Wednesday, 29 August 2018

Review Filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days

Posted by BG Design


Filem:
Along With The Gods 2: The Last 49 Days

Penilaian:
9 / 10

Pengarah:
Kim Yong-Hwa

Genre:
Aksi, Drama & Fantasi

Pelakon:
Ha Jung-Woo, Ju Ji-Hoon, Kim Hyang-Gi, Ma Dong-Seok,
Kim Dong-Wook, Do Kyung-Soo, Lee Joon-Hyuk, Nam II-Woo, Jung Ji-Hoon & Etc 

Tarikh Tayangan:
29 Ogos 2018

Sinopsis:

Filem ini merupakan kesinambungan daripada filem pertama Along With The Gods: The Two Worlds. Kali ini ketiga-tiga pelindung alam baqa iaitu Gang Lim, Hae Won Maek dan Lee Deok Choon bersama roh terakhir Soo Hong perlu menempuh pelbagai ujian dan cabaran bagi menjayakan perbicaraan ke-49 supaya mereka semua dapat kembali dihidupkan semula. Memandangkan roh Soo Hong dituduh sebagai roh jahat yang memberontak oleh pendakwa-pendakwa Alam Baqa, maka Raja Yeomra datang berjumpa dengan mereka berempat untuk bertanya tentang kekacauan yang telah dicetuskan oleh mereka di Alam Baqa tersebut. Gang Lim tetap mempertahankan roh Soo Hong sebagai roh suci yang teraniaya. Jadi, Raja Yeomra memberi peluang untuk mereka mempertahankan Soo Hong sebagai roh yang mulia tetapi jika gagal maka mereka bertiga tidak akan dapat dilahirkan semula di dalam kehidupan akan datang. Dalam masa yang sama juga, Raja Yeomra meminta mereka mencabut nyawa seorang warga tua yang kini dilindungi oleh seorang dewa rumah tangga yang menyamar menjadi manusia dan tinggal bersama warga tua tersebut dan cucunya. Semua ini perlu diselesaikan dalam masa 49 hari. Gang Lim membantu roh Soo Hong berhadapan dengan cabaran-cabaran neraka di alam baqa manakala Hae Won Maek dan Deok Choon ditugaskan untuk mencabut nyawa lelaki tua dan menghapuskan dewa rumah tangga. Pertemuan mereka berdua dengan dewa rumah tangga telah menyebabkan terbongkar satu rahsia besar yang amat mengejutkan mereka. Siapakah sebenarnya ketiga-tiga pelindung alam baqa ini pada kehidupan mereka yang lepas? Apa pula kaitannya antara Raja Yeomra dan Gang Lim? Mampukah mereka memastikan roh Soo Hong sebagai roh suci yang mulia dan dilahirkan semula? Adakah ketiga-tiga pelindung alam baqa ini juga berjaya dihidupkan semula? Saksikan filem hebat yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Sebenarnya aku berpeluang untuk menonton secara percuma kerana telah dijemput untuk menyaksikan tayangan awal filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days ini pada 20 Ogos yang lepas. Tetapi, disebabkan aku sudah pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha jadi terpaksalah mengeluarkan duit poket sendiri untuk menonton. Cuma sedikit terkejut kerana harga tiket aku tadi cuma RM8 sahaja. Adakah disebabkan hari aku menonton ialah hari Rabu menyebabkan harga tiket menjadi sangat murah? Hahaha!


Saranan awal aku kepada sesiapa yang belum menonton filem pertama Along With The Gods: The Two Worlds agar menonton terlebih dahulu untuk lebih memudahkan lagi anda memahami tentang perjalanan cerita ketiga-tiga pelindung alam baqa ini. Jika pada filem terdahulu, ramai yang tertarik tentang gambaran-gambaran neraka dan jenis seksaan yang dipaparkan kepada penonton yang menyebabkan filem ini menjadi filem paling box office sekali di Korea Selatan. Jadi, apa yang menariknya yang bakal dihidangkan kepada penonton untuk sekuel kedua filem ini? Jika anda ingin melihat gambaran jenis neraka dan seksaan yang lain berbanding filem pertama, mungkin anda boleh lupakan niat tersebut kerana ternyata kali ini elemen-elemen tersebut sangat kurang diberikan fokus. Ini kerana filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days ini sebenarnya lebih memberikan perhatian kepada kehidupan masa lampau ketiga-tiga pelindung alam baqa ini yang sebenarnya saling berkait rapat antara satu sama lain. Secara tidak langsung membuatkan kita sebagai penonton berfikir tentang masa lampau, kematian, peluang kedua serta falsafah kehidupan yang kita pegang. 


Kisah lampau ketiga-tiga pelindung alam baqa ini bagi aku sangat menarik dan kreatif apabila mula dibongkarkan satu persatu dan penuh dengan plot-plot yang tidak terjangka. Jika pada filem terdahulu, Lee Deok Choon yang merupakan pelindung alam baqa wanita pernah bersoal jawab dengan roh abang Soo Hong yang mengatakan mereka tidak ingat siapa mereka pada kehidupan lampau kerana memori mereka telah dipadamkan. Tetapi, lain pula untuk filem kali ini apabila ketua mereka, Gang Lim pula berkata hanya dia yang mengingati kehidupan beliau di masa lampau. Ini sememangnya menimbulkan persoalan yang cukup menarik dan membuatkan penonton tertanya-tanya serta adakalanya keliru kenapa Gang Lim mendapat keistimewaan tersebut sedangkan dua orang lagi pembantunya tidak? Disini terbongkarnya sisi-sisi hitam kehidupan masa lampau mereka yang mula terungkai satu demi satu secara konsisten dan menjawab persoalan-soalan misteri sebelum ini seperti kenapa Gang Lim begitu bersemangat untuk dilahirkan semula dan kenapa memorinya tidak dipadamkan. Pembongkaran ini juga menyebabkan penonton mula mengenali dan memahami kenapa Lee Deok Choon kelihatan begitu naif, baik, lembut dan penyayang. Dan ini juga menjawab kenapa Haen Won Mak mempunyai personaliti yang suka melawan, degil dan dalam masa yang sama bijak di dalam pertempuran. Jadi, jika anda menonton filem ini pasti akan membuatkan anda lebih faham pada perjalanan filem terdahulu serta lebih mengenali perwatakan karakter mereka bertiga ini yang sememangnya tidak seiring dan berlainan karakter.   


Kemunculan Ma Dong Seok sebagai Dewa Rumah Tangga di dalam filem ini juga sangat menarik perhatian dan memberikan humor kepada elemen filem ini. Jika sebelum ini, penonton Malaysia lebih mengenali beliau sebagai Sang Hwa, seorang suami kepada wanita mengandung di dalam filem Train To Busan. Mungkin kali ini, beliau sekali lagi akan diingati sebagai pelakon hebat di dalam filem Along With The Gods 2 ini. Sifat kebapaan dan kemanusiaan yang menebal di dalam watak ini dalam melindungi seorang warga tua dan cucunya sangat memberi impak kepada perjalanan cerita filem ini. Emosi yang disampaikan melalui matanya saat menceritakan tentang kisah lampau kedua-dua pengawal alam baqa juga memberi sentuhan mendalam yang tepat kepada hati penonton. Nilai komedi yang ada pelakon ini juga tidak dapat dinafikan lagi kerana sememangnya banyak adegan kemunculan beliau di dalam filem ini akan mengundang tawa para penonton yang berada di dalam panggung. Babak paling menarik dan epik dari segi kelucuan apabila adegan menggerunkan Haen Won Mak mengamuk kepada warga tua tersebut kerana dianggap menghinanya tetapi satu panggung ketawa berdekah-dekah apabila keadaan menakutkan itu berubah menjadi sangat kelakar apabila warga tua tersebut dengan selambanya menampar dia tanpa ada perasaan takut. Hahaha!


Kali ini para penonton akan dijamu dengan zaman kehidupan masyarakat Korea pada era peperangan kaum Goryeo dan Khitan yang berlatarkan pergunungan, medan perang serta perubahan plot yang cukup menarik dan mendebarkan. Tetapi, kepada yang ingin menyaksikan gambaran seksaan di alam baqa pula, kali ini yang menariknya apabila haiwan-hawain pelik serta pra sejarah turut sama dipaparkan di dalam beberapa babak seksaan dan hukuman di dalam filem kali ini yang kelihatan unik dan adakalanya menggerikan walaupun dihasilkan dengan kos yang agak kecil berbanding filem Hollywood.


Filem kali ini sebenarnya datang dalam suasana yang sangat berlainan dan lebih beremosi serta berjaya memberi perspektif berbeza kepada kita tentang kehidupan, kemaafan dan penyesalan. Aku cukup suka dengan salah satu ayat di dalam filem ini dimana manusia semuanya dilahirkan suci tetapi persekitaran dan keadaan yang mengubah manusia menjadi apa yang mereka ingin atau terpaksa jadi sepanjang kehidupan. Babak-babak kehidupan masa lampau mereka ini penuh dengan rasa kekesalan yang berjaya sampai ke hati aku sehingga mengingatkan aku kepada pepatah 'Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapa'. Saat pelindung alam baqa mengetahui lebih mendalam tentang kisah kehidupan lalu mereka serta kaitan mereka bertiga juga merupakan babak yang sangat gelap dan tragis. Babak pelindung alam baqa perlu mencabut nyawa warga tua itu juga mengajar kita tentang nilai kemanusiaan dan kasih sayang sesama makhluk. Para penonton bakal membenci beberapa watak yang sebelum ini disukai dan begitu juga sebaliknya apabila menonton ke babak pembongkaran kehidupan lampau mereka. Pertengahan filem ini sebenarnya akan membuatkan anda lebih bersemangat untuk mengetahui tentang siapakah sebenarnya pelindung alam baqa ini di dalam kehidupan mereka yang terdahulu dan apa kaitan mereka bertiga dengan Raya Yeomra.


Filem ini kali ini juga bagi aku berjaya menjual satu pendekatan menarik berkaitan kemaafan dan dosa sesama manusia. Salah seorang watak pelindung alam baqa ini dipaparkan sebagai insan yang paling menderita sekali sepanjang 1000 tahun menjadi pelindung alam baqa ini. Bayangkan derita yang dia rasai itu lebih hebat daripada seksaan-seksaan pelbagai jenis neraka yang dipaparkan di dalam filem terdahulu serta filem kali ini sehinggakan walaupun sudah 1000 tahun ia berlalu tetap tidak mampu menenangkan jiwanya. Disini aku merasakan filem ini berjaya menyampaikan perasaan derita yang dibawa sepanjang 1000 tahun itu dengan cukup berkesan sekali. Serius, memang memberi satu impak yang cukup kuat dan menjadikan filem ini lain dari yang lain. 


Nilai murni yang paling ingin ditonjolkan disini ialah tentang erti dan nilai sebuah ucapan meminta maaf serta kemaafan yang diperoleh. Aku akui filem ini sangat berjaya membuatkan penontonnya mendekati dan memahami apa itu kemaafan dengan gaya yang paling mudah tetapi sangat memberi kesan kepada hati penonton. Ini akan anda temui di dalam babak terakhir perbicaraan roh tetapi aku tidak boleh bercerita lebih kerana aku ingin kalian sendiri menonton untuk merasai apa yang aku rasa sebentar tadi. Senang cakap perjalanan cerita filem ini bergerak dengan begitu tersusun, kreatif dan cukup menarik sehingga membuatkan aku tidak berasa bosan langsung walaupun menonton filem yang berdurasi sekitar dua jam ini dua puluh minit ini.   


Jadi, aku senaraikan lima sebab disini kenapa anda wajib menonton filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days :

1) Mengangkat kisah tentang kehidupan dan nilai-nilai murni kehidupan manusia.

2) Plot twist jalan cerita yang sangat bijak dan diluar jangkaan.

3) Segala jenis emosi akan anda jumpa di dalam filem ini yang menjadikan filem ini sangat berwarna-warni.

4) Bukan sebuah filem kosong tetapi filem yang mempunyai mesej yang jelas, menarik dan bagus.

5) Memastikan segala persoalan dan kekeliruan yang bermain di fikiran anda yang menonton filem Along With The Gods: The Two Worlds ini terjawab.


Menonton filem ini tidak akan membuatkan jiwa dan hati kita terpesong daripada agama yang kita anuti. Tetapi, lihat lah pada mesej yang ingin disampaikan. Serius, aku sangat terhibur dan sukakan filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days yang sememangnya kena dengan selera aku yang meminati filem-filem bercorak sebegini. Jadi, kepada yang telah menonton filem pertama Along With The Gods: The Two Worlds maka anda wajib menyaksikan filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days supaya segala persoalan dan kekeliruan yang mengelirukan di dalam fikiran anda bakal terjawab di dalam filem ini. Selamat menonton!

P/S : Jangan Keluar Panggung Awal Sangat Sebab Ada Banyak Snippet Sebelum Ending Credit Muncul. Kemungkinan Filem Ini Bakal Ada Sambungannya Lagi Dan Jika Ada Pasti Jalan Cerita Filem Seterusnya Semakin Menarik Dan Kreatif. Sama-Sama Nantikan!

4 comments:

  1. visual cantik macam first movie, tak sabar nak tengok sebab yang first pun best. Thanks for the review

    ReplyDelete
  2. Filem korea yang membuatkan aku tengok berulang kali.. Yang no 1 la . Yang no 2 lom tengok lagi

    ReplyDelete
    Replies
    1. sila tengok nombor 2 untuk kepuasan yang lebih maksimum
      hehehe

      Delete