir filem ini dan menjadikan naskhah ini bukan sekadar kisah cinta biasa tetapi melangkau beberapa tapak daripada filem-filem yang bergenre sama.


Filem ini berjaya menangkap dan memenjara jiwa penonton untuk menyukainya kerana kehebatan para pelakonnya di dalam menjiwai karakter, emosi, reaksi wajah serta memberi pergerakan tubuh yang sangat baik untuk menguatkan dialog-dialog hebat yang boleh dikatakan hampir semuanya mempunyai makna tersirat menjadi lebih hebat daripada sedia kala. Lebih penting ialah kesinambungan daripada kesemua ini bertepatan dengan logik akal sebuah kisah yang divisualkan dengan baik di dalam sebuah filem menjadikan ianya bukan sebuah filem kosong tetapi memberi kesan kepada fikiran serta diri anda walaupun setelah tamat tontonan.


Aku sendiri cukup sukakan dengan beberapa dialog para pelakon utamanya di dalam filem ini yang bagi aku sangat bermakna. Tetapi, aku menulis ayat dibawah ini mengikut kefahaman aku dan diterjemahkan seperti di bawah :

1) Jika seseorang memahami dan mengetahui apa itu cinta, maka tiada orang akan menderita disebabkannya.

2) Di rumah dia menjadi ibu. Di tempat kerja dia menjadi ayah. Kadang-kadang dia menjadi seperti abang. Adakalanya dia seperti seorang kekasih. Pada waktu sepatutnya dia menjadi dungu.

3) Konsonan K untuk K dan Cream kerana kita ialah keluarga.


Aku juga cukup tertarik tentang beberapa perkara tentang filem ini terutama tentang babak larian watak K sewaktu zaman persekolah dan sewaktu zaman dewasanya yang membawa subteks yang menarik bagi aku melambangkan tentang sebuah permasalahan yang cuba ditinggalkan agar tidak akan membuatkan sesiapa kecewa mahu pun derita. Aku sangat sukakan dua babak ini kerana bagi aku ia sangat kreatif dan mahal daripada sudut tontonnya. Walaupun aku melihat ada sedikit kelemahan terutama tentang personaliti serta jasad watak K yang kelihatan masih sihat walaupun tahap kesihatannya berada di peringkat yang kritikal dan masih mampu melakukan perkara yang dilakukan manusia yang sihat namun sekali lagi plot cerita yang cukup kuat disokong dengan lakonan yang cukup mantap membantu menutup kelemahan tersebut dengan jayanya.


Jadi,disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem More Than Blue ini di pawagam berhampiran bermula pada 27 Disember 2018:

1) Sebuah kisah cinta yang kreatif, hebat dan bijak di dalam memanipulasikan pemikiran dan pemahaman anda bermula daripada awal filem lagi sehingga kepada penamatnya.    

2) Sebuah filem yang berjaya menjadikan semua watak di dalam filem ini berkembang dengan baik di dalam menyokong penceritaan dan disucikan daripada 'dosa-dosa' hasil tindakan dan pilihan setiap watak di dalam mencorakkan plot cerita filem ini.

3) Dialog-dialog yang diungkapkan watak-watak di dalam filem ini hanya dialog yang sangat mudah difahami oleh sesiapa pun penontonnya namun kesan tersurat, tersirat dan subteks yang terhasil daripada dialog-dialog ini adalah sangat menakjubkan. Kalau tak percaya silalah tonton di pawagam nanti.

4) Kisah cinta serta pengorbanan yang sangat berbeza daripada kaca mata empat watak utamanya yang menjadikan filem ini antara filem bergenre drama romantik yang wajib ditonton untuk tahun 2018.


Jadi, selamat menonton filem More Than Blue dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Tak Sabar Nak Menonton Filem Zero dan The Spiral Pada Minggu Ini. Harap-Harap Karya-Karya Ini Berbaloi Untuk Ditonton!

0 comments: