Wednesday, 29 August 2018

Review Filem Munafik 2

Posted by BG Design


Filem:
Munafik 2

Penilaian:
6 / 10

Pengarah:
Syamsul Yusof 

Genre:
Seram

Pelakon:
Syamsul Yusof, Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Fizz Fairuz,
Mawi, Datuk Rahim Razali, Ku Farida & Etc 

Tarikh Tayangan:
29 Ogos 2018

Terbitan:
Skop Production

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang ibu tunggal bernama Sakinah yang hidup miskin di sebuah kampung terpencil bersama anak perempuan serta ayahnya yang sudah uzur. Kehidupan mereka dihantui dan diganggu oleh sebuah roh jahat yang dipercayai datang daripada Abu Jar, seorang lelaki yang mempergunakan ajaran agama secara salah bertujuan untuk menyesatkan kesemua penduduk kampung tersebut untuk kepentingan peribadinya. Di kampung seberang, kehebatan Ustaz Adam ditagih untuk menentang Abu Jar apabila permainan sihirnya menghantar roh jahat untuk merasuk Sakinah menyebabkan segala-galanya menjadi kacau bilau. Jadi, Ustaz Adam perlu memulakan misi menyelamat Sakinah namun dalam masa yang juga Ustaz Adam turut diganggu oleh sesuatu yang menggerikan. Berjayakah Ustaz Adam membantu Sakinan dan penduduk kampung lain daripada cengkaman ajaran sesat Abu Jar dan pengikut-pengikutnya? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Aku tidak menonton filem Munafik sebelum ini. Jadi, kepada sesiapa yang senasib seperti aku, kalian tidak perlu khuatir kerana filem ini masih boleh difahami dengan jelas dan masih boleh berdiri sendiri sebagai sebuah filem tanpa terlalu terikat pada filem yang pertama sebelum ini. Apa yang boleh aku simpulkan secara dasarnya, filem Munafik 2 ini bukan lah sebuah filem seram yang secara keseluruhan memperjuangkan makhluk-makhluk halus yang menakutkan tetapi lebih kepada mesej keagamaan yang terlalu padat di dalam filem ini sehinggakan adakalanya aku merasakan penceritaannya sedikit terganggu. Watak Syamsul sebagai Ustaz Adam yang aku dilihat di dalam filem ini seperti terlalu mencuba untuk memberitahu tentang apa sebenarnya agama Islam dan apa sebenarnya ajaran sesat. Dari satu faktor agak bagus kerana dapat mendidik penonton tempatan terutama umat Islam untuk menambah ilmu pengetahuan mereka tentang info-info yang mungkin baru bagi sesetengah orang. Tetapi, dari satu sudut pandang yang lain, aku melihat apabila terlalu padat dan banyak sangat babak yang menyampaikan tentang agama seolah-olah telah menyebabkan perjalanan kisah kali ini kadang-kadang sedikit leret dan tersasar sehingga mengganggu penceritaan utama. Adakalanya babak-babak tersebut seolah-olah tidak ada kena mengena dan tidak membantu perjalanan penceritaan pun.


Buat pertama kalinya, aku ingin mengucapkan tahniah kepada Syamsul Yusof kerana berjaya membawakan watak Ustaz Adam dengan cukup baik dan penuh rasa. Aku sudah tidak nampak Syamsul yang dahulu dari segi lakonan. kerana aku melihat segala-galanya dilakonkan dalam keadaan yang semula jadi tanpa dibuat-buat. Emosi yang dizahirkan oleh watak Ustaz Adam ini juga bergerak cantik dan tidak kelihatan seperti dipaksa-paksa yang boleh dilihat dalam filem-filem lakonannya sebelum ini. Tahniah Syamsul Yusof untuk lakonan yang mantap dan menyakinkan di dalam filem Munafik 2 ini.



Lakonan Maya Karin pula tidak perlu dipertikaikan lagi. Amat menarik melihat watak Sakinah yang dilakonkannya ini tiba-tiba menjadi hebat sewaktu adegan memukul dan membunuh pengikut Abu Jar. Mungkin Sakinah ini pada zaman mudanya memang penduduk wanita kampung yang hebat barangkali di dalam seni mempertahankan diri. Hahaha! Bila dilihat dari sudut penceritaan watak sememangnya nampak kelemahan kerana watak-watak ini berkembang dengan cara yang agak mengelirukan. Adakala nampak keberanian yang sangat tinggi tetapi tiba-tiba boleh berubah kepada ketakutan yang teramat seperti tikus. Serius agak mengelirukan sebenarnya. Apa-apapun, aku cukup babak Maya Karin dirasuk yang menumbuk-numbuk lantai rumah kayu serta memanjat pokok sambil berbahasa Arab yang sememangnya berjaya menaikkan bulu roma saat menontonnya. Memang terbaik! Oh, aku teringat babak Sakinah yang sentiasa membawa anaknya bersembunyi di dalam gua yang sama dengan harapan mereka tidak akan dijumpai oleh Abu Jar dan pengikut-pengikutnya sedangkan sudah banyak kali mereka ditangkap di kawasan tersebut. Aneh bukan? Hahaha!


Aku cukup suka dengan watak dan perwatakan Abu Jar yang dibawakan dengan cukup hebat dan bergaya sekali oleh Nasir Bilal Khan. Nada suara, mimik muka serta pergerakan tubuhnya berjaya mengundang kebencian dan dalam masa yang sama menimbulkan rasa gerun apabila Abu Jar mula berhujah dan menimbulan persoalan berkaitan pemahaman dan kepercayaan agama yang jelas terpesong akidahnya. Dari satu sudut, aku cukup suka dengan pendekatan Syamsul kali ini yang berani merungkaikan permasalahan ajaran sesat ini dengan cara yang mudah difahami. Setiap ayat dan tafsiran surah Al-Quran yang dibaca di dalam filem ini berjaya disampaikan dengan teliti. Namun, harus diingat ada ayat-ayat yang dihujahkan oleh watak Abu Jar di dalam filem ini sememangnya sering dihujah oleh golongan yang sesat. Sekali dengar dan jika difikir secara logik akal mungkin pemikiran kita akan dipengaruhi. Jadi, jika membawa anak-anak kecil menonton jangan lupa untuk memberi pemahaman semula kepada mereka. 


Menyentuh kembali berkenaan watak Abu Jar, aku mengakui ini merupakan watak kesukaan aku di dalam filem ini namun melihat kembali kepada sudut penceritaan, aku mula menyedari memang terdapat kelompongan yang agak besar pada watak dan penceritaan filem ini. Pertama, aku tidak tahu apa punca sebenar yang menyebabkan Abu Jar ini boleh terjebak di dalam ajaran sesat ini. Apabila didapati anak Sakinah merupakan anak Abu Jar, aku mengandaikan dua perkara iaitu pertama, Abu Jar dan Sakinah pernah berkahwin. Kedua, Abu Jar merosakkan Sakinah. Jika, pergi kepada andaian pertama, agak menarik sebenarnya jika mereka pernah berkahwin kerana bapa Sakinah merupakan imam besar di kampung tersebut. Jadi, ini merupakan satu pertembungan yang menarik jika ia dikupas lebih mendalam untuk membantu penonton untuk mengetahui apa puncanya yang menyebabkan Abu Jar terpesong jauh. Apa yang membuatkan aku berkata begini kerana satu adegan melibatkan Datuk Rahim Razali dan Mawi yang berbual tentang keadaan kampung mereka sewaktu berada di jeti kampung dimana bapa Sakinah merupakan imam kampung yang bukan calang-calang orangnya kerana dikenali di kampung-kampung lain. Jadi, persoalan disini ialah bagaimana orang-orang kampung boleh terpengaruh dan terjebak dengan ajaran sesat Abu Jar? Bagaimana Abu Jar boleh mempunyai ramai pengikut setia yang sanggup mendengar sahaja arahannya tanpa membantah? Bagaimana mereka boleh mempunyai sebuah bangunan yang besar, siap dengan lambang bendera serta ritual pemujaan yang sedikit kelakar itu? Adakah kampung mereka ini terlalu tersisih jauh daripada masyarakat sehinggakan tiada sebarang kemudahan seperti pasukan keselamatan dan perubatan disana? Persoalan ini semua timbul kerana kepincangan kisah watak yang kurang dititikberatkan disini.  


Satu lagi watak misteri yang aku tak faham sebenarnya fungsi kemunculannya ialah hantu perempuan dari negara seberang. Aku katakan dari negara seberang kerana dia bercakap bahasa Indonesia. Memandangkan aku tidak menonton filem Munafik sebelum ini, adakah hantu perempuan negara seberang ini berkait rapat dengan filem terdahulu? Sebab serius aku tak faham langsung daripada mana datangnya hantu ini dan kenapa dalam banyak-banyak manusia, dia memilih untuk mengganggu Ustaz Adam? Bab ini memang aku tersesat jauh sebab aku tak tahu asal usul hantu ini. Cuma apa aku boleh cakap, kemunculan hantu perempuan misteri ini memang menarik dan menyeramkan cuma sayangnya sampai sudah aku masih tak dapat tangkap misteri kewujudan dia di dalam filem ini. Apa yang aku nampak cuma dia ini hantu yang cuba untuk menyesatkan dan mengelirukan Ustaz Adam di dalam mempercayai kepercayaan agamanya.


Melihat dari sudut pandang berkenaan sinematografi dan sudut kamera, aku boleh simpulkan filem Munafik 2 ini memberikan yang terbaik pada pandangan aku. Latar filem berjaya dipersembahan dengan penceritaan suasana yang misteri, suram serta penuh dengan unsur mistik yang membantu menaikkan rasa resah penonton yang menonton. Babak-babak yang melibatkan Ustaz Adam dengan hantu wanita yang bercakap Indonesia juga agak menarik perhatian dan kelihatan baru untuk filem-filem seram di Malaysia.


Menyentuh berkenaan dengan kesan bunyi yang terdapat di dalam filem ini, aku mengakui filem ini amat memenatkan aku sepanjang tontonan yang mengjangkau dua jam ini. Keletihan yang aku rasakan bukan kerana disebabkan aku terkejut sangat dengan penampakkan hantu-hantu tetapi kerana latar muzik yang hampir memenuhi sepanjang penceritaan filem ini menyebabkan aku letih. Bagi aku, sepatutnya perlu ada babak-babak yang mampu 'merehatkan' penonton untuk lebih menikmati elemen-elemen seram yang dipertaruhkan di dalam filem ini.


Aku sukakan suasana gelap yang menghiasi hampir 95 peratus adegan-adegan filem ini kerana berjaya meningkatkan rasa seram kepada penonton yang berada di panggung. Adegan seperti mimpi, bot yang berada di air serta pertemuan antara Ustaz Adam dan hantu wanita negara seberang berjaya direalisasikan dengan cukup menarik. Tambah-tambahan dibantu pula dengan solekan yang pada aku sangat menyakinkan dan nampak betul-betul realistik. Cuma aku masih tidak dapat menerima keadaan gelap di rumah keluarga Adam walaupun berjaya meningkatkan elemen seram.  


Jadi, aku senaraikan kekuatan filem ini yang menjadi sebab kenapa anda wajib menonton filem Munafik 2 :

1) Filem yang berani mengangkat soal kepercayaan dan kekeliruan agama di kalangan masyarakat Islam sendiri.

2) Adegan-adegan seram yang menarik dan sedikit lain jika dibandingkan dengan filem-filem seram tempatan terutama berkenaan kesan khas solekan, penataan cahaya dan sinematografi yang bagus.

3) Lakonan para pelakonnya yang bagus terutama dalam menyampaikan emosi dan pergerakan tubuh yang menjadi.

4) Persoalan berkaitan makna sebenar sifat munafik yang bagi aku sangat menarik dan memberi tamparan yang sangat hebat kepada penonton.



Aku juga ingin senaraikan beberapa kelemahan filem ini pada pandangan aku agar dapat diperbaiki pada masa akan datang:

1) Plot cerita harus lebih teliti agar dapat membantu penonton memahami perjalanan cerita yang cuba disampaikan dengan lebih baik.

2) Latar muzik yang sentiasa menghiasi babak-babak filem ini adakalanya memenatkan telinga penonton. Tidak dinafikan sebarang jumpscare atau kejutan sememangnya diperlukan oleh kebanyakan filem bergenre seram tetapi biarlah berpada-pada dan kena dengan situasinya.

3) Perjalanan genre filem ini sebenarnya agak mengelirukan dan tidak berjaya membuatkan aku berfikir untuk menonton buat kali kedua. 


Kesimpulannya, filem Munafik 2 ini membuatkan aku sedikit berbelah bahagi di dalam menilai naskhah filem ini sendiri. Jika dilihat dari sudut seram, aku merasakan keseramannya lebih terarah kepada kesan bunyi, solekan dan suntingan. Aku lebih nampak filem ini memberi fokus kepada permasalahan fahaman agama yang wujud di kalangan masyarakat pada zaman kini. Namun, dalam masa yang sama masih ada kelompongan terutama daripada segi naratif cerita yang boleh diperbaiki pada filem-filem akan datang. Apa-apapun, filem Munafik 2 masih mampu memberi debaran dan ketakutan kepada peminat-peminat filem seram yang mungkin tidak dapat duduk diam sepanjang filem ini berlangsung. Selamat menonton filem Munafik 2 dan semoga filem ini juga dapat membuat kejutan seperti filem Hantu Kak Limah. Sekian!

P/S : Seram Pula Aku Lepas Tengok Gambar Di Atas Yang Babak Hantu Perempuan Negara Seberang Tepi Tingkap Dengan Ustaz Adam Tu. Sudah Lah Ulasan Ini Siap Ditulis Pada Pukul 3.00 Pagi. Hahaha!

72 comments:

Review Filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days

Posted by BG Design


Filem:
Along With The Gods 2: The Last 49 Days

Penilaian:
9 / 10

Pengarah:
Kim Yong-Hwa

Genre:
Aksi, Drama & Fantasi

Pelakon:
Ha Jung-Woo, Ju Ji-Hoon, Kim Hyang-Gi, Ma Dong-Seok,
Kim Dong-Wook, Do Kyung-Soo, Lee Joon-Hyuk, Nam II-Woo, Jung Ji-Hoon & Etc 

Tarikh Tayangan:
29 Ogos 2018

Sinopsis:

Filem ini merupakan kesinambungan daripada filem pertama Along With The Gods: The Two Worlds. Kali ini ketiga-tiga pelindung alam baqa iaitu Gang Lim, Hae Won Maek dan Lee Deok Choon bersama roh terakhir Soo Hong perlu menempuh pelbagai ujian dan cabaran bagi menjayakan perbicaraan ke-49 supaya mereka semua dapat kembali dihidupkan semula. Memandangkan roh Soo Hong dituduh sebagai roh jahat yang memberontak oleh pendakwa-pendakwa Alam Baqa, maka Raja Yeomra datang berjumpa dengan mereka berempat untuk bertanya tentang kekacauan yang telah dicetuskan oleh mereka di Alam Baqa tersebut. Gang Lim tetap mempertahankan roh Soo Hong sebagai roh suci yang teraniaya. Jadi, Raja Yeomra memberi peluang untuk mereka mempertahankan Soo Hong sebagai roh yang mulia tetapi jika gagal maka mereka bertiga tidak akan dapat dilahirkan semula di dalam kehidupan akan datang. Dalam masa yang sama juga, Raja Yeomra meminta mereka mencabut nyawa seorang warga tua yang kini dilindungi oleh seorang dewa rumah tangga yang menyamar menjadi manusia dan tinggal bersama warga tua tersebut dan cucunya. Semua ini perlu diselesaikan dalam masa 49 hari. Gang Lim membantu roh Soo Hong berhadapan dengan cabaran-cabaran neraka di alam baqa manakala Hae Won Maek dan Deok Choon ditugaskan untuk mencabut nyawa lelaki tua dan menghapuskan dewa rumah tangga. Pertemuan mereka berdua dengan dewa rumah tangga telah menyebabkan terbongkar satu rahsia besar yang amat mengejutkan mereka. Siapakah sebenarnya ketiga-tiga pelindung alam baqa ini pada kehidupan mereka yang lepas? Apa pula kaitannya antara Raja Yeomra dan Gang Lim? Mampukah mereka memastikan roh Soo Hong sebagai roh suci yang mulia dan dilahirkan semula? Adakah ketiga-tiga pelindung alam baqa ini juga berjaya dihidupkan semula? Saksikan filem hebat yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Sebenarnya aku berpeluang untuk menonton secara percuma kerana telah dijemput untuk menyaksikan tayangan awal filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days ini pada 20 Ogos yang lepas. Tetapi, disebabkan aku sudah pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha jadi terpaksalah mengeluarkan duit poket sendiri untuk menonton. Cuma sedikit terkejut kerana harga tiket aku tadi cuma RM8 sahaja. Adakah disebabkan hari aku menonton ialah hari Rabu menyebabkan harga tiket menjadi sangat murah? Hahaha!


Saranan awal aku kepada sesiapa yang belum menonton filem pertama Along With The Gods: The Two Worlds agar menonton terlebih dahulu untuk lebih memudahkan lagi anda memahami tentang perjalanan cerita ketiga-tiga pelindung alam baqa ini. Jika pada filem terdahulu, ramai yang tertarik tentang gambaran-gambaran neraka dan jenis seksaan yang dipaparkan kepada penonton yang menyebabkan filem ini menjadi filem paling box office sekali di Korea Selatan. Jadi, apa yang menariknya yang bakal dihidangkan kepada penonton untuk sekuel kedua filem ini? Jika anda ingin melihat gambaran jenis neraka dan seksaan yang lain berbanding filem pertama, mungkin anda boleh lupakan niat tersebut kerana ternyata kali ini elemen-elemen tersebut sangat kurang diberikan fokus. Ini kerana filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days ini sebenarnya lebih memberikan perhatian kepada kehidupan masa lampau ketiga-tiga pelindung alam baqa ini yang sebenarnya saling berkait rapat antara satu sama lain. Secara tidak langsung membuatkan kita sebagai penonton berfikir tentang masa lampau, kematian, peluang kedua serta falsafah kehidupan yang kita pegang. 


Kisah lampau ketiga-tiga pelindung alam baqa ini bagi aku sangat menarik dan kreatif apabila mula dibongkarkan satu persatu dan penuh dengan plot-plot yang tidak terjangka. Jika pada filem terdahulu, Lee Deok Choon yang merupakan pelindung alam baqa wanita pernah bersoal jawab dengan roh abang Soo Hong yang mengatakan mereka tidak ingat siapa mereka pada kehidupan lampau kerana memori mereka telah dipadamkan. Tetapi, lain pula untuk filem kali ini apabila ketua mereka, Gang Lim pula berkata hanya dia yang mengingati kehidupan beliau di masa lampau. Ini sememangnya menimbulkan persoalan yang cukup menarik dan membuatkan penonton tertanya-tanya serta adakalanya keliru kenapa Gang Lim mendapat keistimewaan tersebut sedangkan dua orang lagi pembantunya tidak? Disini terbongkarnya sisi-sisi hitam kehidupan masa lampau mereka yang mula terungkai satu demi satu secara konsisten dan menjawab persoalan-soalan misteri sebelum ini seperti kenapa Gang Lim begitu bersemangat untuk dilahirkan semula dan kenapa memorinya tidak dipadamkan. Pembongkaran ini juga menyebabkan penonton mula mengenali dan memahami kenapa Lee Deok Choon kelihatan begitu naif, baik, lembut dan penyayang. Dan ini juga menjawab kenapa Haen Won Mak mempunyai personaliti yang suka melawan, degil dan dalam masa yang sama bijak di dalam pertempuran. Jadi, jika anda menonton filem ini pasti akan membuatkan anda lebih faham pada perjalanan filem terdahulu serta lebih mengenali perwatakan karakter mereka bertiga ini yang sememangnya tidak seiring dan berlainan karakter.   


Kemunculan Ma Dong Seok sebagai Dewa Rumah Tangga di dalam filem ini juga sangat menarik perhatian dan memberikan humor kepada elemen filem ini. Jika sebelum ini, penonton Malaysia lebih mengenali beliau sebagai Sang Hwa, seorang suami kepada wanita mengandung di dalam filem Train To Busan. Mungkin kali ini, beliau sekali lagi akan diingati sebagai pelakon hebat di dalam filem Along With The Gods 2 ini. Sifat kebapaan dan kemanusiaan yang menebal di dalam watak ini dalam melindungi seorang warga tua dan cucunya sangat memberi impak kepada perjalanan cerita filem ini. Emosi yang disampaikan melalui matanya saat menceritakan tentang kisah lampau kedua-dua pengawal alam baqa juga memberi sentuhan mendalam yang tepat kepada hati penonton. Nilai komedi yang ada pelakon ini juga tidak dapat dinafikan lagi kerana sememangnya banyak adegan kemunculan beliau di dalam filem ini akan mengundang tawa para penonton yang berada di dalam panggung. Babak paling menarik dan epik dari segi kelucuan apabila adegan menggerunkan Haen Won Mak mengamuk kepada warga tua tersebut kerana dianggap menghinanya tetapi satu panggung ketawa berdekah-dekah apabila keadaan menakutkan itu berubah menjadi sangat kelakar apabila warga tua tersebut dengan selambanya menampar dia tanpa ada perasaan takut. Hahaha!


Kali ini para penonton akan dijamu dengan zaman kehidupan masyarakat Korea pada era peperangan kaum Goryeo dan Khitan yang berlatarkan pergunungan, medan perang serta perubahan plot yang cukup menarik dan mendebarkan. Tetapi, kepada yang ingin menyaksikan gambaran seksaan di alam baqa pula, kali ini yang menariknya apabila haiwan-hawain pelik serta pra sejarah turut sama dipaparkan di dalam beberapa babak seksaan dan hukuman di dalam filem kali ini yang kelihatan unik dan adakalanya menggerikan walaupun dihasilkan dengan kos yang agak kecil berbanding filem Hollywood.


Filem kali ini sebenarnya datang dalam suasana yang sangat berlainan dan lebih beremosi serta berjaya memberi perspektif berbeza kepada kita tentang kehidupan, kemaafan dan penyesalan. Aku cukup suka dengan salah satu ayat di dalam filem ini dimana manusia semuanya dilahirkan suci tetapi persekitaran dan keadaan yang mengubah manusia menjadi apa yang mereka ingin atau terpaksa jadi sepanjang kehidupan. Babak-babak kehidupan masa lampau mereka ini penuh dengan rasa kekesalan yang berjaya sampai ke hati aku sehingga mengingatkan aku kepada pepatah 'Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapa'. Saat pelindung alam baqa mengetahui lebih mendalam tentang kisah kehidupan lalu mereka serta kaitan mereka bertiga juga merupakan babak yang sangat gelap dan tragis. Babak pelindung alam baqa perlu mencabut nyawa warga tua itu juga mengajar kita tentang nilai kemanusiaan dan kasih sayang sesama makhluk. Para penonton bakal membenci beberapa watak yang sebelum ini disukai dan begitu juga sebaliknya apabila menonton ke babak pembongkaran kehidupan lampau mereka. Pertengahan filem ini sebenarnya akan membuatkan anda lebih bersemangat untuk mengetahui tentang siapakah sebenarnya pelindung alam baqa ini di dalam kehidupan mereka yang terdahulu dan apa kaitan mereka bertiga dengan Raya Yeomra.


Filem ini kali ini juga bagi aku berjaya menjual satu pendekatan menarik berkaitan kemaafan dan dosa sesama manusia. Salah seorang watak pelindung alam baqa ini dipaparkan sebagai insan yang paling menderita sekali sepanjang 1000 tahun menjadi pelindung alam baqa ini. Bayangkan derita yang dia rasai itu lebih hebat daripada seksaan-seksaan pelbagai jenis neraka yang dipaparkan di dalam filem terdahulu serta filem kali ini sehinggakan walaupun sudah 1000 tahun ia berlalu tetap tidak mampu menenangkan jiwanya. Disini aku merasakan filem ini berjaya menyampaikan perasaan derita yang dibawa sepanjang 1000 tahun itu dengan cukup berkesan sekali. Serius, memang memberi satu impak yang cukup kuat dan menjadikan filem ini lain dari yang lain. 


Nilai murni yang paling ingin ditonjolkan disini ialah tentang erti dan nilai sebuah ucapan meminta maaf serta kemaafan yang diperoleh. Aku akui filem ini sangat berjaya membuatkan penontonnya mendekati dan memahami apa itu kemaafan dengan gaya yang paling mudah tetapi sangat memberi kesan kepada hati penonton. Ini akan anda temui di dalam babak terakhir perbicaraan roh tetapi aku tidak boleh bercerita lebih kerana aku ingin kalian sendiri menonton untuk merasai apa yang aku rasa sebentar tadi. Senang cakap perjalanan cerita filem ini bergerak dengan begitu tersusun, kreatif dan cukup menarik sehingga membuatkan aku tidak berasa bosan langsung walaupun menonton filem yang berdurasi sekitar dua jam ini dua puluh minit ini.   


Jadi, aku senaraikan lima sebab disini kenapa anda wajib menonton filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days :

1) Mengangkat kisah tentang kehidupan dan nilai-nilai murni kehidupan manusia.

2) Plot twist jalan cerita yang sangat bijak dan diluar jangkaan.

3) Segala jenis emosi akan anda jumpa di dalam filem ini yang menjadikan filem ini sangat berwarna-warni.

4) Bukan sebuah filem kosong tetapi filem yang mempunyai mesej yang jelas, menarik dan bagus.

5) Memastikan segala persoalan dan kekeliruan yang bermain di fikiran anda yang menonton filem Along With The Gods: The Two Worlds ini terjawab.


Menonton filem ini tidak akan membuatkan jiwa dan hati kita terpesong daripada agama yang kita anuti. Tetapi, lihat lah pada mesej yang ingin disampaikan. Serius, aku sangat terhibur dan sukakan filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days yang sememangnya kena dengan selera aku yang meminati filem-filem bercorak sebegini. Jadi, kepada yang telah menonton filem pertama Along With The Gods: The Two Worlds maka anda wajib menyaksikan filem Along With The Gods 2: The Last 49 Days supaya segala persoalan dan kekeliruan yang mengelirukan di dalam fikiran anda bakal terjawab di dalam filem ini. Selamat menonton!

P/S : Jangan Keluar Panggung Awal Sangat Sebab Ada Banyak Snippet Sebelum Ending Credit Muncul. Kemungkinan Filem Ini Bakal Ada Sambungannya Lagi Dan Jika Ada Pasti Jalan Cerita Filem Seterusnya Semakin Menarik Dan Kreatif. Sama-Sama Nantikan!

4 comments:

Monday, 27 August 2018

Review Filem Crazy Rich Asians

Posted by BG Design


Filem:
Crazy Rich Asians

Penilaian:
8 / 10

Pengarah:
Jon M. Chu

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Constance Wu, Henry Golding, Michelle Yeoh, Gemma Chan, Lisa Lu,
Awkwafina, Harry Shum Jr, Ken Jeong, Sonoya Mizuno, Chris Pang,
Jimmy O. Yang, Ronny Chieng, Remy Hii, Nico Santos, Jing Lusi & Etc 

Tarikh Tayangan:
22 Ogos 2018

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang wanita muda bernama Rachel Chu yang mengikut teman lelakinya yang berasal dari Singapura iaitu Nick Young pulang ke kampung halaman untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan baiknya. Ketika di sana dia mendapat tahu bahawa Nick bukan sahaja datang daripada keluarga yang kaya raya tetapi dia juga merupakan jejaka bujang pujaan negara Singapura. Rachel mula berasa tidak selesa apabila mendapati dirinya menjadi tumpuan semua golongan di Singapura terutama golongan wanita yang iri hati terhadap dirinya. Lebih merisaukan Rachel apabila ibu Nick tidak menyukai dirinya hanya kerana dia merupakan seorang gadis China yang lahir dan dibesarkan di Amerika. Lebih parah apabila kisah sebenar berkenaan keluarga Rachel Chu telah berjaya dibongkar oleh ibu Nick yang sememangnya cuba memutuskan hubungan percintaan Rachel dengan anaknya. Adakah cinta Rachel Chu terhadap Nick Young akan berakhir dengan perkahwinan atau sebaliknya? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Aku terpandang trailer filem Crazy Rich Asians ini sewaktu menonton filem The Meg di TGV The Mines. Terlihat Henry Golding berlakon di dalam filem Hollywood memang membuat aku sangat teruja kerana lama tidak melihat kelibat beliau di saluran televisyen tempatan. Alhamdulillah aku berkesempatan menonton filem menarik ini di Paragon Cinemas Alor Star Mall sewaktu bercuti sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.



Aku bukan pembaca novel Crazy Rich Asians. Jadi, secara dasarnya jika dilihat kepada jalan cerita filem ini pada awalnya mungkin ramai beranggapan bahawa filem ini sekadar menyajikan kisah cinta antara dua darjat iaitu antara golongan orang biasa dan golongan bangsawan yang kaya raya. Tetapi, sebenarnya apa yang membuatkan jalan cerita filem ini kuat ialah perkembangan karakter serta emosi setiap watak yang berjaya diolah dan diterjemahkan oleh para pelakonnya dengan begitu cemerlang sekali. Selain daripada itu juga apabila filem ini masih berjaya membawakan nilai-nilai masyarakat Asia walaupun bukannya semua kerana jika dilihat di dalam filem ini lebih menonjolkan kepada bangsa China semata-mata.  


Aku suka melihat nilai-nilai murni atau adat orang asia yang dipaparkan di dalam filem ini dimana dapat dilihat kepada kedudukan hierarki di dalam sesuatu keluarga. Walaupun dipertontonkan watak Eleanor Young (Michelle Yeoh), ibu kepada Nick Young (Henry Golding) merupakan salah seorang wanita hebat, kaya, berkarisma dan elegan namun nilai itu menjadi kecil apabila beliau berhadapan dengan ibu mertuanya, Ah Ma (Lisa Lu). Sikap hormat menghormati seperti ini sukar dilihat di dalam filem-filem keluaran Hollywood namun di dalam filem yang berlatar belakangkan kisah masyarakat Asia, mengekalkan nilai-nilai murni ini untuk dipertontonkan kepada seluruh masyarakat dunia adalah satu perkara yang wajar dipuji dan diteruskan. 


Filem ini juga sebenarnya menarik apabila pada awalnya mungkin kita seolah-olah tertipu atau mengandaikan filem ini sebenarnya hanya berkisar tentang perbezaan antara dua darjat dimana si kaya tidak mahu menerima si miskin. Tetapi, hakikat sebenarnya ialah bukannya berkenaan harta tetapi berkaitan dengan keturunan dan salah silah keluarga yang baik. Dapat dilihat melalui pertemuan antara Rachel Chu (Constance Wu) dan Eleanor Young dima Eleanor sebenarnya bangga dengan kejayaan Rachel sebagai salah seorang profesor ekonomi termuda di Amerika tetapi beliau daripada awal menegaskan yang mereka berdua tidak sama walaupun kedua-duanya adalah berasal daripada keturunan China. Perbezaan yang diketengahkan ialah tentang Asia dan Amerika yang bagi aku sangat menarik. Aku cukup tertarik apabila Eleanor mengatakan China Amerika tidak sama dengan China Asia. Satu faktor menarik disini yang boleh dilihat kerana secara pukalnya memang setiap bangsa itu berbeza mengikut dimana negara yang mereka tinggal. Dan jawapan kepada persoalan ini mungkin boleh dilihat pada awal babak filem ini dimana Eleanor berdendam akibat dilayan bagaikan anjing kurang oleh warga kulit putih sewaktu ingin menetap di sebuah hotel terkemuka gara-gara kerana dia merupakan warga Asia. 


Berbalik kepada para pelakonnya, seperti yang aku kongsikan pada awal ulasan tadi bahawa filem ini menjadi menarik dimata aku kerana perkembangan karakter serta kekuatan emosi yang berjaya disampaikan dengan begitu berkesan sekali. Jadi, kita lihat kepada pelakon utama filem ini iaitu Constance Wu yang memegang watak sebagai Rachel Chu. Beberapa kali aku pandang, dia nih memang ada iras-iras Fazura sedikit. Secara jujurnya, aku tidak mengenali pelakon ini tetapi aku sukakan lakonannya yang nampak sangat menyakinkan. Paling aku suka apabila babak-babak lakonan beliau yang melibatkan emosi terutama sewaktu pertemuannya dengan ibu Nick Young di bangunan kedai lama dimana mereka berdua bermain mahjong. Aku cukup sukakan babak tersebut kerana lontaran suaranya, ekspresi wajahnya serta kekuatan dalaman watak Rachel Chu ini begitu kuat mencengkam dan memberikan satu emosi yang sangat menyedihkan pada babak tersebut.


Henry Golding pula bagi aku mempunyai karisma yang cukup hebat dan sangat sesuai dengan watak Nick Young ini. Segala-galanya sudah lengkap dan aku merasakan filem ini bakal melonjakkan nama Henry Golding di dalam arena perfileman Hollywood dan dunia selepas ini. Paling menarik sewaktu babak Nick Young membawa Rachel Chu makan-makan di Singapura dimana terkeluar beberapa perkataan bahasa Malaysia daripada mulut beliau. Walaupun sedikit tetapi aku agak bangga juga lah kerana bahasa Melayu wujud juga di dalam filem ini. Paling tidak tak adalah orang Amerika ingat orang Asia ini hanya orang dari China sahaja. Salah satu yang menarik tentang karakter Nick Young ini ialah Nick merupakan seorang hero yang dipertontonkan sebagai seorang pelindung wanita yang setia dan ini amat berlainan dengan hero-hero Hollywood yang kebanyakkannya dipaparkan hero kerana kekuatan mereka berlawan dan berjaya menewaskan musuh dalam segala situasi yang sangatlah tidak masuk akal. Hahaha! Jadi, nampaklah disini masyarakat Asia melabelkan seseorang lelaki itu hebat atau tidak melalui sudut pandang yang sedikit berbeza berbanding masyarakat Barat.


Aku cukup sukakan Gemma Chan yang membawakan watak Astrid, seorang wanita yang berjaya, hebat tetapi cukup lembut. Aku tidak pasti adakah dia sememangnya seorang yang lemah lembut di dalam realiti kehidupannya yang sebenar tetapi aku memang cukup sukakan watak Astrid ini. Babak dia membeli-belah dan menyembunyikan barang-barangnya daripada suaminya telah berjaya mengembangkan watak ini dengan baik. Tambah menarik apabila suaminya kantoi apabila Astrid mengetahui bahawa suaminya mempunyai wanita simpan. Lebih teruja apabila babak Astrid berani menyuarakan penipuan suaminya di dalam kereta sewaktu mereka berdua berada di dalam kereta menuju ke majlis perkahwinan. Susah sebenarnya untuk melihat karakter wanita seperti Astrid ini pada hari ini dalam mana-mana wanita sekali pun. Aku sukakan bagaimana dia membawa ketenangan, kesedihan dan kegeraman itu di dalam satu wajah serta intonasi suara yang betul-betul kuat sehinggakan aku merasa kesakitan dan kekecewaan yang dihadapi oleh wanita bernama Astrid ini. Babak akhir melibatkan Astrid dan suaminya adalah babak yang paling aku suka. Aku sukakan kata-kata Astrid kepada suaminya,"Akhirnya aku sedar bukan tugas aku untuk menjadikan engkau seorang lelaki yang bersifat jantan!" Memang padu betul ayat itu. Aku rasa macam nak tepuk tangan sahaja dalam wayang tetapi risau pula nanti kalau orang ingat aku tidak siuman. Hahaha!


Satu lagi watak yang cukup menarik tentunya watak lakonan Michelle Yeoh sebagai Eleanor Young yang cukup berkaliber. Watak Eleanor ini sebenarnya sangat berwarna-warni. Warna-warni yang aku maksudkan disini bukannya kerana watak ini ceria tetapi sebenarnya ia pelbagai. Aku melihat watak ini mempunyai pelbagai karakter dan emosi yang bercampur baur dan berlapis-lapis strukturnya sehingga pada satu tahap, aku sudah tidak boleh mengkategorikan watak ini sebagai watak antagonis atau protagonis. Aku melihat sisi Eleanor ini berbeza pada setiap babak kemunculannya. Pada awalnya, aku melihat Eleanor sebagai seorang wanita asia yang merendah diri, berani, mementingkan agama dan mementingkan keluarga. Kemudian, sisi Eleanor berubah apabila dipertontonkan seperti seorang yang mementingkan pangkat, darjah dan keturunan. Sekali lagi sisi Eleanor berubah apabila dipertontonkan bahawa dia sebenarnya bukanlah menantu pilihan Ah Ma dan ini membuatkan penonton keliru kenapa Eleanor sanggup melakukan perbuatan yang serupa kepada Rachel Chu sedangkan hakikatnya dia sendiri sedar betapa deritanya apabila tidak menjadi menantu pilihan mertua. Sekali lagi sisi Eleanor berubah apabila susur galur keluarga Rachel Chu berjaya dibongkar dan disini dapat dilihat bahawa Eleanor sebenarnya takut jika dia memilih Rachel sebagai menantu akan menyebabkan Rachel menjadi seperti dirinya yang tidak disukai Ah Ma. Kemuncak pertemuan Eleanor dan Rachel juga menunjukkan sisi Eleanor yang lebih kepada nilai keibuan. Jadi, watak Eleanor Young ini juga bagi aku antara satu watak menarik yang wajah diberi penghargaan.


Pelakon Awkwafina yang memegang watak sebagai Peik Lin Goh tidak dinafikan berjaya menghiburkan penonton dalam setiap kemunculannya di dalam filem ini. Asal ada sahaja kelibatnya pasti akan membuatkan penonton bergelak ketawa dengan sikapnya yang sangat mencerminkan masyarakat Asia yang bersikap sentiasa ingin tahu dan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang mendatang. Nak tahu lebih lanjut kena tengok filem ini di pawagam tetapi serius memang gadis ini sangat kelakar.


Salah satu lagi perkara yang menarik di dalam filem ini ialah budaya membawang di kalangan masyarakat Asia yang berjaya ditonjolkan dengan begitu baik sekali oleh filem ini sejak daripada awal babak lagi. Mungkin ini satu kelainan buat bangsa lain tetapi aku sebagai orang Asia sememangnya sangat terhibur dan bersetuju dengan babak-babak makcik pakcik bawang di dalam filem ini yang sentiasa menjadi punca kepada permasalahan yang melanda watak-watak utamanya. 



Satu lagi perkara menarik yang ingin aku kongsikan disini berkaitan lokasi penggambaran yang dipilih. Di dalam filem kebanyakkan lokasi yang disebut ialah di Singapura dan Indonesia. Tetapi, hakikat sebenarnya banyak juga lokasi di dalam filem ini dilakukan penggambarannya di Malaysia. Babak yang melibatkan Rachel Chu buat pertama kalinya melawat mahligai mewah keluarga Nick Young sebenarnya dilakukan di Carcosa Seri Negara. Babak-babak awal di London serta bangunan lama bermain mahjong pula sebenarnya dilakukan penggambaran di Pulau Pinang. Manakala babak sambutan parti bujang yang di dalam filem disebut mereka berada di Indonesia sebenarnya dilakukan di Pulau Langkawi. Apa nak buat kan? Lokasi yang cantik di Malaysia tetapi Singapura dan Indonesia pula dapat nama. Hahaha! Apa-apapun, bagi aku filem Crazy Rich Asians ini menarik untuk ditonton. Secara kasar pada pandangan awal aku, filem ini seperti drama-drama yang boleh kita tonton di saluran televisyen tempatan tetapi selepas menonton, aku akui realitinya filem ini jauh lebih hebat dan bermakna. Jadi, selamat menonton!

P/S : Tengah Menabung Sebab Lepas Ini Ada Banyak Pula Filem-Filem Menarik Yang Aku Kena Tengok Seperti Munafik 2, Along With The Gods 2: The Last 49 Days, PASKAL Dan One Two Jaga. Masak Lah!!! Hahaha!!  

0 comments:

Friday, 24 August 2018

Review Filem Big Brother

Posted by BG Design


Filem:
Big Brother

Penilaian:
6 / 10

Pengarah:
Ka-Wai Kam

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Donnie Yen, Joe Chen, Jack Lok, Kang Yu, Dominic Lam, Alfred Cheung,
Bruce Tong, Chris Tong, Gladys Li, Gordon Lau, Chaney Lin & Etc 

Tarikh Tayangan:
16 Ogos 2018

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Henry Chen yang tidak pernah berpengalaman menjadi seorang guru namun baru sahaja memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengan yang berdepan dengan sebuah krisis dimana kemungkinan besar sekolah tersebut akan ditutup oleh kerajaan pada tahun hadapan jika tidak mencapai piawaian yang ditetapkan oleh kementerian pendidikan. Henry diminta mengajar sebuah kelas dimana kesemua pelajarnya sangat nakal dan langsung tidak berminat untuk belajar. Antara pelajar-pelajarnya yang cukup sukar mendengar arahan ialah Jack yang terkenal sebagai kaki gaduh, Bruce seorang remaja hiperaktif, Chris orang pemain tegar permainan video online, Gladys pelajar wanita yang tomboi serta Gordon yang merupakan pelajar kacukan India dan Pakistan yang minat menyanyi. Henry terpaksa menggunakan pelbagai pendekatan yang berlainan dengan guru-guru lain untuk menarik perhatian pelajar-pelajarnya untuk berubah demi masa depan mereka. Dalam masa yang sama, Henry juga sebenarnya mempunyai  sejarah hitam dengan sekolah menengah tersebut. Adakah usaha Henry untuk mengubah anak-anak muridnya menemui kegagalan? Apakah rahsia besar Henry yang berkaitan dengan sekolah tersebut? Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Filem Big Brother bukan sebuah filem aksi seperti mana filem IP Man yang berjaya melonjakkan nama Donnie Yen di kalangan rakyat Malaysia. Filem ini lebih memberi fokus kepada emosi, nilai kekeluargaan serta kritikan terhadap sistem pendidikan dan juga tenaga pendidik. 


Secara umumnya, filem ini bagi aku tiada banyak keistimewaan atau keunikan yang baru kerana sudah banyak kali aku menonton filem yang menyajikan kisah sekumpulan pelajar dan guru seperti yang terdapat di dalam filem ini. Ditambah pula dengan perjalanan plot ceritanya yang terlampau cepat kerana perlu memberi fokus kepada pengenalan dan pengembangan lima watak utama pelajar-pelajar di dalam filem serta dalam masa yang sama juga filem ini perlu merungkai siapakah Henry Chen dan musuh tradisinya yang saling berkait rapat dengan sekolah tersebut menyebabkan filem ini terlalu pantas untuk ditonton.


Setiap karakter pelajar ini mempunyai masalah tertentu yang sebenarnya agak menarik untuk dijadikan penyebab kenapa mereka menjadi nakal dan tidak berminat untuk belajar. Tetapi, sayangnya apabila masalah mereka ini terlalu mudah diselesaikan oleh Henry Chen yang merupakan guru kelas mereka tanpa ada sebarang halangan. Aku beranggapan ini adalah antara masalah utama filem ini kerana segala permasalahan begitu mudah sangat untuk diselesaikan dan membuatkan aku sebagai penonton tidak nampak akan kesusahan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh watak Henry Chen ini. Segalanya tampak mudah dan sangat anti klimaks bagi aku. Hahaha!


Filem ini masih bernasib baik kerana babak-babak aksi yang melibatkan Donnie Yen walaupun tidak banyak tetapi mampu memberi warna dan nyawa kepada perjalanan filem ini. Aksi pergaduhan di belakang tabir acara tinju @ gusti serta pergaduhan untuk membebaskan anak-anak muridnya daripada dihalang untuk mengambil peperiksaan sememangnya cukup menarik dan memberi kepuasan kepada penonton-penonton yang meminati aksi kungfu daripada Donnie Yen ini. 


Secara kesimpulannya, filem ini sebenarnya ada nilai-nilai yang bagus yang ingin dikongsikan. Aku suka cara filem ini mengkritik sistem pendidikan negara mereka melalui filem dan pada waktu yang sama juga menyindir sinis sebilangan tenaga pengajar yang pilih kasih dan hanya menghukum pelajar yang mereka anggap tiada masa depan berbanding memberi hukuman yang sama kepada pelajar yang pintar akademik sedangkan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar ini adalah sama. Disini juga sebenarnya ingin dipertontonkan bahawa setiap pelajar yang bermasalah ini sebenarnya mempunyai kisah hidup tersendiri yang menjadi penyebab kepada masalah disiplin mereka sama ada masalah dengan keluarga, kemiskinan, persekitaran hidup yang tidak sesuai serta masalah keyakinan diri mereka sendiri yang perlu dibantu oleh pihak ketiga.


Tiada manusia yang dilahirkan bodoh dan tidak bererti kegagalan di sekolah merupakan penamat kehidupan. Kejayaan di sekolah adalah bonus untuk masa hadapan. Sebagai seorang guru, filem ini mencabar tenaga pendidik untuk berani menggunakan pendekatan berbeza bagi menarik perhatian anak murid mereka untuk belajar dan dalam masa yang sama mendidik juga segelintir golongan ibu bapa serta guru yang terlalu mengagung-agungkan gred kejayaan akademik yang ternoktah di atas helaian kertas ujian. Ini antara mesej yang aku boleh kongsikan yang aku nampak wujud di dalam filem ini. Masih sebuah filem yang menghiburkan. Jadi, selamat menonton!

P/S : Pada Pandangan Aku, Thailand Merupakan Negara Yang Bijak Dan Berani Menghasilkan Karya Berkenaan Kehidupan Pelajar Sekolah Melalui Drama Bersiri Atau Filem. 

2 comments:

Friday, 17 August 2018

Review Filem Hantu Kak Limah

Posted by BG Design


Filem:
Hantu Kak Limah

Penilaian:
9 / 10

Pengarah:
Mamat Khalid 

Genre:
Komedi & Seram

Pelakon:
Awie, Delimawati, Rab Khalid, TJ Isa,Sharwani,
Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Sabri Yunus, Pekin Ibrahim,
Ziema Din, Erra Fazira, Jue Aziz, DS Vida, Imuda & Etc 

Tarikh Tayangan:
8 Ogos 2018

Terbitan:
Infinitues Gold & Astro Shaw

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Husin yang kini sudah menetap di Kampung Pisang dan kini bekerja di kilang arang bersama rakan-rakan baiknya iaitu Yeh Sekupang, Wani dan Khuda. Ditakdirkan Khuda berkahwin dengan Kak Limah dan hidup bahagia namun satu kejadian misteri berlaku apabila Kak Limah telah ditemui mati dengan keadaan yang cukup menakutkan. Bermula daripada hari dimana mayat Kak Limah ditemui, seluruh penduduk Kampung Pisang mula diganggu oleh kelibat hantu Kak Limah. Jadi, Yeh Sekupang membawa Husin dan rakan-rakan yang lain untuk meminta bantuan kepada Encik Solihin yang merupakan seorang guru silat dan dikatakan mempunyai kemahiran menghalau hantu untuk menghentikan gangguan hantu Kak Limah. Pelbagai insiden lucu dan seram mula berlaku terhadap penduduk Kampung Pisang sepanjang mereka cuba menyelesaikan misteri kematian dan gangguan hantu Kak Limah ini. Untuk mengetahui punca sebenar gangguan hantu Kak Limah, jangan lupa saksikan filem yang sangat menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda.

Ulasan:

Filem Hantu Kak Limah sememangnya merupakan antara filem yang amat aku nanti-nantikan sejak aku tahu tentang kewujudan judul filem ini pada bulan Disember 2017 yang lepas. Sebelum ini aku berkesempatan menonton promosi filem ini di youtube dalam durasi lebih kurang 15 minit yang berakhir dengan babab Yeh Sekupang di dalam bilik air sebelum akhirnya aku berpeluang menonton keseluruhan kisah filem ini di TGV The Mines pada 8 Ogos 2018. Secara peribadi, aku sukakan cara pihak produksi mempromosi filem ini melalui youtube kerana mereka bijak memilih babak di minit terakhir yang membuatkan aku semakin tertanya-tanya apa yang terjadi seterusnya dan tidak sabar-sabar untuk menonton.


Seperti mana yang semua sedia maklum jika kalian menonton di youtube secara percuma untuk 15 minit terawal filem ini, pasti anda semua sedar bahawa plot cerita filem ini sebenarnya ringkas sahaja tetapi filem ini menjadi kuat dan hebat kerana kelincahan dan kekuatan para pelakon yang terlibat di dalam filem. Rata-rata mereka tidak kira sama ada pelakon utamanya, pelakon pembantunya, pak pacak mahu pun cameo sekali pun memang berjaya memberi lakonan yang sangat baik dan menghidupkan watak masing-masing. Secara tidak langsung mata aku yang menonton rasa puas kerana aku memahami setiap watak yang berfungsi dengan betul dan berkesan.


Siapa sangka lirik lagu 'enjit-enjit semua, siapa sakit naik atas' yang merupakan lagu rakyat terkenal di kalangan kanak-kanak ini sekali lagi memberi fenomena kepada peminat filem-filem berlatar belakang Kampung Pisang ini. Selepas kejayaan filem-filem sebelum ini seperti Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah serta Husin Mon Jin Pakai Toncit, kemunculan filem Hantu Kak Limah ini bukan sekadar berjaya menyampaikan gabungan dua elemen kesukaan penonton Malaysia iaitu seram dan komedi tetapi juga berjaya memperkenalkan watak-watak baru yang sangat menghiburkan pada naskhah kali ini seperti Yeh Sekupang, Wani dan banyak lagi.


Aku suka dengan watak serta perwatakan Kak Limah lakonan Delimawati dalam filem Hantu Kak Limah untuk naskhah terbaru ini. Kalau sebelum ini Hantu Kak Limah yang bukan hantu pun sebenarnya dipaparkan di dalam keadaan lawak yang biasa-biasa sahaja. Namun, kali ini ia berlainan kerana watak ini tampil dalam keadaan kejahatan yang berjaya memberi debaran tetapi dalam masa yang sama masih berjaya mengekalkan identiti hantu Kak Limah sebelum ini yang sentiasa dalam keadaan selamba. Boleh dilihat pada babak Kak Limah mengganas di rumah Yeh Sekupang tetapi dalam masa yang sama keadaan seram itu masih mampu menghiburkan penonton dengan gaya berdiri dan pergerakan tangannya yang melucukan. Sama juga keadaannya sewaktu hantu Kak Limah mengganggu Nayan di klinik kesihatan dengan mematikan sumber bekalan elektrik. Boleh dilihat juga babak dimana hantu Kak Limah bersama dengan barisan pelakon utama yang sama-sama mencari kelibat dirinya di rumah Khuda.


Bagi aku, ada dua orang pelakon di dalam filem ini yang sangat berjaya memberi impak terhadap filem Hantu Kak Limah. Kedua-dua ini berjaya membantu memberi nilai tambah kepada unsur humor yang bukannya sedikit sepanjang filem ini bercerita kepada penonton. Salah seorang pelakon tersebut ialah Ropie yang memegang watak Nayan dimana dia sememangnya layak diberi pujian. Lakonan, dialog, mimik muka serta nada suara Ropie yang sangat bersahaja pasti akan buat penonton ketawa tanpa henti sepanjang kemunculan dia di dalam filem ini.


Pelakon kedua yang sangat memberi kesan di dalam filem ini ialah pelakon Rab Khalid yang memegang watak sebagai Yeh Sekupang di dalam filem ini. Pekat dengan loghat utaranya, tidak lekang dengan rokok panjang di mulutnya serta kelihatan dialognya seperti dalam keadaan spontan sememangnya membuatkan aku ketawa berdekah-dekah kerana unsur komedi yang datang daripada dia memang kena dengan selera tontonan aku. Sayangnya, bakat lakonannya hanya dapat ditonton sampai disini sahajab kerana Allahyarham telah pun meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 Januari 2018 yang lepas. Al Fatihah untuk Allahyarham!


Menyentuh berkenaan kemunculan pelakon Zul Ariffin yang kali ini lari seratus peratus daripada forte dia yang lebih dikenali penonton dengan watak-watak romantik dan macho. Kali ini dia berjaya tampil dengan lakonan yang cukup lucu dan sangat selenga. Aku pada mulanya agak was-was adakah Zul Arifin ini akan memberikan lakonan yang akhirnya tergolong di dalam kategori syok sendiri tetapi sangkaan aku meleset kerana dia berjaya menyampaikan mesej lucu wataknya itu melalui dialog serta mimik mukanya yang mengenakan celak mata di dalam filem ini.



Tidak termasuk lagi dengan watak-watak Cameo yang walaupun muncul sekejap tetapi berjaya menggamatkan panggung dengan jayanya seperti kemunculan Erra Fazira, DS Vida, Mus May dan Imuda. Nak tahu kenapa panggung boleh jadi gamat? Itu kalian semua kena tonton sendiri di pawagam. Hehehe!



Salah satu perkara yang aku suka di dalam filem Mamat Khalid ialah kritikan sosial beliau terhadap masyarakat tempatan yang disampaikan secara bersahaja di dalam filem ini. Kritikan terhadap soal halal haram rezeki melalui dialog mesin kuda dan kedai vape yang disampaikan oleh watak Yeh Sekupang. Kritikan terhadap orang Melayu dari sudut perniagaan yang walaupun bukan semua tetapi masih ramai yang nak cepat kaya berbanding memberikan servis yang terbaik yang disampaikan melalui watak Nayan. Kritikan terhadap kebergantungan manusia kepada manusia sedangkan sepatutnya bergantung dan meminta kepada Allah yang disampaikan oleh watak Encik Solehin. Banyak lagi sebenarnya kritikan yang jika ditonton pasti anda akan perasan semua ini. 


Ada babak di dalam filem ini yang di ambil daripada filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee iaitu babak hantu jepun di dalam filem berjudul Pendekar Bujang Lapuk. Memandangkan filem P.Ramlee tersebut telah aku tonton beratus kali atau mungkin ribuan kali, jadi aku tidak merasakan babak itu memberi kekuatan kepada filem ini. Tetapi, menurut Mamat Khalid pula, dia hanya sekadar mahu memberi tribute kepada seniman hebat negara. Jadi, terserah kerana filem ini ialah karya dia. Cuma bagi aku kalau tak ada pun tak apa.



Biasalah kalau filem Mamat Khalid, salah satu elemen yang aku suka ialah dialog-dialognya yang memang lucu kalau dengar sepintas lalu tetapi sebenarnya membawa makna yang tersirat. Dialog serampang dua mata yang sememangnya merupakan kekuatan dan kelebihan di dalam mana-mana naskhah Mamat Khalid. Melalui watak yang dilakonkan Sabri Yunus dan Rab Khalid, aku dapat lihat dialog yang disampaikan sebenarnya memberi fokus kepada dunia politik yang bukan sahaja dituju kepada yang di atas tetapi sebenarnya kepada seluruh peringkat. Tak kiralah dari kampung, tempat kerja dan sebagainya sebenarnya isu-isu yang ditunjukkan itu memang sentiasa berlaku seperti peralihan kuasa ketua, jasa-jasa yang disumbangkan, melobi untuk kepentingan diri sendiri dan banyak lagi.



Salah satu sebab lain kenapa aku nak sangat puji filem Hantu Kak Limah ini ialah walaupun filem ini mempertaruhkan elemen komedi sebagai kekuatan utama namun elemen seramnya juga tidak diambil ringan kerana setiap aspek dalam mana-mana babak-babak seram yang dipertontonkan sentiasa menitik beratkan sinematografi, kesan bunyi serta pergerakan kamera yang sangat baik dan membantu menambah rasa seram tersebut.



Kesimpulannya, aku setuju filem Hantu Kak Limah ini perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia untuk ditonton di pawagam kerana lima sebab yang aku senaraikan di bawah :

1) Jalan ceritanya mudah difahami tetapi dialog-dialognya bukannya dialog bodoh yang tidak bermakna apa-apa. Jika dilihat dan difikirkan, setiap dialog itu mempunyai maksud tersirat yang sebenarnya berjaya menyindir sikap rakyat Malaysia sendiri daripada pelbagai sudut seperti kehidupan, budaya, sikap, politik, kepercayaan karut serta agama jika diamati betul-betul.

2) Gabungan komedi dan seram yang sangat menjadi dan berkesan kerana berjaya disampaikan dengan cukup baik oleh pelakon-pelakonnya. Kau boleh ketawa berdekah-dekah dan dalam masa yang sama juga kau akan rasa cuak. Hahaha!

3) Lakonan pelakon-pelakonnya memang hebat. Hebat yang dimaksudkan disini kerana hampir kesemua pelakonnya sama ada yang terkenal mahu pun popular sehinggalah yang kita tak pernah kenal atau tahu kewujudan mereka berjaya menyerlahkan watak masing-masing dan secara tak langsung menguatkan jalan cerita filem ini daripada awal hingga akhir .

4) Sinematografi filem ini menarik. Kesan bunyinya pun berpada-pada dan tidak sesekali memaksa penonton untuk cuba takut. Solekan hantu kak limah pun kali ini berjaya menimbulkan rasa seram kepada yang menonton.

5) Filem ini pasti tidak akan mengecewakan anda dan aku yakin anda tak akan bosan untuk menonton buat kali kedua mahu pun kali ketiga selepas ini kerana watak-watak di dalam filem ini memang sumpah kelakar dan poyo habis. Boleh dicakapkan dalam semua filem yang berkaitan dengan Kak Limah, filem Hantu Kak Limah ini adalah yang paling terbaik sekali antara semua!

P/S : Aku Masih Tak Boleh Move On Dengan Dialog Allahyarham Rab Khalid Berkenaan Stim. Serius Terhibur Betul Dengan Filem Hantu Kak Limah Nih :)

56 comments: