Friday 30 March 2018

Review Filem Ready Player One

Posted by BG Design


Filem:
Ready Player One

Pengarah:
Steven Spielberg

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Sains Fiksyen

Pelakon:
Tye Sheridan, Olivia Cooke, Ben Mendelsohn, Lena Waithe,
T.J. Miller, Simon Pegg, Mark Rylance, Philip Zao, Win Morisaki & Etc.

Penilaian:
8 / 10

Sinopsis:

Filem ini merupakan sebuah filem adaptasi dari novel Ready Player One yang merupakan hasil karya Ernest Cline dan mengisahkan tentang seorang remaja lelaki berusia 18 tahun bernama Wade Watts. Dia telah menyertai sebuah pertandingan ciptaan Halliday yang telah mencipta sebuah permainan virtual realiti yang diberi nama OASIS. Halliday yang telah meninggal dunia telah meninggal sebuah pesanan kepada semua pemain OASIS untuk mencari Easter Egg miliknya dengan menyelesaikan tiga cabaran yang diberikan. Mana-mana peserta yang berjaya memenangi permainan tersebut berhak untuk memiliki semua kekayaan yang dimiliki oleh Halliday termasuklah hak ke atas permainan OASIS. Namun, untuk memenangi permainan tersebut tidak lah mudah kerana belum ada mana-mana peserta yang berjaya menyelesaikan cabaran yang diberi. Kehebatan Wade yang berjaya menyelesaikan satu cabaran yang disediakan oleh Halliday menyebabkan kehidupannya mula terancam apabila mula diburu oleh pihak IOI yang diketuai oleh Sorento. Mampukah Wade menyelesaikan segala cabaran dan dalam masa yang menghadapi tentangan daripada Sorento? Saksikan filem yang menarik ini untuk mengetahui kesudahannya.

Ulasan Hans:

Filem ini ditayangkan pada 28 Mac 2018 dan aku secara jujur memang tidak tahu menahu tentang filem ini. Melihatkan kepada trailer filem ini yang menarik kerana terdapat banyak watak-watak terkenal daripada filem dan animasi dan ditambah pula dengan iklan-iklan promosi yang begitu hebat telah berjaya menarik hati aku untuk menonton filem ini.


APA YANG TERJADI SEBENARNYA WAKTU NIH? NAK TAHU KENA TENGOK :)

Permulaan cerita yang mudah dan cukup menarik apabila menggambarkan kehidupan manusia pada 20 tahun yang akan datang yang kelihatan seperti begitu tertekan dengan kehidupan dan persekitaran di sekeliling mereka. Jadi, permainan virtual realiti OASIS ini seolah-olah sebagai satu ubat atau rawatan buat manusia di zaman itu untuk menghilangkan tekanan dan bergembira menjadi apa yang mereka inginkan. Itu adalah apa yang dipaparkan di awal filem. Namun akhirnya segala-gala terbongkar apabila OASIS sebenarnya secara tidak sedar telah merosakkan hidup ramai golongan yang terpaksa berhutang kerana terlalu boros berbelanja menggunakan wang untuk membeli segala peralatan virtual. Mungkin ini secara tidak langsung adalah satu sindiran ringan kepada kaki permainan video online yang berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk menaik taraf watak-watak permainan yang dimainkan mereka.


REALITI VS VIRTUALITI....HAHAHA!

Dan di dalam permainan ini, watak Wade yang menamakan dirinya di OASIS sebagai Parzival mempunyai tiga orang rakan baik dan kemudian bertemu secara tidak sengaja dengan seorang gadis yang bernama Art3mis. Aku suka bagaimana filem ini menggambarkan setiap watak ini kerana ia sebenarnya telah pun terjadi di dunia nyata dimana di dalam dunia maya, semua orang boleh menjadi apa yang mereka mahukan. Kita tidak tahu siapa mereka yang sebenar. Kita tidak tahu adakah mereka orang tua, dewasa atau kanak-kanak. Apa yang kita letakkan di fikiran ialah semua orang sama seperti diri anda daripada segi umur atau pemikiran. Dan menariknya disini juga menunjukkan bagaimana apabila terbocornya sebarang data tentang diri anda di ruangan maya ini, segala kemungkinan serta ancaman boleh berlaku pada bila-bila masa. Bagi aku, filem ini memang menepati jiwa dan selera.


IRON GIANT NIH MEMANG LEGEND! HAHAHA!

Paling aku suka di dalam filem ini ialah pertukaran babak realiti kepada babak virtualiti dan sebaliknya. Bagi aku ia kelihatan sangat menarik dan tidak nampak sebarang cacat cela. Boleh dikatakan langsung tidak ada kejanggalan disitu dan tidak membuatkan mata atau otak si penonton kepenatan walaupun terpaksa menonton dua dunia yang berbeza. Filem ini juga penuh dengan pelbagai aksi daripada perlumbaan, peperangan, letupan serta kejutan tetapi satu yang aku cukup suka dan memuji filem ini kerana ia nampak cukup teratur, cantik dan segala yang terjadi dapat ditonton dengan jelas. Senang cakap memang tersusun dan langsung tak serabut. Memang aku rasa sangat terhibur dengan filem ini. Dari segi kesan bunyi, skor muzik serta kesan khas yang digunakan di dalam filem ini juga bagi aku cukup menarik dan kena dengan setiap situasi yang dipaparkan.


SALAH SATU BABAK YANG MENARIK DAN MENCEMASKAN

Ada sesetengah yang menyatakan terdapat sedikit kelemahan di dalam filem ini tentang penerangan mengenai bagaimana permainan virtual OASIS ini menjadi fenomena serta ketagihan manusia pada era tersebut. Pada pandangan aku, perkara itu sebenarnya telah pun dijawab pada awal filem lagi dan diberi penerangan sedikit demi sedikit berdasarkan kisah para watak yang berkaitan. Cuma mungkin ada satu dua babak yang aku kurang mampu untuk hadam seperti babak Wade menangis selepas menjumpai Halliday kerana emosi yang ditonjolkan agak mengelirukan aku. Mungkin terlalu deep barangkali babak tersebut. Hahahaha!

SEGALA MAK NENEK WATAK SEMUA ADA MASA NIH! HAHAHA!

Pada pandangan aku, rasanya tiada masalah untuk sesiapa yang mungkin tidak bermain permainan video, online atau sebagainya untuk menonton filem ini kerana filem ini bukannya sekadar memberi fokus kepada aspek virtualiti semata-mata tetapi emosi dan nilai kemanusiaan yang dimasukkan juga menjadikan jalan cerita ini menarik dan lain dari yang lain. Jika tidak percaya, silalah tonton sendiri filem ini di pawagam berhampiran anda. Apa-apapun, aku boleh katakan ini antara salah sebuah filem kegemaran aku untuk tahun 2018. 

P/S : Bulan Yang Sangat Sibuk Dan Kemungkinan Sukar Nak Tengok Wayang Selepas Ini. Arghhhhhhhhhhh!

6 comments:

Friday 23 March 2018

Review Filem Hantu Wangan

Posted by BG Design


Filem:
Hantu Wangan

Penilaian:
4 / 10

Pengarah:
Ahmad Idham 

Genre:
Komedi & Seram

Pelakon:
Achey Bocey, Nur Risteena, Cat Farish,
Nor Albaniah, Ruminah Sidek & Etc 

Tarikh Tayangan:
22 Mac 2018

Terbitan:
Aifa Motion Pictures 

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang KK, seorang budak Wangan (pelumba jalanan) yang sentiasa menang di dalam perlumbaan kereta haram di jalanan. Kehebatan KK menyebabkan dia mendapat tawaran daripada seorang pemilik bengkel, Papa J untuk menjadi pemandu profesional. Sejak KK dikenali ramai maka dia mula bermimpi perkara yang aneh-aneh serta menakutkan. Pada suatu malam, KK secara tidak sengaja telah melanggar seorang gadis sehingga menyebabkan kematian gadis tersebut sewaktu sedang berlumba kereta secara haram. Ini menyebabkan KK menjadi trauma dan hidupnya mula berubah. KK yang pada dahulunya merupakan seorang yang sangat berani dan tidak takut langsung pada kelajuan memandu kini menjadi sebaliknya. Dia menjadi sangat penakut dan tidak mampu lagi berlumba. Tambahan pula dia mula mengalami gangguan paranormal. Apa sebenarnya kaitan gangguan paranormal ini dengan KK? Adakah KK akan kembali pulih kepada keadaan asal? Untuk mengetahui jawapannya, sila saksikan filem ini di pawagam yang berdekatan dengan anda. 

Ulasan:

Selesai sudah menonton filem Hantu Wangan yang TGV The Mines dengan harga tiket RM10 menggunakan Maybank Debit Card. Alhamdulillah jimat wang dengan promosi macam nih. Hahaha!! Kembali kepada ulasan tentang filem Hantu Wangan. Kali ini aku lebih berminat untuk menulis ulasannya secara ringkas mengikut urutan nombor seperti di bawah :



1. Jalan cerita yang biasa-biasa sahaja seperti filem-filem yang seangkatan dengan Hantu Wangan ini. Tiada kelainan yang ketara dan sememangnya lebih kepada untuk menghiburkan penonton dengan lawak-lawak biasa yang bersifat klise, slapstik serta pick up line.



2. Lagu latar muzik dan bunyi kereta berlumba yang agak bingit. Yang ini aku tak pasti memang begitu bunyinya atau memang sistem suara di panggung wayang TGV yang terlebih kuat dan menyebabkan telinga aku sedikit bingit. Rasa macam ada tak kena sebab ada jer filem-filem lain yang banyak tunjuk aksi lumba tetapi bunyi tayar dan lagu latar tidak pula terasa terganggu seperti di dalam filem Hantu Wangan ini.



3. Pemilihan Achey sebagai watak utama sebenarnya banyak menyelamatkan filem ini kerana komedi yang terhasil nampak semula jadi dan sesekali memang mampu buat aku ketawa besar.



4. Shot-shot sewaktu berlumba yang boleh dikatakan seakan-akan shot yang berulang(stereng, gear, deretan kereta berlumba,etc) dan nampak tidak berapa menarik.



5.  Seperti biasa filem-filem berkonsep komedi (seperti tertulis di nombor 1) selalunya memang kurang menitik beratkan hubungan setiap plot cerita di dalam filem ini. Jadi, jika dinilai disitu memang nampak banyak kelemahan kerana segala yang berlaku seolah-olah semuanya terjadi secara kebetulan. Biasalah filem Melayu!



6. Hurmmm....dah tak ada apa-apa dah nak komen. Senang cakap kalau nak tonton filem ini, tonton lah semata-mata untuk nak berhibur sahaja. Kalau kau gigih nak cari mesej ker, falsafah ker, nak benda ilmiah-ilmiah ker...itu tak dapat aku nak komen. Mungkin boleh cari sendiri. Ada tu ada...bukannya tak ada. Tetapi, sekadar sepintas lalu.



Tetapi, ini hanya lah pandangan daripada aku. Masing-masing ada pandangan dan citarasa tersendiri terhadap setiap filem. Seperti tadi, sepanjang aku menonton memang ramai jer penonton yang ketawa berdekah-dekah. Jadi, kira filem nih menghiburkan lah tu untuk mereka. Aku pun ada juga ketawa tadi. Bukannya muka aku ketat jer memanjang dalam panggung tu. Jadi, kalau rasa nak cuba ketawa atau hilangkan tekanan di tempat kerja mungkin filem ini boleh dijadikan satu pilihan untuk anda hilangkan masalah-masalah itu buat sementara waktu. Apa-apapun, selamat menonton dan kongsikan pandangan anda tentang filem ini di ruangan komen.


P/S : Selepas Ini Filem Apa Pula Yang Aku Nak Tengok? Ada Cadangan?

18 comments:

Wednesday 21 March 2018

Review Filem Pacific Rim: Uprising

Posted by BG Design


Filem:
Pacific Rim: Uprising

Pengarah:
Steven S. DeKnight

Genre:
Aksi & Sains Fiksyen

Pelakon:
John Boyega, Scott Eastwood, Cailee Spaeny, Burn Gorman,
Charlie Day, Tian Jing, Jin Zhang & Etc.

Penilaian:
6 / 10

Sinopsis:

Filem ini merupakan sekuel filem terdahulu dimana ia mengambil latar cerita selepas 10 tahun bumi diserang oleh raksasa Kaiju. Walaupun kawasan portal kemunculan Kaiju telah berjaya ditutup sebelum ini namun program pembangunan robot Jaeger masih diteruskan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya Kaiju kembali muncul menyerang penduduk bumi. Bagaimana pun kemunculan robot Jaeger yang tidak berdaftar yang membuat kekacauan di Sydney, Australia menyebabkan ramai pihak risau dan apabila diketahui robot Jaeger itu dikawal oleh otak Kaiju menyebabkan sekali lagi pasukan robot Jaeger terpaksa berjuang untuk menentang raksasa Kaiju yang semakin kuat dah hebat. Adakah sekali lagi pasukan Jaeger berjaya menyelamatkan bumi daripada kemusnahan atau sebaliknya? Saksikan filem ini untuk mendapatkan jawapannya.

Ulasan Hans:

Filem ini ditayangkan pada 21 Mac 2018 dan merupakan sekuel filem terdahulu iaitu Pacific Rim yang telah lama ditayangkan iaitu sekitar tahun 2013. Jika filem terdahulu diarahkan oleh Guillermo del Toro yang memang terkenal dengan karya-karya hebatnya seperti The Shape of Water, Crimson Peak dan Pan's Labyrinth namun tugas untuk filem kali ini terpaksa diambil alih oleh Steven S. DeKnight.



Jika dibandingkan antara kedua-dua filem ini memang ada pelbagai perbezaan tetapi jujurnya aku lebih sukakan filem pertama Pacific Rim kerana momentum kisahnya yang teratur dan bijak mencuri hati penonton berbanding filem kedua ini. Permulaan kisah filem kali ini sedikit perlahan bagi aku namun kembali menarik apabila babak yang memperkenalkan watak Amara Narami bersama Scrapper iaitu Jaeger kerdil ciptaannya muncul. Perjalanan cerita semakin menarik dengan kemunculan Jaeger yang tidak dikenali yang menyerang Sydney dan menyebabkan banyak kemusnahan. Tetapi, selepas itu hampir kesemua babak dan kesudahan serta siapakah dalang utama kejahatan di dalam filem ini sudah boleh dijangka dengan mudahnya kerana tiada elemen persoalan, pertanyaan, dramatik atau pun twist plot yang menarik untuk memperdaya emosi dan tekaan penonton. Agak sayang kerana momentum perjalanan cerita filem ini tidak dapat menyaingi filem terdahulu.



Dari segi kesan khas atau CGI filem ini pula, ada yang kelihatan menarik tetapi ada juga yang kelihatan sangat animasi seperti sesetengah adegan yang memaparkan darah Kaiju berwarna biru, robot dron berubah menjadi kaiju serta evolusi kaiju melalui kaiju-kaiju kecil yang kurang mengagumkan dan tidak memberi sesuatu yang meninggalkan kesan kepada penonton. Sinematografi filem ini juga agak kurang memberi impak tetapi aku suka dengan lagu latarnya walaupun ramai yang tidak berkenan. Lain orang lain citarasa kan? Kadang-kadang memang ada sesetengah filem yang mempunyai sekuel atau trilogi nih terkena badi dimana tidak dapat memberi impak yang sama seperti filem sulung terdahulu. Hahaha.



Dari segi watak pula, bagi aku ia sangat tidak seimbang kerana aku pada awalnya mengjangkakan watak Amara Namani dan rakan-rakan pelatihnya yang lain akan turut dikembangkan namun filem ini lebih memberi fokus kepada watak Jake Pentecost sehingga menenggelamkan watak-watak yang lain. Pada awalnya sudah cantik dimana menunjukkan serba sedikit karakter watak-watak pembantu seperti Suresh, Jinhai dan Viktoria namun sayangnya perkembangan watak-watak ini terbantut sehingga akhir. Watak Nate Lambert juga kelihatannya seperti watak pembantu sahaja walaupun hakikatnya dikatakan sebagai watak utama. Jika pada filem terdahulu, penonton memang terasa dekat dengan semua watak-watak yang terlibat namun agak berbeza di dalam filem kali ini.



Berkenaan jalan cerita pula, tiada apa sangat yang menarik. Lebih kurang sama seperti dahulu dimana pasukan Jaeger menentang Kaiju untuk menyelamatkan manusia bumi. Cuma bagaimana anak-anak muda dalam Jaeger yang masih dalam latihan dan diberi mandat mengemudi robot-robot Jaeger dan tiba-tiba menjadi terlampau hebat itu agak kurang memberangsangkan. Ditambah lagi dengan penggunaan bahasa Mandarin dan Inggeris yang bercampur dan berselang-seli yang pada beberapa babak awal yang pada mulanya mungkin sedikit kelakar tetapi kemudian menjadi agak bosan. Disinilah rasanya perbezaan besar hasil karya yang dapat aku lihat antara Guillermo del Toro dan Steven S. DeKnight.



Apa-apapun, filem Pacific Rim: Uprising masih tetap menghiburkan. Aku masih dapat menikmati aksi-aksi yang terdapat di dalam filem ini. Kepada penggemar filem aksi, robotik dan raksasa Kaiju yang seakan-akan godzilla nih, masih berbaloi untuk anda pergi menonton. Jadi, selamat menonton dan kongsikan pandangan anda di ruangan komen di bawah.



P/S : Aku Suka Tengok Watak Liwen Shao Yang Dilakonkan Oleh Tian Jing. Cantik Pula Bila Tengok Muka Dia Acah-Acah Berlagak Di Dalam Filem Nih. Hahaha!

6 comments:

Sunday 18 March 2018

Bidong The Boat People Filem Malaysia Paling Gagal Tahun 2018

Posted by BG Design


Hollaaa guyss! Cik Mah in the blog! Lama betul Cik Mah tak dapat menulis dekat sini. Nih yang Cik Mah rasa tak sabar nak bergosip dan mengutuk secara berjemaah dengan U'olss semua! Sekarang nih Cik Mah nak tanya siapa yang pernah dengar pasal filem Bidong: The Boat People tu? Hah? Biar betul korang tak pernah dengar?

KLIK GAMBAR UNTUK LEBIH JELAS

Filem Bidong: The Boat People nih dah mula tayangan pada 1 Mac 2018 tetapi umur tak panjang U'olss sebab Cik Mah dengar-dengar macam dah tutup kedai dengan jualan tiket hanya RM3536.00 sahaja wehhh! Sikit betul kutipannya. Cik Mah pun tak tahu apa punca yang teruk sangat hasil kutipan filem nih sebab Cik Mah sendiri pun tak dapat nak tengok filem nih. Bukan tak nak tengok tetapi panggung wayang kawasan Cik Mah tinggal nih memang tak tayang filem nih. Nak tengok macam mana guyss kalau baru dua atau tiga hari tayang tiba-tiba panggung wayang dah tak nak mainkan dah. Cik Mah masih tak berpuas hati kenapa filem nih tidak mendapat sambutan jadi Cik Mah pun cari lah trailer filem nih dekat youtube.


Terkejut betul Cik Mah bila tengok trailer filem nih. Dah tahun 2018 dah nih u'olsss tetapi cgi filem nih masih nampak macam kisah-kisah dongeng Indonesia yang ditayang dekat TV3 waktu cuti sekolah tu. Melalui rujukan Cik Mah, filem nih dapat dana untuk CGI lebih kurang RM1.3 juta tetapi itu jer ker hasil CGI nya?

KLIK GAMBAR UNTUK LEBIH JELAS

Patutlah bila Cik Mah baca komen, ramai betul pakcik makcik bawang mengutuk, menghina dan mencerca filem nih. Jadi, berdasarkan bacaan Cik Mah terhadap ulasan dan komen-komen Bawang's Family serta pengkritik bertauliah, Cik Mah senaraikan antara 7 kelemahan filem Bidong: The Boat People nih yang sangat gagal menarik perhatian penonton untuk menonton filem nih :


1. Poster filem yang serabut, terlalu banyak jenis font tulisan dan kelihatan seperti era awal 90-an

2. Trailer filem yang sudah terang lagi bersuluh menunjukkan kelemahan dan kelucuan CGI

3. Senarai pelakon yang sangat tidak dikenali dan diminati masyarakat Bawang's Family

4. Promosi yang tak kelihatan di media cetak mahu pun media elektronik

5. Skrip dan penceritaan filem ini yang sangat lemah sehingga ada pengkritik mengatakan seolah-olah skrip disiapkan dalam satu malam sahaja

6. Kebanyakan yang berjaya menonton kurang berminat dengan kisah cinta yang terdapat di dalam filem bergenre sejarah ini

7. Ada pengkritik yang mempersoalkan bahasa pertuturan pelarian di dalam filem ini menggunakan bahasa kantonis (jika tidak silap Cik Mah) sedangkan mereka ialah orang Vietnam dan ada bahasa tersendiri


Itulah antara komen-komen serta kritikan yang Cik Mah baca daripada semua pihak yang berpeluang menonton. Dasyat-dasyat komen U'olss yer! Dan baru-baru ini pengarah filem nih iaitu Yusof Kelana pun cakap dia memang dah redha dan tawakal sangat dah sebab katanya memang orang Malaysia tak minat filem-filem sejarah nih. Ini yang Cik Mah nak bangkang sangat-sangat nih! Siapa kata orang Malaysia tak minat filem sejarah? Ramai sangat yang minat tau tetapi bila buat filem sejarah nih memang kena betul-betul buat rujukan dan kena pastikan fakta tu kena betul-betul kuat dan menarik untuk ditonton.


Selepas nih tak silap Cik Mah ada lagi satu filem genre sejarah iaitu filem Pulang. Harap-harap filem nih tak mengikut jejak langkah filem Bidong The Boat People nih lah yer. Persoalannya, adakah filem Bidong: The Boat People ini akan menjadi filem Malaysia paling gagal untuk tahun 2018? Apa-apapun, sama-sama lah kita memberi sokongan kepada filem-filem Malaysia yang berkualiti. Jumpa lagi u'olsss!

P/S : Berminat Untuk Menghantar Artikel Kepada Kami? Email Kan Artikel Anda Ke mohamadhanisismail@gmail.com

1 comments:

Saturday 17 March 2018

Review Filem Lee Chong Wei

Posted by BG Design


Filem:
Lee Chong Wei

Penilaian:
9 / 10

Pengarah:
Teng Bee 

Genre:
Biografi & Sukan

Pelakon:
Tosh Chan, Jake Eng, Rosyam Noor,
Mark Lee, Yeo Yann Yann, Feddie Wong, Ashley Hua, Bernard Hiew & Etc 

Tarikh Tayangan:
14 Mac 2018

Terbitan:
CB Pictures Sdn Bhd & Mahu Pictures Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem biopik ini mengisahkan tentang kehidupan penuh inspirasi pemain badminton nombor satu negara Dato' Lee Chong Wei yang berusaha keras sejak kecil lagi untuk mencapai cita-cita menjadi pemain badminton nombor satu dunia dengan bantuan jurulatih Misbun Sidek. Pelbagai kesukaran serta halangan yang perlu ditempuhi oleh Lee Chong Wei namun sikap tidak pernah berputus asa beliau akhirnya menjadikan beliau sebagai salah seorang lagenda badminton Malaysia.

Ulasan:

Alhamdulillah! Selesai sudah menonton filem Lee Chong Wei yang baru-baru ini diiktiraf Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records sebagai tayangan perdana filem yang terbesar di Malaysia dan peringkat Asia dengan penggunaan layar gergasi LED berukuran 40 meter x 17 meter itu. 


KEMBAR LEE CHONG WEI

Aku berasa bangga dan kagum sepanjang menonton filem ini. Walaupun filem ini lebih dekat dalam menonjolkan kehidupan masyarakat Cina tetapi aku merasakan filem ini sangat nasional jiwanya. Dengan harga tiket berjumlah RM16.50 yang aku bayar sebentar tadi, aku memang sarankan seluruh rakyat Malaysia untuk menonton dan menyokong filem hebat ini kerana penyampaian mesej filem ini sangat bagus dan sesuai untuk semua golongan. Kenapa aku sangat menyukai filem ini? Aku sangat suka dengan kisah penceritaan watak Lee Chong Wei itu sendiri yang sangat bagus dikembangkan bermula dari beliau kecil sehingga lah ke zaman kemuncaknya berhadapan dengan jaguh badminton China yang merupakan musuh utamanya di dalam gelanggang iaitu Lin Dan. 


AKU PERNAH TENGOK LAKONAN MARK LEE SEBELUM NIH TETAPI KALI INI WATAK YANG DIBAWANYA AGAK MENARIK

Boleh dikatakan kebanyakan pelakon utama di dalam filem ini seperti Tosh Chan, Jake Eng dan Ashley masih setahun jagung kerana mereka terpilih melalui sesi ujibakat yang diadakan untuk mencari pemegang watak Lee Chong Wei dan Wong Mew Chow. Dikhabarkan mereka hanya menjalani latihan lakonan selama sebulan sahaja tetapi aku merasakan mereka mempunyai jiwa lakonan yang cukup besar dan ini menjadikan setiap watak yang digalas mereka dapat digalas dan diterjemah dengan cukup baik. Selain daripada perlu menjiwai watak, mereka juga mendapat latihan intensif daripada bekas pemain kebangsaan negara iaitu Chan Chong Ming untuk mendalami, mempelajari dan berlatih gaya, kemahiran dan cara permainan badminton pula. Ini sangat membantu kerana ternyata lakonan mereka terutama pada babak-babak perlawanan dapat dilihat sangat menyakinkan dan kelihatan sangat semulajadi.



SAMPAI SEKARANG AKU TERINGAT LAKONAN DIA DALAM FILEM NIH! 

Lihat sahaja kepada pelakon cilik, Jake Eng yang comel dan berwajah polos ini. Dia cukup bijak  dan nampak sangat bersahaja bermain dengan emosi dan riak wajah dalam memberi warna kepada penceritaan awal kisah kehidupan Lee Chong Wei ini. Penceritaan yang agak padat tetapi bijak dibawa oleh Jake Eng secara perlahan tanpa perlu tergesa-gesa dan dalam masa yang sama membantu penonton untuk mengikuti perkembangan watak Lee Chong Wei semasa kecil ini dengan penuh asyik sekali. Aku cukup suka dengan kelincahan yang ada pada adik Jake Eng ini cuma pada pandangan aku mungkin ada sedikit kelemahan apabila mendengar bunyi tangisannya. Namun bagi aku, adik Jake Eng ini merupakan tunjang kekuatan utama filem ini kerana dia berjaya menangkap dan menanam kepercayaan kepada hati penonton untuk merasa lebih dekat dengan watak Lee Chong Wei kecil ini walaupun ini merupakan kali pertama dia berpeluang muncul di layar perak. Lihat sahaja kesungguhannya apabila menyaksikan perlawanan badminton. Lihat sahaja kegigihannya memasang tali raket semata-mata untuk membantunya memperoleh alat untuk berlatih. Lihat lah kerisauannya tentang tahap ketinggian yang dimiliki sewaktu kanak-kanak. Semua itu berjaya diterjemahkan dengan jayanya mengikut gaya Jake Eng.


TAHNIAH TOSH CHAN! LAKONAN YANG CUKUP MENJADI!

Pemilihan Tosh Chan sebagai Lee Chong Wei dewasa pula sememangnya satu pilihan yang tepat. Sekali pandang memang muka Tosh Chan ini mempunyai rupa seiras Lee Chong Wei. Ini juga kali pertama Tosh Chan tampil di layar perak tetapi kehebatannya membawakan watak jaguh badminton negara ini harus dipuji. Aku yakin Tosh Chan memang berusaha bersungguh-sungguh di dalam mempelajari karakter figura bernama Lee Chong Wei ini. Lihat sahaja kepada perwatakan dan cara percakapan yang dibawakan Tosh Chan di dalam filem ini. Gaya percakapan yang dituturkannya di dalam loghat Cina yang pekat sama ada berbicara di dalam berbahasa Melayu mahu pun bahasa Inggeris sememangnya terjemahan yang sama seperti mana gaya Lee Chong Wei sendiri bercakap. Adakalanya aku merasakan Tosh Chan adalah benar-benar seorang lelaki bernama Lee Chong Wei. Memang cukup hebat aura yang dibawakan pelakon muda berbakat besar ini.


TERBAIK LAH ROSYAM! BAGI WATAK APA PUN MESTI MENJADI PUNYA!

Barang kali tahun ini merupakan tahun bertuah buat hero malaya pujaan ibu-ibu di luar sana. Siapa lagi kalau bukan Rosyam Nor yang sangat bijak memilih naskhah filem yang hebat-hebat dan berkualiti. Berperanan sebagai Misbun Sidek iaitu jurulatih Lee Chong Wei, sekali lagi Rosyam Nor berjaya memberi sentuhan magis beliau yang tersendiri dalam membawakan watak Misbun yang tegas, keras dan sesekali disulami dengan sifat suami mithali serta bapa yang penyayang. Watak yang penuh warna ini sememangnya satu lagi kejayaan buat Rosyam Nor. Memang patut dapat anugerah pelakon lelaki terbaik untuk tahun 2018.


WATAK IBU YANG DIBAWA YEO YANN YANN NIH TERNYATA SANGAT MENYENANGKAN

Pelakon pembantu yang lain seperti Yeo Yann Yann dan Mark Lee yang memegang peranan sebagai ibu bapa Lee Chong Wei serta Ashley yang bertindak sebagai Wong Mew Choo juga tidak kurang hebatnya kerana bijak bermain dengan emosi di dalam setiap babak-babak kemunculan mereka. Pelakon-pelakon yang lain juga turut sama membantu dan watak-watak mereka walaupun ada yang muncul hanya seketika tetapi sangat-sangat menghidupkan setiap perjalanan cerita di dalam filem ini. Sebab itu aku sukakan filem ini kerana kemunculan setiap watak ini walaupun kecil tetapi semuanya bermakna. Watak-watak ini muncul bersebab dan punya kekuatan yang tersendiri. 


AKU SUKA SINEMATOGRAFI SEPANJANG BABAK NIH. LAWA BAK HANG!

Berbalik kepada penceritaan filem ini, mungkin ramai beranggapan bahawa bermain badminton tidak sukar seperti permainan bola sepak. Tetapi, hakikatnya filem ini membuktikan sebaliknya dimana ia berkongsi dengan penonton tentang susur galur cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap pemain badminton. Selain itu, filem ini turut sama menyelitkan secara ringkas kisah tentang kejayaan jaguh-jaguh pemain badminton tanah air yang lain yang bertanggungjawab memberi inspirasi kepada Lee Chong Wei dalam mengejar cita-citanya menjadi pemain nombor satu dunia seperti kisah anak-anak Sidek, Wong Choong Hann dan Hafiz Hashim.


ADEGAN NIH AKU NAMAKAN ADEGAN JIWANG BLUR

Filem ini juga nampaknya tidak dapat lari daripada kisah cinta yang dipaparkan secara minima kerana sememangnya isteri Lee Chong Wei juga ialah pemain perseorangan wanita badminton negara iaitu Wong Mew Choo. Tetapi, aku cukup suka dengan bagaimana kisah cinta ini ditonjolkan secara subteks sahaja tetapi teks sebenarnya ialah ini merupakan antara salah satu inspirasi di dalam kejayaan hidup Lee Chong Wei sendiri. 

BABAK AIR MATA JANTAN KELUAR NIH...HEHEHE!

Sinematografi filem ini pula bagi aku nampak ringkas tetapi sangat cantik dan menyokong perkembangan cerita. Aku percaya filem ini pasti berjaya dalam menyampaikan motivasi kepada semua yang menonton. Bermula daripada awal filem sehingga pengakhirannya, aku merasakan filem ini sangat bermotivasi dan cukup mudah untuk diterima. Tiada kejayaan yang datang bergolek tanpa usaha. Tiada kejayaan yang datang tanpa sokongan dan restu orang tersayang. Dan yang penting tiada kejayaan yang datang tanpa kepercayaan daripada diri sendiri. Bagi aku, filem ini berjaya membaca sifat-sifat nasionalisme yang sangat bagus kepada penonton melalui banyak adegan di dalam filem ini antara penonton sedar atau tidak.


AKU CUKUP SUKA BABAK ANAK DAN BAPA INI :_)

Sebuah filem biografi yang ada segala khasiat, rencah dan perisa. Kekuatan filem ini terletak pada cita-cita besar Lee Chong Wei. Kehebatan kata-kata dan ayat falsafah daripada orang-orang terdekat di dalam hidup Lee Chong Wei. Nilai kekeluargaan yang tinggi. Nilai kasih sayang tanpa dibataskan oleh perbezaan agama, kaum mahu pun warna kulit. Filem yang berjaya mengusik dan menjentik setiap zarah emosi sesiapa yang menonton. Adakalanya mampu membuatkan air mata bergenang saat jiwa anda telah termasuk di dalam penceritaan filem ini. Lakonan yang hebat dan menjadi daripada setiap pelakonnya. Kisah perjalanan hidup seorang jaguh badminton negara yang penuh dengan warna dan inspirasi. Setiap kejayaan bermula daripada angan-angan yang besar dan langkah-langkah yang besar! Dan yang paling penting sifat patriotisme anda pasti akan memuncak acap kali anda menonton filem yang hebat ini. Jadi, selamat menonton dan kongsikan pengalaman atau pandangan anda di ruangan komen tentang filem Lee Chong Wei ini.

P/S : Aku Mengharapkan Agar Filem Biopik Azizulhasni Awang Yang Akan Datang Turut Sama Mengikut Jejak Langkah Filem Lee Chong Wei Yang Sudah Ternyata Hebat Ini.

32 comments:

Tuesday 13 March 2018

Review Filem Tomb Raider

Posted by BG Design


Filem:
Tomb Raider

Pengarah:
Roar Uthaug

Genre:
Aksi & Penggembaraan

Pelakon:
Alicia Vikander, Dominic West, Walton Goggins, Daniel Wu,
Kristin Scott Thomas, Derek Jacobi, Alexandre Willaume & Etc.

Penilaian:
5 / 10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Lara Croft iaitu anak kepada Lord Richard Croft yang hilang ketika terlibat di dalam satu ekspedisi ke sebuah pulau yang terpencil bernama Yamatai untuk menyiasat tentang sebuah kisah lagenda ahli sihir Jepun yang bernama Himiko. Beberapa tahun selepas kehilangan ayahnya, Lara menerima satu mesej daripada teka-teki ayahnya dan Lara mendapati tujuan ekspedisi yang dilakukan ayahnya bakal memberi kesan yang sangat berbahaya kepada seluruh dunia jika diketahui oleh musuh-musuh ayahnya yang diberi nama kumpulan Trinity. Jadi, Lara mengambil keputusan untuk memulakan ekspedisi mencari ayahnya di pulau Yamatai bersama seorang kelasi bernama Lu Ren. Apakah yang bakal ditempuhi oleh Lara sepanjang penggambarannya di sana? Saksikan filem ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan Hans:

Filem ini ditayangkan pada 16 Mac 2018 dan merupakan salah sebuah filem yang menjadi sebutan para kaki wayang selain filem KL Special Force. Filem Tomb Raider kali ini merupakan sebuah filem yang di adaptasi daripada permainan video. Dalam masa yang sama juga, filem ini merupakan sebuah filem pembikinan semula dan pastinya ramai peminat filem Tomb Raider versi lakonan Angelina Jolie akan cuba melihat apakah filem versi terbaru di tahun 2018 ini mampu memberi kelainan atau membawa identitinya yang tersendiri. 


AKU SUKA BABAK KEJAR MENGEJAR NIH

Walaupun filem-filem Tomb Raider yang ditayangkan sebelum-sebelum ini gagal menambat hati ramai penonton jika dilihat daripada segi kutipan namun kemunculan filem Tomb Raider di tahun 2018 ini masih juga menjadi satu penantian dan tarikan buat peminat filem ini. Untuk membandingkan watak Lara Croft kali ini adalah sehebat filem terdahulu mungkin tidak adil kerana filem ini boleh dikatakan adalah pengenalan awal sebenarnya tentang siapakah wanita yang bernama Lara Croft ini.

MISI MERUNGKAI MISTERI LAGENDA AHLI SIHIR BERMULA DISINI

Jadi, bila dilihat kepada permulaan awal filem ini sememangnya menarik perhatian aku kerana watak Lara itu diperkenalkan dengan cara yang lebih rasional. Senang cakap lebih nampak sifat dan sisi kemanusiaan manusia biasa yang bukannya sentiasa menang. Namun segala-galanya berubah 360 darjah apabila plot cerita mula memberi fokus tentang kehilangan ayah Lara serta kehebatan Lara yang mampu menyelesaikan misteri teka-teki yang ditinggalkan ayahya. Segala-galanya hanya diberitahu melalui dialog para pelakonnya tanpa perlu aku berteka-teki di dalam fikiran daripada pertengahan filem sehingga ke akhir filem. Semuanya bagai sudah dijangka dan tiada kelainan plot yang berjaya dihidangkan sepanjang menonton.


SESI JEJAK KASIH BARANGKALI...HAHAHA!

Bukannya lakonan Alicia Vikander tidak bagus. Mustahil pemenang anugerah Oscar ini gagal memberikan yang terbaik. Gerak tubuh dan aksi yang dilakonkannya memang cukup menyakinkan. Lakonannya mantap dan berjaya lari daripada imej Lara Croft versi Angelina Jolie. Tetapi, perkembangan watak-watak lain yang tidak menyeluruh dan dibuat semberono sahaja menjadikan mereka langsung tidak membantu menjadikan filem ini lebih berseri.


DANIEL WU SEBAGAI LU REN TETAPI WATAK INI TIDAK MEMBERI SEBARANG IMPAK BESAR

Ditambah lagi dengan plot ceritanya yang berjalan selurus jalan raya tanpa ada cabang mahu pun teka-teki yang menarik menjadikan filem ini sangat mendatar bagi aku. Namun, filem ini berjaya diselamatkan oleh aksi-aksi menarik sepanjang tayangan dan ini membuatkan aku tidak lah berasa bosan.


ADAKAH SUMPAHAN HIMIKO MAMPU DITAMATKAN OLEH LARA?

Bagi aku, tiada masalah untuk sesiapa yang berminat dan ingin menonton filem aksi ini. Tetapi, jika anda inginkan kelainan, aku merasakan tiada apa-apa kelainan pun yang boleh diharapkan daripada filem Tomb Raider versi tahun 2018 ini. Cuma masih sebuah filem yang menghiburkan.


P/S : Minggu Ini In Sha Allah Ada Ulasan Untuk Filem Lee Chong Wei Pula.

18 comments:

Friday 9 March 2018

Review Filem KL Special Force

Posted by BG Design


Filem:
KL Special Force

Penilaian:
7 / 10

Pengarah:
Syafiq Yusof

Genre:
Aksi

Pelakon:
Fattah Amin, Rosyam Nor, Syamsul Yusof,
Sabrina Ali, Esma Daniel, Ramona Zamzam, Mustaqim Bahadon & Etc.

Tarikh Tayangan:
8 Mac 2018

Terbitan:
Skop Production Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini berkisarkan tentang kisah kumpulan Unit Khas PDRM yang diketuai oleh Roslan dan mereka berusaha untuk menumpaskan sekumpulan perompak yang dikenali sebagai Geng Anarkis. Geng Anarkis ini diketuai oleh seorang lelaki bernama Asyraff. Seorang anggota polis muda bernama Zul pula diserapkan di dalam unit khas PDRM untuk membantu Roslan menyelesaikan kes berkaitan Geng Anarkis ini tetapi situasi bertukar sebaliknya kerana Asyraff bijak memanipulasikan perasaan, minda dan rasa syak wasangka antara Roslan dan Zul. Namun, sebuah rahsia besar bakal terbongkar apabila Geng Anarkis ini merompak bank kepunyaan Dato Mior. Apakah rahsia besar tersebut? Adakah pihak polis mampu menumpaskan Geng Anarkis? Saksika filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah! Selesai sudah menonton filem KL Special Force untuk tayangan pertama iaitu pada pukul 8.10 malam. Menonton trailer filem KL Special Force sebelum ini mengingatkan aku kepada filem New Police Story lakonan Jackie Chan dimana penjenayah-penjenayahnya turut memakai topeng yang lebih kurang sama. Jadi, sebelum menonton aku mengharapkan agar jalan ceritanya tidak sama seperti itu dan alhamdulillah Syafiq Yusof memang tidak mengecewakan aku.

TERUK FATTAH AMIN DIPERLAKUKAN DI DALAM FILEM INI. HAHA!

Filem ini bagi aku agak menarik kena banyak twist plot yang berlaku dan adakala hampir berjaya membuatkan aku tertipu. Hahaha! Paling aku suka ialah babak akhir filem ini sebab memang lain daripada filem Skop Production sebelum ini dan agak menarik lah pada pandangan aku. Memang kalau aku tonton filem Syafiq Yusof nih aku akan mengharapkan twist plot yang di luar jangkaan seperti mana di dalam filem Desolasi. 

BABAK MELIBATKAN SHAHARUDIN TAMBY DENGAN ROSYAM NOR ADALAH BABAK WAJIB TONTON DAN MENGHIBURKAN. HAHA!

Satu perkara yang aku perasan dalam filem KL Special Force kali ini ialah dialog-dialog yang melibatkan anggota-anggota polis yang memang lari 100 peratus daripada filem-filem kepolisan keluaran Skop Production sebelum ini. Permulaan awal filem ini lagi aku dah dapat saksikan dialog-dialog yang dilontarkan oleh watak-watak utama yang berperanan sebagai anggota polis ini dengan bahasa yang sangat pasar, kasar dan terasa hidupnya disitu. Senang cakap dah tak wujud dah gaya bahasa protokol macam dalam drama Gerak Khas tu macam "Yer, Tuan!" atau "Saya faham Tuan!". Itu semua dialog mengampu. Haha! Tetapi, kali ini memang bila babak yang melibatkan maki hamun atau rasa tidak puas hati sesama watak dilontarkan dengan begitu realistik dan ini yang aku nanti-nantikan daripada filem kepolisan Malaysia.

AKU SUKA WATAK YANG DIBAWA OLEH RAMONA ZAM ZAM NIH TETAPI SAYANG WATAK NIH TIDAK DIKEMBANGKAN DENGAN LEBIH MENDALAM

Jalan cerita filem ini juga bagi aku masih menarik kerana dibantu dari segi penyuntingan yang laju untuk setiap babak dan membuatkan aku tidak pernah terasa setiap babak di dalam filem ini meleret atau membosankan. Cuma aku masih rasa ada sedikit kelompongan di dalam cerita ini dari segi pengenalan kepada watak-watak pembantu penjenayah yang diberi nama Geng Anarkis di dalam filem ini. Sayang sedikit sebab salah satu watak penjenayah wanita lakonan Ramona Zam Zam sebenarnya menarik untuk dikembangkan lagi atau pun diperjelaskan secara ringkas tetapi filem ini lebih memberi tumpuan kepada ketiga-tiga watak utama.

FATTAH AMIN BUAT STUNT SENDIRI WEHHH! JANGAN MAIN-MAIN!

Berita baik untuk peminat Fattah Amin kerana lakonan Fattah di dalam filem ini harus diberi pujian. Babak aksi, lagak ngeri serta pergaduhan yang melibatkan Fattah memang boleh dibanggakan. Aku pasti pujian ini pasti akan dibenci oleh haters Fattah. Hahahaha! Tetapi, secara jujur lakonan Fattah memang bagus dan lain daripada kebiasaan yang aku pernah lihat. Selalu aku tengok watak lakonan dia mesti nak leleh-leleh dan jiwang jer memanjang. Sebenarnya Fattah nih boleh pergi jauh cuma dia kena pandai pilih watak dan pelbagaikan lagi karakter yang dia lakonkan. Kalau dulu aku tengok Fattah berlakon babak sedih yang menangis bagai nak rak tu memang aku tak dapat terima sebab bagi aku macam kurang sampai. Tetapi, untuk lakonan dia di dalam filem ini, aku sebenarnya sangat kagum kerana Fattah dapat menjiwai watak yang dipegangnya itu dengan sangat baik. Cara dia sampaikan emosi dan ditunjukkan melalui riak wajah ketika ketawa, menangis, sakit dan angkuh memang sampai dan berjaya. Tahniah Fattah Amin! Teruskan lagi berlakon dan memilih watak yang lebih mencabar selepas ini. Tetapi, ada juga reaksi wajah Fatah di dalam beberapa babak filem ini yang aku rasakan kurang sesuai sebab macam terjadi comel pula. Dan ada juga satu dua babak yang aku rasa macam pelik tengok cara Fattah Amin pegang pistol. Aku pun tak tahu kenapa. Mungkin siapa-siapa yang dah tengok filem nih pasti faham atau bersetuju dengan aku. Hahaha!

MEMANG TERBAIK LAKONAN ROSYAM NOR DALAM KL SPECIAL FORCE

Apa-apapun, aku tabik hormat kepada lakonan Datuk Rosyam Nor. Sumpah terbaik cara dia membawakan watak Roslan nih. Sampai sekarang aku ingat skrip caci maki dia dalam filem nih yang memang sempoi habis. Sampai sekarang aku ingat babak dia menangis keluar air mata disebabkan kejadian yang menimpa anak dan isteri di dalam filem ini. Sampai sekarang aku ingat babak dia marah dan mengamuk dengan isteri dia yang dilakonkan oleh Sabrina Ali. Serius aku suka betul cara dia menghidupkan karakter Roslan nih sebab setiap rasa yang dia tonjolkan tu memberi kesan kepada aku. Aku nampak bagaimana susahnya dia bila tersepit di antara kepercayaan, kesetiaan, keluarga dan kehendak diri dia. Aku tak pelik kalau Datuk Rosyam Nor dapat anugerah pelakon filem terbaik untuk filem KL Special Force nih sebab di usia yang tak silap aku dah masuk 50 tahun, lakonan dia masih mantap dari semua segi.

SYUKUR ALHAMDULILLAH WATAK SYAMSUL YUSOF DALAM FILEM NIH DAH TAK POYO. HAHAHA!

Akhirnya, Syamsul Yusof berjaya menjadi watak antagonis yang disukai oleh aku. Secara jujurnya, aku langsung tak minat watak antagonis dia di dalam filem KL Gangster sebab aku rasa macam dia terlalu mencuba untuk jadi jahat. Tetapi, aku puji wataknya sebagai Asyraff di dalam filem kali ini. Inilah yang aku nak Syamsul! Orang tua-tua kata hang berlakon steady ja sudah! Lakonan yang lebih bersahaja. Tidak perlu bergua-gua dan berlu-lu dah. Aku dapat lihat Syamsul tidak lagi menjadi Syamsul tetapi menjadi watak yang dilakonkannya. Apa aku boleh kata lakonan Syamsul kali ini semakin matang dan berisi.

SEDIH AKU TENGOK KERETA TU TERBAKAR! HAHAHA! KERETA MAHAL TU WEHH!

Filem ini ialah sebuah filem aksi yang serius. Kadang-kadang tu adalah sedikit unsur humor tetapi bukan wujud atas dasar lawak-lawak bodoh tetapi berdasarkan skrip dan jalan cerita yang diolah dengan cukup menarik. Sebut filem aksi keluaran Skop Production nih memang tidak dapat larilah daripada meletupkan kereta-kereta polis dan kereta-kereta mewah. Memang banyak letupan yang membabitkan kereta-kereta ini yang memang menarik untuk ditonton. Tak silap ada lebih kurang 10 buah kereta yang telah berjaya diletupkan dengan sempurna di dalam filem ini. Cuma aku sedikit kurang berkenan dengan aksi yang melibatkan polis-polis yang ditembak sebab adakala seakan-akan menonton filem Tamil sikit. Mudah betul polis-polis yang biasa nih mati kena tembak sedangkan penjenayah tu berada dalam keadaan yang terbuka tanpa ada perlindungan apa-apapun. Ini memang aku tak boleh terima. Hahaha!

KONFLIK DUA WATAK UTAMA FILEM INI YANG MENARIK UNTUK DITONTON

Aku juga cukup mesej-mesej yang cuba disampaikan di dalam filem ini tidak kira daripada watak protagonis mahu pun antagonis itu sendiri. Watak Roslan ada falsafah tersendiri! Watak Zul pula ada prinsipnya! Watak Asyraff pula ada pegangan yang tersendiri! Dan sebenarnya segala pegangan mereka ini ada kebenaran dan logik akal yang tersendiri. Sebab itu aku suka filem ini sebab ia bukan sekadar filem yang menjual aksi semata-mata tetapi turut menjual mesej-mesej yang bagi aku menjadikan filem ini bukannya sebuah filem yang kosong. Sekali lagi aku ucapkan tahniah pada Syafiq Yusof kerana filemnya ada pelbagai rencah dan isi yang sedap-sedap.

WATAK TAMBAHAN POLIS-POLIS BIASA TU BANYAK TERKORBAN DI DALAM FILEM INI

Amboi Hans!! Banyak betul pujinya!! Skop Production bayar kau berapa nih?? Okay! Jangan risau! Sekarang tiba pula kepada kekurangan atau kelemahan berdasarkan pandangan aku yang menonton. Apabila menyentuh bab aksi, semuanya dah okay cuma ada juga babak-babak yang aku rasa agak janggal sedikit seperti aksi tembak menembak antara penjenayah dan pasukan polis di kawasan yang melibatkan orang awam serta aksi kejar mengejar di mana jalan raya agak lengang. Maksud aku disini ialah babak-babak ini tidak menaikkan adrenalin aku ke tahap yang maksimum sebab nampak jelas kesan darah yang memancut hasil terkena tembakan sangat tidak asli. Hahaha! Mungkin di masa akan datang Syafiq boleh menjadikan babak-babak ini lebih nampak realistik.

INILAH TANIA HUDSON

Oh yer! Aku teringat seorang pelakon wanita iaitu Tania Hudson yang menjadi tunang kepada watak Zul lakonan Fattah Amin. Aku rasa Tania masih belum memberi sepenuhnya jiwa kepada watak yang dibawanya itu. Adakalanya aku merasakan emosi yang diberi kurang bertenaga atau dengan erti kata lain tidak sampai. Ada satu babak genting yang melibatkan nyawa watak yang dibawanya tetapi aku tidak dapat melihat sepenuhnya ketakutan yang ditunjukkan itu. Sayang sebenarnya sebab watak yang Tania bawa tu kalau betul-betul dilakonkan dengan emosi dan pergerakan tubuh yang sempurna mesti akan membuatkan babak tersebut menjadi lebih kemas dan menyentuh hati.


Baiklah! Sebenarnya banyak lagi aku nak taip tetapi aku rasa adalah lebih baik kalian semua menonton sendiri filem ini di pawagam berhampiran. Sokonglah filem KL Special Force sebab watak-watak utama telah memberikan lakonan yang sangat mantap. Fattah Amin pun dah tak kayu. Syamsul Yusof pun dah tak nampak poyo jadi watak jahat. Plot cerita yang pantas dan sangat menarik. Suntingan yang bagus. Lagu latar yang hebat. Aksi-aksi yang mendebarkan. Dialog-dialog polis yang sudah tidak lagi berprotokol seperti selalu. Apa lagi yang korang nak? Tengok jer lah! Sokong lah filem tempatan! Sekian :)

46 comments: