Sunday, 15 November 2009

Review Filem : 2012

Posted by BG Design



Sinopsis:

Filem hebat arahan Roland Emmerich ini mengisahkan tentang ramalan masyarakat Mayan sejak berabad yang lalu yang menetapkan pada tarikh 21 Disember 2012 akan berlaku sesuatu terhadap bumi. Ia bakal memusnahkan lebih separuh daripada rakyat bumi dan bencana yang paling teruk dalam sejarah akan terjadi di luar pemikiran manusia.

Detik itu semakin hampir dan saintis dari NASA juga telah meramalkan bahawa akan berlaku perubahan polar yang bakal membawa bencana besar. Namun, penduduk dunia masih tidak menyedari apa yang akan terjadi dan masih menjalani kehidupan seperti biasa. Kerajaan yang telah sedia maklum berusaha untuk mengatasi masalah tanpa pengetahuan rakyat. Pada 2012, pemimpin dunia telah berbincang mengenai hal ini dan cuba menyelamatkan sebanyak manusia yang boleh daripada menjadi korban bencana itu. Namun, tidak semua dapat diselamatkan.

Apabila Jackson Curtis(John Cusack) dan dua orang anaknya mengadakan lawatan keluarga ke Yellowstone, mereke terserempak dengan makmal kajian rahsia yang terletak di dasar tasik yang telah dikeringkan. Mereka mendapati bahawa bencana bakal berlaku dan kerajaan cuba merahsiakan daripada pengetahuan umum. Segalanya telah terbongkar dan ramalan tersebut bakal menjadi kenyataan.

Jackson terpaksa bertindak sendiri bagi menyelamatkan diri dan keluarganya. Dalam usaha tersebut mereka menempuh pelbagai halangan alam seperti gempa bumi, gunung berapi, tsunami, tanah runtuh dan sebagainya untuk menyelamatkan diri masing - masing.


Pelakon:
John Cusack, Amanda Peet dan Thandie Newton.


Ulasan Hans:

Sangat hebat terutama dari segi kesan effect dan nilai kasih sayang sesama manusia. 2012 bukanlah filem pertama sutradara Roland Emmerich yang mengangkat tema kehancuran dunia kerana sebelum ini beliau juga menempa nama menerusi filem The Day After Tomorrow dan Independence Day.
Sinopsis filem ini telah pun diceritakan oleh penulis pada entry sebelum ini(sila lihat di bawah). Jadi, penulis rasa selain dari berhibur menonton kesan – kesan effect yang menarik dan superb nih tak salah jikanya kalau kita renungkan mesej di sebalik filem ini.
Tema kasih sayang sesama manusia terutama antara ahli keluarga sangat terkesan dihati penulis sewaktu menonton filem ini. Garapan ceritanya yang menimbulkan nilai – nilai murni nih patutnya dicontohi oleh pengarah – pengarah filem di Malaysia. Maksud penulis disini, tidak salah jika penonton Malaysia disogok dengan teknik CGI atau apa – apa kesan khas yang hebat ataupun pengarah sahaja merasakan benda itu hebat tetapi dalam masa yang sama jangan lupa selitkan unsur – unsur kasih sayang seperti ini kerana penonton anda bukan sahaja dihiburkan dengan aksi – aksi hebat sahaja tetapi pada waktu yang sama mengajar dan mengingatkan mereka tentang kasih sayang yang amat tinggi nilai harganya.
Dari segi kesan khas, pengarah filem ini telah memaksimumkan imaginasi beliau di dalam filem ini. Tanah runtuh, letupan gunung berapi, tsunami yang lebih tinggi dari gunung sangat hebat dan kelihatan sangat realiti. Sangat menakutkan bagi penulis sewaktu menonton. Bagi pasangan couple? Semakin takut semakin memeluk. Takut pada filem tetapi tak takut pada dosa. Hahaha..
Dari segi politik, penulis rasa pengarah filem ini sangat bijak dengan menjadikan negara – negara berkuasa di dunia atau G8 seperti Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, China dan lain – lain sebagai salah sebuah subjek filem beliau. Di dalam filem ini, kita ditunjukkan bahawa yang berkuasa dan kaya menjadi penentu kepada nyawa manusia lain. Hakikatnya, dunia sekarang memang menjadi seperti itu. Ia seakan Aparteid tetapi kali ini ia bukannya melibatkan warna kulit tetapi kepada jurang kekayaan. Yang kaya akan hidup dan yang miskin pandai – pandailah nak hidup. Mungkin lebih kepada sistem kasta kalau boleh disamakan. Cuma, Presiden Amerika kali ini dilakonkan oleh manusia berkulit hitam dan mungkin dirujuk kepada Obama. Dan kalau betul Obama akan berkelakuan seperti dalam filem ini pada 2012 akan datang, penulis akan berasa sangat terharu.
Cuma, penulis rasa sedikit kecewa kerana ‘Hari Kiamat’ yang cuba digambarkan dalam filem ini tidak melibatkan semua benua kerana negara Afrika digambarkan selamat dalam bencana ini. Ironinya, manusia takkan mampu menyelamatkan diri sendiri sewaktu kiamat itu datang. Tetapi, secara keseluruhan filem ini sangat bagus dan penulis berasa sangat sedih menonton filem ini terutama nilai kasih sayang yang ditonjolkan dalam filem ini.

Penambahan Fakta : Adegan - adegan yang mengecewakan seperti adegan bercium di saat - saat genting dan talian telefon bimbit yang masih berfungsi sedikit mencacatkan filem ini. Tetapi, mana ada filem yang sempurna. So, abaikan!

1 comment:

  1. Dan hari ini filem ini telah menjadi sebuah filem komedi, kan Hans? ^_^

    ReplyDelete