Wednesday 26 December 2018

Review Filem Mary Poppins Returns

Posted by BG Design


Filem:
Mary Poppins Returns

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Rob Marshall

Genre:
Pengembaraan, Keluarga, Fantasi & Muzikal

Pelakon:
Emily Blunt, Lin-Manuel Miranda, Ben Whishaw, Emily Mortimer,
Julie Walters, Colin Firth, Angela Lansbury, Dick Van Dyke, Meryl Streep & Etc.

Tarikh Tayangan:
24 Disember 2018

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Sinopsis:

Filem ini berlatar belakangkan tahun 1935 dimana ketika era Zaman Meleset di United Kingdom berlaku, pengasuh Mary Poppins kembali melawat Jane dan Michael Banks yang sudah dewasa. Michael juga sudah mempunyai tiga orang anak iaitu Annabel, Georgie dan John. Namun, beberapa peristiwa sedih seperti kematian ibu mereka telah menyebabkan keluarga ini tidak lagi gembira seperti dahulu. Jadi, kedatangan Mary melawat keluarga Banks ini bertujuan untuk membantu mengembalikan kebahagiaan mereka dan pada masa yang sama di dalam misi untuk menyelamatkan keluarga ini daripada satu kejadian malang. Apakah kejadian malang yang bakal menimpa keluarga Banks? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 24 Disember 2018 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah, akhirnya aku mempunyai sedikit masa terluang untuk menonton filem Mary Poppins Returns bertempat di GSC Aman Central pada 25 Disember 2018 yang lepas.  Setelah hampir 55 tahun filem klasik muzikal Mary Poppins menemui para penonton dan tiba-tiba para peminat filem Mary Poppins dikejutkan dengan sebuah berita gembira tentang pembikinan filem terbaru Mary Poppins Returns. Ada yang suka dan ada yang sangsi kerana risau jika filem terbaru ini akan merosakkan reputasi filem lama yang telah merangkul pelbagai anugerah pada zaman terbitannya. Namun, aku melihat filem Mary Poppins Returns juga adalah sebuah filem yang tidak boleh dipandang enteng namun memberikan sesuatu yang agak menarik dan luar biasa dari segi kreativiti serta berjaya membawa para penonton mengimbau kembali zaman kanak-kanak anda dengan cukup jayanya.


Mary Poppins Returns mempersembahkan sebuah dunia yang penuh dengan imaginasi dan magis. Filem ini merupakan sebuah filem istimewa untuk kanak-kanak menikmati dunia magis yang menarik dan penuh warna-warni mengikut imaginasi kreatif mereka yang tiada batasan. Jadi, buat anda yang sudah merasa cukup dewasa sebenarnya tidak perlu risau kerana anda tetap boleh menikmati dan menghayati filem ini dengan penuh gembira dan ceria asalkan anda boleh menyesuaikan diri buat sementara waktu dengan mengubah dan menjadikan jiwa anda seperti jiwa kanak-kanak yang tidak memikirkan tentang dunia orang dewasa yang penuh dengan pelbagai masalah kehidupan. Seperti mana dialog wajib watak Mary Poppins di dalam filem ini yang berbunyi, "Tiada yang mustahil  yang mustahil untuk dilakukan!" serta "Jangan bertanya banyak soalan!". Maka nikmatilah filem ini sebagai seorang kanak-kanak yang dambakan dunia magis indah sebegini.


Hakikatnya, filem berbentuk muzikal adalah sebuah filem yang agak susah untuk menambat jiwa aku untuk menyukai atau jatuh hati pada karyanya. Namun, ada beberapa filem yang berjaya membuatkan aku sukakan filem bergenre muzikal dan filem muzikal terbaru yang berjaya menambat hati aku semestinya filem Mary Poppins Returns ini. Menonton filem ini sememangnya berjaya membuatkan aku terimbau kembali zaman kanak-kanak yang begitu indah dimana kita sendiri selalu berimaginasi tentang pelbagai benda seperti keupayaan untuk terbang di atas awan atau boleh memasuki ke dalam dunia kartun dan berbual dengan kartun seperti mana yang dipaparkan di dalam filem ini. Memang aku tersenyum sendiri saat menonton filem yang menghiburkan ini di dalam panggung.


Paling menyeronokkan tentang filem ini ialah beberap lirik lagu yang terdapat di dalam filem Mary Poppins Returns yang sebenarnya seimbang buat penonton cilik mahu pun dewasa. Bagi penonton cilik, mereka akan memahami secara umum maksud setiap lirik lagu tersebut namun bagi kita yang dewasa ini pula, aku melihat satu subteks lain yang lebih menyeluruh dan cukup bijak. Ada beberapa buah lagu yang melatari filem Mary Poppins Returns kali ini dimana liriknya begitu puitus dan berjaya menarik perhatian aku iaitu lagu A Cover Is Not The Book, Turning Turtle dan (Underneath the) Lovely London Sky. Sememangnya lagu-lagu yang melatari filem ini sangat menghiburkan dan pada masa yang sama mempunyai maksud tersirat yang cukup menarik buat si dewasa.


Satu perkara yang turut menarik untuk diperhatikan ialah apabila melihat perwatakan Emily Blunt sebagai Mary Poppins di dalam filem ini. Semestinya karakter Mary yang dibawakan oleh Emily sangat berlainan seperti mana yang dibawakan oleh pelakon Julie Andrews pada filem Mary Poppins yang terdahulu. Namun, aku melihat percubaan Emily untuk membawakan watak Mary Poppins mengikut acuannya sendiri tidak sia-sia kerana watak Mary Poppins versi tahun 2018 ini mempunyai karisma dan keaslian tersendiri yang dapat diterima dengan cukup selesa oleh aku sebagai penonton. Tiada langsung kesangsian untuk memberikan pujian kepada Emily Blunt kerana aku merasakan hasil lakonan dan penjiwaannya untuk watak Mary ini sangat cemerlang.


Salah satu legasi keistimewaan yang membuatkan filem Mary Poppins cukup terkenal pada sepanjang zaman ialah penggunaan teknik filem fotokimia atau dikenali sebagai sodium vapor process dimana ia menggabungkan barisan pelakon dengan gambar latar belakang yang berbentuk animasi yang digunakan dengan cukup meluas sekitar tahun 1960-an hingga tahun 1970-an. Filem Mary Poppins Returns ini juga turut berjaya membuatkan anda mengimbau kembali kenangan menonton filem terdahulu apabila menonton babak-babak pelakon manusia di dalam dunia animasi seperti mana anda pernah menonton filem Space Jam yang turut menggunakan teknik yang lebih kurang sama.



Aku melihat filem Mary Poppins Returns ini ialah sebuah karya yang cukup menarik dan seimbang daripada pelbagai sudut sama ada mesej yang dibawakannya, plot penceritaannya, perkembangan watak-wataknya, sinematografinya, lagu-lagunya serta suntingan filem ini yang kemas dan teratur. Filem yang berjaya membawa nilai kekeluargaan yang baik dan sesuai ditonton oleh semua peringkat umur tanpa ada sebarang elemen seks atau kata atau kata-kata kesat di dalam filem ini. Aku melihat jalan cerita filem ini juga merupakan kesinambungan dari filem terdahulu dan hal ini cukup meyakinkan untuk mengiyakan kenapa filem Mary Poppins Returns ini perlu dihasilkan.


Jadi,disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Mary Poppins Returns ini di pawagam berhampiran bermula pada 24 Disember 2018:

1) Sebuah filem kekeluargaan yang menarik untuk ditonton kerana membawakan tema kekeluargaan yang sangat kuat dan mendidik kanak-kanak yang menonton untuk menyayangi dan menghormati ibu bapa mereka. Pada masa yang sama juga, filem ini mengingatkan ibu bapa tentang bagaimana kasih sayang kanak-kanak kepada orang dewasa dipertontonkan melalui sudut pandang kanak-kanak itu sendiri dimana ramai ibu bapa zaman kini terlepas pandang atau kurang menyedari tentang hakikat tersebut.

2) Filem ini penuh dengan pelbagai imaginasi yang indah dan berwarna-warni dimana ia boleh ditonton di dalam pelbagai babak yang ada di dalam filem ini sama ada sewaktu di dunia manusia, di dunia imaginasi sewaktu babak mandi atau pun di dunia animasi yang melibatkan babak pasu kesayangan keluarga Banks.

3) Lagu-lagu yang terdapat di dalam filem ini mempunyai nada yang merdu sertai lirik-lirik puitis yang indah dan menarik. Persembahan setiap lagu juga berjaya memberi keindahan magis yang tersendiri dan pasti menghiburkan sesiapa sahaja yang menonton sama ada kanak-kanak mahu pun dewasa.

4) Sebuah filem yang ringan untuk kanak-kanak yang sebenarnya membawakan mesej separa berat untuk dewasa jika diamati secara teliti. Namun, apa yang pasti filem Mary Poppins Returns ini sangat menghiburkan bagi sesiapa yang menontonnya dengan meletakkan diri anda sebagai seorang kanak-kanak.


Jadi, selamat menonton filem Mary Poppins Returns dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Kalau Sempat Esok Akan Tonton Filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur. Nantikan Ulasannya!

2 comments:

Sunday 23 December 2018

Review Filem Zero

Posted by BG Design


Filem:
Zero

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Aanand L.Rai

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon:
Shah Rukh Khan, Anushka Sharma, Katrina Kaif, Abhay Deol & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Disember 2018

Pengedar:
Nusantara Seni Karya Sdn Bhd

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang lelaki kerdil bernama Bauua Singh yang berasal dari Meerut. Dia mempunyai masalah untuk jatuh cinta serta dicintai oleh wanita. Dia kemudiannya menjalinkan hubungan dengan seorang saintis NASA bernama Aafia Bhinder yang mempunyai masalah Palsi Serebrum tanpa sengaja. Namun, pertemuan Bauua Singh dengan seorang aktres Bollywood terkenal iaitu Babita telah merubah segala-galanya. Adakah mereka bertiga terlibat di dalam cinta tiga segi? Atau adakah cinta akan memusnahkan kehidupan mereka bertiga? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 21 Disember 2018 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah, aku telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang sangat aku nanti-nantikan kerana pelakon utamanya ialah Shah Rukh Khan iaitu filem Zero di TGV Cinemas One Utama pada 21 Disember 2018 yang lepas. Buat pertama kalinya juga aku menonton sebuah filem di dalam panggung Indulge TGV Cinemas yang secara tidak langsung memberi sebuah pengalaman baru yang cukup menyelesakan terutamanya ketika menonton sebuah filem Bollywood yang berdurasi hampir tiga jam termasuk slot iklannya.


Ada tiga perkara yang aku sukakan tentang filem Zero ini. Pertamanya ialah bagaimana hebatnya filem ini berjaya menjadikan pelakon Shah Rukh Khan sebagai seorang lelaki kerdil tetapi masih mengekalkan magis pelakon versatil tersebut. Agak unik apabila melihat Shah Rukh Khan di dalam fizikal kerdil sebegini tetapi ia adalah satu cubaan yang sangat berani dan bagi aku berjaya menjadikan filem Zero ini sebagai sebuah filem yang membawakan sesuatu yang lain buat industri perfileman Bollywood. Apa yang mengagumkan aku ialah segala babak sama ada berlari, menari, melompat dan sebagainya yang melibatkan watak Bauua Singh lakonan Shah Rukh Khan ini kelihatan berjalan begitu lancar dan sangat meyakinkan penonton untuk mempercayai bahawa SRK betul-betul seorang manusia kerdil. Memang satu usaha yang sangat baik melalui kesan khas serta suntingan yang betul-betul teliti. 


Perkara kedua yang menarik tentang filem Zero ini ialah kisah percintaan kali ini melibatkan watak seorang lelaki kerdil, Bauua Singh dan seorang wanita bijak yang menghidap penyakit Palsi Serebrum iaitu Aafia Bhinder. Keunikan kisah cinta ini sebenarnya datang daripada dialog-dialog yang dilontarkan oleh kedua-dua watak ini yang bagi aku sangat hebat dan bermakna. Aku cukup sukakan bagaimana pada permulaannya, kedua-dua watak ini saling cuba merendahkan kemampuan masing-masing dan bagaimana perkara ini digabungkan menjadikan babak pertemuan dan percintaan mereka kelihatan begitu hebat dan berjaya meletakkan filem ini pada permulaannya di satu tahap yang agak tinggi dan membanggakan.


Namun, aku melihat perjalanan cerita filem ini mulai mendatar apabila kemunculan babak Babita dan pertemuannya dengan Bauua Singh dimana aku merasakan momentum dan impak filem ini kembali menurun dan berubah menjadi seperti filem-filem tipikal Bollywood yang lain. Plot cerita sudah mudah untuk dijangka dan segala-gala yang terjadi selepas itu seolah-olah menggunakan satu perkataan iaitu 'kebetulan' untuk menghalalkan penceritaannya sehingga kepada penamat filem. Ia bukan bermaksud filem ini tidak menarik. Filem ini sebenarnya menghiburkan untuk ditonton cuma apabila permulaan filem secara tidak sengaja telah memberikan kepada penonton seperti aku untuk meletakkan harapan ke tahap tertinggi. Kemudian ia gagal mengekalkan momentum tersebut dan ia sedikit mengecewakan aku yang begitu sukakan plot cerita berkaitan Bauua Singh dan Aafia Bhinder.


Secara jujurnya, aku amat menyukai satu jam pertama filem ini yang bagi aku berjaya membawakan sebuah tema tentang percintaan, darjat serta kekurangan manusia di dalam sebuah penceritaan yang agak segar untuk sebuah filem Bollywood. Namun, pertengahan filem ini mula kelihatan terlalu mengikut jejak filem-filem komersial Bollywood yang lain. Pada pengakhirannya pula aku melihat perjalanan filem ini agak tergesa-gesa menjadikan fokus penceritaan sebenar kelihatan sedikit lari daripada apa yang diperjuangkan pada permulaan filem. Aku tidak boleh bercerita lebih untuk mengelakkan daripada terjadinya 'spoiler' buat sesiapa yang belum menonton. Cuma apa aku boleh katakan filem ini wajar ditonton oleh para peminat Shah Rukh Khan namun untuk mengatakan filem ini adalah filem terbaik beliau, aku merasakan filem Zero masih belum sampai ke tahap tersebut.


Jadi, seperti biasa aku turut ingin berkongsi beberapa kelemahan yang aku tonton di dalam filem Zero ini. Aku melihat kelemahan ketara filem ini ialah daripada segi penceritaannya :

1) Hakikatnya, filem ini mempunyai intipati penceritaan yang menarik tetapi apabila terlalu banyak perkara yang ingin diletakkan di dalam sebuah naskhah menjadikan filem Bollywood yang berdurasi panjang sebegini pun tidak mampu menghuraikannya perkembangan cerita dan watak dengan lebih teliti. Ini menjadikan sesetengah perkara dan babak yang penting kelihatan seperti terkejar-kejar dan agak tidak masuk akal kerana ia kelihatan seperti 'kebetulan' berlaku. Antara yang aku boleh kongsikan tentang hal ini ialah berkaitan pertandingan tarian dimana ia sangat tidak meyakinkan untuk menunjukkan Bauua sebagai seorang juara apabila terus ditunjukkan pertandingan akhir. Bakat Bauua di dalam tarian tidak ditunjukkan dan ini sedikit mencacatkan penceritaan. Seterusnya tentang bagaimana Bauua terpilih untuk menjadi sebagai seorang angkasawan juga kurang meyakinkan dimana ianya juga seakan-akan satu kebetulan. Mungkin hanya babak berkenaan Bauua berlari sahaja yang boleh menyokong sedikit tentang perkara ini.

2) Filem-filem terbitan isteri Shah Rukh Khan iaitu Gauri Khan sentiasa akan menampilkan cameo-cameo hebat yang pernah berlakon dengan suaminya. Namun, kemunculan pelakon-pelakon wanita hebat ini agak tenggelam kerana babak yang dipaparkan dan melibatkan mereka agak kurang memberi impak. Walau bagaimanapun, ia masih satu bonus yang cukup istimewa buat filem Zero ini.


Jadi,disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Zero ini di pawagam berhampiran bermula pada 21 Disember 2018:

1) Sebuah filem yang memaparkan kisah menarik berkenaan kisah cinta antara seorang lelaki kerdil, seorang wanita penghidap Palsi Serebrum dan seorang artis wanita popular pujaan rakyat India yang jarang dapat dilihat di dalam filem-filem komersial Bollywood.

2) Kehebatan utama filem ini ialah dialog-dialog yang dilontarkan pelakonnya yang mempunyai subteks yang menarik jika direnung dan diamati sedalam-dalamnya. Ia bagaikan sebuah lontaran mesej yang melantun-melantun tetapi dalam keadaan yang ringan dan sangat sesuai diterima oleh sesiapa sahaja yang menonton.

3) Kesan khas CGI filem ini boleh dikatakan sangat cantik dan suntingannya begitu meyakinkan. Boleh dikatakan hampir keseluruhan babak yang memaparkan Shah Rukh Khan berjaya divisualkan di dalam keadaan kerdil yang nampak begitu realistik. Paling menarik sewaktu babak nyanyian sebuah lagu dimana air hujan yang jatuh dan melantun daripada baju kelihatan sangat cantik dan mengagumkan.

4) Sinematografi filem ini juga sangat menawan dan penuh dengan warna yang memukau. Filem Bollywood selalunya jarang gagal di dalam bab ini dan anda pasti akan terpesona dengan keindahan latar tempat yang dipaparkan di dalam filem ini.


Jadi, selamat menonton filem Zero dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Minggu Nih Layan Wayang Dekat GSC Aman Central Lah Nampak Gayanya!

2 comments:

Friday 21 December 2018

Review Filem The Spiral

Posted by BG Design


Filem:
The Spiral

Penilaian:
6/10

Pengarah:
PF Wong

Genre:
Fiksyen Sains & Ngeri

Pelakon:
Siti Saleha, Peter Davis, Ben Andrew Pfeiffer, Ayez Shaukat & Etc.

Tarikh Tayangan:
20 Disember 2018

Pengedar:
Mega Films Distribution Sdn Bhd

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang kehilangan seorang lelaki bernama Jon Caine yang merupakan seorang pensyarah. Selepas tiga bulan kehilangannya, dia kembali muncul tetapi dengan perwatakan yang sangat berlainan dan mula membunuh orang dengan kejam tanpa sebarang belas kasihan. Jon Caine kemudian berjaya diberkas oleh Detekif Inspektor Aleana dan dihantar ke sebuah penjara untuk penjenayah yang mempunyai masalah mental. Di sana, seorang ahli psikologi jenayah Dr. Melanie Surya ditugaskan untuk menyoal siasat Jon. Hasil siasatannya menemui banyak perkara yang mengejutkan serta menakutkan di dalam diri Jon Caine dan menjawab persoalan berkaitan perubahan sikap lelaki tersebut. Namun, disebabkan rahsian Jon Caine terbongkar menyebabkan Dr. Melanie Surya kini dalam bahaya. Mampukah dia menyelamatkan diri daripada Jon Caine? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 20 Disember 2018 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Aku telah berjaya menonton filem Inggeris tempatan The Spiral di TGV Cinemas Encorp Strand Mall pada tanggal 20 Disember 2018 yang lepas. Jarang untuk melihat filem-filem tempatan yang berani bermain dengan genre sains fiksyen yang mana masing-masing sudah tahu filem sebegini memerlukan kos kewangan yang tinggi untuk menjayakannya. Kos pembikinan untuk filem The Spiral pula kurang daripada RM1.2 juta dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan. Walaupun The Spiral bukannya sebuah filem yang berjaya tampil gah dengan kesan khas CGI nya namun filem ini masih wajar dipuji kerana ia berjaya membawakan sesuatu yang baru buat industri perfileman negara. Lebih menarik lagi apabila hasil keseluruhan filem ini bukannya dibuat sambil lewa tetapi aku percaya keseluruhan tenaga kerja produksi filem telah memberikan yang terbaik untuk menjadikan filem ini suatu kenyataan.


Aku melihat kekuatan utama filem The Spiral ini hadir melalui kehebatan penjiwaan watak serta persembahan lakonan oleh dua orang pelakon utamanya yang berjaya membantu plot cerita berkembang dengan baik dan memberi kesan kepada sesiapa yang menonton. Apa yang diberikan oleh Siti Saleha dan Peter Davis di dalam filem ini memang boleh dilabelkan sebagai sangat cemerlang pada pandangan aku. Walaupun secara jujurnya aku tidak mengenali pelakon bernama Peter Davis ini tetapi setelah menyaksikan sendiri lakonan serta aksinya di dalam filem ini, aku merasakan Peter Davis bakal menjadi pesaing buat Hairul Azreen untuk menjadi pelakon utama di dalam filem-filem aksi jika diberi lebih peluang pada masa akan datang. Tahniah Peter Davis atas persembahan yang cukup bertenaga sepanjang kemunculan anda di dalam filem ini.


Walaupun babak-babak yang melibatkan kesan khas CGI di dalam filem ini tidak lah terlalu gah pada pandangan mata, namun ada juga beberapa babak CGI di dalam filem ini yang tidak mengecewakan dan di luar jangkaan. Aku percaya kos pembikinan filem ini tidak lah setinggi mana. Jadi, aku merasakan hasil CGI di dalam filem ini adalah berpadanan dan agak baik juga pada sesetengah bahagian. Dari sudut sinematografi, aku melihat hal ini tidak mengecewakan kerana filem ini berjaya menyajikan beberapa babapk yang sangat menarik dari sudut tersebut. Aku juga cukupkan sukakan tona warna filem ini yang gelap dan cukup meyakinkan untuk sebuah filem sains fiksyen ngeri seperti filem The Spiral ini.



Filem ini merupakan sebuah filem yang pada aku agak berani sejak permulaan lagi. Dimulakan dengan beberapa babak leher dikelar serta misteri yang dibawakan oleh watak Jon Caine sememangnya telah berjaya menangkap perhatian aku untuk terus setia menonton filem ini. Filem ini juga agak berani di dalam menunjukkan kehidupan sosial urban yang liar seperti minum arak serta babak ciuman di pipi dan dahi yang aku tidak pernah lihat lagi sebelum ini di dalam filem-filem tempatan yang melibatkan pelakon Melayu. Hal ini mungkin akan mencetuskan sedikit kontroversi bagi sesetengah penonton yang menontonnya. Walau bagaimanapun, apa aku boleh katakan filem ini sebenarnya mempunyai sebuah kisah yang menarik. Suntingannya juga agak cantik cuma mungkin dibahagian pertengahan ia sedikit meleret sewaktu filem ini cuba menjelaskan siapakan sebenarnya Jon Caine dan kaitannya dengan Dr. Suraya. Namun, aku merasakan jika filem ini mempunyai baget kewangan yang besar hasilnya pasti lebih hebat kerana secara keseluruhan aku agak mengagumi filem ini sebenarnya.


Jadi, seperti biasa aku turut ingin berkongsi beberapa kelemahan yang aku tonton di dalam filem The Spiral ini seperti:

1) Idea untuk penceritaan filem ini sangat menarik namun terdapat beberapa kelompongan yang menyebabkan penonton adakalanya akan tertinggal sesuatu atau tidak dapat menangkap penyampaian sebenar filem ini disebabkan terlalu banyak kisah dan zaman yang dimasukkan di dalam penceritaan. Walau bagaimanapun, aku masih merasakan filem ini menarik dan lain dari yang lain.

2) Ada beberapa latar tempat yang kelihatan kurang bersesuaian dengan latar penceritaan seperti tempat asal watak Jon Caine ini datang dimana aku merasakan iaitu terlalu bersifat Kuala Lumpur pada masa kini. Namun ada juga beberapa lokasi yang kelihatan diluar jangkaan dan menarik untuk ditonton seperti babak awal pengenalan penjara serta beberapa babak masa depan.

3) Audio dan skor bunyi yang kedengaran agak bingit pada beberapa babak yang sedikit menjejaskan fokus tontonan.

4) Kesan khas CGI yang agak lemah pada beberapa babak namun hasilnya masih boleh diterima untuk ditonton.

5) Ada beberapa babak yang mengurangkan rasa teruja seperti pergaduhan dan pertempuran antara Jon Caine dan sekumpulan pengawal penjara yang bagi aku menghilangkan seketika aura hebat watak Jon Caine yang sebelum itu begitu hebat menjinakkan pengawal-pengawal peribadi pada permulaan filem.


Jadi,disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem The Spiral ini di pawagam berhampiran bermula pada 20 Disember 2018:

1) Filem ini berani mengangkat dan bermain dengan tema baru berkaitan sains fiksyen, teori sains serta kehidupan yang bagi aku agak kreatif dan wajar disokong dengan menonton filem ini di panggung wayang.

2) Personaliti dan lakonan Peter Davis di dalam filem ini sebagai Jon Caine dan Kiel terutamanya apabila melibatkan babak aksi benar-benar meyakinkan dan menghiburkan.

3) Lakonan Siti Saleha kali ini juga sangat berani dan sedikit kontroversi. Namun dari sudut filem, aku melihat karya ini berjaya menaikkan kewibawaan Siti Saleha dari segi kepelbagaian watak dan gaya lakonan ke satu tahap yang tersendiri.

4) Sebuah filem sains fiksyen yang muncul tepat pada tahun 2018 untuk memberikan satu tahap baru kepada pembikin filem tempatan lain bagi menghasilkan naskhah yang lebih hebat pada masa akan datang.


Jadi, selamat menonton filem The Spiral dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Tak Sabar Betul Nak Menonton Filem Zero Esok! Nantikan Ulasannya!

0 comments:

Wednesday 19 December 2018

Review Filem More Than Blue

Posted by BG Design


Filem:
More Than Blue

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Gavin Lin

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon:
Jasper Liu, Ivy Chen, Bryan Chang Shu-Hao, Annie Chen & Etc.

Tarikh Tayangan:
27 Disember 2018

Pengedar:
MM2 Entertainment Sdn Bhd


Sinopsis:

Filem ini adalah `remake` filem Korea pada tahun 2009 dengan judul sama. Cream dan K berkawan sejak sekolah tinggi lagi. Beberapa tahun kemudian, mereka tinggal bersama tetapi bukan sebagai pasangan kekasih. K telah disahkan mengidap leukemia tetapi dia tidak sampai hati hendak beritahu Cream, yang mana dia menaruh perasaan terhadap wanita itu, kerana bimbang akan membuatkan Cream terluka. Cream kemudian mula menjalin hubungan dengan lelaki lain dan menerima lamaran kekasihnya tanpa mengetahui apa yang disembunyikan oleh K. Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 27 Disember 2018 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah, aku menerima jemputan untuk menonton filem More Than Blue sempena tayangan media di mmCineplexes Cinema pada tanggal 18 Disember 2018 yang lepas. Aku berasa sangat gembira kerana telah membuat keputusan memilih untuk menonton filem ini memandangkan pada hari dan masa yang sama, aku turut menerima jemputan untuk menonton filem Master Z: The Ip Man Legacy dan filem animasi Dragon Ball Super: Broly.


Filem More Than Blue ini ialah sebuah filem yang pada asalnya ialah karya daripada negara Korea Selatan sebelum dibuat semula di dalam versi Mandarin. Memandangkan aku tidak menonton filem asal jadi aku tidak tahu bagaimana kekuatan, kelebihan atau keistimewaan karya tersebut. Jadi, berdasarkan tontonan segar aku untuk filem More Than Blue versi mandarin ini, apa yang aku boleh katakan filem ini memberikan sesuatu yang cukup menarik dan menyentap emosi sesiapa yang menonton secara perlahan-lahan dan lebih semulajadi tanpa ada sebarang paksaan di dalam setiap plot penceritaannya.


Filem More Than Blue masih bermain persoalan berkaitan cinta serta pengorbannnya. Seperti biasa, filem ini masih tidak dapat lari daripada tema cinta yang terhasil melalui persahabatan yang sudah acap kali kita tonton di dalam mana-mana filem Korea atau filem-filem luar yang lain. Namun, apa yang menariknya filem ini ialah tentang plot ceritanya yang bijak bermain dengan beberapa perubahan plot atau plot twist pada durasi 20 minit terakhir filem ini dan menjadikan naskhah ini bukan sekadar kisah cinta biasa tetapi melangkau beberapa tapak daripada filem-filem yang bergenre sama.


Filem ini berjaya menangkap dan memenjara jiwa penonton untuk menyukainya kerana kehebatan para pelakonnya di dalam menjiwai karakter, emosi, reaksi wajah serta memberi pergerakan tubuh yang sangat baik untuk menguatkan dialog-dialog hebat yang boleh dikatakan hampir semuanya mempunyai makna tersirat menjadi lebih hebat daripada sedia kala. Lebih penting ialah kesinambungan daripada kesemua ini bertepatan dengan logik akal sebuah kisah yang divisualkan dengan baik di dalam sebuah filem menjadikan ianya bukan sebuah filem kosong tetapi memberi kesan kepada fikiran serta diri anda walaupun setelah tamat tontonan.


Aku sendiri cukup sukakan dengan beberapa dialog para pelakon utamanya di dalam filem ini yang bagi aku sangat bermakna. Tetapi, aku menulis ayat dibawah ini mengikut kefahaman aku dan diterjemahkan seperti di bawah :

1) Jika seseorang memahami dan mengetahui apa itu cinta, maka tiada orang akan menderita disebabkannya.

2) Di rumah dia menjadi ibu. Di tempat kerja dia menjadi ayah. Kadang-kadang dia menjadi seperti abang. Adakalanya dia seperti seorang kekasih. Pada waktu sepatutnya dia menjadi dungu.

3) Konsonan K untuk K dan Cream kerana kita ialah keluarga.


Aku juga cukup tertarik tentang beberapa perkara tentang filem ini terutama tentang babak larian watak K sewaktu zaman persekolah dan sewaktu zaman dewasanya yang membawa subteks yang menarik bagi aku melambangkan tentang sebuah permasalahan yang cuba ditinggalkan agar tidak akan membuatkan sesiapa kecewa mahu pun derita. Aku sangat sukakan dua babak ini kerana bagi aku ia sangat kreatif dan mahal daripada sudut tontonnya. Walaupun aku melihat ada sedikit kelemahan terutama tentang personaliti serta jasad watak K yang kelihatan masih sihat walaupun tahap kesihatannya berada di peringkat yang kritikal dan masih mampu melakukan perkara yang dilakukan manusia yang sihat namun sekali lagi plot cerita yang cukup kuat disokong dengan lakonan yang cukup mantap membantu menutup kelemahan tersebut dengan jayanya.


Jadi,disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem More Than Blue ini di pawagam berhampiran bermula pada 27 Disember 2018:

1) Sebuah kisah cinta yang kreatif, hebat dan bijak di dalam memanipulasikan pemikiran dan pemahaman anda bermula daripada awal filem lagi sehingga kepada penamatnya.    

2) Sebuah filem yang berjaya menjadikan semua watak di dalam filem ini berkembang dengan baik di dalam menyokong penceritaan dan disucikan daripada 'dosa-dosa' hasil tindakan dan pilihan setiap watak di dalam mencorakkan plot cerita filem ini.

3) Dialog-dialog yang diungkapkan watak-watak di dalam filem ini hanya dialog yang sangat mudah difahami oleh sesiapa pun penontonnya namun kesan tersurat, tersirat dan subteks yang terhasil daripada dialog-dialog ini adalah sangat menakjubkan. Kalau tak percaya silalah tonton di pawagam nanti.

4) Kisah cinta serta pengorbanan yang sangat berbeza daripada kaca mata empat watak utamanya yang menjadikan filem ini antara filem bergenre drama romantik yang wajib ditonton untuk tahun 2018.


Jadi, selamat menonton filem More Than Blue dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Tak Sabar Nak Menonton Filem Zero dan The Spiral Pada Minggu Ini. Harap-Harap Karya-Karya Ini Berbaloi Untuk Ditonton!

0 comments:

Sunday 16 December 2018

Review Filem Bumblebee

Posted by BG Design


Filem:
Bumblebee

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Travis Knight

Genre:
Aksi & Pengembaraan

Pelakon:
Hailee Steinfeld, John Cena, Jorge Lendeborg Jr., Jason Drucker,
Dylan O'Brien, Justin Theroux, Angela Bassett, Pamela Adlon & Etc.

Tarikh Tayangan:
20 Disember 2018

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:

Filem ini berlatarkan tahun 1987 dimana seorang gadis berusia 18 tahun bernama Charlie telah terjumpa Bumblebee secara tidak sengaja yang rosak dan tersorok di sebuahkedai potong di pantai California. Dia kemudian menyedari bahawa kereta itu bukannya Volkswagen Beetle yang biasa. Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 20 Disember 2018 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah, aku berkesempatan menonton filem Bumblebee sempena tayangan sneak preview di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada tanggal 14 Disember 2018 yang lepas. Memang kerusi di dalam panggung hampir separuh penuh walaupun tayangan awal bermula pada pukul 10.45 pagi. Ini menandakan filem Bumblebee merupakan salah satu lagi filem yang dinanti-nanti oleh kaki wayang sebelum tahun 2018 melabuhkan tirainya dalam masa dua minggu lagi. 


Filem ini dimulakan dengan babak peperangan di antara pihak Autobots dan Decepticons yang berlaku di Cybertron. Pada babak inilah pengenalan ringkas tentang Bumblebee atau nama asalnya B-127 dan Optimus Prime dimulakan. Aku melihat pembukaan filem Bumblebee ini yang dipenuhi dengan cahaya-cahaya tembakan, letupan serta pergerakan robot-robot yang mengikut pola struktur koreograf yang sangat kemas membuatkan ia sebuah babak yang sangat indah dan begitu awal untuk dinikmati. Pergerakan robot-robot yang sedang berperang, bergasak, menembak dan sebagainya ini juga dilihat betul-betul teliti dan cantik hasilnya apabila dipandang di layar perak. Aku melihat kedua-dua puak ini berjaya dipaparkan di dalam visual dalam jasad yang kelihatan betul-betul realistik walaupun aku sendiri sedar ia adalah hasil imej janaan komputer.


Permulaan plot filem ini yang kelihatan begitu mengujakan dan bergerak pantas nampaknya tidak dapat diteruskan dengan baik apabila pengenalan watak manusia yang bernama Charlie Watson, seorang remaja berumur 18 tahun mula mengambil tempat di dalam jalan cerita filem ini. Charlie yang berada di dalam fasa pemberontakan seorang remaja dimana dia merasakan jiwanya kosong dan diabaikan oleh ibunya setelah ayahnya emninggal dunia. Pada masa yang sama, Charlie turut berasa tertekan kerana rakan-rakan sebayanya masing-masing mempunyai kereta yang membuatkan dia turut ingin memiliki kereta sebagai hadiah hari jadinya. Jadi, masa yang diperuntukkan sepanjang penceritaan terhadap pengenalan watak Charlie ini kepada penonton sehingga lah kepada babak pertemuan antara Charlie dan Bumblebee yang ketika itu di dalam keadaan penyamaran sebagai sebuah kereta Volkswagen Beetle berwarna kuning mengambil masa yang agak lama. Momentum perjalanan cerita turut sama terjejas menjadi perlahan ditambah dengan beberapa dialog serta kemunculan watak-watak tambahan yang tidak penting dan secara tidak langsung membuatkan masa filem ini terbazir secara sia-sia.


Aku melihat filem-filem dari Hollywood pada tahun ini yang berada di dalam kategori bakal pecah panggung, tidak kira daripada mana-mana produksi besar sekali pun sudah mula giat menyuntik elemen humor di dalam susur galur penceritaan mereka. Tidak dinafikan selalunya formula sebegini sememangnya membantu sesebuah filem untuk lebih mudah diterima pelbagai golongan penonton dan secara tidak langsung menarik perhatian serta minat penonton untuk menonton filem ini sehingga penamat dalam keadaan yang terhibur. Namun, berlainan pula situasinya di dalam filem Bumblebee ini dimana kebanyakan babaknya yang berunsur humor dipenuhi dengan dialog-dialog yang kelihatan terlalu 'chessy' atau berlebihan yang menyebabkan adakalanya aku berasa canggung melihat plot cerita filem ini. Aku tidak bermaksud menyatakan elemen komedi di dalam filem ini gagal. Ia masih menghiburkan tetapi apabila kebanyakkannya babak humor filem ini kelihatan terlalu ingin dilihat sebagai menghiburkan dan melucukan menjadikan ia gagal meneruskan tahap tertinggi yang telah dipasak oleh filem ini pada awal pembukaan kisahnya tadi. Bukan sekadar elemen lucu tetapi keadaan 'cheesy' ini turut dilihat membelenggu sesetengah babak yang melibatkan emosi di antara watak Charlie dan juga Bumblebee yang menjadikan momen-momen tersebut adakalanya seperti tidak sampai atau sekadar ada untuk memenuhi tuntutan penceritaan sahaja.


Menyentuh tentang persembahan lakonan watak-watak utamanya, aku melihat kesemuanya dapat menyinar dan berdiri dengan karakter watak masing-masing. Tetapi, ia berbeza dengan impak yang diberikan oleh watak Agent Burns yang dilakonkan oleh John Cena dimana aku melihat watak ini bukan sekadar tenggelam tetapi karam di laut dalam. Bukan disebabkan lakonannya tidak bagus tetapi watak ini seperti tidak ada aura atau momen hebat untuk membuatkannya diingati oleh penonton. Sedangkan watak pembantu Memo lakonan Jorge Lendeborg Jr. pun dilihat memberi impak yang lebih kuat jika dibandingkan dengan watak Agent Burns ini.   


Walau bagaimanapun, filem Bumblebee ini sebenarnya masih berbaloi dan menghiburkan untuk anda tonton di pawagam. Ia masih sebuah karya yang menghiburkan dan disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem ini di pawagam berhampiran bermula pada 20 Disember 2018:

1) Filem Bumblebee berjaya menyajikan pergerakan, pertukaran serta keadaan fizikal robot-robot seperti Bumblebee, Optimus Prime serta pihak musuh kali ini dalam keadaan yang sangat menarik, jelas dan sempurna untuk ditonton di layar perak. Ia kelihatan sangat nyata dan berjaya membuatkan anda terlupa bahawa itu semua sebenarnya hanyalah imej yang dibuat melalui hasil janaan teknologi komputer sahaja.   

2) Filem ini walaupun kelihatan 'cheesy' di merata-rata bahagian namun masih tetap menghiburkan daripada aspek aksi, humor serta jalan penceritaannya yang ringan dan berjaya digarap serta disatukan sepanjang 1 jam 53 minit filem ini ditayangkan kepada anda.


Jadi, selamat menonton filem Bumblebee dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Bakal Menjengah Pawagam Pada Minggu Hadapan Untuk Ditonton Dan Diulas? Nantikan!

4 comments:

Friday 14 December 2018

Review Filem The Wrath

Posted by BG Design


Filem:
The Wrath

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Yoo Young-Seon

Genre:
Seram & Misteri

Pelakon:
Seo Young-Hee, Son Na-Eun, Lee Tae-Ri, Park Min-Ji & Etc.

Tarikh Tayangan:
6 Disember 2018

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:

Filem ini merupakan filem seram yang dibuat semula berdasarkan filem seram pada tahun 1986 dengan judul yang sama. Ia mengisahkan tentang dua wanita Joseon yang bergaduh sesama sendiri berikutan tragedi yang berlaku dalam sebuah keluarga di mana ketiga-tiga orang anak lelaki dalam keluarga itu mati pada hari perkahwinan mereka akibat terkena sumpahan yang cukup dasyat. Mereka cuba melakukan sesuatu untuk menghentikan sumpahan tersebut agar keturunan mereka dapat dikekalkan. Berjayakah mereka menghilangkan sumpahan tersebut? Saksikan filem seram ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 6 Disember 2018 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Aku sebenarnya memang langsung tidak bercadang untuk menonton filem seram dari Korea yang berjudul The Wrath ini. Namun, disebabkan ada beberapa masalah yang berlaku dan tidak dapat dielakkan membuatkan aku mengambil keputusan untuk menonton filem ini di GSC IOI Mall Puchong pada 10 Disember 2018 yang lepas. Filem The Wrath ini merupakan filem pembikinan semula daripada filem seram Korea yang pernah diterbitkan pada tahun 1986 dengan judul yang sama. Namun, aku merasakan membuat semula filem ini di tahun 2018 adalah satu kesilapan besar kerana filem ini bukan sahaja gagal memikat hati para penonton tetapi turut gagal di dalam mengekalkan fokus penceritaannya menyebabkan filem ini kelihatan menyepi daripada menjadi bualan peminat filem Korea yang diterbitkan pada tahun ini.


Filem seram Korea ini secara zahirnya tidak lah seseram mana kerana ia lebih menekankan kepada eleman drama di dalam penceritaannya. Unsur kejutan yang berjaya ditimbulkan untuk membuat penonton berasa takut pun hanya melalui beberapa babak sahaja yang menggunakan kesan bunyi, zoom pantas lensa kamera serta sinematografi filem ini yang berjaya membangkitkan elemen seram itu walaupun tidak secara keseluruhan. Filem ini mempunyai kisah yang menarik berkenaan sumpahan yang membunuh waris lelaki keluarga tersebut. Namun, kelemahan yang ketara dari segi lakonan kebanyakkan pelakon utamanya serta susunan plot cerita yang kurang memberi impak menyebabkan filem ini tidak ada keunikan yang tersendiri dan menyebabkan ia hanya sekadar sebuah lagi filem seram yang melengkapkan kuota tayangan di panggung wayang.


Aku melihat kekuatan filem ini dari sudut lakonan pula hanya datang daripada lakonan cemerlang yang diberikan oleh pelakon Seo Young-Hee dimana watak ini berjaya dikembangkan penceritaannya melalui pelbagai emosi serta sudut yang kreatif berbanding watak-watak utama lain. Son Na-Eun yang memegang watak utama sebagai gadis kampung yang merupakan seorang anak yatim piatu pula dilihat sangat kekok di dalam membawakan watak tersebut. Lebih menghibakan apabila satu lagi watak penting iaitu dukun Hae Chun Bi yang dilakonkan oleh pelakon Lee Tae-Ri seperti dilupakan apabila anda menonton filem ini kerana kemunculannya seakan-akan tidak kena waktu dan menimbulkan banyak kelompongan dan persoalan terhadap jalan cerita filem ini. 


Filem The Wrath bukannya sebuah filem yang gagal tetapi jika anda inginkan sesuatu yang lebih daripada sebuah filem seram, filem ini bukan lah filem yang anda cari. Naskhah ini boleh dikatakan hanya sebagai sebuah lagi filem seram yang sesuai dimakan bersama popcorn sewaktu sesi tontonan di dalam panggung. Filem ini tidak merugikan untuk ditonton tetapi ia juga tidak lah memberikan kepuasan yang maksimum. Boleh dikatakan sebagai sebuah lagi filem seram Korea tipikal yang berada di tahap sederhana.


Jadi, selamat menonton filem The Wrath dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Ulasan Filem Bumblebee Akan Menemui Anda Dalam Waktu Terdekat. Nantikan!

0 comments: