Friday, 30 September 2011

Demi Filem Malaysia

Posted by BG Design

Pertama sekali aku tak pasti kenapa tetapi aku ketawa terkekeh - kekeh(teruk betul aku ketawa) apabila membaca satu artikel di surat khabar(aku lupa apa nama surat khabar tersebut) tetapi aku jumpai teks yang sama di SINI. Antara petikannya berbunyi begini :-




Pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Prof Madya A.Razak Mohaideen bertekad untuk melanjutkan pengajian ke program peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia (UUM) semata-mata untuk memajukan industri perfileman negara.

Kedua-dua pengarah filem ini mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin mengkaji kelemahan-kelemahan filem tempatan daripada sudut pandangan sebagai seorang ahli akademik.


"Kita melihat industri filem pada hari ini tidak boleh berkembang ke peringkat yang lebih tinggi sedangkan terlalu banyak lambakan filem-filem tempatan yang keluar setiap tahun tapi hanya tertumpu dalam negara sahaja.


"Kajian yang saya akan lakukan nanti tertumpu tentang kegagalan industri filem tempatan kita untuk menembusi pasaran negara luar sedangkan negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Korea sudah pergi jauh," kata Ahmad Idham pada sidang media selepas majlis penyerahan surat tawaran bagi mengikuti ijazah berkenaan di sini, Isnin.


Apa yang mengundang ketawa di hati aku ialah kedua - dua pengarah ini mempunyai masalah yang lebih kurang sama sebenarnya iaitu kebanyakkan filem mereka berjaya mencapai tahap kutipan box office di pasaran tempatan namun gagal teruk dalam menawan pasaran luar. Jadi, mungkin inilah antara satu sebab yang mana mereka mahu kaji kenapa filem mereka gagal menembusi pasaran luar. Rasa - rasanya tidak perlu dikaji lagi kerana jawapan sudah terang lagi bersuluh bahawa filem yang mereka hasilkan hanya bersifat komersial yang mampu menarik penonton tempatan sahaja untuk menonton filem - filem mereka.


 Sesekali Hasilkan Lah Filem Sebegini


Pada pandangan aku sebagai contoh pelakon Saiful Apek yang kerap berlakon di dalam filem Razak Mohaideen terutama pada zaman emas beliau. Aku tak nafikan aku suka menonton lakonan Saiful Apek walaupun mungkin lakonannya sama sahaja di dalam mana - mana filem beliau tetapi hakikatnya Saiful Apek ialah Saiful Apek dan bukannya Rowan Atkinson yang dikenali seluruh dunia dengan riak wajah lucunya yang bodoh - bodoh alang itu. Di Malaysia mungkin ramai yang mengenali dan meminati Saiful Apek(termasuk aku) namun jika filem yang menampilkan beliau dipertontonkan di luar negara sebagai contoh Amerika Syarikat maka siapa antara mereka yang mengenali Saiful Apek? Mungkin ada tetapi adakah ia seramai jumlahnya di Malaysia dan persoalan utama adakah mereka meminati Saiful Apek? Itu adalah satu sebab utama yang rasa - rasanya tak perlu dikaji kerana jawapannya memang dari dahulu lagi sudah pun diketahui.


 Tak Pun Cuba Hasilkan Filem Sebegini


Jalan cerita filem mereka yang biasa - biasa sahaja! Stereotaip! Itu adalah sebab kedua filem - filem mereka khususnya enggan diterima oleh pihak luar. Filem seperti Congkak dan Damping Malam misalnya walaupun bergenre seram dimana filem sebegini senang untuk mendapatkan perhatian penonton luar namun tidak mempunyai kekuatan jalan cerita yang kuat. Filem Congkak sehingga ke akhir cerita tidak memberitahu siapakah sebenarnya watak nenek lakonan Ruminah Sidek di dalam filem tersebut secara terperinci dan Damping Malam pula tiada langsung perasa yang mampu membuatkan penonton terasa takut atau pun seronok dengan jalan cerita yang dipersembahkan. Filem - filem mereka yang bergenre komedi ringan mahu pun seram sudah banyak dibikin oleh orang luar jadi jika mereka mahu bersaing dengan filem luar hanya ada 2 perkara sahaja yang mereka perlu buat iaitu :-


1) Hasilkan filem yang temanya atau jalan ceritanya unik dan tidak pernah dibikin oleh mana - mana pengarah di dunia ini lagi kerana sememangnya pasaran luar dahagakan filem - filem luar yang lain isinya dan fizikalnya.

2) Jika mahu hasilkan filem - filem seram atau komedi maka hasilkan filem yang lebih hebat dari filem bergenre sama di luar dan jadikan filem itu bukan sekadar filem komedi kosong yang akhirnya orang lain klasifikasikan sebagai filem sampah.


Bagi aku sendiri aku rasa aku mampu merasai filem yang dibuat untuk wang atau filem yang dihasilkan untuk mendidik minda penonton. Sudah - sudahlah menghasilkan filem yang membodohkan penonton kerana penonton sekarang walaupun bukan semuanya bijak namun makin ramai yang mampu menilai sama ada filem itu adalah 'telur emas' atau pun 'telur tembelang'.


 Cuba Lihat Kenapa Filem Ini Diterima Pihak Luar


Bagi aku dari segi lakonan pelakon tidak ada masalahnya kerana kita memiliki ramai pelakon lelaki dan wanita yang sebenarnya hebat di dalam melakonkan pelbagai watak sama ada di dalam keadaan serius, lucu, emosi, psikologi atau sebagainya(ayat ini terbatal jika pengarah memilih pelakon yang cuma bersandarkan rupa dan populariti tanpa ada bakat) namun semua itu tiada gunanya jika skrip atau jalan cerita filem mereka langsung tiada apa yang istimewa yang boleh ditunjukkan pada penonton luar. Sebagai contoh cuba kalian bayangkan jika pelakon Jake Gyllenhaal dan Matt Damon berlakon di dalam filem Raya Tak Jadi menggantikan Apek dan Johan. Sememangnya mereka pelakon hebat tetapi jika mereka berlakon di dalam filem tersebut rasa - rasanya adakah filem itu akan menjadi hebat dengan kehadiran mereka? Bagi aku TIDAK!! Kerana apa? Kerana adakah perkara yang hebat atau unik atau terlalu istimewa yang wujud di dalam filem tersebut?

Aku faham kalian adalah usahawan filem kerana tiada wang bagaimana mahu menghasilkan filem tetapi jika kalian mahu filem kalian berjaya menembusi pihak luar maka hasilkan sama satu atau dua filem yang bukannya berpaksikan pada keuntungan semata - mata. Semuanya terletak ditangan anda kerana anda lah pengarah dan anda juga lah penerbit.


P/S : Alangkah Lebih Menarik Jika Kalian Berdua Membuat Kajian Bagaimana Untuk Mendidik Penonton Tempatan Menerima Filem - Filem Berat Yang Berkualiti Kerana Jawapan Untuk Soalan Tersebut Masih Samar - Samar Lagi Berbanding Tajuk Yang Kalian Sedang Kaji Sekalian Yang Jawapannya Memang Sudah Nyata Diketahui! (^_^)Y


10 comments:

Review Filem Libas

Posted by BG Design


Filem:
Libas


Pengarah:
Jurey Latiff Rosli


Genre:
Aksi Komedi


Pelakon:
Rosyam Nor, Scha Al-Yahya, Johan Raja Lawak, Beego, Mohd Fadzly,
Mohd Razib, Z.Zamrie, Taiyuddin Bakar, Adam Corrie, Yank Kassim,
Sabri Yunus, Sathiya, Johan Abdullah & Etc.


Penilaian:
3.8 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Adnan Saladin iaitu seorang pakar libasan dalam permainan sepak takraw. Dia digelar sebagai raja libas Malaysia dan kehebatan libasan beliau sangat digeruni oleh pasukan lawan terutamanya dari pasukan Thailand. Adnan teringat kisah lampau dimana kecederaan Dali selaku tekong Malaysia yang parah akibat Adnan gagal menampan libasan kuat AK Nangkhon yang menyebabkan bola itu terkena dadanya. Kesannya, Malaysia telah tumpas kepada Thailand untuk kali kedua berturut-turut. Jurulatih dan rakan sepasukan, Megat turut menyalahkan Adnan Saladin kerana kekalahan itu sehingga jurulatih sanggup memutuskan pertunangan Adnan Saladin dengan anaknya, Ratna. Raja Libas resah apabila mengetahui Mr. Wilson menawarkan perlawanan Libas lebih awal dari selalunya untuk mendapatkan bola warisan yang mempunyai nilai sejarah dan kuasa mistikal. Tawaran lumayan iaitu sebanyak 1 Juta USD akan diberikan kepada setiap seorang pemain dalam pasukan Thailand jika mereka berjaya memenangi perlawanan seterusnya merampas bola warisan tersebut yang berada pada Adnan. Adnan kini berada di dalam tekanan untuk berfikir dan mencari orang yang sesuai dan mempunyai bakat untuk menjadi pemain bagi pasukannya untuk mengekang kehebatan pemain Thailand. Akhirnya Adna dapat menemui dua orang pemain baru Hamadi dan Kumok yang mempunyai bakat tersendiri serta pemain lama iaitu Megat sebagai taruhan beliau untuk menentang pasukan Thailand nanti. Namun segala - galanya berubah apabilat Megat menjadi pembelot dan Hamadi serta Kumok pula cedera. Adakah Adnan Saladin akan kembali bermain semula? Mampukah pasukan Malaysia mempertahankan maruah negara dan menyelamatkan bola warisan daripada jatuh ke tangan Thailand? Saksikan sendiri filem menarik ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Menonton filem Libas sebentar tadi mengingatkan aku terus pada filem - filem dari Thailand umumnya yang gemar menjadikan sukan sebagai salah satu subjek utama di dalam filem - filem mereka dan bagaimana mereka menonjolkan sesuatu sukan itu di dalam bentuk yang luar biasa atau tidak masuk akal yang secara tidak langsung menjadikan filem mereka punya unsur humor yang cukup kuat untuk mengundang ketawa daripada penonton. Menariknya filem Libas ini bagi aku ialah pendekatan yang diambilnya merangkumi banyak perkara dimana apabila aku menonton filem ini ia mengingatkan aku kepada beberapa buah filem dari luar negara yang aku pernah tonton sebagai contohnya Shaolin Soccer dari Hong Kong(dari segi kesan khas), The Iron Ladies dari Thailand(dari segi komedi) serta filem Chakde! dari India(dari segi semangat kenegaraan).


Salah Satu Adegan Dalam Filem Libas


Apabila melihat aksi - aksi dan kesan khas di dalam filem ini yang kebanyakkan boleh dilihat pada aksi perlawanan mereka bermain sepak takraw tersebut maka fikiran aku dibawa untuk kembali kepada filem - filem Stephen Chow yang gemar menggunakan formula yang lebih kurang sama. Pada pendapat aku, terdapat kesan khas atau CGI di dalam filem ini yang boleh aku kategorikan kepada 3 kumpulan iaitu :-


1) Kesan khas yang agak menarik terutamanya pergerakan bola takraw dan setiap watak bijak memainkan pergerakan tubuh seolah - olah bola takraw itu wujud sedangkan hakikatnya mereka bermain tanpa bola takraw.

2) Terdapat CGI yang sedikit animasi seperti adegan Adnan menimbang gelas tetapi masih menarik dan tidak lah kelihatan terlalu animasi seperti CGI di dalam filem Nur Kasih.

3) Kesan khas yang sebenarnya tidak perlu diletakkan berulang kali seperti gambar harimau malaya mengaum dan gambar bola takraw yang bagi aku sedikit semak dan membosankan kerana berulang kali ditunjuk.


Pasukan Malaysia Dalam Libas


Pemilihan Rosyam Nor sebagai Adnan Saladin sememangnya tepat kerana bagi aku Rosyam telah berjaya menghidupkan watak tersebut dengan rencah rasa yang cukup. Emosinya bagus! Komedinya ada! Tidak terlalu serius! Tidak terlalu selamba! Paling aku suka satu adegan dimana Adnan begitu tertekan dan terpaksa memilih sama ada untuk kehilangan bola warisan(bermaksud hilangnya maruah negara) atau hilangnya nyawa rakan - rakan sepasukannya. Aku cukup sukakan emosi beliau untuk babak tersebut. Johan pula tidak dapat disangkal lagi kerana kebanyakan komedi yang lahir di dalam filem ini datangnya daripada watak lakonan beliau sebagai Hamadi sambil dibantu oleh Fadzly yang memegang watak sebagai Kumok yang kelihatannya seperti bodoh - bodoh alang tetapi aku menyukai watak tersebut. Yank Kassim yang memegang watak sebagai jurulatih Siam juga tidak mengecewakan kerana watak tersebut juga berjaya menghiburkan penonton. Pelakon - pelakon lain pun tidak kurang hebatnya di dalam menghidupkan watak masing - masing.


 Johan Memberi Seri Pada Filem Libas


Aku juga ingin memberi pandangan tentang beberapa adegan yang menunjukkan suasana atau gelagat orang ramai sebelum babak pertandingan dimulakan yang bagi aku tidak menarik dan sedikit memeningkan. Ada juga adegan - adegan yang disambung dengan cara digelapkan seketika sedikit merimaskan mata aku. Ada juga adegan yang mungkin sedikit kontroversi dimana menunjukkan salah seorang pemain takraw dari pasukan Thailand merupakan seorang Mak Nyah atau lembut dan mungkin ia berdasarkan populasi golongan tersebut di negara gajah putih itu. Namun, satu yang aku suka tentang filem ini ialah perasaan teruja dan begitu bersemangat untuk melihat pasukan Malaysia menang di dalam filem ini walaupun hakikatnya ia hanyalah sebuah filem dan bukannya realiti tetapi ini merupakan satu kejayaan barangkali kerana berjaya menarik jiwa aku untuk turut sama merasai debarannya.


 Pasukan Thailand Dalam Filem Libas


Bagi aku filem ini tidaklah mengecewakan dan tidak lah juga terlalu hebat kerana masih ada babak - babak yang bagi aku klise namun apa aku boleh katakan filem ini agak menarik untuk ditonton dan selain daripada bergelak ketawa filem ini juga cuba menterjemahkan makna maruah negara pada penonton - penontonnya. Abaikan perkara yang tidak logik di dalam filem ini kerana sudah namanya aksi komikal jadi memang banyak lah perkara yang kelihatan tidak nyata. Cuma satu aku ingin nyatakan disini! Jika perjalanan filem ini mengambil inspirasi seperti filem Chakde maka aku rasa aku akan lebih menyukai filem ini. Jika anda tidak pernah menonton filem Chakde maka silalah tonton dan anda akan faham apa maksud aku! Jadi, selamat menonton filem Libas dan kongsikan pendapat anda pula tentang filem ini di ruangan komen ya!



P/S : Tak Sabar Nak Menonton Filem Abuya! (^_^)Y

3 comments:

Wednesday, 21 September 2011

Review Filem Johnny English Reborn

Posted by BG Design



Filem:
Johnny English Reborn


Pengarah:
Oliver Parker


Genre:
Komedi


Pelakon:
Rowan Atkinson, Rosamund Pike, Dominic West,
Gillian Anderson, Daniel Kaluuya, Richard Schiff & Etc.


Penilaian:
5 / 5


Sinopsis:

Johnny English kembali menjadi ejen rahsia MI-7 selepas sekian lama berada di Tibet kerana malu akibat kegagalannya dalam misi menyelamatkan presiden Zimbabwe sebelum ini gara - gara kecuaiannya sendiri. Untuk misi terbarunya ini, English mesti mencari, mengenal pasti dan menghentikan niat sekumpulan pembunuh antarabangsa yang masih belum diketahui siapa dalangnya dimana mereka merancang untuk menghapuskan seorang pemimpin dunia dari negara China kerana jika pemimpin tersebut mati dibunuh maka ia akan menyebabkan dunia global huru-hara. Jadi, English dibantu oleh seorang ejen iaitu Tucker dalam menyelesaikan misinya untuk mencari siapakah musuh tersebut. Rupa - rupanya musuh yang diberi gelaran sebagai Vortex merupakan dalang yang sama di dalam insiden yang mengorbankan presiden Zimbabwe sebelum ini. Jadi, mampukah English menghalang kumpulan Vortex dari terus menerus melakukan jenayah atau English akan menerima nasib yang sama seperti sebelum ini? Saksikan di pawagam berhampiran untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Seperti biasa apabila filem ini menampilkan Rowan Atkinson sebagai teraju utama filemnya maka apa yang semestinya bermain di fikiran atau menjadi harapan para peminat setianya mahu pun penonton filem ini ialah mereka tentu mengharapkan tahap kelucuan filem ini melebihi atau setidak - tidaknya menyamai tahap yang mereka mahukan dan aku memberikan 5 bintang kepada filem ini adalah kerana tahap kelucuannya adalah sangat tinggi dan 5 bintang itu bukannya terhadap jalan ceritanya kerana jika mahu diukur pada hal tersebut maka filem ini sememangnya tidak akan dapat lari daripada acuan imaginasi yang tinggi dalam mencipta perkara atau pun sesuatu situasi yang memang adakalanya tidak masuk akal namun itulah kehebatan filem ini dan apa yang penonton harapkan daripada pelawak yang lebih dikenali sebagai Mr. Bean yang bijak bermain reaksi wajah dan fizikal anggota badannya.


 Wajah Johnny English Ketika Di Tibet


Ada sesetengah aksi lucu Rowan Atkinson di dalam filem Johnny English Reborn ini yang kita biasa lihat pada filem - filemnya sebelum ini atau pun di dalam siri Mr. Bean seperti bagaimana lucunya melihat Mr.Bean memakai seluar atau pun merosakkan barang - barang berdekatan dengannya seperti contoh merosakkan kerusi yang terdapat di dalam adegan filem ini namun ia tetap mampu membuat penonton ketawa kerana kemungkinan aura Mr. Bean itu memang kuat dan kebanyakkan penonton juga dibesarkan dengan kisah bersiri beliau yang terkenal di seantero dunia kerana nilai humor yang tinggi.


 Lepas Nih Abang Mamat Khalid Boleh Bagi
Ucop Wilcha Boleh Guna Kerusi Roda Nih Pula Kut!


Apa yang aku boleh katakan filem Johnny English Reborn ini lebih padat dengan komedinya berbanding dengan filem terdahulu iaitu Johnny English. Anda jangan risau kerana terdapat banyak situasi yang bakal membuatkan anda tidak duduk diam kerana ketawa tidak henti - henti bermula daripada awal tayangan sehinggalah ke akhir waktu filem ini. Bermula dari adegan Johnny English berlatih di Tibet kemudian disusuli dengan gaya selambanya menewaskan seorang penjenayah tanpa perlu bersusah payah langsung, kegagalan English dalam menyebut perkataan - perkataan yang susah atau saintifik dan betapa cemerkapnya(terlalu lalai) Johnny English sewaktu menyelesaikan misinya sehingga menimbulkan pelbagai masalah baru sememangnya menimbulkan komedi yang bukannya sedikit. Adegan yang paling aku suka di dalam filem ini ialah babak - babak yang melibatkan Johnny English dengan seorang wanita tua yang merupakan salah seorang yang terlibat dengan ahli kumpulan Vortex dimana Johnny English sentiasa tersilap dengan menyangka wanita tua yang selalu ditangkapnya itu ialah wanita tua yang sentiasa cuba membunuhnya dan babak akhir filem ini pasti akan membuat anda ketawa pecah perut kerana sekali lagi Johnny English tersalah membelasah mangsa dan mangsanya itu bukan calang - calang orang. Hahahaha!


 Johnny English Pakai Gincu? Biar Betul? Saksikan! Hahaha!


Apa - apapun, aku memang tidak terasa lama langsung sewaktu menonton filem ini kerana aku sentiasa terhibur dengan gelagat Rowan Atkinson dan apa yang pasti wang yang aku laburkan untuk filem ini sangat berbaloi. Dengar katanya ini adalah filem terakhir Rowan Atkinson dan jika betul maka aku pasti akan merindui lakonan beliau yang bagi aku begitu hebat di dalam kelasnya tersendiri. Kepada yang mahu menonton atau bercadang untuk menonton filem ini silalah ke panggung wayang kerana pasti anda semua akan berpuas hati. Selamat menonton!






P/S : Duduk Barisan Kedua Dihadapan Skrin Gara - Gara Terlalu Ramai Penonton Yang Menonton Filem Johnny English Reborn! (^_^)Y



7 comments:

Friday, 9 September 2011

Review Filem Karipap - Karipap Cinta

Posted by BG Design



Filem:
Karipap - Karipap Cinta


Pengarah:
Othman Hafsham


Genre:
Komedi Romantik


Pelakon:
Gambit Saifullah, Melia Aimellia, Shawal AF, Eman Manan, Elyas Iskandar,
P.Jagen, Shamira Azmil, Afizudin Fazil, Rosnah Johari, Patrick Teoh, Chef Wan.


Penilaian:
3 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Ali yang bekerja di syarikat penerbitan majalah jatuh hati pada Sarah iaitu rakan sekerja teman serumahnya. Cuba untuk memikat Sarah, niat Ali sedikit terbantut apabila rakan serumahnya memberitahu Sarah merupakan pelajar terbaik lepasan Universiti Al-Azhar dan keluarganya juga bercadang untuk menjodohkan Sarah dengan seorang ustaz yang merupakan anak kenalan keluarganya dan mereka berdua saling kenal mengenali sejak kecil lagi. Ali kemudiannya terpaksa menipu Sarah dan keluarganya dengan mengaku dirinya juga bekas graduan Al-Azhar gara - gara mahu menarik perhatian ayah Sarah demi cintanya pada Sarah. Ali juga sanggup berkorban dengan memecah masuk rumah dan pejabat bosnya sendiri dibantu oleh tiga orang rakan karibnya untuk merampas kembali dokumen yang diambil oleh bosnya dalam misi menjatuhkan maruah ayah Sarah. Namun, keadaan menjadi semakin tegang apabila tembelang Ali menipu Sarah akhirnya terbongkar. Hanya kuih karipap menjadi harapan terakhir Ali untuk kembali memenangi hati Sarah.



Ulasan Hans:

Aku bukan lah pembaca novel Karipap - Karipap Cinta yang laris di kalangan peminat novel tempatan dan aku tertarik untuk menonton filem ini pun disebabkan 2 perkara iaitu filem ini datangnya daripada Othman Hafsham dan juga atas cadangan Saudara Fadz yang menyarankan aku untuk pergi menonton. Jadi, aku mengulas berdasarkan pemerhatian peribadi dan apa yang aku rasa sepanjang aku menonton filem yang berdurasi agak lama ini iaitu sekitar 1 jam 50 minit.


 4 Sekawan


Aku merasakan filem ini banyak dipenuhi oleh babak - babak yang mungkin dicedok begitu asli daripada novel tanpa diolah untuk disesuaikan di dalam penceritaan filem. Bagi aku bukannya tidak boleh diambil 100% dan diterjemahkan di dalam visual namun gara - gara babak - babak tersebut kelihatan panjang dan ada kalanya meleret membuatkan aku agak kebosanan. Pada pandangan peribadi aku, kesilapan besar filem ini adalah ia terlalu cuba untuk menjadi 100% seperti novelnya sehinggakan pihak terbabit terlupa bahawa filem dan novel ada perbezaannya.


Antara Adegan Awal Filem Ini Yang Amat Mengejutkan Aku


Apa yang aku suka tentang filem ini ialah kebijaksanaan memanfaatkan pemandangan, papan tanda atau iklan tampalan yang terdapat di Kuala Lumpur untuk diletakkan di dalam beberapa babak yang bagi aku agak menarik dan menghiburkan. Aku pun tak pasti kenapa aku sukakan perkara ini tetapi realitinya ia berjaya menarik hati aku untuk melihat setiap perkara yang ditunjukkan itu walaupun ianya ringkas dan pendek.


Eman Manan Memang Pelakon Lelaki Terbaik


Berkenaan lakonan pula, aku rasa Eman Manan berjaya menghidupkan karakter Dato' Razali Bunari dengan begitu menarik sekali. Sampai sekarang aku masih tersenyum apabila mengenangkan watak itu menyanyikan lagu Aku Tak Percaya Cinta dendangan Liyana Jasmay dengan begitu asyik sekali. Berkenaan watak Ali yang dilakonkan oleh Gambit pula bagi aku tidak lah terlalu bagus dan bukannya juga teruk. Apa yang aku boleh katakan Gambit berjaya menghidupkan 50% watak Ali itu dengan jayanya manakala 50% lagi tidak kerana bagi aku watak Ali itu yang dilakonkan Gambit terlalu moden. Namun aku lebih suka dengan watak Gambit berbanding dengan watak Sarah yang dilakonkan oleh Melia Aimellia.


Mana Kewarakan Ayah Sarah Yang Dikatakan?


Aku ingin bertanya kepada sesiapa yang membaca novel Karipap - Karipap Cinta, adakah watak Sarah di dalam filem ini sama dengan karakter di dalam novelnya? Aku sedikit hairan apabila mengenangkan seorang pelajar terbaik daripada Universiti Al-Azhar tetapi bertudung tidak cukup kain dan kegedikan pergerakan badan dan vokal yang manja yang bagi aku tidak mencerminkan langsung seorang pelajar daripada universiti terbabit. Tetapi, jika watak di dalam filem sama dengan di dalam novel maka abaikan komen ini namun jika tidak seperti yang terdapat di dalam karya asal itu maka amatlah tersilap langkahnya Hafsham apabila watak Sarah itu dijadikan sebegitu rupa. Bagi aku sendiri, aku lebih suka jika watak Sarah itu diubah menjadi seorang yang tegas tetapi lembut dan tidak terlalu menunjuk - nunjuk seperti dia terlalu terhegeh - hegehkan si Ali tersebut. Maaflah jika kritikan aku ini agak tegas tetapi secara jujurnya aku memang tak mampu menerima watak Sarah di dalam filem Karipap - Karipap Cinta ini kerana bagi aku kemanisan watak itu sudah hilang apabila bermulanya adegan Sarah berborak dengan Ali di facebook yang sememangnya telah memusnahkan 100% keindahan watak gadis bernama Sara itu. Digambarkan juga pada awal filem ini bahawa Ayah Sarah merupakan seorang yang warak namun aku tidak nampak pula dimana waraknya watak tersebut.


Watak Aisyah Yang Aneh Bagi Aku


Watak Aisyah(aku tidak tahu nama pelakonnya) pula bagi aku sangat menjengkelkan. Dari kemunculan pertamanya di dalam filem itu sehingga ke akhirnya aku langsung tidak terasa tertarik untuk mengetahui tentang siapakah Aisyah kerana aku merasakan lontaran dialog serta ekspresi wajahnya tidak kuat langsung. Aku merasakan tidak perlu diadakan dialog - dialog seperti "Aisyah Cinta Abang Ali" dan "Aisyah Nak Kahwin Dengan Abang Ali" kerana nadanya sangat mendatar. Awal - awal lagi aku sudah mampu mengagak yang watak itu mempunyai masalah jiwa dan adalah lebih bagus dan bijak jika watak itu dilakon dengan menggunakan kaedah psikologi berbanding dengan dialog - dialog sebegitu yang sangat aneh rasanya apabila dilontarkan oleh pelakon tersebut.


 Senarai Pelakon Utama Filem Karipap - Karipap Cinta


Seperti Saudara Fadz sendiri, aku juga tertarik dengan beberapa adegan yang dikatakannya iaitu tentang syarikat penerbitan yang menerbitkan majalah yang bertemakan hantu dan skandal artis atau tokoh politik terkenal kerana itu adalah bahan bacaan kesukaan masyarakat tempatan serta mengkritik drama dan filem Melayu yang selalu menjadikan KEBETULAN sebagai penyelamat untuk mengukuhkan jalan cerita. Ia agak menarik dan aku suka dengan dua adegan terbabit. Apa - apapun, filem Karipap - Karipap Cinta ini boleh jadi sangat menarik jika ia tidak terlalu mencuba untuk menjadi seperti novelnya dan adalah lebih bagus jika pelakon - pelakon yang dipilih mampu menghidupkan watak itu dengan sebaik mungkin. Sayang kerana durasi filem ini sudah bagus iaitu menghampiri 2 jam namun terlalu banyak perkara yang bagi aku kurang memuaskan yang dipertontonkan kepada penonton. Terserah pada anda semua untuk menilai dan ini adalah pandangan aku selepas menontonnya. Jadi, selamat menonton filem ini dan kemudian fikirkan kembali adakah anda bersetuju dengan apa yang aku katakan atau sebaliknya!


P/S : Tertarik Hati Menonton Trailer Filem 8 Jam! Nampak Menarik Melalui Aksi - Aksi Yang Ditonjolkan! (^_^)Y


22 comments:

Thursday, 8 September 2011

Review Filem Hantu Bonceng

Posted by BG Design



Filem:
Hantu Bonceng


Pengarah:
Ahmad Idham


Genre:
Komedi Seram


Pelakon:
Zizan Raja Lawak, Juliana Evans, Taiyuddin Bakar, Jue Aziz & Etc.


Penilaian:
3 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Amran iaitu seorang budak delivery yang sering terlibat dalam perlumbaan haram. Suatu hari, Amran memenangi satu perlumbaan dan beliau diberikan seorang gadis yang cantik sebagai hadiahnya. Namun Amran terlibat dengan sebuah kemalangan bersama gadis itu gara - gara dilanggar dengan sebuah lori. Kejadian itu menyebabkan gadis itu mati di tempat kejadian manakala Amran telah dibawa ke hospital. Disebabkan insiden itu kehidupan Amran terus berubah secara drastik kerana gadis yang mati itu telah menjelma sebagai hantu dan menggangu hidupnya setiap malam. Amran percaya dia diganggu kerana mayat gadis itu masih belum dituntut oleh sesiapa. Disebabkan sudah tidak tahan lagi diganggu maka Amran meminta bantuan rakannya iaitu Kunyit untuk membantu beliau menyelesaikan masalah ini. Rupa - rupanya gadis yang mati itu mempunyai kembar bernama Ayu dan sesuatu perkara yang mengejutkan telah berlaku selepas itu.


Ulasan Hans:

Begitu lama blog ini tidak dikemas kini dan alhamdulillah kali ini aku berpeluang untuk mengulas tentang filem Hantu Bonceng yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam. Disebabkan kekangan masa akhirnya dapat juga aku menonton filem ini walaupun sememangnya sudah hampir 2 minggu filem ini di tayangkan di pawagam tempatan. Pada pandangan peribadi aku, filem Hantu Bonceng ini merupakan sebuah filem yang santai dan ringan serta berjaya menggeletek hati penonton melalui babak - babak yang diisi dengan pengajaran dan nasihat yang disampaikan secara sinis dan ia memberi peluang kepada setiap penonton untuk menilai sendiri setiap babak filem ini.


 Zizan Dan Taiyuddin


Bagi aku lakonan pelakon yang paling menarik di dalam filem ini datangnya daripada Taiyuddin Bakar dimana setiap kali kemunculannya di dalam filem ini pasti akan berjaya menggeletek hati aku dengan lenggok suara, riak wajah dan gerakan badan yang sememangnya berjaya menghidupkan watak Kunyit dengan begitu menarik sekali. Lakonan Zizan pula bagi aku seperti biasa yang kita semua sedia maklum memang lucu dan selamba namun kerana Zizan selalu berlakon dengan gaya sebegitu membuatkan aku tidak lah berasa terlalu teruja dan tidak pula rasa terlalu kecewa.


Baju Yang Dipakai Zizan Menggamatkan Suasana Panggung


Plot filem ini pula kurang kemas dan sedikit lemah kerana bagi aku banyak babak - babak yang diwujudkan ibarat sekadar untuk menjadikan filem ini mempunyai satu jalan cerita yang mencukupi untuk durasi masa lebih kurang 1 jam 20 minit. Babak - babak tersebut terlalu kurang kekuatannya dan kebanyakkan bergerak terlampau pantas atau dibuat seolah - olah ia kebetulan dan penonton yang menonton seperti dipaksa untuk menerima apa sahaja yang bakal terjadi pada adegan seterusnya. Watak Maya sepatutnya perlu diutamakan kerana tajuk filem ini sahaja pun sebenarnya merujuk kepada watak Maya itu sendiri namun sayangnya watak ini kurang jelas dan tidak dikembangkan sebaik mungkin.


 Zizan Diganggu Oleh Roh Maya


Filem ini mempunyai banyak mesej - mesej berbentuk keagamaan, nasihat dan nilai murni masyarakat yang cuba disampaikan kepada penonton melalui pelbagai adegan yang boleh aku katakan adakalanya sangat sarkastik dan itu yang menyebabkan ia menarik. Aku suka dengan mesej - mesej yang cuba disampaikan dan salah satunya ialah kepercayaan kepada bomoh dimana masyarakat di Malaysia ini walaupun boleh dikatakan sudah hidup dilimpahi teknologi dan segala macam kecanggihan namun masih juga mempercayai bomoh yang karut dan bagaimana watak bomoh yang dilakonkan oleh Eizlan Yusuf itu berjaya melontarkan ayat sinis di dalam dialog yang diungkapkannya kepada sesiapa yang teramat percaya pada bomoh. Bagi aku adegan itu sangat menarik dan pedas!


 Salah Satu Adegan Berkenaan Penguasaan Bahasa Inggeris


Melabelkan mat rempit sebagai sampah masyarakat melalui watak doktor yang dilakonkan oleh Zahid AF juga bagi aku merupakan sindiran yang sangat tajam namun begitu menarik dan berani. Aku juga suka dengan adegan yang menunjukkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Melayu sekarang yang masih lemah dan mudah diperkotak - katik oleh bangsa asing. Memang adegan itu lucu tapi bagi aku ia sangat bermakna! Ramai juga yang mengatakan filem ini mempersendakan agama melalui beberapa adegan yang ditunjukan dan pada pandangan aku pula mungkin mereka beranggapan sebegitu kerana pelakon yang dipilih dan terlibat dalam beberapa adegan yang terbabit lebih dikenali sebagai pelakon komedi dan apabila beberapa ayat diungkapkan berulang kali dan mereka beranggapan ia seolah - olah mempersenda. Bagi aku pula rasanya memang ada adegan yang patut diubah atau ditiadakan namun ada juga adegan yang bagi aku tiada masalah pun seperti yang dikatakan penonton lain sebelum ini kerana mungkin mesej yang cuba disampaikan di dalam setiap adegan - adegan itu sampai kepada aku.


Cat Farish Dalam Salah Satu Adegan Di Dalam Filem Ini


Namun, satu perkara yang begitu menarik di dalam filem ini seperti yang kalian sudah maklum(jika sudah menonton) ialah bagaimana filem ini dengan selambanya berjaya mempromosi Motosikal Modenas GT110 melalui satu adegan yang melibatkan Zizan, Taiyuddin dan Yus daripada kumpulan Jambu yang bagi aku betul - betul menarik dan sangat melucukan namun merupakan salah satu promosi yang hebat dan berkesan untuk menarik hati penonton terutamanya remaja. Babak itu cukup menarik dan kena dengan perjalanan cerita ketika itu. Sememangnya pihak Modenas merupakan salah satu penaja filem ini namun adegan itu bagi aku betul - betul ekslusif dan penonton tidak lah terlalu terasa adegan itu seperti salah satu kesempatan yang diambil oleh pihak Modenas untuk mempromosikan kenderaan terbaru keluaran pihak mereka seperti yang kita selalu lihat di rancangan televisyen yang cuba mempromosikan barangan penaja yang kadang - kadang kelihatan terlalu menjaja kepada penonton. Adegan itu memang lain dari yang lain dan aku merasakan ia merupakan satu langkah baru yang agak bijak buat masa ini.


 Pelakon Utama Filem Hantu Bonceng


Apa - apapun, filem Hantu Bonceng hanyalah sebuah filem ringan yang cuba menyampaikan mesej, nasihat dan sindiran terhadap pihak - pihak tertentu terutama remaja melalui penyampaian yang berbentuk komedi. Filem ini tidak lah mengecewakan dan tidak lah juga membanggakan! Sesuai untuk dijadikan sebagai hiburan namun aku masih mengharapkan Ahmad Idham menghasilkan filem yang lebih berseni dan kemas kerana filem ini sebenarnya bernasib baik kerana banyak dibantu oleh kekuatan Zizan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam menarik penonton ke pawagam! Jadi, selamat menonton kepada sesiapa yang belum menonton lagi filem Hantu Bonceng ini.


P/S : Ada Sesiapa Mahu Menonton Filem Nasi Lemak 2.0? (^_^)Y

20 comments: