Friday, 22 April 2011

Review Film : Red Riding Hood

Posted by BG Design



Filem:
Red Riding Hood


Pengarah:
Catherine Hardwicke


Pelakon:
Amanda Seyfried, Gary Oldman, Billy Burke, Shiloh Fernandez, Max Irons,
Virginia Madsen, Lukas Haas, Julie Christie & Etc.


Penilaian:
4.3 / 5


Sinopsis:

Valerie merupakan seorang gadis yang sangat jelita di kawasan perkampungannya dan mencintai Peter iaitu jejaka yang dikenalinya sejak dari kecil lagi. Namun, keluarganya telah memutuskan untuk memilih Henry sebagai tunang kepada Valerie kerana Henry merupakan golongan yang agak berada dan keluarganya percaya Henry mampu membahagiakan Valerie berbanding Peter yang hanya bekerja sebagai tukang kayu. Valerie menganggap perkahwinan yang bakal berlangsung nanti seperti majlis menjual dirinya kepada orang asing dan dia merancang untuk melarikan diri dari kawasan perkampungan itu bersama Peter. Namun, segalanya berubah apabila kakak Valerie ditemui mati dibunuh oleh seekor serigala jadian yang dipercayai penduduk setempat akan muncul pada waktu yang mereka panggil sebagai 'Blood Red Moon'. Penduduk kampung tidak mampu menghalang serigala jadian daripada terus - terusan mengganas sehinggalah mereka terpaksa memanggil Father Solomon yang terkenal kerana pernah membunuh serigala jadian sebelum ini. Konflik mula tercetus apabila serigala jadian itu sebenarnya adalah salah seorang dari penduduk kampung itu yang mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan Valerie. Siapakah sebenarnya serigala jadian tersebut? Adakah mereka mampu menghalang serigala jadian tersebut dari terus - terusan mengganas dan memusnahkan kampung? Mungkinkah serigala jadian tersebut ialah orang yang Valerie cintai?


Ulasan Hans:

Permulaan filem membuatkan kepala aku pening kerana pergerakan kamera yang terlampau laju dan berpusing - pusing. Filem ini bergerak agak perlahan pada permulaan cerita dan lebih fokus terhadap hubungan cinta antara Valerie, Peter serta Henry. Namun, perjalanan cerita kembali menarik hati aku untuk menonton kerana keunikan ceritanya yang telah diubah dan tidak mengikut cerita asal yang selalu kita dengar tentang kisah dongeng ini. Untuk mengetahui siapakah sebenarnya di kalangan mereka yang menjelma sebagai serigala jadian juga sungguh menarik kerana filem ini bijak memanipulasikan setiap watak supaya kelihatan berpotensi untuk dituduh sebagai serigala jadian.


Mata Amanda Seyfried Nih Cantik


Aku tak pasti kenapa tetapi aku suka dengan kesan CGI dan efek khas serigala jadian itu walaupun mungkin ia boleh diperbaiki lagi. Pelakon - pelakonnya juga telah memberikan lakonan yang cukup hebat seperti 3 watak utama iaitu Valerie(lakonan Amanda Seyfried), Father Solomon(lakonan Gary Oldman) serta Peter(lakonan Shiloh Fernandez) serta disokong kuat oleh watak - watak yang lain. Bagi aku walaupun permulaan ceritanya agak perlahan tetapi kemudian jalan ceritanya dipenuhi dengan persoalan dan rasa ingin tahu yang membuatkan aku teruja dan fokus untuk terus menonton filem ini.


Kejam Betul Si Tua Nih..Hahahaha!


Filem ini juga tidak memeningkan kepala(kecuali pada adegan awal filem..hahaha) kerana setiap plot jelas dan tersusun rapi. Aku dipertontonkan dengan sikap Father Solomon yang berhati kering, keberanian Valerie serta sifat sejati yang ada pada watak Peter. Semua itu menarik perhatian aku kerana perjalanan ceritanya senang difahami walaupun ada beberapa babak yang tiada jawapan atau mungkin juga aku terlepas pandang.


Ibarat Api Dan Air


Apa - apapun, filem ini memang seronok untuk ditonton kerana ia sudah lari daripada versi asal walaupun masih ada beberapa perkara yang dikekalkan dan kemungkinan anda juga akan pening untuk memikirkan siapakah serigala jadian yang sebenar. Mungkin filem ini bukanlah filem terbaik tetapi ia masih hebat untuk ditonton. Selamat menonton di pawagam berhampiran anda.



P/S : Tiba - Tiba Aku Mahu Kelihatan Seperti Shiloh Fernandez! Hohohoho!


0 comments: