Tuesday, 20 February 2018

Review Filem Who Am I

Posted by BG Design


Filem:
Who Am I (Kein System Ist Sicher)

Pengarah:
Baran bo Odar

Genre:
Jenayah, Drama & Misteri

Pelakon:
Tom Schilling, Elyas M'Barek, Votan Wilke Mohring,
Antoine Monot Jr., Hannah Herzsprung, Stephan Kampwirth & Etc.

Penilaian:
9 / 10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang remaja bernama Benjamin yang sebenarnya bercita-cita ingin menjadi seorang superhero. Bagi Benjamin, menjadi superhero akan menjadikan dirinya lain dan istimewa berbanding orang lain kerana apa yang dia lakukan semestinya tidak boleh dilakukan oleh orang-orang lain.

Benjamin sebenarnya merupakan seorang remaja yang kesepian dan dibesarkan oleh neneknya. Ini menyebabkan dia banyak menghabiskan waktu di hadapan komputer dan dari situ dia mula mempelajari bahasa dan kod-kod program komputer. Tanpa sedar disinilah Benjamin mempunyai kelebihan dan berminat dengan dunia penggodam. Dia dijemput  secara tidak sengaja untuk menyertai sebuah kumpulan penggodam yang diberi nama CLAY singkatan daripada Clowns Laughing At You.

Tujuan CLAY ditubuhkan sebenarnya untuk menggodam syarikat-syarikat atau organisasi yang hebat secara suka-suka untuk menarik perhatian tokoh penggodam yang paling agung dan dikagumi oleh para penggodam seluruh sedunia yang dikenali sebagai MRX dan MRX hanya boleh dihubungi di dalam Darknet. Darknet adalah sebuah tempat rahsia di dalam internet dimana ia merupakan tempat bagi para penggodam di seluruh dunia berkumpul, berbincang dan melakukan pelbagai transaksi yang berbahaya.

Disebabkan terlalu inginkan perhatian daripada MRX, Benjamin telah melakukan satu kesilapan besar dan ini menyebabkan nyawa dia dan rakan-rakannya berada di dalam bahaya. Mampukah Benjamin menyelamatkan dirinya dan rakan-rakan daripada ancaman MRX dan pihak kerajaan yang memburu mereka? Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Hasil produksi filem Jerman ini mula ditayangkan sekitar tahun 2014 yang lalu. Aku baru mengetahui filem ini apabila terpandang satu perkongsian di Facebook yang menyatakan wajib untuk tonton filem yang hebat ini kerana anda pasti akan tertipu berkali-kali. Aku pula rasa teruja nak ditipu jadi pagi-pagi buta aku curi masa tidur aku untuk menonton filem ini dan sememangnya aku terhibur apabila berkali-kali ditipu oleh filem ini. Hahaha!


Benjamin sebelum menjadi superhero

Aku memang tersangat kurang arif tentang perkara-perkara yang melibatkan pengaturcaraan komputer apatah lagi bahasa-bahasa penggodam atau lebih mudah kita panggil sebagai hacker ini. Jadi, apa-apa yang mereka taip tu tentang kod, script dan segala macam lagi itu memang aku layankan sahaja tetapi yang pasti perjalanannya ceritanya sangat pantas dan membuatkan aku semakin teruja nak tahu apa yang akan jadi selepas ini dan selepas ini. Jadi, bagusnya filem ini ialah ia tidak membuatkan orang-orang yang sangat asing dengan dunia penggodam seperti aku nih berasa bosan. Langsung tidak dan mata aku sememangnya segar sepanjang masa menonton filem ini.


Kena Tengok Elok-Elok Babak Nih. Babak Penting Cerita Nih!

Satu perkara menarik di dalam filem ini yang sememangnya agak susah untuk ditemukan di dalam filem-filem tempatan kita ialah 'plot twist' yang memang betul-betul di luar jangkaan aku. Kadang-kadang aku rasa seperti diperbodohkan selepas selesai menonton tetapi aku akui disini aku suka bagaimana filem ini mempermainkan perasaan aku dengan cara yang kreatif dan semestinya diluar ramalan aku sendiri. Tabik hormat untuk pihak produksi yang terlibat di dalam penghasilan filem ini.


Aku Tak Tahu Kenapa Tetapi Aku Rasa Seram Bila Tengok Babak-Babak Darknet Nih! Hahaha!

Aku juga agak tertarik dengan adegan-adegan yang melibatkan dunia Darknet. Mula-mula aku sedikit pening memikirkan apakah yang cuba disampaikan melalui manusia-manusia yang bertopeng segala macam jenis nih. Maklumlah masa tu pukul 3 pagi. Hahaha! Tetapi, akhirnya aku faham itulah dunia Darknet yang mereka gambarkan dan ini sangat-sangat membantu insan-insan seperti aku yang tidak arif tentang dunia penggodam ini untuk lebih dekat dan memahami apa yang cuba disampaikan. Cuma aku akui aku berasa agak seram apabila babak-babak melibatkan MRX nih muncul. Aku pun tak tahu kenapa. Hahaha!


Misi Paling Mencabar Di Dalam Filem Ini

Seperti biasalah jika filem-filem bergenre jenayah ini pasti anda akan dapat melihat pelbagai taktik-taktik jenayah yang kreatif. Tetapi, aku sukakan dua ungkapan kata-kata di dalam filem ini iaitu "LIHAT DAN BELAJAR!" dan "KAU HANYA PERLU BERANI!" kerana dua kata-kata inilah yang menggerakkan keseluruhan jalan cerita filem ini. 


Ini Antara Babak Yang Memang Mendebarkan!

Sebuah filem yang bagi aku sangat menarik dan penuh dengan penipuan yang kreatif. Sesiapa yang pernah menonton pasti anda sudah pun merasa bagaimana tertipu apabila menonton filem ini tetapi penipuan itu sangat memuaskan hati anda. Sudah lama aku tidak merasa tertipu dalam keadaan gembira seperti ini. Kali terakhir rasanya ketika menonton filem Memento. Jadi, selamat menonton dan kongsikan perasaan anda ditipu oleh filem  yang sangat menarik ini di ruangan komen.

P/S : Tak Silap Ada Sambungan Filem Nih Yang Bakal Ditayangkan Pada Tahun 2018 Dengan Tajuk WHO AM I 2 : CLAY RISE

14 comments:

Monday, 19 February 2018

Review Filem A Street Cat Named Bob

Posted by BG Design



Filem:
A Street Cat Named Bob

Pengarah:
Roger Spottiswoode

Genre:
Biografi, Komedi & Drama

Pelakon:
Luke Treadaway, Bob the Cat, Ruta Gedmintas,
Joanne Froggatt, Anthony Head, Darren Evans & Etc.

Penilaian:
10 / 10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama James Bowen yang merupakan seorang pemuzik jalanan dan sedang cuba berusaha pulih daripada ketagihan dadah yang sedang dialaminya disebabkan masalah keluarga. Dia mendaftar diri dengan sebuah organisasi yang membantu penagih dadah seperti James.

Pada suatu hari, James mendapati seekor kucing berwarna oren telah tersesat masuk ke dalam rumahnya. Atas rasa kasihan, James memberi kucing itu makan dan cuba mencari siapa sebenarnya pemilik kucing tersebut. Namun, tiada siapa yang mengaku itu kucing mereka dan tiada sesiapa juga yang mencari-cari jika mereka ada kehilangan kucing. James terpaksa melepaskan kucing tersebut ke jalanan semula kerana dia juga tidak mempunyai wang untuk membeli makanan kucing.

Pada suatu hari, sewaktu James pulang ke rumah tiba-tiba dia mendapati kucing tersebut kembali semula tetapi dalam keadaan penuh luka dipercayai akibat pergaduhan dengan kucing jalanan yang lain. James mula berasa serba salah dan mengambil keputusan untuk merawat dan memelihara kucing tersebut. Jadi, James menamakan kucing berwarna oren ini dengan nama Bob. Kesunyian hidup yang dialami oleh James mulai terubat dengan kehadiran Bob dan James akan memastikan Bob sentiasa bersamanya dimana-mana sahaja selepas itu tidak kira sewaktu bekerja atau pun pada waktu yang lain.

Kemunculan Bob di dalam hidup James telah menyebabkan kehidupan James bertukar dan berubah 360 darjah. Pelbagai cabaran, dugaan serta suka duka terpaksa ditempuhi James agar Bob sentiasa bersama dengannya. Saksikan filem hebat ini untuk mengetahui kisah seterusnya.


Ulasan Hans:

Salah satu filem kegemaran aku ialah filem yang diangkat daripada kisah benar dan filem yang menjadi ulasan aku kali ini sebenarnya sudah pun ditayangkan sekitar tahun 2016 yang lalu. Memandangkan filem ini bagus untuk ditonton jadi aku mengambil keputusan untuk memberikan ulasan berdasarkan pandangan aku sendiri usai menonton filem ini.


Kehidupan James Di Saat Awal Yang Masih Tiada Arah Tuju

Aku tertarik dengan kehidupan James dimana kelihatan pada satu ketika dia mula hilang harapan akibat dilanda rasa kesunyian yang melampau. Harapan terakhirnya untuk mendapat sokongan dan kepercayaan daripada ayah kandungnya sendiri pun musnah apabila kelihatan ayahnya sendiri lebih mementingkan kehidupan barunya bersama keluarga barunya. Namun, atas kekuatan hidup James yang mahu mendapatkan kembali kepercayaan ayahnya maka dia cuba mengubah hidup dan akhirnya mendaftar diri di sebuah rumah kebajikan. Jelas disini, rasa kesunyian itu sangat bahaya jika dibiarkan tanpa ada sebarang tindakan untuk mendapatkan rawatan dengan segera dan mampu menyebabkan kehidupan seseorang itu musnah disebabkan tindakan-tindakan penghidapnya yang diluar jangkaan minda.


Comel Betul Babak Nih!

Salah satu perkara yang menarik di dalam filem ini dan boleh kita jadikan amalan hidup ialah apabila kita berbuat baik dengan makhluk ciptaan Allah yang lain seperti kucing. Berdasarkan pengalaman aku sendiri, apabila melihat rakan-rakan yang suka memberi makan kepada kucing-kucing jalanan, ada yang ambil kucing jalanan ini dan jadikan sebagai haiwan peliharaan di rumah sehingga rupa kucing tu dah jadi macam kucing mahal dan pelbagai kebaikan lagi sentiasa dibalas dengan kebaikan. Dalam erti kata lain, Allah melimpahkan rezeki buat mereka. Dan ini jugalah yang berlaku di dalam kehidupan James dimana walaupun dia sedar keadaan kewangannya yang teruk dan kehidupan dia sendiri pun kais pagi makan pagi tetapi kemurnian hatinya ingin membantu dan berkongsi dengan si Bob menyebabkan kehidupannya berubah ke arah yang sangat positif. Jadi, buang lah sikap-sikap buruk anda yang suka aniaya haiwan-haiwan jalanan nih. Jangan lah tendang! Jangan baling batu! Jangan lah simbah air panas! Jangan racun makanan mereka! Tak malu ker jadi pembuli dan pembunuh haiwan yang lemah ini?


Hahaha! Babak Ini Memang Comel! Tepuk Amai-Amai!

Satu lagi yang menarik tentang kucing ini ialah ia sememangnya salah satu haiwan yang bagus untuk mengubati hati manusia yang kesunyian, kesepian, kebosanan dan yang kurang bersosial di luar rumah. Satu babak menarik di dalam filem ini dimana James berkeadaan seperti orang gila apabila kehilangan Bob dalam beberapa hari dan James sendiri mengakui dia sudah hampir berjaya melupakan keinginan dirinya terhadap najis dadah dan lubang-lubang sunyi di dalam hatinya mulai tertutup dengan kehadiran Bob di dalam hidupnya. Jadi, pertemuan kembali James dengan Bob sebenarnya satu perkara yang cukup menghibakan hati bagi sesiapa yang memahami betapa sakitnya kehidupan saat kesepian hidup kembali melanda diri.


Tak Pernah Tak Comel Bila Mana-Mana Kucing Tengok Luar Cermin

Satu babak yang juga agak mengharukan apabila bapa James sendiri mengakui kemusnahan hidup James sebenarnya disebabkan oleh sikapnya sendiri yang malu untuk menerima James dan memberi kepercayaan kepada James disebabkan tidak mahu menerima pandangan negatif daripada keluarga barunya. Bertambah-tambah sedih bila James dibenci oleh Betty, seorang wanita yang mula disayangi oleh James. Betty sejak awal lagi memberitahu James yang dia sememangnya tidak mempercayai penagih-penagih dadah kerana bagi dia semua penagih ini tidak akan dapat berubah menjadi manusia baik dan normal. Ada satu babak sebenarnya memberi sokongan kepada pandangan Betty ini apabila rakan James yang juga seorang penagih sanggup berbohong meminta wang untuk meminta makanan tetapi sebenarnya digunakan untuk membeli dadah dan akhirnya ditemui mati oleh James sendiri akibat dos yang berlebihan. Dan ini sememangnya berlaku di dalam negara kita sendiri dimana sudah banyak kes yang kita lihat sememangnya sangat sukar bagi penagih dadah untuk cuba menahan rasa keinginan yang membuak-buak terhadap dadah yang mereka ambil.


Antara Babak Yang Aku Suka Di Dalam Filem Ini

Namun, satu rasa bangga muncul dalam hati saat kau menonton babak yang menunjukkan James datang bersama Bob menemui ayahnya dalam keadaan beliau sudah bersih sepenuhnya daripada najis dadah. Sebenarnya, inilah masalah yang seringkali berlaku di dalam masyarakat kita tetapi susah hendak letakkan kesalahan 100 peratus kepada masyarakat di atas prejudis mereka kepada bekas-bekas penagih ini. Jadi, aku merasakan bekas-bekas penagih yang mungkin berhadapan dengan dilema pandangan serong masyarakat ini seharusnya diminta menonton filem ini supaya mereka ini kuat, tidak mati dek kutukan dan hinaan masyarakat sekeliling. Paling penting kalian sendiri perlu berani menjadi seperti James, buktikan yang kalian semua sememangnya betul-betul berubah dan menjadi penyumbang kepada kebaikan negara.


Untung Bob Jadi Haiwan Kesayangan James

Tarikan yang paling kuat sekali di dalam filem ini dan boleh dikatakan sangat menarik semestinya ialah watak si kucing Bob ini kerana ia dilakonkan sendiri oleh kucing yang sebenar iaitu kucing yang sama yang membantu pemilik kisah ini iaitu James untuk kembali menjadi manusia yang berguna. Kecomelan dan kebosanan wajah Bob ini sememangnya akan buat hati kau tercuit dan adakala tersenyum sendiri melihat keletah si oren ini. Hahaha!


Comel Tahap Nak Mati Tengok James Bawa Bob Masa Bekerja. Haha!

Sebuah filem yang wajib tonton ditambah dengan sinematografi filem ini yang sangat cantik. Bukannya sebuah filem yang terlampau berat. Ada gaya bahasa tersendiri yang ingin disampaikan. Lakonan Luke Treadaway sebagai James sememangnya sangat hidup dan yang pasti kecomelan Bob pasti akan membuatkan filem ini menjadi salah satu filem yang akan anda gemari selama-lamanya. Kata-kata yang sesuai yang boleh diungkapkan daripada filem ini - Untuk memiliki kehidupan yang gembira, anda wajib ada matlamat dan anda wajib untuk mencapai matlamat tersebut! Selamat menonton dan kongsikan pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen.

6 comments:

Sunday, 18 February 2018

Review Filem Chef

Posted by BG Design


Filem:
Chef

Pengarah & Penulis:
Jon Favreau

Genre:
Pengembaraan, Komedi & Drama

Pelakon:
Jon Favreau, Emjay Anthony, John Leguizamo,
Bobby Canavale, Scarlett Johansson, Dustin Hoffman,Robert Downey Jr. & Etc.

Penilaian:
9 / 10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Carl Casper yang merupakan ketua chef sebuah Restoran Gauloise yang terletak di California. Pemilik restoran tersebut iaitu Riva ingin Carl mengikut arahannya iaitu memasak masakan klasik dan bukannya makanan-makanan zaman sekarang yang terlalu berinovatif. Kesibukan Carl juga menyebabkan hubungan dia dengan anak lelakinya iaitu Percy dan bekas isterinya iaitu Inez juga kurang mesra akibat kekangan masa.

Pada suatu hari, Carl dimaklumkan oleh Riva bahawa restoran mereka akan dikunjungi oleh seorang pengkritik makanan yang cukup terkenal iaitu Ramsey Michel. Carl begitu bersemangat untuk menghidangkan makanan-makanan yang memiliki ciri-ciri moden tetapi Riva tidak bersetuju dan memaksa Carl untuk mengikut arahannya menyediakan menu-menu klasik. Akibat arahan Riva tersebut menyebabkan Carl malu besar apabila menu-menu yang dihidangkannya mendapatkan kritikan yang sangat pedas daripada Ramsey dan kritikan tersebut tersebar secara meluas di media sosial.

Carl yang buta teknologi telah membalas kicauan Ramsey melalui akaun twitter yang baru dibuat hasil bantuan anak lelakinya tanpa menyedari bahawa kicauan berbau hinaan dan kecamannya itu dapat dibaca oleh semua pengikut Ramsey di Twitter yang berjumlah ratusan ribu orang. Carl telah mencabar Ramsey untuk kembali semula ke Restoean Gauloise dan merasa kembali menu-menu lain yang akan dimasak olehnya tetapi Riva tidak membenarkan Carl mengubah menu sehingga menyebabkan Carl mengambil keputusan berhenti kerja serta merta.

Ramsey yang datang kembali ke Restoran Gauloise untuk menerima cabaran Carl kembali menghina Carl melalui media sosial Twitter sehingga menyebabkan Carl mengamuk. Apakah yang terjadi seterusnya? Bagaimana trak makanan membantu Carl kembali semula untuk mencapai cita-citanya berkongsi rasa makanan yang sedap kepada semua pelanggan-pelangannya? Tonton filem ini untuk mendapatkan jawapannya.


Ulasan Hans:

Filem ini sebenarnya sudah lama ditayangkan iaitu sekitar tahun 2014. Memandangkan semalam ternampak di laman sosial Facebook tentang poster filem ini dan ramai yang memuji maka aku luangkan sedikit masa untuk menonton dan ternyata filem ini memang menarik untuk dikongsi dengan semua peminat filem.



Lakonan mantap pelakon-pelakon yang terlibat di dalam filem Chef ini sememangnya dipuji. Sebenarnya, aku suka kisah filem ini sendiri kerana ia melibatkan daripada segala sudut kehidupan. Tentang kehidupan sebagai seorang chef yang melibatkan hubungan dan komunikasi antara dia dan pekerja serta bos. Kehidupannya dengan seorang gadis yang mungkin gadis idaman. Kehidupannya dengan anak lelaki serta bekas isterinya yang aku rasakan sangat menarik. Paling penting aku suka tentang misi Carl di dalam filem ini yang berkongsi rasa makanannya yang sedap dengan semua orang.



Bagaimana dasar kapitalis yang lebih mengejar keuntungan adakalanya mampu mengekang kreativiti seseorang untuk lebih maju ke hadapan seperti mana boleh di lihat pada watak pemilik restoran iaitu Riva yang selalu menekankan menu yang dijual di restorannya sudah berusia lebih 10 tahun dan dia berasa selesa berada di zon selamat untuk memastikan restorannya sentiasa beroperasi dan beranggapan menu-menu tersebut sahaja yang disukai oleh pelanggan.



Memberi fokus pada teknologi media sosial terkini yang semakin berkembang dimana melahirkan pengkritik-pengkritik mahu pun para blogger yang segelintirnya tidak tahu langsung tentang sesuatu pekerjaan tetapi mengkritik secara langsung yang tanpa sedar mampu memusnahkan diri seseorang dalam sekelip mata sahaja. Ini jelas dipaparkan di dalam satu babak dimana Carl memaki hamun Ramsey sewaktu kali kedua Ramsey datang dimana Carl mengatakan Ramsey yang bukannya datang daripada bidang kulinari secara ilmiah dan tidak memahami apa sebenarnya tugas Carl dan bagaimana kekangan yang dia terpaksa hadapi kerana dia terpaksa mengikut arahan daripada majikannya.



Kepentingan teknologi masa kini juga berjaya dipaparkan di dalam filem ini secara kritis dan sinis dimana kisah ini cuba memaparkan jika anda seorang yang berhati tisu atau pun seorang yang panas baran, laman sosial adalah salah satu medium yang mampu merosakkan kehidupan anda jika anda tersilap langkah. Ini dapat dilihat terhadap Carl yang mengikut kata hati membalas kicauan Ramsey di twitter yang akhirnya memakan dirinya sendiri. Tetapi, filem ini juga menyampaikan tentang teknologi dan manusia saling berkait rapat. Jika manusia mengasingkan diri dari teknologi maka manusia akan terkebelakang daripada banyak aspek. Begitulah hebatnya teknologi dimana permulaan awal Carl menjalankan perniagaan trak makanan, dia selalu dilihat memperlekeh dan merendah-rendahkan anaknya sendiri tentang bahasa-bahasa teknologi yang dikongsikan anaknya seperti vine, video rakaman dan pelbagai lagi sehinggalah dia mengakui bahawa anaknya merupakan insan sebenar yang membantu dia berjaya untuk memperkenalkan makanan-makanan yang dijualnya melalui trak makanan.



Menyentuh berkenaan hubungan keluarga, dapat dilihat disini aspek itu berjaya ditonjolkan dengan baik sekali. Bagaimana hubungan Carl dan bekas isteri yang masih baik serta saling sokong menyokong walaupun sudah tidak bersama dan secara tidak langsung membuatkan anak mereka iaitu Percy tidak pernah menjadikan penceraian itu sebagai satu kuasa untuk membenarkan Percy memberontak seperti remaja-remaja di zamannya. Kasih sayang yang ditonjolkan oleh Carl terhadap Percy terutama melalui perkongsian bakatnya di dalam bidang masakan dan kulinari juga menarik untuk diaplikasikan di dalam kehidupan berkeluarga. Ada satu babak yang menarik dimana Carl meminta maaf terhadap Percy selepas memarahinya sewaktu meminta Percy membersihkan dulang dari sisa makanan yang entah berapa lama terperap di dalam trak. Aku suka dimana ia sebenarnya mendidik penonton terutama terhadap bapa yang kita sendiri ketahui merega ada ego yang tinggi untuk sesekali merendahkan diri dan cuba mendidik anak masing-masing melalui kaedah kasih sayang dan psikologi.



Aku juga sangat setuju dengan filem ini dimana kejayaan seorang lelaki pasti berdirinya seorang wanita di belakang. Dan di dalam filem ini yang membantu memberi sokongan sejak Carl masih seorang chef di restoran ialah bekas isterinya. Walaupun berpisah tetapi hubungan tetap dijaga dengan baik dan profesional. Satu perkara yang bagus untuk dipelajari oleh bekas-bekas suami atau bekas-bekas isteri supaya anak-anak anda tidak menjadi liar atau terbiar.



Dan yang paling menarik di dalam filem ini pastilah tentang trak makanan dan makanan itu sendiri. Jika dilihat di Malaysia kini memang ramai pengusaha trak makanan tetapi konsepnya mungkin sudah lari daripada yang asal. Konsep sebenar ialah trak makanan ini akan menjelajah ke pelbagai tempat untuk menyebarkan rasa makanan yang dijual mereka cuma mungkin di Malaysia ia sangat berlainan disebabkan kekangan kos dan juga harga serta servis trak itu sendiri yang sememangnya mahal. Cuma aku suka berkongsi disini tentang apa yang mungkin pengusaha-pengusaha trak makanan di Malaysia boleh belajar daripada filem ini ialah tentang rasa makanan dan kreativiti makanan serta yang paling penting ialah harga makanan yang mereka jual. Sepatutnya harga makanan yang dijual melalui trak makanan mempunyai nilai yang rendah mahu pun sederhana tetapi lain sedikit situasinya di Malaysia. Mungkin perkara ini boleh diperbaiki oleh mereka jika mereka mempunyai jiwa seperti Carl.


Sebuah filem yang cukup menarik dan mesej tersirat yang ingin disampaikan juga berjaya di hadam oleh sesiapa yang menonton. Bukannya filem yang terlampau berat tetapi masih santai dan ada nilai humor yang tersendiri. Bagi aku tidak rugi anda menonton jika masih belum menonton filem yang hebat ini. Selamat menonton dan kongsikan pandangan anda di ruangan komen yer.

4 comments:

Thursday, 15 February 2018

Review Filem Black Panther

Posted by BG Design


Filem:
Black Panther

Pengarah:
Ryan Coogler

Genre:
Aksi, Drama & Sains Fiksyen

Pelakon:
Chadwick Boseman, Michael B. Jordan, Lupita Nyong'o, Danai Gurira,
Martin Freeman, Daniel Kaluuya, Letitia Wright, Winston Duke,
Angela Bassett, Forest Whitaker, Andy Serkis & Etc.

Penilaian:
8 / 10

Sinopsis:

Selepas kematian bapanya, T'Challa kembali ke negara Afrika yang bernama Wakanda untuk mengambil tempatnya sebagai raja. Kemudian, muncul pula seorang musuh yang sangat berkuasa iaitu Erik Killmonger untuk mencabar dan ingin merampas gelaran T'Challa sebagai seorang raja baru yang digelar oleh rakyat Wakanda sebagai Black Panther. Konflik ini meletakkan nasib Wakanda serta seluruh dunia berisiko untuk dimusnahkan oleh musuh T'Challa ini. Jadi, berjayakah raja muda Wakanda ini menyatukan sekutu-sekutunya dan menggunakan kuasa penuh Black Panther untuk mengalahkan Erik Killmonger dan menjamin keselamatan rakyatnya serta masyarakat seluruh dunia?


Ulasan Hans:

Sudah 4 tahun blog ini tidak dikemas kini jadi In Sha Allah untuk tahun 2018 ini akan aku cuba pastikan blog ini kembali hidup seperti 4 tahun yang sudah. Berbalik kepada filem Black Panther ini, apa yang membuatkan aku suka tentang filem ini ialah semestinya sangat sukar untuk melihat manusia berkulit hitam diangkat sebagai salah satu superhero terhebat di bumi Hollywood dan boleh dikatakan 95% pelakon-pelakon di dalam filem ini ialah pelakon berkulit hitam. Memang terbaik!



Salah satu perkara yang menarik untuk dilihat di sini ialah bagaimana elemen-elemen tradisi seperti pakaian, tarian dan budaya masyarakat Afrika diterapkan dan disampaikan dengan cukup baik dan penuh warna-warni seperti mana yang dapat aku tonton di dalam filem Black Panther ini. Walaupun ada beberapa jenis tarian berunsur seksual yang agak kelakar bila dipandang tetapi itu adalah salah satu keunikan yang menjadikan filem daripada Marvel Studios kali ini agak lain dari yang lain.


AKU SUKA KARAKTER ERIK KILLMONGER NIH

Isu-isu politik yang cuba disampaikan di dalam filem ini secara terbuka juga amat menarik untuk dilihat dan diselami seperti luahan masyarakat Afrika khususnya terhadap masalah penindasan serta diskriminasi terhadap mereka oleh kebanyakan masyarakat dunia terutama yang berkulit putih. Isu kemiskinan yang melanda kebanyakan masyarakat Afrika juga kerap kali ditonjolkan sejak daripada awal filem lagi. Tetapi, menariknya disini jika ada yang sedar, kaum wanita Afrika diangkat dan ditonjolkan dengan cukup hebat sekali dari sudut hierarki dimana kekuatan dari segi pentadbiran, tentera dan saintis.


Watak Unik Nih Pun Ada! Kadang-Kadang Cuak Juga Tengok!

Jadi, aku boleh katakan filem ini seperti cuba membangkitkan semangat orang-orang berkulit hitam iaitu masyarakat Afrika supaya lebih yakin, bangkit memperjuangkan hak dan sama-sama bersaing di dalam dunia teknologi agar dipandang tinggi oleh seluruh masyarakat dunia. Hal ini boleh ditonton di dalam satu babak snippet yang sememangnya menjadi trademark Marvel Studios di dalam setiap filem mereka. Rugi bagi sesiapa yang menonton di pawagam tetapi terus keluar selepas tamat filem tanpa menunggu dulu babak tersebut.


BABAK PERTARUNGAN YANG MENARIK DAN PENUH DRAMA

Filem-filem keluaran Hollywood selalunya akan membawa propaganda tentang keagungan bangsa manusia berkulit putih cuma ironinya di dalam filem ini ia terbalik dan memberi peluang kepada bangsa Afrika untuk memecahkan tembok kebal manusia-manusia berkulit putih ini. Seperti mana di dalam satu babak, watak T'Challa yang memarahi roh bapa dan moyang-moyangnya yang sebenarnya membuat kesilapan yang besar apabila cuba menyembunyikan kehebatan dan kemajuan Wakanda daripada pengetahuan seluruh masyarakat dunia dan akhirnya atas kesilapan ini secara tidak langsung telah melahirkan jiwa-jiwa pengganas di dalam kaum-kaum orang kulit hitam yang tertekan akibat masalah kemiskinan, kebuluran dan diskriminasi yang di alami mereka dari dulu sehingga kini.



Filem ini memang merupakan filem superhero yang menjanjikan aksi-aksi pertarungan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat filem Marvel Studios tetapi bagi aku mesej-mesej yang cuba disampaikan di dalam filem ini memang lebih superhero daripada watak superhero itu sendiri. Satu filem yang cukup menarik dan bagus untuk ditonton. Di dalam berhibur, aku mendapat mesej secara tersurat mahu pun tersirat melalui dialog-dialog yang dituturkan oleh para pelakon di dalam filem ini. Sebuah filem yang menarik untuk ditonton bukan sahaja kerana jalan cerita tetapi juga kecantikan kulit pelakon-pelakon di dalam filem ini. Hitam itu kan menawan. Selamat menonton!

10 comments: