Wednesday, 18 April 2012

Review Filem Black Gold

Posted by BG Design



Filem:
Black Gold


Pengarah:
Jean-Jacques Annaud


Genre:
Drama & Keluarga


Pelakon:
Tahar Rahim, Freida Pinto, Mark Strong, Antonio Banderas,
Riz Ahmed, Liya Kebede, Corey Johnson, Jamal Awar & Etc.


Penilaian:
8 / 10


Tahun:
2011


Sinopsis:

Pada awal abad ke-20, dua orang pemimpin di benua Arab(Arab Saudi) iaitu Emir Nesib(ketua Hobeika) serta Sultan Amar(Sultan Salmaah) bertelagah dan akhirnya kemenangan memihat kepada  Emir Nesib lalu dia telah meletakkan beberapa syarat kepada lawannya yang telah kalah iaitu Sultan Amar. Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak menuntut sebuah kawasan tanah yang dipanggil The Yellow Belt. Sebagai balasannya maka Sultan Amar telah menyerahkan kepada Emir Nesib dua orang anak lelakinya yang juga merupakan waris kerajaan Salmaah iaitu Putera Saleeh Amar dan Putera Auda sebagai jaminan bahawa pihaknya dan pihak Emir Nesib tidak akan menceroboh tempat tersebut. Dua belas tahun kemudian, Putera Saleeh dan Putera Auda telah membesar menjadi lelaki dewasa namun sifat kedua - dua mereka amat berlawanan namun kedua - dua mereka menyayangi antara satu sama lain. Putera Saleeh yang merupakan seorang pahlawan tidak sabar untuk pulang ke Salmaah iaitu tempat pemerintahan bapanya dan seboleh - bolehnya cuba mencari jalan untuk melarikan diri manakala Putera Auda pula hanya peduli tentang buku - buku demi mengejar segala jenis ilmu. Pada suatu hari, Emir Nesib dikunjungi oleh seorang rakyat Amerika dari Texas. Dia memberitahu Emir Nesib bahawa tanahnya dipenuhi dengan minyak dan menjanjikan kekayaan di luar imaginasi beliau. Emir Nesib terus membayangkan tentang sumber alam yang tidak terbatas tersebut dan mula merancang untuk membina jalan raya, sekolah dan hospital yang mana semua perbelanjaannya akan dibayar menggunakan hasil daripada emas hitam(minyak) tersebut. Namun masalah besar mula timbul kerana sumber minyak yang ditemui itu terletak di kawasan The Yellow Belt dimana sebelum ini Emir Nesib telah menandatangani perjanjian bersama Sultan Amar bahawa kawasan tersebut tidak boleh disentuh oleh kedua - dua pihak atas apa sebab sekali pun. Maka berlakulah konflik apabila kawasan itu dimajukan tanpa pengetahuan Sultan Amar dan masalah bertambah buruk apabila pewaris sulung Sultan Amar iaitu Putera Saleeh dibunuh selepas cuba melarikan diri. Untuk menjernihkan keadaan Emir Nesib menikahkan puterinya iaitu Leyla dengan Putera Auda dan menghantar Putera Auda berjumpa bapanya iaitu Sultan Amar selepas 15 tahun perjanjian tersebut. Adakah Putera Auda berjaya menghalang kedua - dua kerajaan ini daripada berperang? Adakah Putera Auda akan bersifat dominan kepada Sultan Amar atas nama keluarga atau sebaliknya? Adakah Putera Auda akan belot kepada Emir Nesib? Saksikan filem yang cukup menarik ini untuk mengetahui jawapannya. 


Trailer:





Ulasan Hans:

Filem yang diadaptasi daripada novel The Great Thirst yang ditulis oleh Hans Ruesch ini agak menarik untuk ditonton jika dilihat pada beberapa nilai atau falsafah yang cuba ditonjolkan di dalam karya Jean-Jacques Annaud ini. Tidak mahu mengomen tentang budaya hidup atau cara kaum Arab yang dipertontonkan di dalam filem ini kerana aku pun tidak pasti tentang hal tersebut namun aku amat tertarik kepada pemikiran dua buah puak(pemimpin Hobeika dan Salmaah) yang sangat berlawanan namun kedua - duanya ada kelebihan dan kekurangannya. Pemimpin Hobeika iaitu Emir Nesib lebih mengejar kemodenan dan tidak mahu ketinggalan jauh dari negara - negara Barat daripada segi teknologi dan apabila sumber minyak ditemui maka Emir Nesib cuba memodenkan kawasan pemerintahannya dengan menambah baik sistem pendidikan(sekolah dan perpustakaan), perubatan(hospital), jalan raya dan juga sistem ketenteraan. Namun untuk memastikan pemimpin - pemimpin lain taat padanya maka Emir Nesib telah menyogok mereka dengan memberi jam emas untuk mengambil hati masing - masing. Emir Nesib juga mempunyai niat lain iaitu menjadi pemimpin yang lebih kaya daripada Ratu Elizabeth di England lalu akhirnya dia sendiri telah memungkiri janji yang dibuatnya bersama Sultan Amar.


Tahar Rahim Sebagai Putera Auda


Sifat Emir Nesib ini jauh sekali bertentangan dengan Sultan Amar dimana Sultan Amar lebih bersifat konservatif dan anti pada apa yang cuba dibawa oleh negara Barat(sebagai contoh ialah teknologi Perubatan). Seorang yang berpegang pada janji namun dia amat kecewa kerana Emir Nesib lebih memikirkan tentang dirinya sahaja berbanding rakyat Arab kedua - dua kerajaan ini. Kekecewaannya juga semakin bertambah kerana dia sanggup memberi dua orang anak lelakinya kepada Emir Nesib sebagai jalan untuk menghentikan persengketaan namun akhirnya Emir Nesib mengingkari janji tersebut. Namun, Putera Auda yang memang dikenali sebagai seorang ulat buku pula berpendirian sebaliknya. Baginya kedua - duanya amat penting dimana bukan semua yang dibawa oleh Barat itu tidak baik dan begitulah sebaliknya. Jadi, menariknya disini ialah apabila Putera Auda ini bukan sahaja sebenarnya tidak mempunyai kesefahaman dengan Emir Nasib(juga boleh dikatakan sebagai bapa angkatnya) namun juga berlawanan dengan sifat ayahnya sendiri iaitu Sultan Amar.


Antonio Banderas sebagai Emir Nasib


Putera Auda boleh dikatakan lebih berjiwa rakyat dan sangat bijak kerana dia akhirnya telah membatalkan sistem perhambaan, membuatkan kawasan The Yellow Belt itu boleh dibangunkan bersama, tidak melancarkan peperangan kerana ia boleh mengorbankan banyak jiwa, memodenkan sistem perubatan dan pendidikan di kawasan Salmaah seperti mana Hobeika dan yang paling menarik ialah kebaikan yang ditonjolkan oleh Putera Auda ini ialah dia tidak membunuh Emir Nesib walaupun ramai yang mahukan Emir Nesib dibunuh dan Emir Nesib juga penyebab Sultan Amar serta Putera Saleeh mati dibunuh. Sebaliknya dia menggunakan kepandaian Emir Nesib itu untuk menguruskan sumber minyak untuk kelebihan negara dan rakyat Arab disitu. Satu perkara yang cukup menarik memandangkan Putera Auda yang pada mulanya langsung tidak memiliki bakat berperang, lebih suka membaca buku namun akhirnya berjaya mengetuai puak hamba untuk menentang kezaliman pihak pemerintah dan memberi satu revolusi baru kepada dunia Arab di dalam filem ini.


Salah Satu Adegan Filem Black Gold


Satu perkara yang sangat positif di dalam filem ini ialah walaupun seseorang itu tidak kuat dari segi fizikal namun jika ilmu penuh di dada pasti akan berjaya menewaskan seseorang yang kuat dari segi fizikal mahu pun pengaruh dan yang paling utama mampu menyelamatkan ramai manusia yang tidak bersalah atau yang terperangkap di dalam persekitaran mereka. Sebuah filem yang agak menarik dari segi sinematografi serta jiwanya kerana ia lebih bersifat kekeluargaan, kepercayaan, prinsip dan tidak keterlaluan dikatakan filem ini amat berbaloi untuk ditonton dari sudut itu. Selamat menonton!


Barisan Pelakon dan Pengarah Filem Black Gold


P/S : Aku Tengok Muka Antonio Banderas Nih Dah Macam Betul - Betul Orang Arab Pula Dalam Filem Nih! (^_^)Y


0 comments: